Rabu, 29 Oktober 2014

BAB 11 (Tajuk? Biarlah Rahsia)


Selepas membersihkan diri, Raymi Zikri duduk berteleku di atas katil. Telefon bimbit ditangannya dipandang lama. Pesanan ringkas yang baru diterimanya itu menyentap jiwanya yang sedang serabut memikirkan keputusan yang dipilih Dhia. Panjang mesej yang diberikan gadis itu. Sedikit sebanyak hatinya tersentuh.
Mungkin ini pengakhiran hubungan kita sebagai sahabat, Ray. Terima kasih sebab sudi menjadi sahabat aku selama enam tahun ini. Apa yang aku lakukan bersama-sama dengan kau sebelum ini, akan kekal terpahat dalam ingatan aku sampai ke jannah.
One of the most beautiful qualities of two friendship is to be understand and to be understood tetapi nampaknya kau tak tergolong dalam kualiti ini.
Restuilah hubungan aku dan Abang Raz…

Rambutnya diraup kasar sebelum dia mencampak jauh telefon bimbitnya ke pintu utama biliknya. Bunyi yang pecah jangan cakaplah. Memang kuat sehingga pembantu rumah yang sedang bertugas di dapur dapat dengar dari bawah.
“Kenapa kau piih dia daripada aku, Dhia? Kenapa?!!” jeritnya sekuat hati. Bergema suaranya. Tidak dipedulikan suara-suara dari luar biliknya yang ternyata risau dengan keadaannya. Lantaklah! Janji dia puas dapat meluahkan apa yang dia tidak puas hati.
“Aku benci kau abang. Aku benci kau!!” Semakin galak jeritannya. Habis selimut dan bantal yang terletak elok di atas katil berselerak dikerjakan olehnya.
Dari dulu lagi dia tidak rapat dengan Muhd Razree. Abangnya seringkali bekerja diluar daerah dan menjadi wakil kepada syarikat percetakan neneknya, Acta Print. Tambah pula, abangnya sudah tidak duduk bersama dengan mereka sejak empat tahun lalu kerana tidak suka dikongkong oleh nenek.
“Tuan? Tuan tak apa-apa ke?” Tiba-tiba pintu biliknya terkuak lebar. Dua pembantu rumahnya datang dengan riak wajah yang takut-takut.
Raymi Zikri membulatkan mata. “Siapa benarkan awak berdua jejakkan kaki kat bilik saya ni? Mana awak berdua dapat kunci bilik ni hah?” sergahnya sambil merampas kunci biliknya yang berada ditangan salah seorang pembantu rumahnya. Dua pembantu tersebut segera menundukkan wajah. Tidak berani memandang wajah menyinga majikannya.
“Aku tanya, jawablah!”tengkingnya. Hilang perkataan ‘saya’ yang seringkali muncul dibibirnya tiap kali berdepan dengan pembantu rumahnya. Moodnya betul-betul tidak begitu baik pada hari ini. Jika boleh semua orang yang ada disekelilingya mahu dimarahnya.
Kerana keputusan Dhia lah, dia jadi begini. Semuanya kerana Dhia!
“Puan Khadijah yang serahkan kunci pintu bilik Tuan kepada kami. Kami sebagai pekerja, ikut sahaja.” Takut-takut pembantu rumah yang bernama Amira itu menjawab.
Raymi Zikri mengerutkan dahi. Nenek dah balik? Apasal dia tak tahu pun pasal ini?
“Puan Khadijah ada kat mana sekarang?”suaranya kembali kendur.
“Dia kat ruang tamu. Tengah berbual dengan tetamu.”jawab Amira.
Tetamu? Raymi Zikri pelik. Siapa pula tetamu yang datang itu?
“Kamu berdua kemas bilik saya sekarang. Saya nak turun jumpa Puan Khadijah.” Raymi Zikri menarik nafas panjang sebelum dia mengorak langkah keluar dari pintu biliknya.
“Tuan, telefon Tuan.” Amira mengunjur telefon bimbit majikannya yang sudah pecah berderai namun lelaki itu pantas menolak.
“Buang aje kat tong sampah. Tak ada gunanya nak pakai telefon bimbit tu lagi kalau dah pecah berderai. Sim Card dalam tu bagi saya. Yang tu boleh pakai lagi.”
Cepat-cepat Amira menarik sim card yang terletak elok di tempat yang memang sudah tersedia untuk benda itu dan diberikan kepada Raymi Zikri sebelum lelaki itu turun ke bawah berjumpa Puan Khadijah.
            Sim Card itu amat penting baginya. Jika hilang, susahlah dia mahu menghubungi teman wanitanya, Salina.

Sebaik sahaja Raymi Zikri menjejakkan kaki di anak tangga terakhir, dia terdengar suara ketawa nenek dari arah ruang tamu. Raymi Zikri mencebik. Amboi, nenek. Bukan main gelak ya bila dah balik dari IJN ni. Bagus tetamu yang datang itu. Berjaya membuatkan nenek ketawa seperti dulu. Sekarang ini bukan main susah nak nampak nenek ketawa.
            Muhd Razree yang baru keluar dari tandas belakang tersentak apabila melihat batang tubuh Raymi Zikri di tangga. Raymi Zikri yang perasan membulatkan mata. Apa yang Abang Raz buat kat sini? Takkan dia datang dengan Dhia kot?
            “Kenapa abang datang sini?” Kecil mata Raymi Zikri memandang abangnya. Ikutkan hati, mahu ditumbuk sahaja muka abangnya itu sampai lebam.
            “Abang rasa tak salah kot abang datang sini. Ini rumah nenek, bermakna ini rumah abang juga.” Selamba sahaja Muhd Razree berkata begitu.
            Raymi Zikri mencebik. “Ray rasa tak ada sebab kot untuk abang datang sini kalau abang dah ada rumah kat Damansara tu. Abang kan tak suka dikongkong nenek.” Sinis sahaja jawapan yang terluah di mulutnya. Biar abangnya sakit hati dan terluka dengan kata-katanya.
            Muhd Razree tersenyum sinis. “Abang datang sini bersebab, Ray.” Dia membetulkan kolar kemejanya supaya lebih kemas. Mujur bajunya masih ada di rumah ini. Tidak payahlah dia bersusah payah mahu balik ke rumah dan menukar baju. “Abang datang sini untuk bawa Dhia tinggal dengan nenek. Dia ada kat depan tu. Tengah bersembang dengan nenek.”
            Dhia ada memberitahunya tentang syarat yang diutarakan nenek berkenaan dengan hubungan mereka di rumah Puan Suria tadi. Pada mulanya dia marah kerana Dhia tidak berbincang dengannya ketika dia berada dihospital semalam. Namun selepas dipujuk gadis itu di dalam kereta tadi, hatinya kembali sejuk. Tidak sangka Dhia benar-benar sayangkan dirinya.
Walaupun dia gembira nenek merestui hubungan mereka berdua namun jiwanya tidak tenang apabila memikirkan syarat nenek yang mahu Dhia tinggal di rumah besar ini. Dia sebenarnya tidak suka Dhia tinggal disini. Paling dia takut, Dhia akan merubah hati. Yalah, adiknya itu sayangkan Dhia. Jika setiap hari mereka bertemu dan bertembung, dia takut rasa cinta itu akan wujud dalam diri Dhia.
            Dhia ada kat sini? Raymi Zikri menelan airliur. Tiba-tiba dia rasa ingin melihat seraut wajah itu yang sedang bergelak ketawa dengan nenek. Pasti comel.
            “Dhia akan err…tinggal kat sini? Sekarang?”
            “Yup! Itu syarat nenek yang perlu Dhia ikut supaya hubungan kami direstui. Abang bagi amaran pada Ray. Jangan sesekali buat dia menangis. Abang tahu Dhia menangis disebabkan Ray, abang tak teragak-agak untuk tumbuk muka Ray. Ingat tu!”
            Suara Muhd Razree sudah berubah tegas. Apa jua yang berkaitan dengan diri Dhia, dia memang serius. Dia sudah berjanji pada dirinya untuk tidak membuat Dhia menangis. Dan dia berharap juga adiknya akan turut sama mengikut janjinya.
            Raymi Zikri terdiam. Begitu sayang sekali Abang Raz pada Dhia. Dia pula? Dia juga sayangkan Dhia tetapi gadis itu seringkali menangis apabila berada bersamanya.
            “Ray tak boleh janji pada abang sebab itu diluar kawalan Ray. Kita tak boleh agak apa yang berlaku pada masa akan datang. Okeylah, Ray nak jumpa nenek dulu.” Dengan hati yang terluka, dia melangkahkan kaki ke ruang tamu. Tidak mahu berborak dengan abangnya.
            Muhd Razree mengerutkan dahi. Pelik dengan sikap adiknya yang nampak tidak bermaya. Raut wajah itu pun tidak menampakkan yang dia teruja Dhia datang ke sini.
            Apa sebabnya ya?
            Baru sahaja dia hendak melangkah ke ruang tamu, Jamil menghentikan langkahnya. Aik, dia ni lagi? Rasanya sudah kali kedua pembantu nenek ini menghalang dia pergi. Apa lelaki ini inginkan sebenarnya dari dia?
            “Boleh saya tolong angkat beg Dhia dalam kereta Tuan?”
            Riak wajah Muhd Razree berubah serta-merta. Dia rasa ada sesuatu yang tidak kena pada lelaki ini. Bukan banyak mana pun barang Dhia dibawa ke sini. Hanya dua beg sahaja.
            “Tak apalah, Jamil. Barang Dhia tak banyak dalam kereta saya. Saya boleh angkat sendiri.”
            “Tak apalah, Tuan. Apa salahnya saya tolong Tuan. Mari, kita ambil beg Dhia sekarang.” Tanpa rasa takut, Jamil menarik tangan Muhd Razree dan membawanya keluar dari pintu belakang.
            Muhd Razree berusaha melepaskan diri dari lelaki itu namun tenaganya tidaklah sekuat mana. Jamil lebih gagah berbanding dirinya. Ketinggian Jamil melebihi ketinggiannya yang hanya 170cm sahaja.
            “Ikut ajelah. Orang nak tolong pun dah cukup baik,” kata Jamil dengan nada kasar. Terpaksalah Muhd Razree menurutnya kerana tidak mahu dipukul oleh pembantu peribadi nenek itu.
           
“Nenek…”
Suasana yang hingar-bingar tadi menjadi sunyi apabila Raymi Zikri menyapa Puan Khadijah. Tidak berkelip mata Dhia apabila melihat susuk tubuh Raymi Zikri di atas sofa yang tidak jauh dari tempatnya. Raymi Zikri langsung tidak memandang kearahnya. Dia sedikit kecewa. Adakah disebabkan mesejnya tadi membuatkan lelaki itu bertekad untuk tidak memandangnya lagi? Tertanya-tanya dia di dalam hati. Kalau benarlah itu semua, ini bermakna dia yakin Raymi Zikri sudah membuangnya jauh-jauh dari hidup lelaki itu.
            Puan Khadijah yang duduk bersama Dhia perasan gadis itu hanya mendiamkan diri sebaik sahaja Raymi Zikri mencelah perbualan mereka. Tidak seperti selalu yang suka bergurau dan menyakat apabila masing-masing bertemu.
            “Kenapa kamu berdua ni? Tak pernah nenek tengok kamu berdua senyap macam ni. Kamu bergaduh ke?” Serius sahaja nada Puan Khadijah.
            Masing-masing terdiam. Tidak tahu mahu jawab apa.
            “Tak ada apalah, nek. Dhia dan Ray okey aje.” Okey? Huh, tak ada maknanya nak okey kalau Raymi Zikri ada kat depan matanya. Lelaki itu pun macam tak suka aje dia ada kat sini.
            Puan Khadijah mengangkat kening. Tak ada apa-apa Dhia cakap? Mata tuanya boleh nampak apa yang tidak kena pada mereka berdua. Inikan pula Dhia? Pasti ada sesuatu yang tidak kena pada mereka berdua ini. Aku mesti siasat kenapa mereka jadi begini. Tekadnya dalam hati. Dia tidak boleh membiarkan mereka berdua begini. Diam dan tidak mesra seperti dulu.
            “Nenek rasa kamu berdua macam tak okey aje…” Puan Khadijah memandang Dhia yang sudah jadi tidak tentu arah.
            “Dhia nak cari Abang Raz sekejap ya, nek. Nenek berbuallah dengan Ray dulu. Nanti Dhia datang balik.” Dhia bangun dalam keadaan tergesa-gesa. Tidak selesa jika Muhd Razree tidak ada disisinya.
            Raymi Zikri kecewa. Baru hendak menatap wajah comel Dhia, gadis itu sudah melarikan diri. Ternyata cinta lebih penting dalam hidup Dhia. Dia bangun dengan muka masam. Puan Khadijah terkebil-kebil merenungnya.
            “Ray nak pergi mana ni? Nenek nak cakap sesuatu pada Ray.”
            “Ray tahu apa yang nenek nak cakapkan. Lepas ni Dhia akan tinggal disini kan?  Abang Raz dah beritahu Ray tadi. Terima kasih sebab buat Ray terluka, nek. Terima kasih banyak-banyak.” Dengan wajah masam mencuka, Raymi Zikri naik ke biliknya yang sudah kembali kemas. Dia mengambil kunci keretanya yang tergantung elok di tepi suis aircondnya sebelum dia turun semula ke bawah. Dia tidak betah duduk di rumah ini jika Dhia sudah menetap disini. Ada baiknya dia tinggal dirumah Zack buat sementara waktu.  Menghilangkan rasa kecewanya pada Dhia.
Sebaik sahaja dia turun kebawah, dia melihat Dhia sudah berada di sisi Muhd Razree di tempat yang dia duduk tadi. Rapat sehingga menimbulkan rasa cemburu dalam hatinya.
            Tak payah cemburu, Ray. Dia bukan sesiapa lagi dalam hidup kau. Dia dah buang kau kan? Jadi tak payah nak cemburu dia dengan sesiapapun. Salina lebih cantik dan lebih baik daripada Dhia. Lupakan dia. Itu yang terbaik. Bisik satu suara yang menerjah ke telinganya.     
            Ada benarnya kata itu. Dhia sudah membuangnya jauh-jauh. Apalagi yang perlu dia sedihkan? Tidak guna dia bersedih pasal Dhia lagi. Dia sudah ada Salina dan dia yakin gadis itu mampu membuatkan dia lebih bahagia berbanding dia bersama Dhia.
            “Ray, kamu nak keluar pergi mana ni? Tak nak minum petang sama-sama dengan Dhia dan Abang Raz?”soal Puan Khadijah lembut. Kata-kata Raymi Zikri kepadanya sebentar tadi tidak dipedulikan. Dia tahu Raymi Zikri tidak suka Dhia tinggal disini.
            Raymi Zikri merengus. “Ray dah tak sanggup nak duduk kat rumah ni kalau janda tu menetap kat sini. Apa yang best sangat pun Ray tak tahulah.”
            Bibir Dhia mengeletar apabila Raymi Zikri tidak menyebut namanya. Sampai hati lelaki itu memanggilnya janda. Mujur dia boleh bertahan kali ini. Jika hatinya tidak kuat, mahu ditampar sahaja mulut celupar itu! Muhd Razree yang berada disebelahnya sudah mengepal penumbuk. Dia tahu Muhd Razree tengah bengang dengan Raymi Zikri.
            “Ray, tak baik cakap macam tu. Dhia kan sahabat kamu. Terimalah dia sebagai ahli keluarga baru dalam rumah ini.” ujar Puan Khadijah.
            Raymi Zikri mencebik. Meluat hatinya mendengar kata-kata Puan Khadijah.
            “Dia sahabat Ray? Untuk pengetahuan nenek, Dhia bukan sahabat Ray lagi. Apa yang berkaitan dengan dia Ray takkan ambil tahu lagi. Cukuplah setakat ini persahabatan kami.” angkuh kata-kata Raymi Zikri.
            Puan Khadijah terperanjat. Bukan sahabat lagi? Patutlah diam aje mereka bila bertemu tadi.
            Dhia terpana. Nampaknya Puan Khadijah sudah tahu hal ini. Tidak perlulah dia bersusah payah untuk menerangkan perkara ini lagi.
            “Ray nak keluar dulu. Mungkin dalam masa beberapa hari ini Ray tak akan balik. Nenek jaga diri baik-baik. Assalamualaikum…” Itu sahaja yang dia mampu katakan saat ini. Wajah muram Dhia dijeling tajam. Biarkan Dhia kecewa dengan kata-katanya. Dia peduli apa!
            Tidak mahu terus berdiri di depan nenek, Dhia dan Abang Raz, Raymi Zikri mengorak langkah menuju keluar tanpa sedikit pun memandang mereka bertiga.
            Puan Khadijah melepaskan keluhan setelah menjawab salam daripada Raymi Zikri. Dia faham cucu bongsunya itu pasti sedang terluka dengan Dhia kerana hubungan yang selama enam tahun ini putus begitu sahaja.
            “Nenek, Abang Raz…Dhia nak jumpa Ray sekejap!” Dhia bangun dan tergesa-gesa keluar dari rumah itu. Dia perlu berjumpa Raymi Zikri.
            Kedua-duanya terpinga-pinga melihat keadaan Dhia. Muhd Razree sudah bangun untuk mengejar Dhia tetapi pantas ditahan Puan Khadijah.
            “Biarkan mereka, Raz…”
            Muhd Razree mengeluh. Dia risaukan Raymi Zikri akan membuatkan Dhia menangis lagi. Itu yang membimbangkannya. Jika tiada nenek disini, sudah pasti dia akan turut bersama-sama Dhia berjumpa adiknya.
            Diluar rumah, Dhia tercari-cari kelibat Raymi Zikri. Harap-harap lelaki itu tidak masuk dalam kereta lagi.
            “Ray!”
            Raymi Zikri tersentak. Dia baru hendak menutup kereta, namanya dipanggil. Itu pasti Dhia. tekanya. Dia pulas kunci kereta dan terus menghidupkan enjin. Dia tidak boleh membiarkan gadis itu mendekatinya.
            “Ray, please open the door!” Dhia mengetuk pintu kereta Raymi Zikri berulang kali. Berharap lelaki itu tidak bergerak keluar dari rumah ini.
            Raymi Zikri merengus kasar. Tidak suka apabila cermin keretanya diketuk sebegitu. Dia menjeling tajam kearah Dhia sebelum dia menurunkan cermin keretanya. Cermin mata Ray Ban berwarna hitam dipakai agar dia menunjukkan perasaan sedihnya kepada Dhia.
            “Do I know you, miss widow?” Raymi Zikri berkata angkuh.
            Dhia menjengilkan mata. “Kau panggil aku miss widow? Aku baru nak tarik balik kata-kata dalam mesej yang aku bagi pada kau tengah hari tadi, kau panggil aku macam tu? Tak boleh ke kau panggil aku dengan cara baik, Ray?”
            Raymi Zikri tidak peduli. Apa yang dikatakan Dhia sedikit pun tidak menghalang niatnya untuk terus menyakitkan hati gadis itu.
            “Like I care. Daa…” Raymi Zikri tersenyum sinis pada Dhia sebelum dia menutup cermin keretanya. Dia berundur keretanya ke belakang dan terus meninggalkan rumah.

            “I hate you, Ray. Really hate you!!” jerit Dhia sekuat hati.

Jumaat, 24 Oktober 2014

BAB 10 (TAJUK? BIARLAH RAHSIA)




Pagi yang tenang dan mendamaikan, atas kebenaran Puan Khadijah, Dhia akhirnya dibenarkan berjumpa dengan ibunya. Memang dia gembira apabila diberi kebenaran daripada Puan Khadijah namun hatinya tidak tenteram apabila memikirkan kata-kata wanita itu semalam.
            Dhia pilih antara dua. Duduk bersama nenek dan berkahwin dengan Raz atau duduk semula di rumah ibu kamu tanpa berjumpa dengan Raz lagi.
            Fuh, memang dahsyat pilihan yang Puan Khadijah berikan padanya. Tetapi apabila difikirkan semula, dia sangat sayangkan Muhd Razree dan dia yakin lelaki itu mampu menjadi pelindungnya selepas mereka berkahwin nanti. Tapi bagaimana pula dengan ibu? Argh, susahnya nak buat keputusan.jeritnya dalam hati.
            “Dhia tak payah naik teksi. Naik aje kereta nenek. Nanti Jamil akan hantar kamu ke sana. Senang sikit nenek dapat jawapan dari kamu.”
            Amboi, Puan Khadijah dah tak sabar-sabar nak tahu keputusan dari mulutnya. Makin lemah dia dibuatnya. Kalaulah Abang Raz yang hantar dia, dapatlah mereka berbincang berdua. Ini tidak, Puan Khadijah arahkan dia pergi bersama Jamil. Memang tak best langsung!
            “Hmm…kalau macam tu Dhia pergi dululah. Jamil, kita pergi rumah Puan Khadijah dulu ya. Bagasi saya tinggal kat sana.” Mendatar sahaja suaranya apabila memandang Jamil yang sedang berdiri tegak di belakangnya. Nampaknya pagi yang tenang ini tidak setenang yang dia impikan.
            “Bagasi Cik Dhia saya sudah masukkan ke dalam bonet kereta semalam. Kita pergi sekarang ya.” Jamil membuka pintu wad untuk Dhia.
            Dhia hanya mampu mengelengkan kepala. Dedikasi betul pembantu peribadi Puan Khadijah ini. Macam tahu-tahu sahaja yang dia akan balik rumah hari ini.
            Dengan langkah terpaksa, dia akhirnya mengikut Jamil. Muka Puan Khadijah langsung tidak dipandang. Nak bersalam apatah lagi. Mungkin ini yang dia mampu buat untuk meluahkan rasa kecewanya terhadap wanita itu.
            Puan Khadijah hanya mengangkat bahu apabila melihat reaksi yang ditonjolkan Dhia keatasnya. Dia mengerti mengapa Dhia berbuat sebegitu. Walaupun hati tuanya sedikit kecewa dengan perlakuan Dhia namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengambil Dhia tinggal bersamanya.
            “Puan, saya pergi dulu.”
Jamil tunduk hormat dihadapan Puan Khadijah sebelum dia membukakan pintu belakang kereta majikannya untuk Dhia setelah mereka tiba di parking lot yang menempatkan kereta mewah itu.
Dengan senyuman terpaksa, Dhia masuk juga ke dalam kereta itu.
            Jika gadis lain suka apabila lelaki membukakan pintu buat mereka, dia tidak. Dia lebih suka tangannya sendiri yang membuka pintu tersebut. Selagi tangannya boleh membuka pintu kereta, selagi itulah dia akan membuat pintu untuk diri sendiri. Dia bukan mem besar seperti Puan Khadijah untuk masuk ke dalam kereta dengan pertolongan orang lain.
            Duduk di dalam kereta mewah milik Puan Khadijah membuatkan Dhia benar-benar tidak selesa. Ini kali kedua dia menaiki kereta mewah seperti ini selepas Raymi Zikri. Argh, Dhia. Janganlah sebut nama lelaki itu lagi pada waktu tengah tertekan begini. Lagi banyak dia fikirkan pasal dia, lagi banyak tekanan yang dia akan dapat.
            Hari ini no more nama Raymi Zikri di dalam fikiran kau. Ada baiknya kau fikirkan cara bagaimana mahu mendapatkan persetujuan daripada ibu kau sendiri. Dhia mengumpul tekad.
            Tetapi takdir Allah, lelaki bercermin mata hitam yang segak bergaya tiba-tiba masuk ke dalam kereta Puan Khadijah dan duduk di tempat pemandu dengan selambanya. Dhia terpana.
            Raymi Zikri? Jamil yang baru tutup pintu kereta ni pergi mana pula? Dhia jadi tidak tentu arah.
            Emosinya tidak dapat dikawal lagi. Rasa marah yang baru sahaja hendak terpadam sebelum dia keluar dari hospital ini tiba-tiba muncul kembali. Apalagi, terus dihamburkan rasa marahnya itu kepada Raymi Zikri. Sempat lagi dia menarik rambut Raymi Zikri dari belakang. Terjerit Raymi Zikri dibuatnya.
            “Apa kau buat dalam kereta ini, Ray? Siapa suruh kau masuk dalam kereta ni? Kereta Audi kau yang kau sanjung sangat tu kau letak mana?” Bertalu-talu soalan yang terkeluar dari mulut Dhia. Rambut Raymi Zikri tidak dilepaskan sebaliknya ditarik dengan sekuat hati.
            Sejak Raymi Zikri berkata sikap dan penampilan teman wanitanya lebih bagus dan menarik berbanding dirinya, dia terus bertekad untuk tidak terlalu rapat dengan lelaki itu lagi.
            “Aku nak hantar kau pergi rumah Mak Cik Suria. Hari ini aku ambil alih tugas Jamil untuk hantar kau. Jadi kau jangan banyak songeh.” Selamba sahaja Raymi Zikri menjawab sambal tangannya menolak tangan Dhia sehingga gadis itu tersandar di bangku kereta.
            Kunci kereta Audinya sudah diserahkan kepada Jamil sebelum dia masuk ke dalam kereta mewah ini. Mana tahu nenek pulang ke rumah hari ini.
            Dhia terkedu. Ray nak hantar aku pergi rumah ibu? No way, bro!!
“Aku tak nak pergi dengan kau. Aku nak pergi dengan Jamil!!” Dhia mula menjerit bagai cacing kepanasan.
“Jangan harap. Aku dah arahkan Jamil temankan nenek sementara kau pergi ke rumah Mak Cik Suria. Jadi nak tak nak kau kena ikut juga.” Raymi Zikri sudah memakai seat belt. Enjin sudah dihidupkan.
“Aku benci kau, Ray. Aku benci kau!!” jerit Dhia lagi.
“Kau bencilah aku sampai tahap Gunung Everest pun. Aku tak kesah dan aku tak ambil peduli langsung! Tapi aku nak kau tahu yang aku tetap sayangkan kau sampai bila-bila pun!” Raymi Zikri terus meninggalkan IJN.
Dhia mati kata. Sayang? Dadanya jadi tidak tentu arah. Ya Allah, mengapa perkataan ‘sayang’ yang diucapkan Raymi Zikri lebih menikam kalbu berbanding Muhd Razree?
            Dhia, hubungan kau dengan Abang Raz baru bermula. Kau jangan buat hal. Satu suara berbisik ditelinganya. Menahan dia daripada jatuh cinta kepada Raymi Zikri.
            Ya tak ya juga. Apabila difikirkan semula, Raymi Zikri memang sayangkan semua orang yang berada disekelilingnya, termasuk dirinya. Jadi Dhia…jangan mudah jatuh cinta ya!
            “Pergi matilah dengan sayang kau tu. Sikit pun aku tak hairan.” Dhia membalas keras kata-kata Raymi Zikri.
            Turun naik nafas Raymi Zikri dibuatnya. Berani betul Dhia berkata begitu terhadapnya. Aku sayangkan dia bagai nak rak, dia boleh jawab macam itu pula. Dasar sahabat tak mengenang budi. Baik aku tak payah cakap tadi. Huh! Raymi Zikri merengus.
            “Kita pergi sekarang.Tolong jangan cakap sepatah perkataan pun dengan aku sekarang ini.Aku tak nak dengar apa-apa dari mulut kau.” kata Raymi Zikri. Tegang sahaja nada suaranya. Dhia dibelakang terdiam. Nampaknya dia tengah marah! Dia tahu jika Raymi Zikri tidak menjawab kata-katanya, ini bermakna lelaki itu sedang marah.
Terpaksalah mulutnya ditutup rapat buat seketika.


“Ibu!!”
Dhia pantas memeluk erat tubuh Puan Suria tatkala pintu rumah dibuka. Rindu sungguh dia pada ibu kandungnya itu.
Raymi Zikri yang berdiri dibelakangnya hanya tersenyum nipis. Meskipun dia terasa hati dengan sikap Dhia, tetapi jauh di sudut hatinya dia kagum dengan sikap sayang yang mengalir didalam tubuh gadis itu. Beruntung Dhia masih mempunyai ibu yang mampu dipeluk dan dimanja. Sedangkan dia? Kedua-dua ibu dan bapanya telah meninggal dunia.
Puan Suria hanya mengeraskan badan. Tiada semangat untuk membalas pelukan anaknya itu. Dhia berasa pelik. Kenapa dengan ibu pula ini? Tak suka dia balik ke?
Dhia merenggangkan pelukan dan memegang kemas kedua-dua bahu ibunya. “Ibu kenapa macam tak suka aje Dhia balik? Dhia ada buat salah ke?”
“Tak adalah.”perlahan suara Puan Suria menjawab sebelum dia memandang Raymi Zikri yang berdiri di belakang Dhia. “Eh, Ray. Lama Mak Cik tak jumpa kamu. Makin bertambah segak Mak Cik tengok.”
Dhia kecewa. Lain yang ditanya, lain yang ibu cakap. Jelingan tajam diberikan pada Raymi Zikri. Sukalah itu bila orang puji dia hensem. cebiknya dalam diam.
Raymi Zikri tersenyum simpul. Suka benar apabila orang memuji dirinya hensem dan kacak. “Tak adalah Mak Cik. Biasa-biasa aje.” Walhal dalam hati memang nak cakap ‘Saya memang hensem pun Mak Cik.’
“Beruntung siapa yang jadi isteri kamu nanti. Dahlah kaya, hensem. Baik pula tu. Tak macam Dhia tu. Dah tahu tak banyak duit, sempat lagi pergi bercuti. Kalau banyak duit tak apa juga.”sempat Puan Suria menyindir anaknya berada disebelahnya.
Berkerut dahi Dhia mendengar sindiran ibunya. Aik, sejak bila ibu berubah sikap ini? Dulu tak macam ini. Cakap dengan dia pun macam acuh tak acuh aje. Pasti ada yang tidak kena masa aku tak ada kat rumah ni. getusnya dalam hati.
“Sampai hati ibu cakap macam itu pada Dhia. Tak nak kawan ibu.” rengek Dhia. Dia tidak suka orang mengkritik dirinya. Dia cepat sedih.
“Dahlah, Dhia nak masuk dulu. Ray, nanti kau letak bagasi aku tu kat tepi pintu. Nanti aku ambil.” Mendatar sahaja nada suaranya.
“Jangan masuk selagi ibu tak benarkan, Dhia.”Tegas Puan Suria. Kaki Dhia terhenti di muka pintu. Raymi Zikri sudah mengerutkan dahi. Lain benar sikap Puan Suria pada hari ini. Tidak seperti setahun yang lepas. Wanita berusia lima puluh tahun ini lebih ceria dan lemah-lembut orangnya.
“Kenapa Dhia tak boleh masuk ibu? Ini kan rumah Dhia juga.”
“Ibu cakap, jangan-janganlah.”marah Puan Suria. Terkedu Dhia dan Raymi Zikri disitu.
Dhia menghampiri ibunya. “Ini rumah Dhia juga kan? Rasanya tak salah kot kalau Dhia masuk rumah ini.”
“Mulai sekarang, ibu takkan benarkan kamu tinggal di rumah ini lagi.”
“Ibu! Apa yang ibu cakapkan ini? Ibu dah tak sayangkan Dhia lagi ke?” Terkejut. Dia memang terkejut bila ibu cakap begitu dengannya. Ibu betul-betul dah berubah! Bukan berubah sikit, berubah banyak!
“Ibu sayangkan kamu. Tapi ibu rasa dah tiba masanya kamu berfikir tentang masa depan kamu.”
“Masa depan apa ni, ibu? Dhia tak fahamlah.”
“Ibu tahu kamu bercinta dengan Razree kan? Puan Khadijah yang beritahu ibu semalam. Kalau kamu sukakan dia, ikut sahaja syarat Puan Khadijah. Tinggal dengan dia. Ibu yakin selepas ini pasti hubungan kamu berdua akan lebih bahagia dengan restunya.”
Dhia bertambah terkejut. Patutlah ibu berubah sikap. Sebab Puan Khadijah rupanya. Wanita berusia itu memang sukar dijangka! Baru dia hendak berbincang dengan ibunya pasal perkara ini, Puan Khadijah sudah memberitahu ibunya awal-awal lagi.
            “Apa yang Mak Cik cakapkan ni? Ray tak tahu apa-apa pun pasal ni.” Wajah Raymi Zikri sudah bertukar keruh. Tajam matanya memandang Dhia yang sedang menunduk. Dhia tinggal dengannya? Oh, tidak!!
            “Puan Khadijah tak cakap dengan kamu, Ray? Mak Cik ingat kamu dah tahu pasal ni.”
            “Memang saya tak tahu, Mak Cik. Saya hanya tahu Dhia ada hubungan dengan Abang Raz sahaja.”
“Dhia, ada baiknya kamu terangkan pada Ray apa sebenarnya dah berlaku. Ibu nak masuk dulu. Nak masak untuk tengah hari nanti.” Puan Suria tidak mengajak Dhia dan Raymi Zikri masuk ke rumahnya sebaliknya membiarkan sahaja mereka berdua diluar. Dia baru sahaja membersihkan lantai di bahagian ruang tamu. Masih basah lagi. Kalau mereka berdua masuk, tidak pasal-pasal jatuh tergelincir.
Setelah Puan Suria masuk ke rumah. Dhia mengajak Raymi Zikri duduk dibuaian yang berhampiran dengan pokok belimbing kesukaan ibunya. Malangnya lelaki itu kaku sahaja di tempat yang sama dia berdiri.
“Aku harap kau tak setuju dengan syarat nenek untuk tinggal bersama-sama. Sekali kau setuju, putus persahabatan kita!” Kali ini Raymi Zikri benar-benar serius dengan apa yang dikatakan.
Dhia tergamam. Putus sahabat? Dhia telan airliur. Memang dia benci pada Raymi Zikri tetapi dia masih menganggap lelaki itu sebagai sahabat dunia akhiratnya. Habis bagaimana dengan syarat Puan Khadijah pula? Takkan dia mahu melepaskan Abang Raz begitu sahaja? Dia sayangkan lelaki itu.
“Ray, jangan buat aku macam ni. Aku sayangkan Abang Raz.”pintanya bersama airmata yang berlinangan.
“Kau sayang ke kau cintakan dia ke, itu aku tak peduli. Apa yang aku tahu, sekali kau setuju dengan syarat nenek…no more relationship between us! Ever!” Raymi Zikri menghampiri kereta Mercedes hitam berkilat itu dan membuka bonet belakang kereta mewah itu. Diambil bagasi Dhia yang sederhana besar itu dan diletakkan ditepi Dhia sebelum dia masuk ke dalam kereta dan meninggalkan Dhia keseorangan disitu tanpa mengucapkan selamat tinggal.
Dhia duduk melutut diatas jubin selepas melihat Raymi Zikri meninggalkan dirinya. Fikirannya buntu. Mana satu yang dia harus pilih saat ini? Persahabatan atau cinta?
 “Ya Allah, Dhia! Kenapa ni sayang?”
Kening Dhia bercantum. Lantas, dia mengangkat wajah. Abang Raz? Dhia terkejut. Tidak sampai sesaat dia bangun. Airmata yang deras mengalir tadi pantas diseka dengan tapak tangan belakang. Tidak mahu lelaki itu melihatnyya dalam keadaan sedih.
“Abang buat apa kat sini? Bila abang sampai? Dhia tak perasan pun.”
“Apa yang Ray buat sampai sayang abang ni menangis? Dia tu memang nak kena dengan abang tau,” dengus Muhd Razree. Pantang betul apabila orang yang disayangi menangis tanpa pengetahuannya.
“Tak payahlah abang sebut pasal dia. Dhia tanya abang ni. Apa abang buat kat rumah ibu Dhia? Rasanya Dhia tak bagi tahu abang pun yang Dhia balik hari ini kat rumah ibu.”
“Abang ekori Dhia dari IJN tadi. Semalam abang tak balik rumah pun. Abang tidur kat dalam kereta. Ni pun abang tak mandi lagi.”ujarnya selamba sambil menunjukkan baju kemeja yang dipakai dari semalam.
Dhia melongo. Tidak sangka Muhd Razree sanggup mengekori dirinya sampai terlupa untuk mandi! “Abang ni biar betul? Patutlah bau masam semacam aje. Hesy!” Dhia buat-buat tutup hidung.
Tergelak besar Muhd Razree disitu. Hilang rasa marahnya pada Raymi Zikri kerana membuat Dhia menangis.
Telapak tangannya pantas menyentuh muka Dhia yang agak kemerah-merahan. Gadis itu sedikit mengelak. Tidak biasa disentuh oleh lelaki yang bukan mahramnya.
“Maafkan, abang. Abang sebenarnya bukan nak menyentuh muka Dhia tapi abang nak lap airmata Dhia. Sayang tahu kan abang tak suka airmata Dhia mengalir selepas hubungan kita bermula?”
Hati Dhia tersentuh. Betapa sayangnya lelaki itu terhadap dirinya. Dhia bernekad. Biarlah persahabatannya terputus asalkan Muhd Razree ada disampingnya.
“Dhia sayangkan abang. Terima kasih kerana hadir dalam hidup Dhia.”
“Sama-sama,sayang. Dan Dhia jangan lupa, terima kasih juga pada Allah SWT kerana mempertemukan kita. Tanpa Allah SWT, kita takkan bercinta dan tanpa Allah SWT juga kita takkan dapat berdepan seperti sekarang ini.”
Dhia mengangguk laju. Benar, tanpa Allah SWT dia tidak akan bertemu Muhd Razree.

Terima kasih, Allah!

Rabu, 22 Oktober 2014

BAB 9 (TAJUK?BIARLAH RAHSIA)


Rina duduk termenung di atas sofa menunggu Imran pulang ke rumah. Azan isyak sudah hampir berkumandang. Dia sudah biasa menunaikan solat berjemaah bersama Imran. Apabila suaminya tiada pada waktu-waktu begini, dia rasa sunyi sangat. Sudahlah mereka tinggal berdua sahaja.
Perutnya yang kian membesar disentuh dengan rasa sayang yang membara. Alhamdulilah, berkat doa ibu bapanya yang berada dikampung, dia berjaya menghadiahkan zuriat buat Imran pada bulan pertama pernikahan mereka. Sungguh pun mereka berkahwin tanpa rasa cinta tetapi selepas tiga bulan pernikahan mereka, Imran mula meluahkan rasa cinta kepadanya. Dia bahagia.
Bunyi hon kereta dari luar perkarangan rumah memeranjatkan Rita. Haa, itu mungkin Imran. Dia bangun dan membuka pintu pagar yang sejak pagi tadi terkunci. Sejak dia menjadi suri rumah sepenuh masa, tidak sekali pun dia keluar dari rumah keseorangan. Imran akan temankan dirinya membeli barang-barang mentah untuk dia masak setiap hari.
“Abang asyik balik lambat aje. Banyak kerja kat ofis ke?” tanya Rita setelah Imran menutup pintu kereta. Dia mendekati suaminya yang nampak lemah sahaja.
Imran menggelengkan kepala. “Taklah. Abang tertidur kat dalam ofis tadi. Itu yang balik lambat ni.”jawabnya bersama keluhan berat. Termasuk hari ini sudah tiga kali dia menipu isterinya. Dia bukan tidur di ofis sebenarnya. Dia pergi ke rumah bekas ibu mertuanya, mahu melihat kehidupan Dhia selepas bergelar janda.
Ternyata kehidupan Dhia selepas bercerai dengannya lebih bahagia jika dibandingkan ketika mereka bersama dahulu. Raut wajah gadis itu makin berseri-seri dan lebih banyak tersenyum.
Paling mengejutkannya, abang kandung Raymi Zikri ada di rumah bekas ibu mertuanya . Bermacam-macam rasa yang terlintas di fikirannya sejak dia melihat lelaki itu disitu. Mahu sahaja dia bertemu Dhia dan bertanya apa sebenarnya hubungan mereka berdua. Memang dia cemburu apabila melihat kemesraan yang terjalin diantara mereka namun siapalah dia untuk bersikap begitu. Dia hanya bekas suami kepada Dhia sahaja. Tidak lebih daripada itu.
Beberapa minit selepas itu, azan berkumandang menandakan waktu isyak telah masuk. Rita bersyukur. Dapatlah dia solat berjemaah bersama-sama suaminya. Tak adalah dia solat bersendirian malam ini. Alhamdulilah…
            “Abang pergi bersihkan diri dulu ya, nanti kita sembahyang sama-sama.” Ucapnya sambil tersenyum. Dia naik ke atas membimbit beg kerja suaminya.
Imran berdiri di depan pintu utama rumah bersama keluhan berat. Rita begitu baik terhadapnya tetapi kenapa sampai sekarang rasa cinta buat isterinya itu tidak kuat seperti cintanya terhadap Dhia?
Ya Allah…timbulkanlah rasa cinta yang melimpah-ruah buat isteriku. Jauhkanlah nama Dhia dari ingatanku.doanya dalam hati.

Dhia jadi tidak senang duduk apabila mendapat pesanan daripada Jamil bahawa Puan Khadijah mahu dia menemaninya sepanjang malam di wad itu. Pelbagai alasan diberikan kepada pembantu peribadi wanita berusia itu namun kesemua alasan tersebut tidak dipedulikan. Raymi Zikri yang membawanya ke IJN sudah pulang ke rumah setengah jam selepas mereka sampai disini. Huh, Mamat moody tu! Dahlah main rampas aje telefon orang lepas tu tengok nenek sendiri pun sekejap-sekejap aje. Cucu apalah dia ni.
            Petang tadi dia sudah luahkan kepada Puan Khadijah untuk menjalinkan hubungan dengan Muhd Razree dengan lebih rapat tetapi jawapan yang diterimanya sangat menghampakan hati. Bila ditanya kenapa, Puan Khadijah terus mengelengkan kepala. Katanya buat masa ini kesihatannya tidak begitu memuaskan. Dia tidak dapat berfikir apa-apa ketika ini.
            Terpaksalah dia menerimanya walaupun dalam hati dia memberontak sekeras-kerasnya. Bukankah doktor yang merawat Puan Khadijah tadi memberitahu kesihatan wanita itu berada di tahap yang baik? Kenapa pula tiba-tiba Puan Khadijah boleh kata kesihatannya tidak memuaskan hati?
Muhd Razree yang duduk disebelahnya sudah bangun meminta diri. Dia jadi tidaksenang duduk. “Abang balik siapa nak temankan Dhia kat sini? Dhia tak biasalah duduk sorang-sorang. Abang temankan Dhia ya? Dhia janji Dhia akan pujuk nenek sampai nenek kata setuju.” Bisiknya. Dia tidak mahu Jamil mendengar perbualan mereka. Lelaki bertubuh gagah itu rapat dengan Puan Khadijah. Apa-apa yang berkaitan dengan Puan Khadijah, Jamil pasti akan mengetahuinya terlebih dulu.
            Tidak jauh dari mereka, Jamil bermain mata dengan Muhd Razree yang seakan leka dengan bisikan Dhia. Muhd Razree menundukkan wajah. Tanda akur walaupun hanya dengan lirikan mata sahaja. Dia tahu Jamil mahu dia meninggalkan hospital ini secepat yang mungkin.
            “Abang terpaksa minta diri dulu, Dhia. Banyak kerja yang perlu abang selesaikan esok. Dhia jaga diri ya. Insyallah abang akan telefon Dhia.”ucapnya perlahan sebelum dia membisikkan sesuatu di telinga Dhia. Terkaku Dhia disitu.
            “Pastikan nenek setuju tau! Abang dah tak sabar nak kahwin dengan Dhia ni. Chaiyok, chaiyok!” Sedikit semangat diberikan kepada Dhia. Berharap dengan kata-kata yang terbit dari mulutnya, Dhia akan mendapat sedikit kekuatan dan keberanian untuk menyakinkan nenek tentang hubungan mereka yang baru bermula ini.
            Dhia mengangguk laju sambil kedua-dua tangannya digenggam kemas. Dengan semangat yang diberikan Muhd Razree dan doanya tidak putus-putus kepada Allah S.W.T, dia yakin dia mampu menyakinkan Puan Khadijah pada malam ini.
            Dhia… chaiyok, chaiyok!
            Dhia memandang langkah Muhd Razree dengan semangat yang berkobar-kobar sebelum dia masuk semula ke dalam wad yang menempatkan Puan Khadijah. Nampaknya Puan Khadijah tidak tidur lagi. Baguslah tu! Dapatlah dia berbual dengan wanita berusia ini.
            “Amboi, lekanya nenek menulis. Tulis apa tu? Boleh kongsi dengan Dhia?” Dhia duduk di sebelah Puan Khadijah yang sedang leka mencatat sesuatu diatas kertas putih.  Serius benar riak wajah Puan Khadijah tetapi itu tak ada hal baginya. Serius ke tak serius ke dia tetap akan luahkan isi hatinya.
            Puan Khadijah menyerahkan kertas itu kepada Dhia. Dhia hanya menerimanya tanpa berkata apa-apa.
            “Bacalah. Nenek yakin Dhia pasti suka dengan ayat yang nenek tulis ni.” Dalam lembutnya kata-kata Puan Khadijah, terselit ayat sinis yang ditujukan khas buat gadis itu.
            Perlukan restu nenek untuk berkahwin dengan Raz?
            Boleh. Syaratnya, tinggal dengan nenek!
            Mana dia tahu aku ada hubungan dengan Abang Raz ni? Dhia menelan air liur. Ini mesti ada orang yang maklumkan pada Puan Khadijah. Pandai betul dia meneka apa yang terkandung di dalam hatinya.
Tinggal dengan Puan Khadijah sebagai syarat supaya hubungan mereka direstui? Permintaan itulah yang dia paling tidak suka dengar dari mulut wanita itu. Masa kat makhamah hari itu, dia diminta  tinggal bersama-sama. Bila nak kahwin pun, kena juga? Alahai, bencinya dia dengan permintaan sebegini. Tapi nak buat macam mana kan? Dia sendiri yang bersemangat nak kahwin dengan Muhd Razree jadi terpaksalah dia ikutkan sahaja permintaan Puan Khadijah.
            “Mana nenek tahu semua Dhia ada hubungan dengan Abang Raz? Rasanya kali terakhir kita berjumpa di makhamah. Baru hari ini kita dapat bertemu semula.” Jika dia jumpa orang yang memberitahu Puan Khadijah pasal hal ini, akan dicekik-cekik lehernya sampai tak boleh bercakap lagi! Baru puas hatinya.
            “Ray yang maklumkan pada nenek tadi.” Bohongnya. Padahal dia awal-awal lagi sudah tahu Dhia dan Muhd Razree ada hubungan istimewa. Sengaja nama Raymi Zikri dikaitkan dalam hal ini. Bukan apa, dia melihat hubungan mereka berdua tidak seperti enam tahun dahulu. Bila bertemu sahaja pasti bergaduh. Inilah masanya untuk menjernihkan semua hubungan mereka.
            Ray? Dhia membulatkan mata. Tahulah apa dia akan buat pada lelaki itu nanti.
            “Jadi Dhia setuju tak tinggal dengan nenek? Peluang bukan datang banyak kali.” Puan Khadijah melelapkan mata. Selimutnya sudah ditarik hingga ke paras dada. Dalam diam dia tersenyum. Harap Dhia setujulah untuk tinggal bersamanya. Dapatlah dia merasa pengalaman dijaga oleh cucu perempuan. Tidak seperti Muhd Razree dan Raymi Zikri. Masing-masing sibuk dengan hal lain.
Dhia diam. Otaknya cuba mencerna apa yang Puan Khadijah katakan padanya. Tinggal bersama-sama dengan Puan Khadijah bukan perkara mudah. Wanita itu terlalu cerewet dan suka merajuk. Tambahan pula apabila lelaki yang suka menyakitkan hati seperti Raymi Zikri boleh buat jiwa dan emosinya jadi tdak stabil jika tinggal bersama.
Apa yang dia perlu jawab ni? Ya atau tidak?
Jika dia setuju bermakna peluangnya lebih cerah untuk berkahwin dengan Muhd Razree. Jika sebaliknya? Hmm…makin sukarlah peluangnya untuk berdampingan dengan lelaki itu.
“Dhia rasa ada baiknya Dhia berbincang dengan ibu Dhia dulu. Apa-apa yang berkaitan dengan Dhia…Dhia akan rujuk pada ibu dulu.” Itulah jawapan terbaik dan selamat untuk dia malam ini. Dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Biarlah keputusan yang diterimanya memberikan sedikit kesenangan dalam hatinya.
“Okey tapi nenek mengharapkan keputusan yang Dhia buat itu akan membahagiakan diri nenek. Nenek dah tua, kematian bukannya boleh ditunggu-tunggu. Nenek harap sangat orang yang nenek sayang sudi jaga nenek. Nak harapkan kedua-dua cucu nenek tu jaga nenek, jangan haraplah. Si Ray tu harapkan duduk dengan nenek tapi suka sangat merayap sampai lewat malam baru balik. Si Raz tu pula, tinggal kat tempat lain. Bila nenek suruh balik macam-macam alasan yang dia bagi.”
Ala, dia dah buat muka simpatilah pula. Adoyai, susahnya nak buat keputusan! Dhia mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Nenek rehatlah dulu. Dah lewat sangat ni. Kalau nenek nak pergi tandas, nenek bagi tahu Dhia. Dhia akan bawa nenek.”
“Habis tu Dhia nak tidur mana?”
“Dhia tidur kat atas sofa tu aje. Nenek tidur ya. Dhia jaga nenek.” Dhia membetulkan selimut Puan Khadijah.
Puan Khadijah terharu. Ada juga anak muda seperti Dhia yang sudi menjaganya di wad ini walaupun dia tahu gadis ini teringin sangat hendak pulang ke rumah bertemu ibu kandungnya. Apa pun dia yakin, memang Dhia calon yang terbaik untuk menjadi cucunya.
Harapannya agar Dhia dapat berada disampingnya selepas ini. Amin…
Matanya terkelip-kelip merenung persekitaran di dalam wad ini. Cahaya yang sedikit suram di disini membuatkan matanya yang segar-bugar tadi sudah mula mengecil. Mungkin ini masanya untuk  dia berehat. Biarpun hanya ada sebiji bantal di atas sofa kecil ini, dia tidak kesah. Janji dia dapat tidur dengan lena tanpa ada gangguan.
            Sebelum matanya tertutup rapat, dia sempat memandang gaya tidur Puan Khadijah. Boleh tahan lasak juga dia tidur. Mujur Puan Khadijah tidak mengalami masalah dengkur. Dapatlah dia tidur dengan tenang.
            “Hmm…” Tanpa beralaskan bantal di kepalanya, dia memeluk erat bantal kecil berbentuk empat segi di atas sofa ini. Matanya dilelapkan.
            Tok, tok, tok! Dhia membesarkan mata. Hai, orang baru nak tidur dah ada orang kacau? Siapalah pula yang kacau malam-malam buat ni? Dhia mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Hesy, mengada-ngada betullah orang yang datang lewat malam macam ini. Tak boleh ke datang pagi esok? Orang nak tidur barulah dia nak datang.
            Dhia bangun dengan langkah longlai. Sememangnya tangan dia malas mahu berbuat apa-apa pada lewat malam seperti ini.
            “Hmm…”Suaranya memang sudah tersedia ‘layu’. Ikhlas tak ikhlas aje dia nak buka pintu. “Siapa?” Pintu dibuka dengan nada hambar. Malas mahu melayan orang dengan layanan istimewa pada lewat malam ini. Biarkan orang itu tahu yang dia tidak ikhlas mahu membenarkan orang masuk ke dalam wad ini.
            “Aik, ketuk pintu tapi tak ada orang pun. Pelik…” Dhia mengerutkan dahi. Dia perhatikan beberapa orang jururawat yang lalu-lalang di depan wad ini. Memang tak ada orang pun. Huh, buang masa aje dia buka pintu ini tapi orangnya tak ada.
            Dhia kembali menutup pintu tetapi ternyata ada orang yang menghalang pintu tersebut dari tertutup. Hanya tangan sahaja yang dia nampak. Tangan itu nampak gagah dan berotot. Keseluruhan tubuh badan orang yang mengetuk pintu itu langsung tidak kelihatan. Dhia jadi gelisah. Siapa pula ni?
            “Kau siapa? Apa hal datang sini?” Dhia membelakang pintu. Takut.
            “Aku Ray lah…” Tersembul wajah Raymi Zikri di tepi pintu.
            “Kau Ray?! Kurang ajar kau. Berani kau main sorok-sorok dengan aku malam ni ya.” Dicubit-cubit tangan Raymi Zikri sekuat hatinya sehingga wajah lelaki itu merah padam. Biar pada muka dia!
            Raymi Zikri menarik tangannya sekuat hati lalu dia pantas menangkap lengan Dhia dan cepat-cepat dia membawa gadis itu keluar dari wad nenek.. Pintu yang sedia terbuka tadi terus ditutup rapat. Dhia jadi tidak keruan.
            “Baik kau diam sebelum aku buat lebih teruk dari tadi. Aku tak main-main.” Serius sahaja wajahnya.
            Dhia kemam bibir. Betul betul bila orang cakap macam itu. Tambah-tambah lagi mamat yang dua puluh empat jam asyik serius aje bila bercakap dengan dia.
            Bertahan Dhia. Ini bukan masanya nak bertengkar. Waktu ini hanya sesuai untuk melelapkan mata. Kalau bertengkar nanti, tak pasal-pasal huru-hara hospital ini! Dicuba sabarkan hatinya walaupun tangannya ringan sahaja mahu meluku kepala Raymi Zikri.
            “Kau nak apa jumpa aku? Tadi bukan main monyok lagi. Kalau kau datang sini semata-mata nak teruskan pertengkaran, baik aku masuk dalam wad balik dan tidur.” Sempat lagi dia menyindir Raymi Zikri. Baru buku bertemu ruas!
            Raymi Zikri mengeluh perlahan. “Aku datang sini bukan nak bergaduh dengan kau, Dhia. Aku datang sini nak maklumkan kau tentang sesuatu.”
            “Penting sangat ke sampai tak boleh cakap esok?” Dhia langsung tidak memandang wajah Raymi Zikri. Ada baiknya dia memandang dinding yang berwarna putih di dalam bilik ini daripada memandang Raymi Zikri yang suka sangat bertekak dengannya. Lagi senang hatinya.
            “Mungkin perkara ini tak penting bagi kau tapi aku nak kau orang pertama yang tahu pasal ini.” Raymi Zikri melembutkan suaranya.
            Dhia mengerutkan dahi. “Pasal apa?” Akhirnya dia terpaksa memalingkan wajah mengadap Raymi Zikri. Dalam diam jantungnya berada debar tidak menentu. Malam ini wajah Raymi Zikri nampak tenang dan berseri-seri. Adakah kerana perkara ‘itu’, lelaki ini berubah moodnya?
            Dhia, ingat sikit. Teman lelaki a.k.a bakal suami kau adalah Muhd Razree bukannya mamat sewel ini!
            “Kalau aku bagi tahu kau mesti takkan percaya punya.”
            “Tak cakap lagi macam mana aku nak percaya?” Dhia menjeling.
            “Sebenarnya aku dah ada teman wanita, Dhia. Sikap dan penampilan dia lebih cantik daripada kau. Kaulah orang pertama yang tahu tentang hal ini. Jangan bagi tahu pasal ni kat nenek tau. Biar aku yang cakap sendiri pada nenek.”
            Dhia terluka. Sikap dan penampilan gadis itu lebih menarik berbanding dirinya? Memang dia kecewa dengan sikap Raymi Zikri. Tergamak dia melukakan hati aku. Air matanya cuba ditahan agar tidak mengalir di depan Raymi Zikri.
            Perlahan nafasnya dilepaskan. “Baguslah tu. Dah ada teman wanita yang lebih cantik dan bersikap lemah-lembut, ada baiknya kau jadikan dia sahabat kau sekali. Aku tak ada pun tak apa kan?”
            Raymi Zikri terkaku tanpa kata. Nampaknya Dhia terasa dengan ayatnya. “Dhia, aku minta maaf. Aku tak ada niat nak buat kau terluka.  Memang dia teman wanita aku tapi aku lebih sayangkan kau.”
            Dhia pantas mencelah. “Kau pergilah balik. Aku nak tidur dulu. Kirimsalam dekat teman wanita baru kau tu. Assalamualaikum…” Dengan hati yang terluka, Dhia masuk kedalam wad semula. Pintu wad ditutup rapat dan dikunci agar Raymi Zikri tiada peluang untuk masuk ke sini.
            Raymi Zikri terduduk di atas kerusi kecil di tepi pintu wad. Rambutnya diraup berkali-kali. Tanda kesal dengan apa yang dikatakan pada Dhia sebentar tadi.
            “Kenapalah aku asyik sakitkan hati dia. Argh!” Semakin bertimpa-timpa rasa bersalahnya pada Dhia. Dia datang ke sini untuk menjernihkan keadaan tetapi sebaliknya pula berlaku.
            Esok masih ada, Ray. Kau ada peluang untuk minta maaf pada Dhia. Satu suara memberi kata-kata semanagat kepadanya.

            Ya, esok masih ada! Raymi Zikri tersenyum sinis. Dia tahu apa yang perlu dia lakukan supaya Dhia memaafkan dirinya.