Rabu, 31 Disember 2014

BAB 22 (Tajuk?Biarlah Rahsia) ~ PART 1



Sampin yang melingkar pinggang ditarik kasar. Songkok yang berada dikepalanya dicampak ke dinding. Begitulah kecewanya Muhd Razree di kala ini. Ingatkan Dhia sudah bersedia pergi ke pejabat agama pagi ini, rupanya tidak. Kekasih hatinya itu sudah menghilangkan diri sejak awal pagi lagi dari apa yang dikatakan Puan Khadijah semasa datang ke biliknya untuk membawa baju melayu.
“Mana sayang pergi. Kata nak kahwin dengan Abang Raz tapi kenapa hari ni sayang hilangkan diri. Argh!!” Tanpa memikirkan kesan pada tangannya, dia menumbuk dinding sekuat hati sehingga darah mengalir pekat di hujung jari.
“Raz, sudahlah tu. Nanti Dhia baliklah. Dia pergi bukannya lama mana pun.”pujuk Puan Khadijah.
“Ya Allah, Raz. Tengok tangan kamu dah berdarah. Macam mana nak salam tok kadi nanti kalau tangan bengkak macam ni?” Puan Khadijah jadi panik.
Muhd Razree menarik tangannya kasar. “Lantaklah nenek!”
Terkedu Puan Khadijah disitu. Dalam diam dia terasa dengan perlakuan cucu sulungnya ini.
“Tapi Dhia pergi mana nek? Raz tanya Mak Cik Suria, dia cakap tak ada. Raz call Marina, dia cakap tak ada jugak. Dhia ikhlas ke tak nak kahwin dengan Raz sebenarnya?” Lemah saja suaranya. Tangan kanannya yang berdarah dilap dengan tisu di tepi katilnya.
“Mestilah Dhia nak kahwin dengan kamu. Kamu tu… ubahlah perangai sikit. Nenek tengok semenjak Dhia duduk sini kamu asyik aje nak marah-marah. Dulu kamu tak macam ni tau Raz. Nenek tahulah kamu sayang Dhia tapi janganlah terlalu beremosi sangat. Nanti Dhia tak kahwin dengan kamu baru padan muka!”
“Nenek…Raz sensitif sangat ke?”
“Memang! Nenek pun tak adalah sensitif sangat macam kamu. Dahlah, kamu rehat dulu. Sekejap lagi kita nak pergi KLIA.”
Muhd Razree terkejut. Terkebil-kebil matanya memandang Puan Khadijah yang sudah berada di depan pintu biliknya.
“Nak pergi KLIA? Nak buat apa kat sana?” soalnya dengan kerutan di dahi.
“Oh, lupa pulak nenek nak beritahu kamu.” Puan Khadijah tepuk dahi.
“Nenek dah tempah dua tiket ke Dubai semalam. Kamu dengan nenek aje pergi sana. Nenek nak beli barang perkahwinan kamu dekat sana. Jadi alang-alang Dhia tak ada ni, kamu ikut ajelah nenek. Senang nak pilih barang kahwin dekat sana. Nenek tak tahu apa yang korang nak sebenarnya.”
Sekali lagi Muhd Razree terkejut. “Jauhnya, nek! Takkanlah sampai ke Dubai sana? Kat Malaysia ni kan banyak barang boleh dipilih. Yang nenek nak beli barang kahwin kat sana tu kenapa? Membazir aje.”
Puan Khadijah mencebik. “Duit nenek. Suka hati neneklah. Lagipun majlis kahwin kamu tu nanti nenek yang sponsorkan tau. Kalau nenek tak taja perkahwinan kamu, memang lambatlah kamu kahwin nanti.” Eei, geram pulak dia dengan Muhd Razree. Ada aje nak membantah.
“Raz rasa kahwin dekat pejabat agama pun dah cukup, nenek. Tak banyak modal nak guna.”
Puan Khadijah menjeling. Panas pulak hatinya bercakap dengan cucu sulungnya ini. “Kamu cakap senanglah. Nenek ni ramai kawan yang berpangkat. Nenek nak jugak tunjuk kat kawan-kawan VIP nenek tu yang cucu nenek dah kahwin. Nak kahwin sorok-sorok nanti kawan-kawan nenek cakap apa pulak. Kamu tahulah. orang sekarang ni suka fikir yang bukan-bukan.”
Muhd Razree menunduk. Dia harus akui hakikat itu. Hakikat yang dia memang tidak mempunyai duit yang banyak seperti Puan Khadijah. Ini pun nasib baik nenek sudi menaja perkahwinan mereka.
“Hurm…baiklah, baiklah. Raz ikut cakap nenek. Bila kita nak bertolak ke Dubai?” Lebih baik dia mengalah sebelum berlaku perbalahan.
“Petang. Pukul 2.30 petang. Kita kena gerak dalam pukul 12 tengah hari. Kamu kemas apa yang patut dulu. Lepas ni nenek suruh Amira ambik first aid balut tangan kamu.”
Muhd Razree kerling jam di dinding. Jam sudah menunjukkan pukul sebelah pagi. Sepatutnya pernikahan di pejabat agama berlangsung pada pukul 12 tengah hari.
“Kan bagus kalau Dhia ikut sekali.” Dia mengeluh berat.
“Dhia tak ikut pun bagus jugak. Kat sana kamu boleh beli hadiah untuk dia senyap-senyap.”
“Betul jugak tu.” Muhd Razree angguk. Setuju dengan kata nenek. Sudah lama dia tidak memberi Dhia hadiah. Kali terakhir dia memberi hadiah pun waktu di Negeri Sembilan dulu. Itu pun sejambak bunga mawar.
Puan Khadijah tersenyum sinis. Dalam diam dia bersorak gembira kerana Muhd Razree bersetuju dengan rancangannya. Tidak perlulah dia risau lagi. Segala-galanya telah diatur dengan baik sekali.
Makin cerah peluangnya untuk menyatukan Dhia dan Raymi Zikri.

Raymi Zikri membetulkan kolar kemejanya sebelum dia menyapu gel di kepalanya. Sempat lagi dia tersenyum di hadapan cermin.
Salina memerhati sahaja tingkah laku Raymi Zikri yang sangat aneh dimatanya.  Belum sihat lagi tapi berlagak macam dah sihat.
 “Abang Ray, kesihatan Abang Ray belum seratus peratus pulih. Abang nak pergi mana sebenarnya ni? Sally risaulah.” Luahnya dengan nada risau.
“Tak payah ambik tahulah, Sally. Abang Ray rasa sepatutnya Sally dah boleh balik rumah. Tak perlu kot nak jaga Abang Ray lagi.”
“Abang Ray memang kejam. Sally sanggup tidur sini semata-mata nak jaga Abang Ray tapi Abang Ray langsung tak hargai apa yang Sally buat.”
“Abang Ray tak mintak pun Sally datang sini jaga Abang Ray.” Sepotong ayat itu membuat darah Sally mendidih.
“Abang Ray memang kejam. I hate you! Menyesal Sally kenal dengan Abang Ray.”
Raymi Zikri berpaling mengadap Salina. Gadis itu menangis namun dia langsung tidak ambil peduli. Lainlah Dhia yang menangis.
Dhia? Raymi Zikri ukir senyum lebar. Selepas ini dia akan berjumpa Dhia di rumah Puan Suria tanpa pengetahuan gadis itu. Biar Dhia terkejut dengan kedatangannya.
Jauh di sudut hati, dia memanjatkan kesyukuran kerana mempunyai nenek seperti Puan Khadijah yang sentiasa berusaha mengembirakan hatinya di kala hubungan dia dan Dhia berantakan. Tadi nenek memaklumkan padanya yang Dhia ada di rumah Puan Suria. Terkejut juga dia masa itu. Paling terkejut, nenek mengatakan Abang Raz mahu menikah dengan Dhia hari ini di pejabat agama.
Nasib baik Dhia bijak melarikan diri. Jika tidak, musnah impiannya untuk bersama gadis itu.
“Abang Ray lagi menyesal kenal dengan Sally.” Begitu selamba sekali ayatnya, menikam jiwa Salina yang bagai dihiris dengan belati tajam.
Salina menangis sekuat hati sebelum dia keluar dari bilik Raymi Zikri. Pintu bilik lelaki itu sengaja dihempas dengan kuat sebagai ganti dia betul-betul marah dengan lelaki itu.
Raymi Zikri tidak mengendahkan tangisan itu sebaliknya dia memandang semula cermin dan merapikan penampilannya.
“Dhia…tunggu kedatangan Abang Ray ke tempatmu, sayang.” Raymi Zikri tersenyum puas. Dia nekad. Peluang yang ada harus direbut dan dia sekali-kali tidak akan melepaskan peluang itu.
Peluang untuk menikah dengan Dhia. Yahoo!!

Selasa, 30 Disember 2014

BAB 21 (Tajuk?Biarlah Rahsia)


Muhd Razree berdiri di depan balkoni sendirian. Ditemani dengan bintang-bintang berkerlipan serta awan yang berarak perlahan membuatkan dirinya yang gundah-gulana terasa sedikit tenang dan nyaman. Sudah lama dia tidak berdiri disini sejak dia menetap di Negeri Sembilan.
Setelah sepuluh minit berdiri di balkoni, dia kembali ke tempat tidurnya. Badannya yang terasa lenguh di bahagian belakang diurut-urut seketika sebelum tubuhnya berbaring mengiring. Bantal peluk yang menjadi penemannya dipeluk erat.
“Hurm…”Mata dipejamkan. Menghayati enaknya berehat di bilik berhawa dingin ini.
“Abang…” Satu suara berbisik kearahnya. Menggoda sekali suara itu. Terbuai Muhd Razree dibuatnya.
“Abang…Dhia panggil ni kenapa tak nak jawab? Dah tak sayang Dhia ya?”bisik suara itu lagi. Makin menggoda nalurinya. Membuatkan Muhd Razree terbangun dengan sendirinya.
“Astagfirullahalazim…” Mukanya diraup berkali-kali. Baru nak tidur dia sudah menndengar suara Dhia yang mendayu-dayu.
Sudah angaukah aku?
Muhd Razree tersenyum sendiri namun hanya seketika cuma. Fikirannya melayang terkenangkan situasi yang berlaku diantara mereka berdua tadi sehingga membuatkan kekasihnya itu terdiam membisu dengan kenyataannya.
“Abang Raz,lagi beberapa hari aje perkahwinan kita akan berlangsung dan Dhia yakin Abang Raz mesti tak sabar-sabar nak jadi seorang suami pada Dhia kan?”
Muhd Razree tersenyum lebar. “Mestilah, sayang. Sekarang pun Abang Raz tengah berkobar-kobar ni. Kenapa Dhia tanya? Dhia pun tak sabar-sabar jugak ke?"usiknya.
“Eh, mana adalah!” Dhia pantas menepis. “Perasaan Dhia biasa-biasa ajelah.” Selamba sahaja Dhia menjawab.

“Biasa-biasa?” Mata Muhd Razree membulat. Wajahnya berubah serius. Hatinya tidak tenang bila Dhia berkata begitu. Lantas dia berdiri tegak dan mengadap dinding bilik.
“Abang Raz ingatkan perasaan Dhia berkobar-kobar sama seperti yang Abang Raz rasa. Huh, pasti ada seseorang yang buatkan Dhia jadi tidak teruja dengan perkahwinan kita kan?"
Dhia turut bangun sama. Kali ini dia nekad.Dia perlu berterus-terang pada Muhd Razree tentang perasaannya pada Raymi Zikri. Jika terlalu lama dipendam, hatinya akan jadi tidak tenang.
“Kalau Dhia cakap seseorang itu adalah adik Abang Raz sendiri, macam mana? Apa yang Abang Raz akan buat? Lagipun Dhia rasa tak salah kan Dhia suka kan Ray, kita pun belum kahwin lagi.”cabarnya.
Muhd Razree berpaling ke belakang dan merenung tajam wajah Dhia. “Abang Raz akan bawa Dhia pergi ke pejabat agama esok pagi. Kita kahwin kat sana tanpa sebarang persalinan pengantin. No more Raymi Zikri and no more Muhd Imran after this, full stop!"
Dhia menelan kesat air liurnya. Kahwin esok?
Dhia, apa yang kau dah buat ni? Lain kali fikirlah dulu sebelum bercakap. Kan dah kena!
Argh!! Dhia meramas-ramas rambutnya sehingga jadi kusut-masai. Tidak dipedulikan langsung riak Muhd Razree yang termangu dengan tingkahnya itu.
Muhd Razree baring semula ditempat yang dia tidur tadi. Kedua tangannya teralih ke belakang. Kepalanya didongakkan ke atas siling yang berwarna putih. Membayangkan wajah Dhia yang manis tersenyum semasa majlis perkahwinan mereka nanti.
“Maafkan Abang Raz, Dhia. Abang Raz terpaksa buat macam tu. Dhia tahu kan Abang Raz tak suka Dhia sebut nama Ray dekat depan Abang Raz masa kita tengah berbual?”katanya sendirian. Meskipun Dhia mendiamkan diri di saat dia mengatakan tentang pernikahan mereka esok di pejabat agama, Muhd Razree tidak peduli itu semua.
Janji pernikahan mereka akan berlangsung esok.
Kini dia tersenyum gembira. Esok Dhia miliknya dan selamanya milik dia!!
Sorry Ray, Dhia bukan untuk kau tapi untuk Abang Raz.”
Matanya dipejam erat tanpa sebarang kekusutan. Tidak sabar menanti hari esok. Hari pernikahan mereka.

Dhia tidak boleh bersabar lagi. Pagi yang senyap sunyi ini memberinya peluang untuk dia melarikan diri dari berkahwin dengan Muhd Razree. Dia yakin, jika dia keluar dari sini, terselamatlah dia dari berkahwin dengan lelaki yang terdesak itu.
            Dhia percaya, apa yang berlaku semalam boleh mengubah apa yang terjadi pada hari ini. Dia nekad. Pagi ini juga dia akan berangkat ke rumah ibunya. Itu saja jalan terbaik yang dia ada agar Muhd Razree tidak berkahwin dengannya.
Sempat lagi dia menaip sesuatu di atas kertas putih untuk diberikan pada Muhd Razree sebelum dia beredar.
            Siap menulis, pakaiannya disumbat ke dalam beg sandangnya tanpa dilipat. Biarlah nampak berselerak, dia tidak kesah. Janji hasratnya untuk melarikan diri ke rumah ibunya tertunai juga.
            Sampai di rumah ibunya nanti, dia akan terus menunaikan solat subuh dengan tenang hati.
            Keluar sahaja dari bilik, Dhia pandang ke kanan. Tak ada orang. Dia pandang ke kiri pula. Gayanya macam perompak saja pandang ke kiri dan kanan.
Fuh, nasibnya memang baik. Semua tengah tidur lena. Senanglah dia keluar dari rumah mewah ini tanpa sebarang gangguan.
Sebaik Dhia menjejakkan kaki ke ruang tamu, sekali lagi di pandang ke kiri dan kanan. Mana tahu ada siapa-siapa yang jaga ke. Orang dalam rumah ni memang susah untuk dijangka.
“Pandang siapa tu Dhia?”
Gulp! Dhia terkejut. Lambat-lambat dia berpaling ke tepi.
Nenek? Dhia berdebar. Penampilan Puan Khadijah dari atas ke bawah dipandang dengan rasa pelik. Dengan baju tidur labuh dan ditempek dengan bedak sejuk, wanita berusia itu seperti hantu pontianak! Lain benar wajah Puan Khadijah tanpa tudung yang labuh.
“Err…tak sangka nenek ada kat sini. Dhia nak keluar kejap.” Tergagap-gagap Dhia bercakap.
“Keluar ke mana pagi-pagi buat ni? Dengan beg sandang lagi. Macam nak lari pulak nenek tengok kamu ni.” Pandang Puan Khadijah pelik.
Dhia panik dengan pertanyaan itu. Tidak tahu hendak jawab apa.
“Dhia…nenek tanya ni.”perlahan suaranya namun kedengaran tegas di telinga Dhia.
Dhia menunduk. Beg sandang yang tergantung di bahu dilurutkan ke lantai. Serta-merta kaki kanan Puan Khadijah dipeluk. Air mata yang cuba ditahan akhirnya keluar jua.
Puan Khadijah tergamam bercampur resah. “Dhia apa kena dengan kamu ni? Cuba cakap dengan nenek.”
“Nenek…please bagi Dhia keluar dari rumah ini untuk beberapa hari. Dhia takut dengan Abang Raz. Please nenek…bagi Dhia duduk rumah ibu Dhia.” pohonnya sedaya upaya. Berharap kali ini Puan Khadijah akan memberinya kebenaran untuk keluar dari sini.
“Kamu kan nak kahwin dengan dia, apa lagi yang nak ditakutkan? Dia bukannya makan orang pun. Nenek tahu dia sensitif orangnya tapi nenek rasa itu bukan sebab untuk Dhia merasa takut.”
“Dhia bukan takutkan itu, nek. Dhia takut dia nak bawak Dhia pergi pejabat agama tengah hari nanti. Dhia tak bersedia nak kahwin dengan Abang Raz lagi nek…” tangisan Dhia semakin kuat. Serba salah pula Puan Khadijah mendengarnya. Pada masa yang sama dia berdebar dengan kata-kata Dhia.
Jika Muhd Razree dan Dhia menikah nanti, habis bagaimana pula dengan Raymi Zikri? Tidak, dia harus gagalkan rancangan cucu sulungnya itu. Mujur dia bertemu Dhia pagi ini. Dapatlah dia tahu serba sedikit apa yang dikatakan Muhd Razree.
“Nenek pergi kejutkan Jamil sekejap ya. Biar dia hantar kamu ke rumah ibu kamu.”
Dhia terkedu. Nenek benarkan dia keluar dari rumah ini? Ini sudah bagus! Hampir melompat dia kerana gembira Puan Khadijah membenarkan dia pergi ke rumah ibu.
“Tak apalah, nek. Dhia pinjam salah satu kereta nenek. Dhia kan pandai bawak kereta.” Dhia bangun dan mengelap air matanya.
“Okeylah kalau macam tu. Jangan bawak laju-laju tau. Sekarang ni memang tak ramai kereta yang lalu jalan raya tapi Dhia kena berhati-hati jugak.”pesan Puan Khadijah. Dhia sudah dianggap seperti cucunya sendiri dan dia tidak mahu berlaku sesuatu pada gadis ini.
“Insyallah Dhia pandu pelan-pelan. Nenek jangan risau. Kalau macam tu, Dhia nak berangkat dululah. Lambat nanti Abang Raz sedar. Baik Dhia pergi sebelum Abang Raz terjaga. Hurm…nenek jaga diri ya. Dhia harap nenek bagi alasan terbaik pada Abang Raz kalau dia tanya Dhia pergi mana. Nenek kan bijak pandai…” puji Dhia melambung. Dia memeluk erat Puan Khadijah.
“Mestilah. Nenek bijak dalam memberi alasan. Bijak membuat rancangan pun ada…” Semakin meleret senyuman Puan Khadijah setelah dia membalas pelukan Dhia.
Dhia mengerutkan dahi. Bijak membuat rancangan?
Apa-apa ajelah nenek. Janji Dhia tak kahwin dengan Abang Raz hari ini.




Isnin, 29 Disember 2014

BAB 20 (Tajuk?Biarlah Rahsia) ~ Part 2




“Abang Ray! Penat-penat Dhia datang sini semata-mata nak jenguk Abang Ray, ini yang Abang Ray bagi pada Dhia? Abang Ray kata Abang Ray sayangkan Dhia tapi kenapa mesti Sally ada di antara kita? Menyesal Dhia masuk bilik ni. Menyesal!” marah Dhia berapi. Kecewa benar Dhia pada Raymi Zikri. Kata cintakan dirinya tapi mengapa Salina ada disini.
Sungguh, dia benar-benar kecewa dengan sikap Raymi Zikri!
Salina tercengang. Raymi Zikri sayangkan Dhia? Ini tak boleh jadi ni. Raymi Zikri kekasihnya dan dia akan pastikan Raymi Zikri akan menjadi miliknya nanti.
“Sally…tolong bangunkan Abang Ray. Abang Ray nak cakap dengan Kak Dhia sekejap.” ucap Raymi Zikri dengan mulut terketar-ketar.
Salina akur. Kain yang berada ditangannya diletakkan di atas meja kecil bersebelahan katil Raymi Zikri. Dengan sekuat tenaga yang ada, Salina mengangkat tubuh Raymi Zikri yang masih tidak kebah lagi demamnya.
“Tak payah! Tak ada gunanya kita bercakap lagi. Memang bagus kita berpisah pun. Huh!”
Cemburu Dhia tidak dapat dibendung lagi. Dengan rasa sakit hati, Dhia keluar dari bilik itu. Tanpa mereka berdua sedari, air matanya pecah berderai.
“Dhia, Dhia!!”laung Raymi Zikri dengan suara yang tersekat-sekat. Dikala ini, suaranya seperti tengelam timbul sahaja. Hendak cakap pun seperti nak tak nak sahaja.
Salina memandang pemergian Dhia dengan pandangan tidak puas hati. Oh, dalam diam Dhia ada hubungan dengan Raymi Zikri rupanya. Patutlah Raymi Zikri tidak berjumpa dengannya dalam sehari dua ini. Ada affair rupanya dengan Dhia.
Tapi tak mengapa. Salina tidak ambil hati pun. Mereka sudah berpisah. Ada can lah dia hendak mengambil hati Raymi Zikri. Tidak perlulah dia cemburukan Dhia lagi. gelaknya dalam hati.
Di atas katil pula, Raymi Zikri melahirkan rasa kesalnya kerana Puan Khadijah membawa Salina ke sini. Entah apa motif neneknya membawa gadis itu bermalam di sini pun dia tidak pasti.
Sejujurnya, dia tidak senang dengan kehadiran Salina ke rumah ini. Bukan dia sengaja menyuruh Salina mengelap tubuh badannya yang panas ini. Sudah berapa kali dia menyuruh Amira memanggil nenek untuk menjaganya di sini namun tiada balasan daripada wanita berusia itu.
Rupa-rupanya ada sebab mengapa nenek tidak naik ke atas menjaganya. Kata Amira, nenek ada urusan penting yang perlu diselesaikan dengan Jamil di ruang tamu. Urusan apa yang penting sangat pun dia tidak pasti.
Ikutkan jiwanya yang meruncing ini, ingin sekali dia menyuruh Dhia menjaganya di bilik ini. Tetapi apa boleh buat, Dhia sudah meninggalkannya gara-gara Salina berada di sini menjaganya.
Dhia, Abang Ray rindu... Dhia tak tahu…luahnya dalam hati.

Dhia turun semula ke ruang tamu dengan muka yang muram. Dia nekad. Selepas ini jangan harap dia akan tengok muka Raymi Zikri lagi. Nak bercakap pun dia tidak sudi! Huh, Cakap sayang, tapi suruh budak gedik tu lap tubuh badan dia.
            Eii…geramnya aku!! tukas Dhia geram.
            “Dhia sayang…kenapa muka muram ni? Ray ada cakap sesuatu yang tak memuaskan hati ke?” kata Muhd Razree setelah Dhia duduk di hadapannya. Puan Khadijah dan Jamil yang duduk bersamanya tadi sudah pergi perkarangan rumah untuk mengambil sesuatu.
            “Tak ada apa-apalah, Abang Raz. Dhia cuma pelik kenapa Salina ada kat bilik Ray aje.”
            “Dhia cemburu ya Salina rapat dengan Ray?” usik Muhd Razree.
            Dhia pantas menidakkan walhal itulah perasaan yang dia alami sekarang. “Mana adalah! Abang Raz ni mengarut aje. Kalau Salina tu rapat dengan Abang Raz barulah Dhia cemburu.” Mulutnya dibuat muncung.
            “Abang Raz gurau ajelah. Dhia janganlah moody sangat. Hilang seri pengantin nanti.”
            “Habis nak Dhia senyum macam ni? Lebar macam mulut teletubbies?” Dhia tarik mulutnya hinga kedua-dua pipinya menaik.
            Tiba-tiba Muhd Razree ketawa terbahak-bahak. Senak perutnya melihat Dhia membuat mulut begitu. Tetapi tetap nampak comel dimatanya.
            “Lebar lagi. Lebar sampai telinga.”
            “Hesy, mengarut aje Abang Raz ni.” Dhia bangun lalu dia menepuk manja paha Muhd Razree. Tanpa diduga, Muhd Razree menarik tangan kanannya sehingga dia terbaring di bahu lelaki itu.
            “Abang!!”jerit Dhia walaupun tidak begitu kuat. Jerit-jerit manja gitu.
            Tidak jauh dari situ, Raymi Zikri memerhatikan ‘drama’ tidak berbayar di antara Dhia dan Muhd Razree. Setitik demi setitik air matanya jatuh melurut ke lantai.
            Salina yang berdiri di belakang Raymi Zikri tidak sangka lelaki itu mengalirkan air mata secara tiba-tiba. Matanya terarah kepada pasangan sejoli yang duduk bersama di sofa.
            Adakah sebab Dhia, Raymi Zikri menangis?
            Tertanya-tanya juga Salina dalam hati, apa motif sebenar Puan Khadijah membawanya ke sini? Apakah kerana ingin membuat Dhia cemburu?
            “Abang Ray…mari Sally bawak Abang Ray masuk bilik. Abang Ray tak larat lagi ni.” Salina cuba memujuk Raymi Zikri. Tangannya sudah bersedia memapah lelaki ini masuk ke bilik.
            Raymi Zikri mengelengkan kepala. Dia tidak akan masuk ke bilik selagi Dhia tidak masuk ke biliknya sendiri.
            “Abang Ray tak nak. Kalau Sally tak larat, Sally pergilah berehat. Biarkan Abang Ray kat sini sorang-sorang.” perlahan sahaja nada suaranya. Dia lagi suka jika Salina tiada disisinya. Lagi senang dia dapat melihat wajah Dhia dari dekat.
            Sorang-sorang? Salina merengus dalam hati. Jangan ingat Sally akan benarkan, Abang Ray berdiri kat sini sorang-sorang. Jangan harap!
            “Sally tak kan berehat selagi Abang Ray tak tidur. Sally tahu Abang Ray tengok Dhia kan? Abang Ray cemburu ya Dhia rapat dengan Abang Raz?”duga Salina. Dia perlu tahu apa yang ada di dalam hati Raymi Zikri.
            “Sally jangan merepek boleh tak? Abang Raz dengar nanti mesti dia marah.” Berubah riak wajah Raymi Zikri.
            “Haa…kalau tak cemburu kenapa tak reti duduk dalam bilik? Orang sakit sepatutnya berehat, bukannya tengok orang tengah bercinta.” Geram Salina dengan sikap Raymi Zikri. Dah bagi rehat, nak juga turun bawah. Apa yang best pun dia tak fahamlah.
            “Jangan kusutkan kepala Abang Ray, boleh tak? Sally memang suka kan Abang Ray bertambah sakit?”jerkahnya.
Terdiam Salina dengan jerkahan itu.
“Dah. Pergi masuk bilik, berehat. Tinggalkan Abang Ray kat sini sorang-sorang.”sambungnya lagi. Tawar hatinya untuk terus bersama Salina disini. Buat menyakitkan hati sahaja.
“Abang Ray, jahat. Benci Abang Ray!” Salina merajuk. Dia bergegas masuk ke bilik yang disediakan untuknya tidak jauh dari ruang tamu. Masuk saja bilik, dia terus  menghempaskan pintu, tanda geram dengan sikap lelaki itu.
Sikit-sikit nak merajuk, sikit-sikit nak merajuk. Mengada-ngada betul! cebik Raymi Zikri dalam hati.

“Seronok bergurau senda, Dhia? Boleh tumpang sekaki?"
Terdengar suara sinis seseorang menegur dirinya, Dhia pantas mendongak. Melihat gerangan yang berada dihadapannya itu membuatkan Dhia mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Kalau rasa tak malu, silakan.” Memang tidak ada rasa langsung untuk menjawab setiap kata-kata Raymi Zikri. Baginya setiap ayat yang terluah di bibir lelaki itu menyakitkan hatinya.
Raymi Zikri tajam merenung Dhia yang tidak sedikit pun memandang kearahnya. Sedikit tersentuh hatinya dengan penerimaan Dhia.
Muhd Razree mengerutkan dahi. Tidak sangka Dhia akan berkata begitu dengan adiknya. Ada masalah ke mereka berdua ini? soalnya dalam hati. Mahu ditanya pada salah seorang diantara mereka, takut berlaku pertelingkahan pula.
“Adik abang macam mana? Dah kurang sikit demamnya?” tanya Muhd Razree dengan suara yang lembut dan penuh prihatin. Walaupun sebelum ini mereka berbalah kerana Dhia namun perbalahan tersebut telah dilupakan. Raymi Zikri sudah mempunyai Salina. Jadi dia tidak perlu risau lagi dengan hubungan Dhia dan adiknya itu.
“Tak adalah baik sangat, Abang Raz. Tapi kalau orang 'tu' tolong tengokkan Ray sepanjang Ray demam ni insyallah boleh baik cepat.” Jika Muhd Razree masih prihatinkan dirinya, itu petanda abangnya sudah melupakan perkara yang melibatkan dia dan Dhia.
Dhia berpaling tajam ada Raymi Zikri. Dia tahu orang itu merujuk keada dirinya.
Huh, demam pun masih ada hati nak suruh orang jagakan. Salina kan ada, suruhlah dia jaga! cemuhnya dalam diam.
“Ray maksudkan orang ‘tu’ Sally ke?” Muhd Razree buat muka blur.
“Hmm...” Hanya itu yang Raymi Zikri mampu jawab. Matanya sempat menjeling Dhia yang sedari tadi berwajah mendung.
 “Cucu nenek...tak tidur lagi?” Puan Khadijah tegur Raymi Zikri dari belakang sambil ditemani Jamil yang sedang memegang kotak sederhana besar.
Masing-masing terkejut. Tidak sangka Puan Khadijah akan muncul diantara mereka bersama Jamil.
“Tak boleh nak tidur, nek. Pening kepala.” jawab Raymi Zikri lemah. Dahinya diurut bagi mengurangkan rasa peningnya. Mahu menyuruh Dhia, abangnya ada disitu. Karang tak pasal-pasal timbul pergaduhan pulak.
Dhia menoleh kearah Raymi Zikri. Sedikit tersentuh hatinya apabila Raymi Zikri berkata begitu. Jika Salina tidak bersama Raymi Zikri tadi, sudah lama tangannya mengurut dahi lelaki itu.
Puan Khadijah mempelawa Jamil duduk disebelahnya. Kotak sederhana besar itu diletakkan di atas meja. Tangannya melekap pada dahi cucunya. Masih panas.
“Kesian cucu nenek ni sakit. Meh sini baring kat nenek.” Raymi Zikri mengangguk sebelum kepalanya mendarat di bahu Puan Khadijah. Matanya terpejam.
“Kotak ni untuk apa, nek?” tanya Muhd Razree sambil menyentuh kotak diatas meja. Mungkin ini yang nenek ambil kat kereta kot. fikirnya.
“Jamil, tolong buka kotak tu…bagi kat mereka semua yang ada kat sini.”arah Puan Khadijah. Sengaja dia rahsiakan apa yang ada di dalam kotak tersebut.
Jamil akur. Kotak yang dibalut dengan cellophane tape dibuka. Setelah itu, sebuah kad yang berwarna biru laut mula diedarkan kepada Dhia dan Muhd Razree.
Raymi Zikri terdengar pantas mencelikkan mata. Kad yang dihulurkan padanya membuatkan dia sedikit terpegun. Lantas dia membelek kad tersebut dengan perasaan berbaur.
Dengan segala hormatnya, kami mempersilakan
Ybhg. Tan Sri/Dato’/Datuk’/Datin/ Puan Sri/Tuan/Puan/Cik

……………………………………………………………….
Hadir Ke Majlis Cucu Kami
Nurul Haifa Nadhiya Bt Muhd
Dengan Pasangannya
Cucu Puan Khadijah
Pada Tarikh: 11 Januari 2015 bersamaan 20 Rabiulawal 1436 Hijrah

            Berkerut dahi Raymi Zikri tatkala dia meneliti ayat-ayat di atas. Cucu nenek adalah Dhia? Memang ada sesuatu yang tak kena dalam kad kahwin ini namun dia tidak luahkan.
            Puan Khadijah bermain mata dengan Jamil. Sempat lagi dia membuat tanda bagus pada pembantu peribadinya itu. Moga-moga rancangan pertamanya untuk menyatukan Dhia dan Raymi Zikri berjalan seperti yang dibincangkan mereka berdua sebelum ini.
            “Nenek, apasal nenek tulis nama Dhia sebagai cucu nenek kat dalam ni? Nama Raz tak ada pun. Patutnya nama Raz yang tertulis kat atas sekali lepas tu baru Dhia. Nenek dah salah tulis ni.” ujar Muhd Razree tidak puas hati setelah dia meneliti kesemua ayat yang dipaparkan di dalam kad perkahwinan yang berwarna biru ini.
            “Laa ya ke? Nenek tak perasan lah pulak. Mari sini nenek tengok.” Puan Khadijah buat muka tidak bersalah dengan mengambil kad kahwin itu. Sempat lagi dia mengenyit mata pada Jamil. Pembantu peribadinya itu hanya tersenyum simpul.
            Kad perkahwinan itu diperhatikan semula. Dalam diam dia gembira kerana ayat yang ditaip sama seperti apa yang diminta pada pihak pencetak semalam.
            Sepatutnya kad perkahwinan ini disiap dalam tiga hari. Tetapi dengan penambahan duit yang diberikannya, pihak pencetak itu terus mencetak kad tersebut. Lagi cepat lagi senang dia tunjukkan pada cucu-cucunya.
            “Aahlah…salah. Hurm, tapi Jamil dah edar pada tetamu semalam. Ini pun nenek suruh pencetak print extra.” ujarnya tanpa sedikit pun rasa bersalah.
            Dah edar? Puan Khadijah ketawa dalam hati. Tak ada maknanya dia nak edar kad kahwin ini. Sampul pun tak ada. Macam manalah nak edar
            Rambut Muhd Razree diraup-raup kasar sebelum dia berdiri tegak. “Patutnya nenek tanya Raz dan Dhia dulu ayat apa yang perlu letak dalam kad kahwin ni. Tengok, dah salah. Hesy!” Tiba-tiba Muhd Razree melampiaskan marahnya pada Puan Khadijah. Dia benar-benar tidak puas hati dengan isi kandungan di dalam kad ini.
            Dhia sedikit tercengang dengan kemarahan yang ditunjukkan bakal suaminya itu. Dia tak adalah marah sampai begitu sekali.
            “Dahlah, Raz nak masuk tidur. Dhia, jom masuk tidur. Hari dah malam sangat ni.” Dhia terkebil-kebil apabila tangannya ditarik Muhd Razree.
            “Abang Raz…tak apalah. Dhia masuk kejap lagi.” teragak-agak Dhia menjawab.
            “Ala, ikut ajelah. Bukannya Abang Raz bawak Dhia masuk bilik Abang Raz pun.” Sempat lagi dia menjeling Puan Khadijah.
Raymi Zikri di sebelah Puan Khadijah hanya mampu memandang kedua pasangan itu dengan perasaan cemburu yang mengunung tinggi.
Puan Khadijah sedikit tidak terkesan dengan kemarahan tersebut sebaliknya dia mengukirkan senyuman.
“Ray…”
Raymi Zikri tersentak apabila tangannya disentuh Puan Khadijah. Kad yang dipegangnya diletakkan semula ke atas meja. “Hurm…ada apa nek?” lemah sahaja suaranya.
“Nenek tahu Ray cemburu tengok Abang Raz pegang tangan Dhia kan?”
“Taklah, nek. Mana ada.” Raymi Zikri pantas mengelengkan kepala. Tidak mahu nenek tahu apa yang berselirat dalam hatinya.
Puan Khadijah mengelus lembut rambut cucunya. Hampir dua puluh enam tahun dia menjaga Raymi Zikri, sedikit pun kasih sayangnya tidak lentur pada cucunya ini.
Dia ketawa kecil. “Nenek tahu, Ray. Nenek pun pernah ada perasaan begitu masa nenek bercinta dengan atuk kamu dulu. Hurm…Ray jangan bimbang ya sayang. Insyallah Dhia akan jadi milik kamu lepas ni. Kamu jangan risau ya. Kad yang dah dicetak ni sebenarnya nenek sengaja tak nak letak nama pengantin lelaki. Nenek nak tengok reaksi Abang Raz macam mana bila dia tengok kad tu.”
Raymi Zikri teruja mendengarnya. “Betul ni nek?”
Puan Khadijah angguk. “Betul…demi Ray nenek akan buat apa saja. Asalkan cucu nenek bahagia. Nenek memang suka kalau Dhia jadi isteri kamu. Kamu berdua memang secocok untuk digandingkan.”
“Abang Raz?” Serba-salah pula dirinya apabila mengenangkan abang kandungnya yang nampak begitu teruja untuk menjadi suami kepada Dhia.
“Abang Raz tu kita ketepikan dulu. Apa yang penting sekarang, kebahagiaan Ray.”
Raymi Zikri memeluk Puan Khadijah dengan erat.  Fahamlah dia mengapa nenek mencetak kad kahwin ini dan menunjukkan. “Terima kasih, nek. Ray tahu nenek sayangkan Ray. Erm…tak sabar Ray nak tunggu hari tu. Hari bahagia Ray dan Dhia.” Sempat lagi dia mengelamun.
Pelukan Raymi Zikri dibalas dengan senang hati. Makin bersemangat dirinya menyatukan cucunya dan Dhia.
“Nenek pun tak sabar jugak…” Meleret senyumannya.

Khamis, 25 Disember 2014

BAB 20 (Tajuk?Biarlah Rahsia) ~ PART 1



Jam di dinding sudah menunjukkan pukul lapan malam tetapi Dhia masih tidak keluar dari pejabat. Mariana sudah lama pulang ke rumah. Tinggal dia seorang sahaja disini tanpa ditemani sesiapa.
Pada mulanya dia agak takut berada disini seorang diri. Yalah, tiada siapa yang menemaninya buat kerja. Mujur ada Uncle Lim, security guard yang bertugas menjaganya di luar bilik. Tidaklah dia berasa keseorangan di pejabat yang luas ini.
Dhia meneruskan menaip sebut harga di komputer Mac milik Muhd Razree tanpa berpaling ke tepi. Komputer yang besar itu agak menyilaukan matanya. Lantas dia mengecilkan cahaya komputer tersebut agar matanya boleh melihat seperti biasa perkataan yang ditaip.
Tok!tok!tok!
Dhia menyengetkan sedikit wajahnya di tepi komputer Mac. Mengadap pintu yang tiba-tiba berbunyi. Keningnya diangkat ala-ala Ziana Zain kerana tidak puas hati kerjanya diganggu Uncle Lim.
Tok!tok!tok!
Sekali lagi ketukan pintu berbunyi nyaring. Uncle Lim ni dah tak reti nak masuk ke? Aku bukannya kunci pintu pun. Dhia mendengus keras.
Dengan malas, Dhia bangun juga dari tempat duduknya. Jika Uncle Lim mengetuk pintu bilik ini buat kali ketiga, memang bergema suaranya menyumpah seranah security guard itu.
"Uncle nak apa?"
Dhia tanya setelah pintu dibuka dengan agak kasar. Tanpa melihat wajah Uncle Lim, dia berpaling ke tepi sambil menyilangkan tangan.
“Amboi sayang...tak sampai dua puluh empat jam kerja kat syarikat ini dah mula marah-marah. Tak baik tau bos pamerkan sikap begitu. Nanti pekerja lari."
Dhia termangu. Dia angkat muka. Abang Raz? Siapa yang bawa dia ke sini? Melilau matanya mencari-cari kelibat Uncle Lim namun batang tubuh lelaki yang berusia 50 tahun itu tidak kelihatan.
Terus mata Muhd Razree ditenung tajam."Apa Abang Raz buat kat ofis malam-malam ni? Dah tak reti nak berehat ke?" Terjengil mata Dhia kerana terlalu geram dengan Muhd Razree. Baik-baik rehat kat rumah, mengada-ngada nak datang sini. Tak sayang diri sendiri langsung! Rengusnya dalam hati.
“Abang Raz tak boleh berehat lama sangat kat rumah. Itu Abang Raz datang sini. Nak jenguk bos baru buat kerja...” Meleret-leret senyumannya memandang muka Dhia yang agak merah menahan marah.
Sekali lagi keningnya diangkat seperti Ziana Zain. “Wahai Encik Muhd Razree yang bijaksana, nak jenguk bos baru bukan waktu begini. Waktu ini untuk berehat. Ada faham?” Entah mengapa dia rasakan yang dia tidak suka berbual dengan lelaki didepannya ini. Mungkin kerana sikapnya yang gemar mengugut yang buat dia bosan sangat dengan lelaki yang bernama Muhd Razree.
“Faham, bos!” Muhd Razree mengangkat tangan ke dahi tanda hormat. Menjeling Dhia disitu.
“Sekarang ni boleh tak bos izinkan saya membawa bos pulang ke rumah? Adik saya demam jadi saya harap bos boleh melawatnya di rumah.”
Membulat mata Dhia mendengarnya.
Abang Ray sakit? Fikirannya kembali teringatkan peristiwa pagi tadi ketika dia memegang tangan Raymi Zikri yang panas. Demam rupanya dia. Jiwa Dhia mula berasa tidak enak.
Disebabkan aku kah Abang Ray demam?
“Abang Raz, kita balik sekarang.” Dhia berlari anak menghampiri meja kerjanya. Tanpa mengemas kertas kerja yang berselerak di atas meja itu, dia terus mengambil beg tangannya dan mengajak Muhd Razree pergi dari sini. Lampu utama dipadam di sebelah pintu utama.
Muhd Razree tidak percaya Dhia mengajaknya balik secepat ini.
Risaunya Dhia pada Ray....Aku yang sakit ni pun tak ada pulak dia serisau ini. Tiba-tiba dia jadi cemburu pada adiknya sendiri.

Balik dari rumah Dhia terus naik ke tingkat atas. Risaunya pada Raymi Zikri mengunung tinggi. Muhd Razree yang berada di belakangnya tidak dihiraukan, malah semasa dia melangkah masuk ke ruang tamu, Puan Khadijah yang sedang berbincang dengan Jamil pun lansung tidak dipandang.
            Apa yang penting dalam fikirannya sekarang hanyalah Raymi Zikri! Selagi dia tidak melihat lelaki itu di depan matanya, dia jadi gundah gelana.
            “Dhia, kamu nak ke mana cepat-cepat tu? Salam nenek pun tak terus aje naik tangga.” Kata Puan Khadijah sebaik sahaja dia ternampak kelibat Dhia yang sedang mendaki anak tangga.
            Dhia tidak menjawab sebaliknya dia ligat mendaki anak tangga. Puan Khadijah hanya mengelengkan kepala melihat sikap Dhia.
            “Biar ajelah dia tu, nek. Risau sangat bila Raz cakap Ray demam.” sampuk Muhd Razree. Dia selamba sahaja duduk di sebelah Puan Khadijah. Badannya dibaringkan ke sofa tanda dia sedikit penat membawa kereta pada malam ini.
            Puan Khadijah merenung cucu sulungnya yang tampak sedikit keletihan. Paha Muhd Razree disentuh lembut. “Kamu okey ke tak ni, Raz?”
            “Penat sikitlah, nek. Dah berapa hari tak bawa kereta. Janggal rasanya.”
            “Itulah. Nenek suruh Jamil bawak Dhia balik, kamu yang terhegeh-hegeh nak ambik dia. Tengok sekarang apa dah jadi? Sampai tak larat jadinya,”
            “Ala, nek. Small matter ajelah. Lagi pun Jamil dan nenek kan tengah berbincang. Itu sebablah Raz tak nak ganggu.”
            “Ada-ada ajelah kamu ni, Raz. Nenek dan Jamil bincang pun pasal perkahwinan kamu jugak.”
            Muhd Razree rasa teruja. “Pasal perkahwinan Raz? Nenek dah buat persiapan ke?”
            “Dah…” Senyum Puan Khadijah. “Kamu nak tahu ke persiapan apa yang nenek buat?”
            “Mestilah nak, nek. Raz dah tak sabar-sabar nak kahwin dengan Dhia.”
            Puan Khadijah mengecilkan matanya sebelum dia tersenyum sinis pada Muhd Razree. Tak sabar nak kahwin dengan Dhia ya? Kau tengok apa yang nenek buat pada kau lepas ni, Raz. Kata hatinya.
            Maafkan nenek, Raz. Dhia hanya untuk Ray. Bukan kamu, Raz…
           
Di depan bilik Raymi Zikri, Dhia memulas tombol pintu dengan sekali nafas. Terkejut bukan kepalang Dhia melihat Salina ada sebelah Raymi Zikri. Gadis itu sedang tekun mengelap leher dan muka Raymi Zikri yang memejamkan mata.
“Dah tak ada orang lain lagi ke yang boleh tolong lapkan tubuh dia, hah?!!” Meledak kemarahannya sehingga bahu Salina terangkat kerana terlalu terkejut dengan gadis yang tidak diundang itu.
Salina bangun dengan riak wajah yang tidak puas hati. “Biarlah Kak Dhia. Abang Ray yang mintak Sally lapkan badan dia. Yang Kak Dhia nak marah-marah sangat kenapa?”
“Kurang ajar kau.” Meledak kemarahan Dhia ketika ini. Cemburunya pada Salina tinggi melangit. Dia pantang betul Salina rapat dengan Raymi Zikri. Tangannya sudah diangkat tinggi. Mahu kasi pengajaran kepada gadis itu.
“Dhia…biarkan Sally lap muka Abang Ray. Abang Ray yang suruh dia.” Mata Raymi Zikri yang terpejam rapat akhirnya di buka perlahan-lahan.
Dhia melongo. Tajam renungannya pada Raymi Zikri.

Salina disitu sudah tersenyum sinis. Nampaknya kali ini Raymi Zikri berpihak kepadanya. 

Bersambung....

Isnin, 22 Disember 2014

BAB 19 (Tajuk?Biarlah Rahsia) ~ PART 2



“Tamparlah selama mana sayang mahu, Abang Ray tetap sayangkan Dhia sepenuh hati.”
Raymi Zikri memegang pipinya sebelum dia bertindak memeluk semula tubuh Dhia dengan penuh nafsu.
Dhia memejam matanya rapat. Tanpa sedar dia menghayati 'keasyikan' Raymi Zikri memeluk tubuhnya.
Ya Allah, aku tahu aku berdosa berpeluk dengan lelaki yang bukan suamiku. Maafkan hambaMu ini, Ya Allah...
“Abang Ray tahu Dhia masih cintakan Abang Ray. Jika tidak Dhia takkan berpeluk dengan Abang Ray seperti sekarang.” bisiknya penuh syahdu di telinga Dhia.
Tidak sampai seminit adegan berpelukan itu dibuat, Dhia melepaskan pelukan. Raymi Zikri tersentak.
“Dhia...”
“Cukuplah setakat ini, Abang Ray. Dhia mengaku silap Dhia sebab melafazkan kata cinta pada Abang Ray hari tu. Sepatutnya hubungan ini tidak berlaku...Dhia tak patut...”
“Shhh...” Mulut Dhia ditekup rapat. Terbeliak mata Dhia dibuatnya.
“Cukuplah menyakitkan jiwa dan raga Abang Ray, sayang. Abang Ray tak pernah menyesal dengan hubungan kita. Abang Ray gembira sangat Dhia jadi kekasih Abang Ray.”
Dhia menolak perlahan tangan Raymi Zikri. Tanpa segan dia merenung mata Raymi Zikri. “Boleh Dhia mintak sesuatu dari Abang Ray?”
“Mintaklah sayang, janji jangan mintak Abang Ray untuk jauhkan diri daripada sayang. Itu Abang Ray tak sanggup.”
Dhia geleng kepala. Tidak sangka ayat yang ingin diluahkan dari mulutnya sudah di ungkap di bibir lelaki ini. “Itu sebenarnya yang Dhia nak cakapkan pada Abang Ray.”
Raymi Zikri diam.
“Dhia harap Abang Ray faham keadaan Dhia sekarang. Lagi beberapa hari aje lagi Dhia akan jadi isteri Abang Raz. Jadi Dhia mintak tolong sangat-sangat pada Abang Ray…”
“Apa dia?” Raymi Zikri berdebar.
Dhia ternampak teksi berwarna merah putih dari jauh. Ya, inilah masanya untuk aku melepaskan diri darinya. Katanya dalam hati.
“Sekejap ya, Abang Ray. Dhia nak berhentikan teksi dulu. Teksi, teksi!!” laung Dhia. Tangannya berayun beberapa kali agar teksi perasan kehadirannya disitu.
Raymi Zikri berpaling ke kiri. Nafasnya dihela kuat. “Tak payahlah naik teksi, sayang. Biar Abang Ray drive. Senang kita bincang pasal hubungan kita.”
Ternyata kata-kata Raymi Zikri tidak diambil peduli olehnya. Mujur teksi itu menuju ke arahnya. Jika tidak, terpaksalah dia pergi ke tempat kerja bersama Raymi Zikri.
Apabila teksi menghampirinya, dia terus masuk ke dalam. Raymi Zikri tercengang dengan perilaku Dhia.
“Dhia, kata nak cakap sesuatu dengan Abang Ray? Kenapa cepat sangat nak pergi?” Debarannya semakin kencang. Entah mengapa dia rasa Dhia mahu meninggalkan dia. Hatinya betul-betul tidak sedap.
“Encik, bagi saya dua minit ya. Dua minit aje.” kata Dhia pada pemandu teksi itu dengan penuh pengharapan.
Pemandu teksi itu hanya mengangguk. Dhia menarik nafas lega. Cepat-cepat Dhia membuka tingkap teksi dan bertentang mata dengan Raymi Zikri yang nampak agak muram.
“Abang Ray…”
“Ya sayang…” Raymi Zikri pantas memegang tangan Dhia dengan kejap namun sayang gadis itu mengelengkan kepalanya.
Tatkala Dhia menarik tangannya dari dipegang Raymi Zikri, dia perasan tangan lelaki itu agak panas. Abang Ray demam ke? Dhia mula risau.
“Seperti yang Dhia cakap tadi, cukuplah setakat ini hubungan kita. Terimalah hakikat Dhia akan jadi kakak ipar Abang Ray. Mungkin agak janggal perkataan ‘kakak ipar’ itu pada Abang Ray tetapi itulah hakikat yang Abang Ray terpaksa tempuhi sekarang. Dhia doakan Abang Ray berbahagia dengan Sally. Hurm…Selamat tinggal Abang Ray…” Bergetar suaranya di ayat terakhir ucapannya. Biarlah dia bersedih untuk kali ini sahaja.
“Dhia tak boleh buat Abang Ray begini, sayang. Abang Ray tak dapat terima ini.” Suaranya juga turut bergetar seperti Dhia. Hampir sahaja dia menitiskan air mata.
Dhia tidak mempedulikan kata-kata Raymi Zikri. Terus dia mengarahkan pemandu teksi itu bergerak. “Encik, kita pergi sekarang ya.” paksanya.
Teksi sudah mula bergerak. Raymi Zikri jadi tidak tentu arah. “Dhia, Dhia tak boleh buat Abang Ray begini. Dhia!!” jerit Raymi Zikri lantang apabila teksi itu sudah mula bergerak meninggalkannya.
“Dhia!!”jerit Raymi Zikri sekali lagi. Kali ini lebih kuat berbanding tadi.
Ternyata jeritannya tidak lama. Raymi Zikri tiba-tiba jatuh pengsan di situ.
Puan Khadijah yang mencari-cari kelibat Raymi Zikri dari rumah tadi tergamam melihat cucunya terbaring di atas jalan.
“Ya Allah, cucu aku!!” Tanpa mempedulikan kesihatannya, Puan Khadijah bergegas lari mendapatkan Raymi Zikri yang sudah pengsan tidak bergerak. Risaunya dia saat ini hanya Tuhan yang tahu.
Puan Khadijah memangku Raymi Zikri di atas pahanya. Dahi Raymi Zikri diraba. Ya Allah, Ray demam ni. kata hatinya yang resah.
Digagahkan juga mengangkat tubuh Raymi Zikri yang tidak bermaya itu walaupun pada hakikatnya dia bukanlah kuat seperti orang lelaki. Tangan cucunya disandarkan dibahunya agar dia dapat menampung tubuh badan Raymi Zikri.
Moga-moga Raymi Zikri akan sedar sekejap lagi, aminnn…doanya dalam hati.

Kedatangan Dhia disambut mesra oleh setiausaha Muhd Razree di hadapan kaunter utama pejabat yang tersergam indah. Pada mulanya dia agak kekok apabila berada di bangunan milik Puan Khadijah ini. Yalah, dia bukannya kenal sesiapapun di sini. Namun dengan adanya setiausaha Muhd Razree, Marina disampingnya, Dhia mula berjaya menyesuaikan diri di tempat ini.
            Setelah Dhia masuk dan duduk di kerusi milik Muhd Razree, setiausaha bakal suaminya itu menyerahkan satu folder yang mengandungi sebut harga yang tertangguh selama Muhd Razree bercuti sakit. Closing date sebut harga tersebut kebanyakannya tamat dalam masa tiga hari ini.
            Mujur pengalamannya di syarikat lama membolehkan dia handle sebut harga ini dengan tenang tanpa rasa kelam-kabut dan tertekan.
            Ketika dia bekerja di syarikat lama dia banyak menerima sebut harga untuk cenderamata dan pakaian, kali ini dia perlu mengira kos untuk diari dan kalendar.
            “Boleh saya tahu siapa pembekal kertas utama syarikat kita?” tanya Dhia serius. Dia perlu tahu pembekal utama syarikat ini. Senanglah dia berhubung terus dengan pembekal tersebut.
            Mariana tersenyum nipis. “Saya rasa Cik Dhia pernah berjumpa dia. Namanya Encik Muhd Imran. Setakat ini syarikat Encik Muhd Imran lah pengedar utama kertas di syarikat kita. Saya rasa Cik Dhia pernah bertemu dengan dia dulu.”
            Terbangun Dhia dari kerusi yang didudukinya. Imran? Maknanya selepas ini dia kena hubungi Imran untuk sebut harga yang banyak-banyak ini? Astagfirullahalazim… kenapa aku lupa dia pernah datang sini!! Hampir dia luku kepalanya sendiri kerana lupa mereka pernah bertemu di dalam bilik ini.
            Keyakinan yang tinggi untuk menghubungi pembekal kertas menurun tatkala nama Imran disebut. Macam mana ni? Takkan nak suruh Mariana kot yang handle sebut harga ini? Mariana hanya setiausaha yang membantu majikan sepertinya dan dia sebagai bos yang patut berbincang dengan pembekal untuk mendapatkan harga yang murah.
            Hai…susah, susah!
            “Awak keluar dulu, Mariana. Nanti kalau saya tak faham tentang sebut harga ini, saya panggil awak.” ucap Dhia dengan wajah yang muram. Moodnya betul-betul merundum kali ini.
            “Baik, Cik Dhia. Saya keluar dulu.” Mariana akur. Dia menunduk sedikit kepalanya sebelum dia melangkah keluar dari bilik majikannya.
            Sebaik Mariana keluar dari bilik ini, Dhia menghempaskan tubuhnya ke atas kerusi yang didudukinya tadi.
            Imran…kenapa mesti syarikat kau yang membekal kertas di syarikat ini, Kenapa?!!

Berjalan beriringan bersama Dhia tanpa diganggu oleh Muhd Razree membuatkan Raymi Zikri terasa berada diawang-awangan. Bahagia benar rasanya apabila berada di sisi gadis ini. Alangkah gembiranya hidupnya jika Dhia menjadi miliknya yang mutlak.
            “Dhia…boleh pandang Abang Ray sekejap tak?” Ceria wajahnya memandang Dhia.
            Dhia membalas pandangan Raymi Zikri namun wajahnya tidak seceria lelaki disebelahnya ini.
“Hurm…to be honest, I want to be yours, Dhia.” Raymi Zikri mula menuturkan ayat romantis. “Abang Ray sungguh-sungguh ni.”
No.” Itu sahaja balasan yang Dhia berikan.
I want you to be mine, Dhia.” Masih tidak putus harap. Dia masih mencuba lagi.
No.” Jawapan itu ternyata mengecewakan Raymi Zikri.
Tidak berputus asa lagi, Raymi Zikri memberanikan diri dengan melutut di atas jalan tar tanpa mempedulikan kot hitamnya yang dihadiahkan oleh neneknya.
Raymi Zikri melamar Dhia dihadapan orang ramai yang rata-ratanya sedang memandang kearah mereka berdua. Cuba mengambil hati gadis itu yang ternyata tidak senang dengan perlakuannya.
Seriously, I hate that we can't be 'us' because I think we were meant to be us. In front of many peoples in here, would you marry me, Dhia sayang?” luahnya dengan suara yang agak kuat.
Biarlah orang yang ada di sekeliling mereka tahu yang dia betul-betul jujur dan ikhlas mahu mengambil Dhia sebagai isterinya. Ada juga dia terdengar tepukan gemuruh dari sekelilingnya. Makin bersemangat Raymi Zikri untuk mengambil Dhia sebagai isterinya.
The answer is still no, Abang Ray. Selamat tinggal.” Dhia melangkah pergi meninggalkan Raymi Zikri keseorangan disitu.
“Dhia...Dhia...!!” jeritannya bergema memanggil nama Dhia namun gadis itu tetap tidak berpaling kearahnya. Dia bangkit kemudian berlari mendapatkan Dhia yang semakin menjauh darinya. Terdengar suara-suara sumbang mengkritik dirinya kerana tidak berjaya melamar Dhia.
“Dhia...Dhia...tunggu!!” Semakin nyaring suaranya, semakin jauh Dhia meninggalkannya.
“Dhia!!” Sekali lagi Raymi Zikri melaung memanggil nama Dhia. Kepalanya digeleng beberapa kali tanda tidak percaya.
“Ya Allah, Ray. Kamu ni kenapa?!” Puan Khadijah menolak badan Raymi Zikri beberapa kali.
Raymi Zikri mencelikkan mata. Matanya terbuka luas. Wajahnya dipaling ke kiri.
Nenek?
Laa...aku mimpi rupanya. Raymi Zikri meraup wajahnya perlahan. Kecewa kerana lamaran untuk Dhia tadi hanyalah mimpi semata-mata.
“Apa nak jadi dengan kamu ni Ray? Sedihnya nenek tengok keadaan kamu ni. Sampai nama Dhia pun disebut-sebut. Ish, ish, ish..” marah Puan Khadijah.
“Nenek...Ray rasa tak terdaya sangat sekarang ni.” katanya perlahan.
Sayu hati Puan Khadijah mendengar Raymi Zikri berkata begitu. “Tolonglah bangun, Ray. Nenek tak suka tengok kamu macam ni. Nenek rindu nak tengok Ray yang suka senyum. Bangunlah ya?” kata Puan Khadijah dengan diiringi air mata. “Mata kamu tu nenek tengok dah bengkak sangat. Apa yang menyebabkan kamu jadi teruk sangat ni, Ray? Dah lama kamu tak dapat demam panas macam ni.” Bimbangnya dia pada cucunya yang seorang ini.
Air mata Raymi Zikri yang cuba ditahan akhirnya jatuh menitis seperti Puan Khadijah. “Nenek,Ray mintak tolong sangat pada nenek. Ini sajalah cara yang boleh buat Ray sihat walafiat semula.” Suaranya timbul tengelam.
“Tolong apa, sayang? Kalau pertolongan yang Ray mintak itu mampu membahagiakan hati Ray, nenek sanggup tunaikan.” Biarlah kali ini dia tunaikan pemintaan Raymi Zikri, janji cucunya ini sihat dan boleh bergurau senda dengannya.
Terketar-ketar mulut Raymi Zikri untuk meneruskan kata. “Nenek tolong kembalikan Dhia dalam hidup Ray. Ray sayangkan dia…”
Puan Khadijah termangu tanpa kata. Tidak percaya itu yang Raymi Zikri perlukan darinya.
Mampukah dia menunaikan permintaan cucunya ini?