Isnin, 16 Disember 2013

BAB 15 JANGAN TINGGALKAN AKU


Turun naik nafas Khuzairi tatkala mendengar penjelasan Kyra yang dirasakan seperti menghempap batu diatas kepalanya.
“ Kyra memang suka buat abang macam ni kan? Abang cintakan Kyra tapi Kyra tak pernah hargai pun rasa cinta abang pada Kyra! Bila abang boleh dapat semula cinta yang ada dalam diri Kyra tu, hah?!”
Kyra terasa gegendang telinganya seakan mahu pecah kerana mendengar Khuzairi menjerit terlalu kuat ketika dia menjelaskan situasi yang sebenarnya. Baginya, lebih baik dia dimarahi Khuzairi supaya bekas suaminya itu tidak terlalu menaruh harapan untuk mendapatkannya semula. Terpaksalah dia menadah telinganya untuk mendengar segala kemarahan yang terkeluar dari mulut Khuzairi.
“ Awak, saya minta maaf sekali lagi.” Kyra menundukkan kepala sambil mengucapkan kata maaf. Dia mengaku dia bersalah kerana buat Khuzairi terlalu berharap padanya.
“ Jadi Kyra sanggup kahwin dengan lelaki badak sumbu tu daripada berkahwin dengan abang semula?” tengking Khuzairi. Sedikit pun dia tidak menghiraukan kata maaf tersebut. Hatinya terluka. Insan yang dicintai telah meranapkan harapannya untuk bersatu semula.
“ Kyra sanggup kahwin dengan dia asalkan tak bersama awak lagi.” jawab Kyra dengan tenang.
Khuzairi ketawa sinis. Mulutnya dicebikkan sambil tangan kanannya digenggam kuat.      “ How could you, Kyra. Sanggup Kyra buat abang macam ni!”
Pang! Satu tamparan hinggap di pipi Kyra. Kyra terkedu. Bibirnya bergetar. Khuzairi menamparnya dikhalayak ramai? Lelaki ini memang bukan lelaki yang baik untuk dijadikan suami! Dasar lelaki hipokrit!
“ Bagus awak tampar saya, Khuzairi. Ini bermakna, lagi cerah peluang saya untuk tidak berkahwin dengan awak. Selamat jalan, daun kucai.” kata Kyra dengan menyebut nama gelaran yang diberi buat bekas suaminya itu. Kyra memegang pipinya sambil berpaling ke belakang. Biarpun dia dimalukan didepan khalayak ramai, jauh disudut hatinya dia gembira kerana berjaya memberitahu Khuzairi tentang perasaan yang sebenarnya. Dia tidak mahu menipu lagi. Cukuplah sekali dia berkahwin dengan lelaki itu.
Cukuplah…
Tanpa berlengah lagi, dia berjalan pantas meninggalkan Khuzairi dan mengambil teksi yang ada di kawasan syarikat Slim World itu. Apa yang berada di fikirannya kini hanyalah ke rumah ibu kandungnya yang terletak di Bandar Tun Razak. Dia mahu berehat di sana tanpa memikirkan sebarang masalah.
Khuzairi mengetuk pintu keretanya. Rasa marahnya berbuku di sanubarinya. Tunggu Kyra, aku akan pastikan kita bersama semula! Tekadnya dalam hati.
****
Abdul Fatah memanggung kepala sambil menutup mata. Jiwanya jadi tidak tenang memikirkan apa yang diperkatakan Kyra sebentar tadi. Sememangnya dia kecewa kerana Kyra memilih Khuzairi berbanding dirinya.
Teringin sekali dia mahu tahu apakah hubungan sebenar Khuzairi dengan Kyra. Apakah mereka berdua sebelum ini pernah bercinta ataupun Khuzairi sahaja yang syok sukakan Kyra?
Belum pernah dia rasa sebegini sedih. Jika dulu dia pernah ditinggalkan kerana badannya yang tembam. Teringat lagi kata-kata bekas tunangnya, Nur Alia yang menguris sanubarinya.
Memang awak kaya, tapi awak gemuk! Saya tak nak bersuamikan lelaki yang gemuk. Nanti orang ejek. Saya tak suka diejek!”
Begitulah ayat yang masih melekat di dalam fikirannya semasa Nur Alia hendak memutuskan tali pertunangannya. Memang dia bersyukur sangat kerana jodohnya dan Nur Alia berhenti setakat itu sahaja. 
Semasa perkenalannya dengan Nur Alia, gadis itu tidak pernah memperlekehkan imejnya. Dia rasa terharu. Bukan senang untuk gadis kurus dan bertudung seperti Nur Alia menerima lelaki yang gemuk dan tembam sepertinya. Namun selepas beberapa bulan mereka mengikat tali pertunangan, sikap Nur Alia mula merubah seratus peratus! Dia jadi kecewa yang amat sangat.
Sebab itulah jika dia berada di pejabat, dia sering termenung di jendela yang berada dibelakang kerusi ofisnya. Dari jendela itu, dia dapat melihat keseluruhan tubuh badannya.
Walaupun dia bekerja di tempat yang melangsingkan badan namun semangatnya untuk menguruskan badan masih pudar. Dia bekerja di syarikat ibunya pun kerana mahu bebas bergerak ke mana-mana yang dia suka. Itu sebablah dia bekerja di bawah pimpinan ibu.
Bekerja di Slim World, dia rasa bersyukur sangat kepada Tuhan kerana menemukannya dengan Kyra. Perang dingin yang berlaku ketika pertemuan pertama kali memberikannya keceriaan yang sudah lama tidak muncul dalam dirinya. Dia suka kenakan Kyra dan jika boleh hari-hari dia mahu kenakan wanita itu.
Malangnya hari ini, Kyra sudah pergi meninggalkannya dan tidak mahu menjadi duta dalam syarikat Slim World lagi. Itulah yang membingungkannya sekarang.  Dia sudah buntu untuk meraih cinta Kyra. Sudah terang-terangan Kyra tidak menyukai dirinya. Cara apa lagi yang sesuai untuk Kyra terus bersetuju mengahwini dirinya? Abdul Fatah meraup rambutnya ke belakang. Rambutnya yang terbelah tengah diusap kasar.
“ Hai anak ibu… tadi bukan main ceria aje wajahnya. Kenapa sayang?” ucap Puan Faridah setelah dia menutup pintu bilik anaknya. Dia tidak perlu mengetuk pintu bilik anaknya.
Abdul Fatah tersentak. Kepalanya diangkat lalu dia mula mengukirkan senyuman nipis ketika ibunya masuk ke dalam biliknya. “ Nothing, ibu.”
Puan Faridah mencemik setelah dia duduk didepan anaknya. “ Yalah tu tak ada apa-apa. Muka nampak masam, senyum tu macam terpaksa aje. Ini mesti ada apa-apa ni. Cakaplah pada ibu. Mana tahu ibu boleh selesaikan.” Walaupun dia sibuk di tingkat atas namun dia tetap tidak mengabaikan anaknya di sini. Hanya Abdul Fatah lah tempat dia memberikan kasih sayang. Suaminya sudah dua tahun meninggal dunia dan sehingga kini dia tidak pernah memikirkan untuk mencari pengganti suaminya.
Abdul Fatah mengambil kedua-dua belah tangan ibunya lalu digenggam erat. Puan Faridah tersentak. “ Fatah nak bagi tahu ibu sesuatu ke?”
Abdul Fatah mengeluh lalu dia meleraikan genggaman itu. Dia bangun sambil merenung jendela biliknya. Kedua belah tangannya diseluk ke dalam kocek seluar. “ Ibu, kalau Fatah cakap ni ibu jangan marah ya.” ucap Abdul Fatah tanpa memandang wajah ibunya.
Puan Faridah berpeluk tubuh. “ Cakaplah, Fatah. Ibu janji ibu takkan marah.”
“ Fatah nak minta kebenaran ibu untuk berkahwin dengan Kyra boleh?”
Puan Faridah terus terbangun dari kerusi yang didudukinya. “ Apa?!”
Abdul Fatah memaling ke belakang lalu dia menatap wajah ibunya. “ Ibu kata ibu takkan marah kan kalau Fatah cakap macam tu?”
Puan Faridah mendekati anaknya lalu memegang tubuh badan anaknya yang tembam itu. “ Cik Kyra yang jadi duta Slim World tu? Ibu tak percayalah dia nak kahwin dengan Fatah. Mana sepadan!”
“ Sampai hati ibu cakap kami tak sepadan. Kata-kata ibu tu buat Fatah ingat pada Nur Alia semula. Salah ke orang tembam macam Fatah ni berkahwin dengan orang yang kurus macam Kyra?” Abdul Fatah terasa hati dengan kata-kata ibunya
Puan Faridah mengeluh berat. Tidak sepatutnya dia mengatakan pada anaknya sebegitu.   “ Maafkan ibu ya sayang. Ibu terlanjur bicara. Kalau betul Fatah sukakan Kyra, kahwinlah. Ibu setuju.” Akhirnya dia akur. Anaknya memerlukan kebahagiaan dunia dan akhirat. Jadi dia tidak akan membantah sekirannya Kyra menjadi menantunya.
“ Tapi Kyra setuju ke nak kahwin dengan kamu? Ibu tengok dia macam tak berapa suka aje dengan kamu. Masa ibu masuk nak bagi cek tadi, muka Kyra tu masam aje bila tengok muka Fatah.”
“ Dia memang tak sukakan Fatah pun.” Selamba sahaja Abdul Fatah menjawab.
“ Dah tu, kenapa nak teruskan juga kahwin dengan Cik Kyra tu? Ibu tak nak kalau kamu berdua dah kahwin nanti, selalu bergaduh. Cukuplah ibu kesalkan perangai si Alia tu yang nak putuskan pertunangan kamu berdua. “ Teringatkan Nur Alia, dia jadi benci dengan gadis itu. Harap sahaja bertudung tapi mulutnya masya Allah, pedas betul! Sanggup dia kata anaknya gemuk? Jika dia berada didepan Nur Alia sewaktu gadis itu ingin memutuskan pertunangan dengan anaknya, pipi gadis itu akan ditampar sekuat hatinya. Baru dia rasa puas!
“ Fatah cintakan Kyra ibu. Fatah rasa sunyi kalau dia tak ada kat sisi Fatah. She’s everything to me, ibu.” Luah Abdul Fatah tanpa rasa segan lagi.
Puan Faridah merasa kagum dengan anaknya kerana tidak takut untuk meluahkan rasa sayang dan cintanya kepada Kyra. Harapannya agar anaknya akan kekal hingga ke hujung nyawa bersama Kyra. Insyallah. Doanya dalam hati.
“ Jadi apa masalahnya sekarang? Ibu tak nampak pun apa masalahnya sampai muka anak ibu ni masam aje. Ibu kan dah setuju Fatah kahwin dengan Cik Kyra tu.”
Abdul Fatah bergerak pula ke sofa tiga berangkai yang baru sahaja Kyra baring dan duduk sebentar tadi. Dia mengusap sayang sofa tersebut. “ Fatah nak kahwin dengan Kyra minggu depan tapi Fatah tak ada cara macam mana nak bagi dia terus setuju untuk kahwin dengan Fatah. Ibu ada cara tak nak bagi Kyra terus setuju nak kahwin dengan Fatah? Fatah dah buntu ni.”
“ Siapa suruh Fatah buat keputusan terburu-buru? Kan dah buntu jadinya. Ibu ada cadangan nak buat Cik Kyra tu setuju kahwin dengan Fatah.”
Mata Abdul Fatah bersinar. Dia menyentuh bahu ibunya. “ Apa dia ibu, cakaplah.” Berkobar-kobar semangat Abdul Fatah saat ini. Nak kahwin dengan Kyra lah katakan!
“ Tapi cadangan ibu ni akan dibuat minggu depan tau. Bukan hari ni. Fatah setuju aje, ibu akan terus buat.”
“ Fatah akan terus setuju. Asalkan dapat kahwin dengan Kyra minggu depan.” Yakin sekali Abdul Fatah menjawab.
“ Amboi anak ibu ni. Semangat sungguh!” Mereka bersama-sama ketawa.
“ Tapi apa yang ibu nak buat? Fatah nak tahu sangat ni.”
“ Macam ni jalan ceritanya…” Puan Faridah berbisik manja di telinga Abdul Fatah. Diceritakan apa yang berselirat di fikirannya kepada anaknya.
“ Haa… macam mana cadangan ibu? Brilliant tak?” kata Puan Faridah usai menceritakan cadangannya.
Abdul Fatah mengelengkan kepala dengan cadangan ibu yang dirasakan diluar kotak fikirannya.       “ Tak membazir ke ibu? Fatah rasa banyak nak guna duit tu.”
“ Ala, membazir apanya! Demi anak ibu, ibu sanggup keluarkan semua duit ibu.” Puan Faridah menepuk bahu anaknya dengan lembut.
“ Terima kasih, ibu. Fatah harap Kyra akan terus setuju untuk kahwin dengan Fatah lepas ibu laksanakan rancangan tu.” Perlahan sahaja suara Abdul Fatah.
Puan Faridah tersenyum simpul. " Tapi Fatah kena buat sesuatu untuk ibu kalau nak ibu tolong Fatah. Ibu tak nak orang pandang rendah dengan anak ibu lepas kahwin dengan Kyra nanti. Ibu nak korang sama-sama sepadan bila berjalan di luar sana.”
Abdul Fatah mengerutkan dahi. “ Ibu nak Fatah buat sesuatu? Buat apa?” Dadanya mula berdebar.
Puan Faridah tersenyum. “ Ibu nak Fatah kurus dalam masa empat bulan ni dan jadi duta Slim World bersama Cik Kyra.”

Abdul Fatah membuntangkan mata. “ What?!”

4 ulasan:

Unknown berkata...

apalah rancangan ibu fatah tu ya..tertanya2 best2 nak lagi :)

Unknown berkata...

hehe...insyallah esok eya bg ya kak... tq tau sbb bg komen! hehe

Unknown berkata...

What !!?? Hahahaha .. Trima jelaa Fatah oii .. Bukn sng nk jd DUTA SLIM WORLD .. Untk pikat Kyra jgk .. Hehehehe .. Lau akk laa dpt offer jd DUTA .. Memg xtolakk .. Hehehehe

Tanpa Nama berkata...

hehe...insyallah Fatah terima kak...mmg bkn snang nk jd duta kn kak...