“ Ibu ingat Fatah boleh ke kurus dalam masa
empat bulan? Dengan badan Fatah yang tembam ni bukan senang tau nak jadi kurus
macam tu aje.” Abdul Fatah merengus.
“ Nak seribu daya, tak nak seribu dalih, Fatah!
Kalau betul kamu nak secocok berpasangan dengan Kyra lepas kahwin nanti bukan
empat bulan aje Fatah boleh kurus, tak sampai tiga bulan pun boleh tau. Fatah
aje yang banyak alasan!” Puan Faridah menjeling dengan ekor matanya. Dia yakin
jika Abdul Fatah melakukan banyak senaman dan pergi ke gym setiap hari, pasti
anaknya itu akan mendapat bentu badan yang ideal.
“ Ibu yakin Fatah mampu kurus?”
“ Mestilah sayang. Tapi Fatah tak bolehlah
duduk tanpa berbuat apa-apa. Fatah kenalah bersenam, pergi ke gym untuk
dapatkan tubuh badan yang ideal. Biar terkejut Cik Kyra tengok Fatah jadi kurus
nanti.”
“ Gym mana yang best ya, ibu? Ikutkan hati
Fatah, saat ini juga Fatah nak kuruskan badan.” Kerana cintakan Kyra, dia
sanggup mengurangkan berat badannya. Tapi mampukah dia untuk mendapatkan bentuk
badan yang ideal dalam masa empat bulan?
“ Fatah guna ajelah produk terbaru yang kita
buat tu. Tak silap ibu Reshape programme.
Boleh kempiskan perut buncit dan paha
yang menggeleber Fatah tu.” ujar Puan Faridah.
Abdul Fatah pula yang rasa malu. Tidak sangka ibunya
dalam diam meneliti tubuh badannya ketika dia tidak berpakaian. Dia sebenarnya
jarang memperlihatkan tubuh badannya di khalayak ramai. Apabila di rumah sahaja
dia mempamerkan badannya yang tembam ini. Mungkin ibu tengok masa aku keluar dari
bilik air kut. omelnya dalam hati.
“ Ibu tahu Fatah malu bila ibu cakap pasal
tubuh badan Fatah. Tak apa. Lepas Fatah kurus nanti, ibu yakin Fatah akan slim macam Cik Kyra.” Puan Faridah cuba
memberi kata-kata semangat kepada anaknya yang masih lagi kurang yakin untuk
menguruskan badan dalam masa empat bulan.
“ Kalau macam tu, Fatah akan sahut cabaran ibu
untuk kuruskan badan dalam masa tiga bulan.” Puan Faridah bersyukur. Akhirnya permintaannya
ditunaikan juga. Tidak sabar untuk dia melihat penampilan terbaru anaknya
selepas empat bulan dari sekarang.
“ Sekejap lagi ibu akan telefon pekerja lelaki
dari branch lain untuk buat rawatan Reshape tu. Esok Fatah dah boleh mula
semuanya dan ibu akan aturkan pertemuan Fatah dengan jurulatih Body Fitness yang baru ibu kenal, Arif
Tuah.”
Wow! Secepat itu ibu membuat aturan untuknya.
Dia jadi kagum. Mungkin ibu mengenali jurulatih itu ketika dia sedang sibuk
bekerja didalam bilik ini. Dia bukannya suka keluar berjumpa pelanggan.
Pelanggan yang datang berjumpanya.
“ Err… macam mana pula dengan cadangan ibu
tadi? Dah boleh laksanakan ke?”
Puan Faridah tersenyum. “ Ibu tahu Fatah tak
sabar nak kahwin.” Abdul Fatah ketap bibir. Malu masih bertamu dalam hatinya. “
Itu semua ibu akan lakukan tapi bila dah siap semuanya Fatah kena datang
sendiri kat rumah Cik Kyra. Fatah pernah hantar Cik Kyra balik rumah dua hari
lepas kan?” Abdul Fatah mengangguk. “ Nanti ibu akan suruh Hanip dan Syawal
intip Cik Kyra tu ada kat mana minggu depan. Bila dia dah keluar dari rumah
atau pergi jalan-jalan, baru ibu akan laksanakan sepenuhnya.”
“ Fatah hargai apa yang ibu buat tu.” Abdul
Fatah pantas memeluk tubuh ibunya yang sedikit montel itu. Puan Faridah menepuk
belakang anaknya dengan penuh kasih. “ Anak ibu kan seorang aje. Demi
kebahagiaan Fatah, ibu akan berikan segala-galanya.”
Hampir menitis airmata lelakinya kerana ibu
berkata begitu. Dia sangat bertuah kerana memiliki ibu yang memberi sokongan
yang tidak berbelah bagi.
Ibu…
terima kasih. Hanya Allah yang mampu membalas pengorbanan ibu. Doanya dalam
hati.
***
Berapa hari selepas Kyra tidur di rumah ibu
kandungnya di Bandar Tun Razak, ibunya meminta dia untuk pulang ke rumah. Sudah
bermacam alasan yang diberikan kepada ibunya agar tidak pulang ke Mutiara
Damansara namun ibu tetap memaksanya untuk balik.
“ Ibu ni macam tak suka aje Kyra tidur kat
sini. Kyra malaslah nak balik sana. Bukannya ada apa-apa pun.” Luah Kyra dengan
nada malas. Baju yang dia pakai ketika datang ke pejabat Abdul Fatah dipakai
semula setelah dia keluar dari bilik air.
Hesy, kenapalah aku mesti sebut nama dia! Kyra
mengetuk kepalanya sendiri.
Ibunya, Puan Azlina Hamzah menjeling dengan
ekor mata. Dia tahu ibu tidak puas hati bila dia cakap macam itu. Dah nak buat
macam mana, dah dia malas nak balik sana dalam beberapa hari ni, janganlah
dipaksa-paksa!
“ Baik kamu jual aje rumah tu lagi bagus kalau
malas nak duduk sana.” sindir Puan Azlina Hamzah. Muncung sedepa Kyra bila
ibunya berkata begitu.
“ Ibu ni… Kyra datang sini sebab rindukan ibu.
Bagilah Kyra peluang untuk tidur lagi seminggu. Boleh kan?” Kyra buat muka
ceria.
“ Jangan nak mengada, Kyra! Ibu kata balik,
balik! Lagi lama kamu tinggalkan rumah tu, lagi senang pencuri masuk. Kamu nak
ke?” marah Puan Azlina.
“ Tak baik tau ibu cakap macam tu. Yalah, yalah
Kyra balik. Tapi nanti Kyra datang sini balik. Rindulah nak rasa masakan asam
pedas ikan parang ibu yang sedap tu. Ibu masakkan untuk Kyra sebelum Kyra balik
boleh? Kyra nak bekal asam pedas ibu tu balik sana. Masak banyak-banyak ya.”
Kyra selamba sahaja mencuit pipi ibunya namun ditepis Puan Azlina Hamzah.
“ Hurm… yalah. Pergilah depan tengok TV dulu.
Ibu nak masak kejap.”
Kyra tersengih lalu dia menganggukkan kepala.
Laju sahaja dia melangkah ke ruang tamu untuk menonton TV.
***
Melihatkan tambang teksi yang melebihi seratus
dua puluh ringgit ketika sampai di Mutiara Damansara, Kyra bernekad untuk turun
di depan pondok keselamatan yang mempunyai palang hitam putih. Mujur dia balik
ke sini hanya membawa beg tangan dan lauk asam pedas sahaja.
“ Terima kasih, Pak Cik.” Kyra menghulurkan
duit berupa dua keping not lima puluh dan dua not sepuluh ringgit kepada
pemandu teksi yang berusia itu.
“ Lah nak, kenapa berhenti kat sini aje. Tak
jauh ke kaki kamu tu nak berjalan?” Pemandu teksi itu berpaling ke belakang dan
merenung Kyra yang sedang menutup zip beg tangannya.
Kyra tersenyum nipis. “ Tak apalah, Pak Cik.
Jimat kos sikit. Lagipun bagus juga kalau exercise.
Boleh sihatkan tubuh.” Dalihnya.
“ Kamu ni, dahlah. Biar Pak Cik hantar kamu
balik sampai depan rumah. Rumah kamu kat mana?” pintas pemandu teksi itu.
“ Tapi Pak Cik, saya…” Kyra teragak-agak untuk
meneruskan bicara.
“ Ala, Pak Cik bagi free aje. Cakaplah. Rumah kamu kat mana?”
Akhirnya Kyra akur. Dia menutup pintu teksi
semula. Nampaknya Pak Cik ni baik betul nak hantarkan dia sampai depan rumah.
Alang-alang dia dah bagi aku free
duduk dalam teksi ni, duduk ajelah. Tak payah nak bersusah payah berjalan dari
sini sampai ke rumah. Monolongnya dalam hati.
“ Terus ya Pak Cik kemudian belok kiri.” Kyra
mula menunjuk jalan rumahnya kepada pemandu teksi tersebut.
***
“ Kamu semua kalau penat, rehat dulu. Nanti
sambung kemudian ya.” kata Abdul Fatah ketika dia memerhatikan beberapa pekerja
yang sedang memasang khemah berwarna ungu putih didepan rumah Kyra.
“ Baik. Tuan.” Akur dengan arahan Abdul Fatah,
kesemua pekerja itu berehat buat seketika. Mereka semua berehat di pokok-pokok
yang tidak berapa jauh dari rumah Kyra.
Badan Abdul Fatah berpeluh. Abdul Fatah duduk
seketika di salah sebuah kerusi yang terletak elok di kanan dan kiri meja
sambil mengesat peluh.
Hari ini, tergerak hatinya untuk datang ke sini
setelah beberapa hari dia duduk di dalam pejabat membuat kerjanya. Apabila
Syawal dan Hanip memberitahunya yang Kyra tiada dirumah, dia jadi buntu.
Takkanlah Kyra tidak tinggal di rumah dua tingkat ini lagi?
Agak panjang khemah yang ditempah ibunya, Puan
Faridah sehingga melepasi tiga rumah yang berada disebelah rumah Kyra. Menggeleng
panjang dirinya tatkala beberapa buah lori yang mengandungi peralatan memasang
khemah serta meja dan kerusi sebagai pelengkap kenduri kahwinnya minggu ini.
Abdul Fatah yakin Kyra pasti akan terkejut
besar jika dia pulang ke rumah nanti.
Harapannya nanti, Kyra akan pulang sebelum
empat hari lagi majlis perkahwinan mereka. Dia tidak mahu khemah yang ditempah
ibu ini sia-sia sahaja.
Dalam keasyikannya mengelap peluh di leher dan
tubuhnya, suara dentuman pintu kereta dari luar khemah mengejutkannya. Kyra!
Dia cepat-cepat bangun. Mukanya sengaja diceriakan sebelum dia melangkah
mendekati Kyra yang sudah berkerut seribu.
Kyra di luar teksi sudah tidak tertanggung
marahnya. Lauk asam pedas ibunya tertinggal begitu sahaja di dalam teksi.
“ Apa semua ni?!” Kyra menjerit sekuat hatinya.
Dia tidak sangka, apabila balik ke rumahnya, dia diberikan kejutan yang tidak
terduga olehnya! Abdul Fatah memang lelaki gila!
“ Kyra… I
can explain.” Jelas Abdul Fatah.
Pang! Kyra menampar pipi tembam Abdul Fatah
sekuat hatinya. Jika sudah marah, apa lagi yang dia boleh buat selain menampar
lelaki itu.
“ Kenapa Kyra suka tampar Fat? Fat rasa Fat
cakap perkara yang elok. Fat cuma nak kita bersama. Itu aje.” Nada suaranya
cuba dikawal agar tidak terlalu marah.
“ Aku nak bagi kau sedar yang aku dan kau tak
SERASI! Tolonglah Encik Abdul Fatah. Carilah gadis yang sesuai dan sama besar
dengan kau. Aku kurus, kau gemuk! Kita tak sepadan.” Tempelak Kyra.
“ Bentuk badan bukan penghalang untuk kita
bersama, Kyra. Tolong jangan hampakan permintaan Fat.” rayu Abdul Fatah.
“ Sudahlah, Fat. Kalau dah nama tu Fat,
kekalkanlah berat badan tu jadi fat!
Jangan berangan nak cari yang kurus. Baik kau arahkan pekerja kau untuk
turunkan khemah ni. Kalau tidak, aku akan report
polis!” jerit Kyra lagi.
Abdul Fatah terasa hati. Kata-kata itu
mengingatkannya pada Nur Alia. Tidak sangka sikap Kyra seakan-akan sama dengan
Nur Alia. Jika dia tahu sikap Kyra suka mengutuk bentuk badan orang, tidak mahu
dia jadikan Kyra suri hidupnya namun kini dia tidak boleh berundur ke belakang
lagi. Rancangan ibunya yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi perlu
diteruskan. Dia tetap dengan pendiriannya untuk menjadikan Kyra sebagai
isterinya.
“ Cik Amylia Nur Kyra!” jerit seseorang dari
belakangnya.
Kyra tergamam. Dia berpaling ke belakang.
Ya
Allah, Apa dia buat ada kat sini? Tubuh badan Kyra mula rasa menggigil.
1 ulasan:
erk....siapakah???/adakah mak fat????
Catat Ulasan