Ahad, 31 Mac 2013

BAB 31 Berilah Sayang Peluang



Riuh suara pekerja-pekerja Datin Zafiah di luar pintu garaj tatkala mendapat makluman dari pengawal keselamatan di luar pintu garaj. Terkejut mereka melihat seorang perempuan yang mengandung di depan rumah mewah ini.

            “Kau dah telefon Datin ke belum, Ali?”tanya salah seorang pembantu dapur  yang bernama Amy kepada pengawal keselamatan yang sedang memaut bahu perempuan mengandung itu. Kesemua pekerja itu duduk mencangkung.

            “Aku dah telefon. Kejap lagi Datin akan sampai.”jawabnya sambil merapikan rambut perempuan itu yang sedikit tidak terurus. “Korang nak tahu, sebelum dia pengsan tadi, dia sempat cakap dengan aku yang dia nak jumpa dengan Tuan Zeril.

Pekerja-pekerja di situ berpandangan sesama sendiri lalu tumpuan mereka terarah pada perempuan yang masih tidak sedarkan diri ini.

Aku terkejut jugak bila dia cakap macam tu. Setahu aku, Tuan Zeril dah jarang cakap dengan perempuan. Bila perempuan ni kenal dengan Tuan Zeril pun aku tak tahulah.”Ali mengangkat bahu sedikit. Dia pun pelik. Sudah berapa bulan dia bekerja di sini, muka perempuan ini tidak pernah ditemui.

“Aku rasa pernah jumpa lah perempuan ni. Tapi aku dah lupa kat mana.”sampuk lagi seorang pembantu rumah iaitu Alina. Kelima-lima pembantu rumah yang  berada di situ merenungnya tidak berkelip. Dia malu kerana semua rakan-rakan memandangnya.

“Kau jumpa kat mana?”semua suara yang berada disitu berkata serentak.  Masing-masing ingin tahu jawapannya.   

“Err…aku rasa dia teman wanita Tuan Zeril lah.”jawab Alina tanpa selindung lagi.

Mereka yang berada di situ semua terlopong mendengarnya termasuk Ali.

“Lah… yeke?”Ali termangu. “Patutlah dia nak jumpa Tuan Zeril. Teman wanita rupanya...,”jawabnya sambil menganggukkan kepala.

“Tapi kenapa dia datang sini balik? Aku rasa kalau Tuan Zeril nampak muka perempuan ni, mesti kena maki teruk-teruk.”sambungnya.

“Apasal pulak? Perempuan ni ada buat apa-apa kat Tuan kita ke?”celah Amy.

“Kalau korang nak tahu, perempuan ni talam dua muka tahu tak?!”mereka semua terperanjat mendengar jawapan Alina. “ Sebelum Tuan Zeril hilangkan diri tu, aku dapat tahu dari mulut Datin Zafiah yang perempuan ni dia dah bertunang senyap-senyap dengan orang lain. Dah tu, bila Datin ajak keluarga diorang datang sini buat makan-makan, elok pulak perempuan ni pakai tudung. Hah, sekarang korang nampak dia tak pakai tudung kan? Dah sah-sahlah perempuan ni talam dua muka!

Mereka setuju dengan apa yang dikatakan Alina. Sudah terang lagi bersuluh yang perempuan ini tidak bertudung. Kesian Tuan mereka kerana ditipu hidup-hidup!

“Aku rasa aku letakkan dia dalam pondok aku dulu, korang masuklah dulu. Nanti pembantu peribadi marah korang pulak.”Kesemua mengangguk.Ada benarnya kata Ali. Kalau pekerja keluar dari rumah mewah ini tanpa kebenaran dari lelaki yang bernama Madz Hazrul itu, tak pasal-pasal kena pecat. Pembantu peribadi Datin Zafiah tu bukan boleh diajak bergurau. Salah sikit kena membebel.

Bukan senang nak dapat kerja kat sini. Siapa yang tidak suka duduk  rumah mewah kan? Orang kebanyakan seperti mereka mana mampu nak beli rumah sebesar ini. Kalau setakat beli pondok security guard yang Ali tinggal ni, mereka masih mampu nak beli. Kalau barang-barang dalam rumah Datin Zafiah ni, tunggu dua tahun lah baru dapat beli.

 Mereka berlari masuk ke dalam rumah mewah itu. Segala kerja yang terbengkalai tadi diuruskan semula.

Ali mula mengangkat tubuh perempuan yang agak berat itu. Maklumlah, perempuan mengandung. Dia membawa masuk perempuan itu dan dibaringkan dengan penuh cermat. Setelah dia membaringkan perempuan itu, bagasi yang tersadai di atas jalan itu diambil lalu diletakkan di meja kecil miliknya.

Sebagai lelaki yang masih muda, dia terpikat dengan kecantikan yang ada pada perempuan ini tapi dia tahu perasaan itu perlu di buang jauh-jauh. Di antara syarat untuk bekerja di sini adalah tidak bercinta ataupun berkahwin sehingga pekerja itu berhenti. Dan dia haru akur dengan syarat itu. Lagipun bukan lama dia bekerja di sini. Cukup setahun, dia akan mencari kerja baru dan berkahwin.

*****

Sampai sahaja di garaj rumahnya, terkoncoh-koncoh Datin Zafiah keluar dari perut kereta. Dia berdoa dalam hati agar tiada apa-apa berlaku di rumah ini. Sedari dalam kereta lagi dirinya gelisah. Berkecamuk fikirannya kerana terlalu memikirkan keadaan rumah.

Langsung dia tidak bertanyakan kepada pembantu peribadinya tentang keputusan tawaran yang diberikan pada Nur Adriana. Dalam keadaan sebegini, semua hal yang tidak berapa penting di tolak ke tepi. Apa yang penting adalah rumahnya!

Madz Hazrul meletakkan kereta di tepi sudut pondok keselamatan. Dia tahu bosnya risau sebab itu dia sanggup keluar dari kereta tanpa membiarkan dia yang membuka pintu.

“Ali, apa yang berlaku kat rumah ni? Cuba cakap dengan saya?”cemas Datin Zafiah bertanya.

Madz Hazrul menghampiri Datin Zafiah dan mula merenung wajah pengawal keselamatan itu.

Ali menundukkan kepala, memberi penghormatan sebelum dia memulakan bicara. “Sebenarnya tak ada apa-apa yang berlaku dalam rumah Datin. Tapi ada benda lain yang dah terjadi."

“Awak cakap apa ni, Ali?Cuba awak berterus-terang?”tegas nada Madz Hazrul.

Ali mengetap bibir. Wajah serius lelaki yang menjadi pembantu peribadi kepada bosnya tidak dihiraukan. Matanya tepat ke arah Datin Zafiah. “Ada seorang perempuan yang pengsan kat rumah ini, Datin. Dekat pintu garaj depan ni” dia menunding tangan ke tempat perempuan yang pengsan itu.

            Datin Zafiah terperanjat. “Mana dia sekarang?”matanya meliar memerhatikan kawasan sekeliling. “Saya tak nampak pun dia ada kat sini? Awak dah call ambulans ke Ali,hantar dia kat hospital?”katanya dengan hairan.

            Ali menggelengkan kepala. “Eh, tak Datin. Saya tak call ambulans tapi saya letakkan dia kat dalam pondok saya.”jawabnya jujur.

Madz Hazrul yang diam membisu sedari tadi cepat-cepat masuk ke dalam pondok itu. Kenapalah Ali tak masukkan perempuan tu kat dalam rumah? Dahlah pondok ni kecil, lepas tu sempit pulak. Manalah muat nak baringkan perempuan tu?gumamnya.

            Datin Zafiah menarik nafas lega. “Hmm..Alhamdulilah, tak ada apa-apa kat rumah ni. Lain kali kalau ada perkara yang betul-betul penting aje baru awak bagi tahu Madz Hazrul. Kalau ada orang yang pengsan ke kat sini, awak ambik tindakan telefon ambulans cepat-cepat okey?”tegurnya.

            Ali menganggukan kepala. Salahnya juga kerana menelefon Madz Hazrul dengan bercakap secara laju dengan pembantu peribadi itu. Kan dah kena tegur!

            Berapa minit kemudian, Madz Hazrul keluar dengan mencempung tubuh perempuan yang pengsan itu.

            “ Perempuan yang pengsan tu ialah Irma Amanda, Datin!”Madz Hazrul mencempung tubuh Irma Amanda keluar dari pondok keselamatan itu.

Datin Zafiah ternganga. Tersekat air liurnya di kerongkong. “Irma Amanda?!!”terus dia menghampiri Madz Hazrul. Tangannya pantas menyelak rambut perempuan itu. Dulu, sewaktu dia masih lagi bersama anaknya, perempuan ini lengkap berpakaian tudung seperti perempuan muslimah yang lain. Sekarang ini, tudung itu sudah hilang dari kepalanya.

“Dia mengandung?”Datin Zafiah menyentuh perut yang semakin membesar. Nampaknya Irma Amanda sudah berkahwin,tekanya. Kesian anaknya ditipu hidup-hidup. Patut dia mengarahkan pembantu peribadinya mencari maklumat berkaitan dengan Irma Amanda sebelum Zeril Iskandar dan perempuan ini melangsungkan perkahwinan.

“Hazrul, bawak dia masuk dalam kereta.”arahnya. Dia memalingkan muka kearah Ali. “Awak pula bawa ambik bagasi perempuan ni.”sambungnya.

“Baik, Datin.”jawab Madz Hazrul dan Ali serentak. Mereka berdua buat seperti yang disuruh.

Ali pantas berlari anak masuk ke dalam pondok keselamatan. Manakala Madz Hazrul mencempung Irma Amanda dan dimasukkan ke dalam kereta.

Datin Zafiah membantu membukakan pintu belakang bagi memudahkan Madz Hazrul membaringkan Irma Amanda. Dia yang sedari tadi duduk di belakang, beralih tempat ke sebelah pemandu.

Setelah semuanya selesai, Datin Zafiah dan Madz Hazrul segera bergerak masuk ke dalam rumah yang telah dibuka awal-awal lagi sebelum mereka datang.

*****

Madz Hazrul membaringkan Irma Amanda di atas katil empuk di bilik belakang. Walaupun Datin Zafiah ingin memberikan keselesaan kepada perempuan yang pernah menghuni hati anaknya namun dia kena berfikir bijak! Zeril Iskandar mungkin akan kembali dalam masa dua atau tiga hari lagi jadi dia terpaksa letakkan Irma Amanda di bilik belakang sekali. Takut anaknya akan mengalami sakit jantung buat kali kedua.

“Apa kita nak buat dengan dia, Datin?”soal Madz Hazrul.

“Kita biarkan dia kat sini dulu, baru kita fikirkan apa yang patut kita buat.” katanya dengan nada tegas. "Jangan sesiapa pun tahu termasuk Tuan Zeril Iskandar."Datin Zafiah segera menyelimutkan sekujur tubuh Irma Amanda. Penghawa dingin dikurangkan suhunya agar perempuan ini tidak kesejukan.

  "Bila Tuan Zeril Iskandar akan balik, Datin?"soalnya lagi.

 "Insyallah dalam dua hari lagi. Saya nak awak kawal dia dengan sebaik mungkin. Jangan bagi orang lain masuk dalam bilik ini, faham?!"sambungnya lagi.

 Madz Hazrul akur. Kata-kata dari Datin Zafiah tidak boleh di bangkang. Dia akan turuti segala permintaan bosnya.

Mereka berdua keluar selepas menyelimutkan Irma Amanda.

Tatkala Madz Hazrul menutup pintu bilik, Datin Zafiah bertanyakan soalan yang agak sukar untuk dijawab. Yalah, bosnya mengharapkan Nur Adriana menjadi penjaga khas Tuan Zeril Iskandar, tetapi perempuan itu menyuruhnya memberikan masa untuk dia membuat keputusan.

“So, Nur Adriana setuju tak jadi penjaga khas anak saya?” Datin Zafiah menukar topik.

Madz Hazrul serba salah untuk menjawab soalan itu. “Sebenarnya Datin, Nur Adriana suruh bagi masa untuk dia buat keputusan jadi sekarang ni dia tak bagi jawapan yang boleh menggembirakan hati Datin.”jawabnya tergagap-gagap. “Maafkan saya, Datin.”dengan pantas dia mengangguk. Tanda bersalah kerana tidak dapat memujuk Nur Adriana untuk menjadi penjaga khas kepada Tuan  Zeril Iskandar.

Datin Zafiah kecewa. Ingatkan Nur Adriana akan terima tawaran itu, nampaknya tidak. “Tak mengapalah. Kalau itu keputusan dia, biarlah saya menjaga Tuan Zeril dulu. Awak dah bagi duit itu?”

Madz Hazrul mengangguk. “Sudah, Datin.”

“Bagus! Akhirnya janji saya nak bagi dia habuan tertunai juga. Awak tahu di mana rumah dia?”

“Tahu, Datin. Tadi saya dah pergi rumah dia.”

            “Saya ingatkan awak jumpa dia kat tengah jalan.”

“Bukan, Datin. Saya ikut dia sampai ke rumah. Mujur dia sudi terima pelawaan saya untuk makan pagi di Hotel Palace, Datin.”

Datin Zafiah membuka mulutnya sedikit. “Ooo…lama saya tak pergi situ. Apa punya shareholder lah kan?”dia ketawa kecil.

Madz Hazrul tersenyum. Ceria hatinya melihat bosnya ketawa. “Saya ada cakap dengan penyambut tetamu tadi, suruh cakap dengan pihak pengurusan bahawa Datin akan datang tak lama lagi.”

“Baguslah kalau awak cakap dekat penyambut tetamu macam tu. Sibuk dengan masalah sampai lupa nak lawat tempat kerja.”terlalu banyak perkara yang berlaku dalam seminggu dua ini tapi dia tahu pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Dia yakin tentang itu.

“Datin, makanan dah disediakan.”kata Amy, pembantu dapur. Dia menunduk hormat.

“Ya Allah, Dah masuk tengah hari rupanya. Saya pun lupa waktu sekarang pukul berapa. Lapar pulak rasanya.”

“Amy?”Datin Zafiah memanggil pembantu rumahnya yang sedang tunduk menekur lantai.

“Ya, Datin?”tanya Amy. Dia mengangkat muka.

“Tolong buatkan bubur dan air soya ye. Bagi pada Madz Hazrul.”arahnya.

Amy menggangguk perlahan lalu beransur pergi.

Madz Hazrul pelik. Dia memandang Datin Zafiah. “Bubur? Buat apa, Datin?”soalnya teragak-agak.

Datin Zafiah menhela nafas perlahan.“Nanti kalau Irma Amanda dah bangun, kasi dia makan bubur tu. Bagi dia bertenaga sikit.”arah Datin Zafiah.

Baru sekarang Madz Hazrul mengerti. Ingatkan nak bagi dia yang makan tadi. Dia bukan tidak sihat sampai nak makan bubur.

“Mari, Datin. “tangannya memberi isyarat mempelawa Datin Zafiah turun ke bawah.

Datin Zafiah mengangguk. Mereka berdua beredar dari situ.

Sementara di dalam bilik, Irma Amanda sudah mula bergerak. Nafasnya turun naik. Perutnya dipegang lembut. Alhamdulilah! Tiada apa-apa yang berlaku padanya.

Selimut ditarik perlahan. Matanya terkebil-kebil memandang bilik yang cantik ini.

“Aku ada kat mana ni?”katanya sendiri sambil memandang syiling yang tidak berlampu. Hendak berdiri, dia tiada daya.

Kepalanya berpinar-pinar. Kemungkinan dia mengalami alahan. Sudah dua bulan dia mengandung. Baru kali ini dia mendapat alahan yang teruk. Waktu minggu pertama kandungan, dia tidak mengalami sebarang alahan. Ini tiba-tiba pulak terjadi.

Akhirnya dia tidur kembali untuk meredakan peningnya.

 

Khamis, 28 Mac 2013

BAB 18 Pulanglah Padaku



Berlaku sedikit kekecohan di Ibu Pejabat Balai Polis Petaling Jaya apabila Rayyan bertindak kasar terhadap polis. Dhia sudah mula takut. Apa yang berlaku pada mereka hari ini memang tidak dijangka. Bekas ibu mertuanya terlalu kejam menuduh mereka memukul Muzaffar.

Sebagai seorang perempuan, manalah dia kuat untuk memukul seorang lelaki sehingga terlantar di hospital? Ini semua mengarut! Kalau Rayyan Zikri tu, tak apalah. Dia boleh memukul sehingga lebam.

Sebenarnya dia sudah tahu siapa yang buat semua ini cuma mulutnya tidak terluah untuk membongkar siapakah yang bertindak memukul bekas suaminya.

Duduk di meja panjang itu membuatkan kakinya menggeletar. Dia hanya mampu mendiamkan diri. Sahabatnya begitu bersungguh-sungguh menyakinkan yang mereka tidak bersalah dalam hal ini. Ditenung wajah sahabatnya yang masih tegak berdiri dengan wajah yang muram.

Rayyan Zikri mengangkat tangan. Dia perlu menyakinkan tiga anggota polis yang berada dihadapannya kini.  “Saya bersumpah demi Allah yang kami taktak terlibat dalam hal ni. Ini semua fitnah! Jangan tuduh kami berdua buat semua itu.”

Nur Adriana terpegun. Begitu yakin sekali sahabatnya berkata. Dia tahu Rayyan Zikri marah apabila mereka berdua di tuduh tanpa bukti yang kukuh. Dia juga marah tapi dia perlu memendam kemarahannya.

“Buktikan pada kami yang kamu tak bersalah, baru kami bebaskan kamu.”kata Inspektor Hazizi tegas. Serius wajahnya memandang wajah dua-dua tertuduh.

“Inspektor tak faham lagi ke apa yang saya katakan tadi? Saya kata tak buat, tak buatlah!”bentak Rayyan Zikri. Meja panjang yang dikhaskan untuk membuat aduan dan laporan dihentak kuat. Kesabarannya sudah hilang. Dia tidak boleh terima semua ini. Apa yang berlaku begitu mengejutkan.

Dhia pantas berdiri. Sahabatnya sudah hilang kawalan. Dia pulak menjadi takut dengan tingkah Rayyan Zikri.

“Ray, calm down. Jangan terlampau ikutkan perasaan. Kau kena ingat kita kat balai polis sekarang. Kau buat macam ni tak dapat selesaikan masalah.”bisik Dhia perlahan.

Rayyan terdiam. Nafasnya dihela bagi mengurangkan kemarahan yang sudah memuncak ketika ini. Hanya Allah yang tahu perasaannya bila dia ditahan polis tanpa sebab yang munasabah.

Dhia memegang tangan Rayyan Zikri lalu dialihkan badan sahabatnya ke belakang. “Cakap perlahan-lahan, Ray. Marah takkan dapat mengubah situasi sekarang. Kau cuba cakap elok-elok dengan polis, nanti tahulah dia nak buat macam mana.”

“Aku tak boleh terima semua ni, Dhia. Kita tak bersalah. Aku tak tahu apa-apa pun pasal ni.”kata Rayyan Zikri perlahan.

“Relax, Ray.”Dhia mengusap lembut belakang sahabatnya. Memberikan ketenangan pada sahabatnya yang agak resah itu. “Tarik nafas, banyak-banyak.”

Rayyan Zikri terasa nyaman apabila sahabatnya mengusap badannya. Dia bagai mendapat sedikit kekuatan. Pandai Dhia ‘menyejukkan’ dirinya. Naluri lelakinya berkocak hebat. Jantungnya berdegup pantas.

“Okey, lepas ni kau cakap elok-elok tau. Ini balai polis, kau kena ingat tu! Tempat ni bukan sesuka hati nak melampiaskan kemarahan. Tak pasal-pasal kau masuk lokap nanti.”nasihat Dhia dengan lembut.

Rayyan Zikri menarik nafas panjang lalu dikalihkan badannya ke depan semula.

“Hmm…Tuan.”walaupun mukanya muram, segaris senyuman diberikan kepada anggota polis yang bernama Inspektor Hazizi itu.

Inspektor Hazizi merenung dalam wajah lelaki dihadapannya. Terkejut jugak tadi dia melihat kemarahan lelaki ini. Dia hendak membalasnya namun dia sedar dia pegawai polis. Bukan ahli gangster untuk membalas balik apa yang tertuduh lakukan.

“Ada apa, Rayyan Zikri?”tegas suaranya bertanya. Dia tahu nama lelaki itu pun dari Puan Halimah. Wanita berusia itu memaklumkan padanya yang lelaki ini memukul Muzaffar pada waktu malam dua hari yang lalu.

“Saya mintak maaf pasal tadi.”Rayyan Zikri menunduk. Mengingatkan kata-kata Dhia sebentar tadi, dia takut masuk lokap. Belum pernah seumur hidupnya menjejaki lokap. Dia hanya tengok gambar lokap pun di carian google. Keadaan yang sunyi, gelap dan menakutkan. Tiada air cond dan bantal untuk dia berehat. Mintak-minta dijauhkan semua itu!

Inspektor Hazizi mengangkat kening. Dia memandang wajah tampan lelaki itu. Mungkin lelaki ini sebaya anaknya. Tapi sayang, sikap buruk yang ada pada Rayyan Zikri membuatkan wajah pemuda itu tampak hodoh di pandangan matanya.

“Kenapa awak mintak maaf dengan saya? Saya tak buat apa-apa pun!”serius dia menjawab.

Rayyan Zikri mengangkat muka. “Saya tahu saya salah sebab sukar kawal perasaan marah saya tapi Tuan harus percayakan kami berdua. Kami tidaklah terlalu kejam sangat sampai nak memukul sahabat sendiri.”

Dhia memandang sahabatnya dengan satu persoalan. Adakah Rayyan masih menganggap Muzaffar adalah sahabat baik mereka? Oh tidak! Perkataan sahabat itu sudah terbuang jauh di saat mereka bercerai-berai.

Dulu mereka bertiga adalah sahabat dunia dan akhirat, walaupun dia berkahwin dengan Muzaffar, bekas suaminya tetap menganggap dia sahabat. Pada masa yang sama, perkataan isteri itu tersemat kukuh dalam perhubungan mereka.

“Habis tu, apa yang Puan Halimah katakan pada saya itu semua tidak benar, begitu?”  marah Inspektor Hazizi.

Rayyan Zikri dengan penuh berani memandang wajah bengis Inspektor Hazizi. “Memang tidak benar. Sudah lama kami tidak berjumpa semenjak Muzaffar berkahwin dengan perempuan lain tanpa pengetahuan isterinya.”Dia mengalih pandangan ke arah sahabatnya yang nampak agak terasa dengan ayatnya. Terpaksa dia meluahkan kesemuanya. Takut Inspektor Hazizi tidak yakin dengan jawapannya.

Dhia mengetap bibir. Sebak rasanya mendengar perkataan isteri itu. Dulu dia isteri, sekarang dia janda. Apa boleh buat….nasib badan.

 

Inspektor Hazizi termenung sejenak. Nak percaya ke dua manusia di depannya? Dalam hati, dia nampak kejujuran lelaki itu. Pada masa yang sama, luarannya menidakkan apa yang Rayyan Zikri maklumkan padanya.

Setelah berfikir, akhirnya dia membuat keputusan. “ Boleh saya tahu siapa orang yang paling rapat dengan kamu berdua? Kalau boleh, saya ingin berjumpa dia secepat mungkin!”

Rayyan dan Dhia terpaku tanpa bersuara. Mereka saling berpandangan diantara satu sama lain. Paling rapat? Siapa?

Takkanlah nenek kut?

“Tuan, Kenapa mesti babitkan orang ketiga dalam hal ini?Tuan masih tak percaya dengan kami berdua?”ujar Rayyan Zikri sedikit tidak berpuas hati. Kalau nenek tahu mereka berdua ada di balai polis, teruklah mereka kena membebel!

Dhia sudah mula seram sejuk. Apa yang berlegar-legar di fikirannya sejak tadi akhirnya terkeluar juga. Habislah kalau Rayyan Zikri tahu nenek yang arahkan orang dalam memukul bekas suaminya. Mesti sahabatnya marah sebab tak bagi tahu awal-awal!

Bukan dia sengaja mahu pendamkan tapi dia tengok Rayyan Zikri sudah mula berubah sikap dari hari ke hari membuatkan dia takut untuk memberitahu perkara sebenarnya. Ternanti jugak di mulut sahabatnya…siapakah sebenarnya Nur Imani? Dia pernah bertemu ke sebelum ini?

“Izinkan saya bercakap dengan Rayyan Zikri sebentar di luar, Tuan?”pinta Dhia lembut. Seharusnya dia mengambil peluang ini untuk membongkarkan rahsia ini. Dia tidak mahu Rayyan Zikri memarahi nenek.

Rayyan Zikri memandang Dhia tanpa bersuara. Kenapa dengan sahabatnya ini? Ada apa-apa yang dia tidak tahu ke?

“Kenapa mesti di luar, cik? Kat dalam dah takde tempat lagi ke cakap?”sindir Inspektor Hazizi dengan mengangkat kening.

Dhia tersengih. “Hal ni personal sikit, Tuan. Tuan tak boleh tahu. Antara saya dan Rayyan Zikri aje yang boleh tahu.”

Tidak berkelip mata Rayyan Zikri memandangnya. Dia hanya mengukir senyuman pahit.

“Kalau saya tahu awal lari dari sini, saya akan terus masukkan kamu berdua dalam lokap!”serius Inspektor Hazizi berkata. “Koperal Ariee, awak tunggu kat luar sampai mereka habis berbual.”arahnya dengan tegas.

Koperal Ariee berdiri tegak dan cepat-cepat mengangguk. “Baik, Tuan!”

Dhia menarik tangan Rayyan Zikri. Memaksanya untuk sama keluar.

Rayyan Zikri hanya menurut.

Keluar sahaja dari ibu pejabat itu, Dhia melepaskan pegangan tangannya. Rayyan Zikri mendengus perlahan sementara anggota polis yang bernama Koperal Ariee itu menunggu di belakang. Mereka tak boleh cakap terlalu lantang, nanti polis itu boleh dengar apa yang di katakan.

Rayyan Zikri membisikkan sesuatu di telinga Dhia.

“Aku memang betul-betul benganglah dengan Inspektor Hazizi tu. Aku dah bersumpah bagai, dia masih lagi buat derk aje kat aku.”kritiknya .

Dhia memejamkan mata seketika. ‘Aduhai…lembutnya suara Ray.’katanya dalam hati.

“Takkan aku nak call nenek suruh datang sini kut? Tak pasal-pasal telinga aku kena dengar bebelan dia tu. Bukan kau tak tahu nenek tu macam mana perangai dia.”rungutnya.

“Ala, ajak ajelah nenek datang sini. Aku yakin nenek takkan marah kau punya.”giliran Dhia pula membisikkan sesuatu pada sahabatnya.

“Kau gila? Aku dahlah malas nak dengar bebelan dia, kau lagi nak suruh dia datang sini? Apa punya kawan lah kau ni?”

“Nenek takkan marah kau. Percayalah cakap aku.”kata Dhia dengan yakin.

“Kau ni kenapa terlalu sebelahkan nenek sangat? Dengan aku bukan main lagi nak bangkang.”ujarnya tidak berpuas hati.

“Okaylah. Aku bagi tahu sejujurnya. Nenek kau ambik orang-orang bawahan dia pergi pukul si Muzaffar tu. Nenek bagi tahu aku semalam. Aku nak maklumkan pada kau tapi kau tak ada.”balasnya dengan takut-takut.

Rayyan Zikri tergamam. Dia memegang kedua-dua bahu Dhia. Rasa tidak percaya dengan apa yang sahabatnya katakan. Betul ke nenek yang rancang semua ni?

Kemarahannya menggelegak kembali. Geramnya dia pada Dhia! Sampai hati dia tak bagi tahu awal-awal. Kalau tidak, dia takkan datang rumah Puan Halimah.

Masya Allah! Nenek ni memang betul-betul wanita yang tidak di duga! Umur dah lanjut pun masih menyimpan dendam lagi.

“Sekarang baru kau nak bagi tahu aku? Bila dah ditangkap baru nak bongkarkan? Aku terpekik melolong yakinkan anggota polis yang kita tak bersalah. Patutlah kau diamkan diri aje. Sampai hati kau, Dhia. Kau berkomplot dengan nenek rupanya!”pekiknya pada Dhia.

Dhia tertunduk membisu. Hah! Kan dah kena marah! Salah dia jugak tak bagi tahu awal-awal.

“Jadi, apa perlu lagi kita tercongok kat sini? Kau call lah nenek supaya datang sekarang jugak. Aku nak balik!”

Dhia terkedu. Marah sungguh nampaknya Rayyan Zikri ni. Macam mana nak pujuk balik lelaki ini?

“Encik Rayyan, sila bawa bertenang. Hal ini boleh di selesaikan secara baik.”sampuk Ariee setelah lama mendiamkan diri memerhati apa yang dibualkan mereka berdua tadi.

“Argh! Kau diam! Jangan menyampuk bila aku tengah bercakap.”rengusnya kasar. Tiada nada hormat pada anggota polis itu. Dia tiada masa untuk bersopan-santun buat masa ini. Marah dia semakin lama semakin membuak-buak.

“Ray, please! Jangan buat aku macam ni. Aku tahu aku salah.”pujuknya dengan nada sebak. Dipegang tangan Rayyan Zikri lalu digenggam seerat mungkin bagai tidak mahu di lepaskan.

Rayyan Zikri apalagi, menepis kuat pegangan itu. Hatinya masih sakit. Jiwanya perit. Hari ini dia memang tiada mood untuk bergurau. Sudahlah Nur Imani tidak muncul di depan matanya. Sekarang, dia ditangkap tanpa bukti yang kukuh. Memang mood dia memang betul-betul hilang.

“Aku cuma kesal kenapa kau diamkan diri dan mintak aku beralah tadi. Kau nasihatkan aku supaya bertenang dan sabar, tapi apa yang aku dapat?”

“Ray! Kenapa kau sensitif sangat ni? Pasal hal tu pun kau nak marah ke?”jerit Dhia. Sabar dia ada hadnya. Ingat dia boleh di marah sesuka hati ke? Dia pun ada perasaan jugak tau!

“Aku memang marah. So, apa masalah kau?!”tempik Rayyan Zikri sekuat hati.

Koperal Ariee terpaksa menghampiri Rayyan Zikri yang agak berserabut itu. Ditahan tubuh lelaki itu agar tidak melakukan perkara di luar dugaan.

“Bawak bertenang, Rayyan Zikri.  Di sini bukan tempat untuk bergaduh! Awak nak kena masuk lokap ke hah?!!”katanya dengan suara yang keras.

Rayyan Zikri terpaku. Takutnya dia mendengar suara polis ini. Lebih baik dia diam sebelum terjadi apa-apa.

“Hah, tahu pun kau diam!”tempik lelaki itu.

Dhia tersentak. Memang dia tabik dengan polis itu kerana berjaya mendiamkan sahabatnya. Dari raut wajah Rayyan Zikri, dia dapat merasakan rayuannya tadi tidak diambil endah oleh sahabatnya. Dengan rasa sebak di hati, dia lekas-lekas menelefon nenek. Nenek lah yang boleh membantu mereka keluar dari sini.

Suara nenek yang kedengaran di talian melegakan hatinya. Dia mendengar ceria sahaja suara nenek.

“Ada apa Dhia telefon nenek ni? Ray takde kat rumah lagilah.”kata Puan Hadijah dengan lembut. Tatkala ini dia sedang bersantai di dalam bilik sambil menonton ceramah agama kegemarannya. Alat kawalan jauh yang digenggam erat ditekan pause agar suara Dhia boleh didengarinya.

Dhia menghela nafas. Lain yang ingin di khabarkan, lain pulak yang nenek jawab.gumamnya. “Nenek, tolong datang Ibu Pejabat  Balai Polis Petaling Jaya sekarang ye. Dhia dengan Ray ada kat sini. Kena tangkap dengan polis.”katanya sedikit kalut.

Puan Hadijah tergamam. Alat kawalan jauh yang dipegang tadi terhempas ke lantai. Dadanya berdegup kencang. Rayyan dan Dhia kena tangkap polis? Masya Allah! Kenapa mereka dibabitkan?

‘Halimah nak kena dengan aku ni!’dengusnya geram. Dia yang membalas dendam, mengapa dikaitkan dengan cucu-cucunya? Lantas, dia bangun dari kerusi kayunya.

“Dhia, nenek datang dalam dua puluh minit lagi. Sabar dulu ye?”pujuk Puan Hadijah. Pantas dia mematikan talian dan memanggil pembantunya degan suara yang kuat.

Dhia tersenyum. Segera dia menutup telefonnya. Leganya dia kerana nenek datang selepas ini. Janganlah Rayyan Zikri memarahinya lagi.

            ‘Ya Allah, kuatkanlah hambamu ini dalam menghadapi dugaan yang mendatang’.doanya dalam hati.

            Diharap Rayyan Zikri sudi memaafkan diriya selepas kedatangan nenek nanti. Amin…

 

 

 

Rabu, 27 Mac 2013

BAB 30 Berilah Sayang Peluang



Nur Adriana mengeluh buat kesekian kalinya apabila kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Hmm…kenapalah dia mesti berjumpa dengan wanita ini? Asal jumpa saja, pasti akan bermula pertengkaran. Jika boleh, dia ingin menjauhkan diri dari wanita itu. Mulut cabul perempuan itu sentiasa menyakikan hatinya.

Ibu tirinya sudah berdiri tegak di perkarangan rumah sambil berpeluk tubuh. Apa lagi yang wanita ini mahukan darinya? Tak habis-habis lagi ke bergaduh?desisnya.

“Macam tak percaya pulak kau ada kawan selain Wan Zubair tu. Eh! Macam mana kau boleh kenal lelaki hensem tu hah?”tanya Puan Farzana ingin tahu. Lelaki tadi itu tampak segak pada pandangannya. Dalam diam dia ingin mejadikan lelaki itu menantunya.

Nur Adriana bertambah meluat dengan sikap wanita tua ini.  Semua perkara dia nak tahu. Tarik rambut lagi sekali baru tahu! “ Kau ni kenapa nak menyibuk hal orang? Tak salah kan aku berkawan dengan lelaki tu?”dia membeliakkan mata.

“Kalau aku cakap salah, kau nak tarik rambut aku ke?”ujar Puan Farzana sinis.

Nur Adriana bengang. “Kau ni apasal? Tak habis-habis nak ganggu hidup aku? Aku tak ganggu hidup kau kan? Dia mencekak pinggang. Tak sudah-sudah wanita ini mahu mengacau hidupnya. Dia baru ingin menenangkan fikiran dan memikirkan semula tawaran yang Datin Zafiah berikan padanya, wanita ini sudah membolak-balikkan hidupnya.

Boleh jadi gila kalau hari-hari bergaduh dengan wanita ini. Argh!

“ Aku nak jadikan lelaki itu menantu aku. Kau tolong adjust kan boleh tak?”tanya Puan Farzana lembut sambil memaut bahu anak tirinya.

Nur Adriana terkedu. ‘Apa kena dengan wanita ni? Tiba-tiba ‘berbaik’ dengan aku? Ini mesti ada muslihat ni.’katanya dalam hati.

Tidak suka dengan perbuatan ibu tirinya, dia pantas menepis kasar tangan wanita itu. “Hesy, apa ni? Gelilah!”

Terperanjat Puan Farzana dengan tindakan refleks anak tirinya. “Saja. Aku nak peluk bahu anak tiri aku tak boleh ke?”mulutnya dicebikkan. “Aku tanya kau baik-baik, kau jawab kasar pulak. Hormatilah aku sebagai ibu tiri kau. Bukan susah mana pun!”

Nur Adriana pula yang mencebik. “Nak hormati kau sebagai ibu tiri aku? Huh! Sorry la. Nak aku hormati kau, kau hormati diri aku dulu.”katanya dengan riak.

Puan Farzana mengangkat kening. “Macam tu pulak ye? Patut kau yang hormati aku sebagai ibu tiri kau. Buat apa aku nak hormatkan kau? Kaedah mana yang kau pakai ni sampai nak kena hormatkan orang muda dulu baru hormat orang tua?”

Mata Nur Adriana naik ke atas. Malasnya nak dengar wanita ini ‘berceramah’. Menyakitkan telinga sahaja.

“Kau ni, banyak cakap lah.”dia mula berasa rimas. “Aku naik dulu lah. Nak mandi.”pamitnya. Kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Hari ini merupakan hari yang malas baginya. Apa yang dia bayangkan sekarang hanyalah tidur, tidur dan tidur. Tak puas dia tidur di hospital semalam. Hari ini biarlah dia tidur puas-puas.

“Tunggu dulu, Nur Adriana.”Puan Farzana terus memegang kejap lengan anak tirinya.

Nur Adriana cuba untuk tidak meninggikan suara. Mana tahu ayah ada kat ruang tamu, nampak dia marah ibu tirinya, pasti ayah akan mengamuk punya!

            “Kau nak apalagi ni?”mendatar sahaja suaranya. Dia merenung wajah ibunya dengan pandangan tajam.

            “Aku harap kau maafkan aku atas apa yang aku dah buat pada kau sebelum ini.”Puan Farzana menundukkan kepala. Tanda kesal dengan apa yang berlaku. Jika boleh, dia mahu tamatkan perbalahan mereka berdua. Biarlah dia beralah kali ini.           

            Nur Adriana tergamam. Wanita ni memang dah buang tebiat agaknya sampai nak meminta maaf? “Baru sekarang kau nak minta maaf, kenapa bukan dulu?”nadanya naik sedikit. Tapi dalam hatinya, dia terharu ibu tirinya sudi meluahkan kata maaf kepadanya. Dia pun ada salah pada wanita ini, cuma sikap ego yang ada pada dirinya tidak dapat dihapus dan sengaja membiarkan kata-kata maaf itu terluah di dalam hati sahaja.

            “Aku akui kesilapan aku dan aku harap kau tolonglah maafkan aku.”pohon Puan Farzana. Sudah lama dia berniat untuk memaafkan anak tirinya tapi hatinya berkeras untuk meluahkan kata maaf itu pada Nur Adriana.

            Nur Adriana bingung. Adakah kata-kata yang muncul di bibir wanita itu adalah benar dan bukan omongan kosong semata-mata? Wajarkah dia memaafkan ibu tirinya?

“Aku tak dapat nak kata apa buat masa sekarang. Aku nak rehat. Jangan ketuk pintu bilik aku masa aku tengah rehat.”arahnya dengan tegas. Dia tidak mahu diganggu ketika ini.

“Ibu harap sangat Adriana maafkan ibu. Ibu akan tunggu sampai perkataan maaf itu muncul di mulut Adriana bila tiba waktunya nanti.”katanya lembut.

“Hmm…”hanya itu yang terkeluar di bibirnya. Segera dia menapak masuk ke dalam tanpa memeandang ibu tirinya.

Puan Farzana mengeluh buat kesekian kalinya. Biarlah masa yang akan menentukan. Tapi dia berharap selepas ini tidak ada pergaduhan diantara mereka lagi. Itu harapannya.

****

Madz Hazrul kembali semula ke hospital. Sengaja dibiarkan kereta mewah milik Datin Zafiah diletakkan di ruangan tengah pintu masuk Hospital Serdang. Jika boleh, dia ingin mengajak bosnya pulang ke rumah. Dari raut wajah yang di pamerkan Datin Zafiah, dia tahu bosnya kurang sihat.

Semalam, dia terpaksa berjaga malam semata-mata untuk menemankan Datin Zafiah mengaji di bilik bacaan. Walaupun matanya mengantuk yang amat, dia kena gagahkan diri untuk menemankan bosnya.

Di dalam kereta tadi, sudah berapa kali dia menguap. Mujur mulutnya tidak menguap di depan Nur Adriana tadi. Kalau tidak, mesti perempuan itu gelakkan dia.

Sampai sahaja masuk di lobi utama, dia pergi ke kaunter pertanyaan. Salah seorang operator yang duduk di situ segera bangun apabila kelibatnya menghampiri kaunter itu.

“Ye, Encik. Ada apa yang boleh saya bantu?”soalnya sopan. Perempuan bertudung itu memaniskan wajahnya.

Madz Hazrul membalas senyuman itu. “Saya nak tahu, di mana letaknya unit kardiologi?”

“Encik naik tingkat tiga, belok kanan dan jalan terus. Nanti di situ encik akan nampak signage unit kardiologi.”

Madz Hazrul lega. Tidak perlulah dia bersusah payah untuk mencari bilik yang menempatkan Tuan Zeril Iskandar.

“Terima kasih.”ucapnya dengan senyuman manis. Pekerja itu hanya mengangguk sahaja.

Dia berjalan dengan langkah yang penuh yakin. Cermin mata hitamnya disematkan di kocek tepi bajunya. Matanya yang sedikit sepet itu mampu menarik pengunjung yang datang ke hospital ini.

Tatkala menaiki ekskalator, deringan telefonnya tiba-tiba bergema kuat. Dia terperanjat. Siapa pulak yang telefon ni?”Madz Hazrul pelik. Dia memandang seketika cermin telefonnya.  Belum pernah lagi dia melihat nombor ini di dalam telefonnya. Setahunya, jika nombor telefon  sudah ditulis nama, nama itu akan muncul di paparan skrin. Nombor baru yang dipaparkan ini tidak pernah sekali pun dia lihat.

Siapa erk?

Telefonnya ditekan butang hijau lalu dilekapkan ke pipi. Dia menarik nafas perlahan. “Assalamualaikum. Boleh saya tahu dengan siapa saya bercakap ini?”

Dia berhenti ditepi tempat duduk pengunjung. Dia tidak duduk, hanya berdiri sambil matanya meliar memandang orang ramai lalu-lalang.

Suara ditalian tidak muncul setelah seminit berlalu. Dia melihat skrin telefon itu dengan bosan. Ditatap lama nombor yang berada di skrin itu. Masa talian masih berjalan, tapi suara tak muncul.

“Kalau tak nak cakap, baik awak tutup aje telefon tu. Menyusahkan orang kat sini aje menunggu suara awak tu.”cemuhnya. Tak guna dia berlembut jika orang yang menghubunginya tidak bersuara.

“Hazrul, kau kena balik rumah sekarang jugak!!”tidak semena-mena, muncul satu suara di talian.

Air liurnya bagaikan tersekat di kerongkong. Terkedu dia mendengar suara itu.

Apa yang sudah berlaku di rumah Datin Zafiah?

****

Prof.Dr.Azmi keluar dari bilik kecemasan dengan keadaan lega. Akhirnya Zeril Iskandar selamat dibedah. Cuma dia hairan, lama betul doktor Wan Zubair membasuh tangan? Katanya sekejap sahaja.

Dia membuang glove yang digunakan tadi ke dalam tong sampah. Tangannya perlu dibersihkan.

Usai membuka kedua-dua sarung tangan itu, matanya tertancap pada seorang wanita yang agak berusia di kerusi luar bilik pembedahan. Rasanya Datin Zafiah, mama Zeril Iskandar. Lantas dia menghampiri wanita itu dan duduk disebelahnya.

“Saya ingat Datin dah balik tadi. Rupanya Datin masih lagi kat sini.”katanya dengan lembut.

“Doktor, betul ke apa yang doktor Wan Zubair katakan pada saya tadi?”tanya Datin Zafiah dengan suara mendatar. Tiada senyuman manis di wajahnya. Sungguh, dia masih lagi tidak percaya anak dia sebenarnya menghadapi sakit jantung kesan daripada memakan pil dan minuman alkohol.

I just don’t understand, Datin.”kata Prof. Dr.Azmi pelik. “Apa yang doktor Wan Zubair katakan pada Datin tadi?”soalnya.

“ Betul ke anak saya mengalami penyakit cardiomypothy, doktor?”katanya dengan nada suara yang lemah.

Prof.Dr.Azmi mengangguk dalam kepayahan. Dia sebenarnya tidak mahu maklumkan kepada mama Zeril Iskandar tentang penyakit itu. Takut Datin akan terkejut besar apabila dia mendapat tahu anaknya mengambil makanan dan minuman yang diharamkan dalam islam.

“Saya tak sangka Zeril Iskandar buat macam tu. Saya ingat dia anak yang boleh diharap, rupanya jauh panggang dari api. Saya kesal ada anak macam tu.”Datin Zafiah meraup mukanya. Perasaan kesalnya menggunung.

“Hmm…ada eloknya Datin berehat dirumah dan tenangkan fikiran. Saya rasa Datin terlampau ikutkan hati disebabkan Zeril Iskandar lakukan perbuatan buruk di belakang Datin. Tapi Datin kena tahu, pasti ada hikmah dengan apa yang berlaku sekarang.”Tegur Prof.Dr.Azmi dengan sopan.

Datin Zafiah mengeluh. “Hati saya sakit, doktor.”luahnya tanpa dipendam.

Prof.Dr.Azmi tersenyum. “Maaflah, saya bukan saja suka-suka nak tegur Datin, tapi ada baiknya Datin jangan tanamkan sifat sakit hati pada anak Datin. Berilah Zeril Iskandar untuk berubah selepas ini. Apa yang dia buat dulu, biarkan ia berlalu.”nasihatnya dengan yakin sekali. Datin Zafiah mahu memarahinya, dia tidak kisah. Dia cuma mahu menegur apa yang patut sahaja.

Datin Zafiah merenung jauh bilik pembedahan di depannya. Dia menongkah dagu. Anaknya masih lagi di situ. Dia terfikir dalam diam, perlukah dia mengikut nasihat doktor lelaki ini? Apakah Zeril Iskandar akan berubah dan berjanji padanya untuk tidak membuat perkara bertentangan lagi?

“Datin terasa ke dengan apa yang saya cakap ni?”Prof.Dr.Azmi merenung dalam wajah wanita itu. Dia mula takut. Tengok wajah wanita itu, dia rasa bersalah pulak. Riak wajah wanita itu tampak muram. Menyesal dia memberi nasihat kepada wanita itu.

Ada baiknya dia beredar dari sini. Datin Zafiah seakan tidak mahu menjawab soalannya. “Datin, saya pergi dululah. Tangan saya dah melekit ni.”dia mula bangun dari situ. Buat apa dia perlu duduk di sini sekiranya pertanyaan dia tidak di jawab?

Sepatah kata pun tidak terkeluar dari mulut Datin Zafiah. Prof. Dr.Azmi akur dengan kelakuan wanita itu lalu dia beredar dengan mengucapkan salam.

Datin Zafiah menjawab salam dalam hati. Hah! Nasib baik doktor tu dah pergi, kalau tak telinga ni kena dengar nasihat banyak-banyak pulak.

Suasana sepi semula. Tiada ramai orang yang lalu di lorong unit kardiologi ini. Dia bersandar malas di kerusi yang didudukinya.

Aduhai, peningnya kepala hari ini. Rasa nak tidur aje. Dia menghela nafas dan memejamkan mata buat seketika. Berharap selepas ini Madz Hazrul akan datang mengambilnya pulang.

“Datin! Datin!”

Datin Zafiah membulatkan mata. Kepalanya dipalingkan ke kiri. Madz Hazrul! Dia berasa lega kerana pembantu peribadinya datang ke sini. Selepas ini boleh lah dia balik ke rumah.

“ Hazrul. Awak ni terburu-buru kenapa?”Dia melihat raut wajah pembantu peribadinya kelihat gelisah. Apa yang berlaku sebenarnya?

Madz Hazrul tercungap-cungap. Datin Zafiah menyuruh pembantu peribadinya bertenang sebelum memulakan bicara. Dia pulak jadi takut tengok pembantu peribadinya jadi begitu.

“Tarik nafas dulu, Hazrul. Apa yang awak nak cakapkan pada saya ni?”soalnya tidak sabar.

“Datin…,”tercungap-cungap dia berkata. Datin Zafiah mengelengkan kepala. Hazrul…Hazrul…

“Ada sesuatu dah berlaku di depan garaj rumah Datin!”Akhirnya Madz Hazrul dapat menyebut kesemua perkataan dengan lancar.

Datin Zafiah tergamam.