Isnin, 6 Januari 2014

BAB 23 JANGAN TINGGALKAN AKU



Aku terima nikahnya, Amylia Nur Kyra dengan mas kahwinnya membimbing jalan yang diredhai Allah S.W.T…
Berwalikan Atuk Kyra iaitu Ahmad Khairil dan dua orang saksi, Kyra dan Abdul Fatah selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz. Insan yang paling gembira di dalam bilik itu semestinya Abdul Fatah.
Dengan hati yang separuh rela, Kyra terpaksa berjabat salam dengan Abdul Fatah.
Abdul Fatah bukan main teruja lagi apabila Kyra mencium tangannya. Dia mengambil peluang ini mencium dahi Kyra. Bukan senang mahu mendapat peluang ini.
Puan Azlina, Atuk Kyra dan dua saksi yang merupakan saudara terdekat Kyra bersalaman sambil mengucapkan tahniah kepada kedua-duanya. Abdul Fatah tidak henti-henti menguntum senyum lebar manakala Kyra hanya tersenyum pahit. Yalah, kahwin terpaksa kan?
Ibu Abdul Fatah, Puan Faridah tidak dapat menghadirkan diri kerana berada di Singapura ketika ini bagi mempromosikan syarikatnya.
“ Baguslah kamu kahwin semula Kyra. Tak adalah kamu sunyi sentiasa. Cepat-cepat dapatkan ibu cucu ya.” kata Puan Azlina. Dia menepuk lembut bahu anaknya yang anggun berbaju kebaya berwarna biru gelap itu. Kyra tertunduk malu walaupun mukanya  panas membahang kerana ibunya berkata begitu.
Abdul Fatah yang perasan Kyra menundukkan muka segera merapati wanita itu lalu digenggam erat tangannya. Kyra terpaku. Segera dia mengangkat wajah. Mahu sahaja dia menepis kasar tangan Abdul Fatah namun dia sedar dia berada di depan ibu dan Atuk. Terpaksalah dia membiarkan lelaki itu memegang tangannya.
“ Insyallah ibu. Kami akan berusaha untuk berikan ibu cucu tahun ini juga!” Abdul Fatah mewakilkan Kyra dalam membalas kata-kata ibu mertuanya. Dhia sekali lagi terpaku tanpa kata. Bibirnya diketap geram. Lelaki ni memang nak kena dengan aku lepas ni!
Puan Azlina dan Atuk saling berpandangan sebelum masing-masing tersenyum. Senang dengan kata-kata Abdul Fatah. Nampaknya Kyra bertuah kerana bersuamikan lelaki yang sudi menerima Kyra sebagai isteri. Bukan mudah seorang bujang menerima janda seperti Kyra ini.
“ Fat, boleh kita cakap kat luar sebentar? Saya ada hal nak cakap dengan awak.” Tutur kata Kyra lembut sahaja di depan ahli keluarganya. Abdul Fatah pula seakan-akan terpukau dengan tutur kata Kyra yang begitu menikam kalbunya itu.
“ Pergilah. Kami tunggu kat sini.” ucap Puan Azlina sambil tersenyum.
***
Kyra dan Abdul Fatah berdiri tidak jauh dari muka pintu bilik yang menjadi majlis pernikahan mereka.
Kyra merenung Abdul Fatah dari atas ke bawah. Walaupun badan suaminya agak tembam namun dia akui lelaki itu agak comel dan tinggi. Eh, apahal aku tiba-tiba boleh puji dia ni? Bukan ke aku benci kat dia? kyra mengeleng-gelengkan kepala.
“ Kenapa Kyra pandang Fat macam tu? Ada yang tak kena ke?”
“ Haa?” Kyra tersentak.
“ Kyra nak cakap apa dengan Fat tadi?”
Kyra ketawa sinis. “ Takkan kau tak tahu apa yang aku nak cakapkan?” Kali ini suara Kyra berubah kasar. Dengan lelaki ini, dia tidak boleh berlembut.
“ Abang betul-betul tak tahu.” Abdul Fatah mula menukar panggilannya. Dia mahu Kyra menghormatinya sebagai suami.
“ Okeylah, straight to the point! “ Kenapa kau bagi aku mas kahwin macam tu? Aku tak sukalah.” Kyra buat muka tidak puas hati.
“ Tak suka ke mas kahwin yang abang berikan tu?” Abdul Fatah mengerutkan dahi. Rasanya, itulah mas kahwin yang paling terbaik yang dia mampu berikan. Dia mahu perkahwinan mereka bahagia dan diberkati Allah sepanjang hayat.
Abang? Eii… rasa nak muntah bila dia panggil macam tu. “ Tak sukalah sebab tak ada ringgit Malaysia kat depan dia.” Kyra mencebik.

             “ Tak baik cakap macam tu. Wang bukanlah jaminan untuk bahagia Kyra. Abang bagi mas kahwin tu ikhlas demi Allah S.W.T.” Penuh perasaan Abdul Fatah menjawab.

             “ Tapi aku nak duit juga. Aku perlukan duit sangat-sangat.” Kyra separuh merayu. Benar, dia betul-betul perlukan duit untuk membayar duit Abdul Fatah.
Abdul Fatah tersenyum. “ Boleh aje. Kyra nak duit, abang boleh bagi tapi abang perlukan sesuatu daripada Kyra.”
Kyra mengeluh panjang. Tak habis-habis dengan permintaan! Bencinya.
“ Kau nak apa?” Kyra mencebik.
“ Bila abang bawa Kyra pergi rumah abang, abang akan bagi tahu permintaan abang.” Abdul Fatah senyum sebelum dia mengambil tangan Kyra dan membawanya masuk ke dalam bilik nikah itu semula.
Kyra ikut sahaja langkah suaminya. Dia terpinga-pinga dengan kata-kata Abdul Fatah. Rumah? Dia mula rasa seram sejuk. Takkan suaminya mahu meraikan ‘ malam pertama’ mereka di rumah ibu mertuanya? Oh, tidak!!
****
             “ Ibu, Atuk… majlis dah selesai kan? Jadi Fat rasa kita boleh balik sekarang lah. Jemput ibu, Atuk… naik kereta Fat.” pelawa Abdul Fatah penuh hormat. Tangan yang mengenggam jari-jemari Kyra tadi segera dileraikan. Kedua-duanya mengangguk sebelum mereka beredar dari bilik itu.
Kyra tiba-tiba terasa sayu. Abdul Fatah tadi bukan main pegang tangan dia bagai tak nak lepas. Bila dah lepas, kenapa hatinya rasa lain macam? ‘ Takkan kau dah mula suka kat dia Kyra?’ Dia mengelamun seketika. Badannya tegap berdiri di situ tanpa sedikit pun bergerak ke muka pintu bilik ini.
Penolong Pegawai Pendaftar Nikah serta yang lain sudah keluar dari bilik ini. Yang tinggal hanya Kyra dan Abdul Fatah sahaja.
“ Kyra sayang…” bisik Abdul Fatah dekat di telinga Kyra.
Kyra tersentak. Dia mencebik ke arah Abdul Fatah dengan wajah meluat. “ Kau kenapa?”
“ Jom keluar. Semua orang yang ada dalam bilik ni dah keluar dengan selamatnya. Kyra dengan abang aje tak keluar lagi. Abang tak nak kena kunci dalam bilik sederhana besar ni.”
“ Sejak bila kau dah pandai bahasakan diri ‘abang’ ni? Rasanya aku tak pernah suruh kau bahasakan diri ‘abang’. Depan ibu dan Atuk aku bolehlah kau cakap macam tu, tapi depan aku kau jangan menggatal nak sebut abang ya. Aku tak suka!” Kyra mecemuh sebelum dia bergerak keluar dari bilik sederhana besar itu meninggalkan Abdul Fatah yang sudah berubah riak wajahnya.
“ Kyra tak suka tapi abang suka…” Abdul Fatah menunduk sesaat sebelum dia cepat-cepat keluar dari bilik ini. Walaupun jiwanya perit dengan kata-kata yang dibalas isterinya, namun dia tetap bersabar. Dia yakin, suatu hari nanti Kyra akan menerimanya sebagai suami yang sah. Dia hanya perlu menunggu sahaja waktu itu.  
****
Sekali lagi Kyra sebal dengan sikap Abdul Fatah kerana lelaki itu menggunakan kereta kancil sebagai pengangkutan balik mereka. Ikutkan hati, dia balik naik teksi sahaja. Masa datang ke Pejabat Agama Daerah Gombak tadi pun dia beserta ahli keluarganya yang lain datang dengan menaiki teksi. Ingatkan Abdul Fatah akan datang ke sini menggunakan kereta mewah yang merupakan milik ibunya. Tetapi sayang… kereta kancil juga yang menjadi pengangkutan utama mereka. Hai… ingatkan dapatlah merasa naik kereta mewah, rupanya tidak.
Kyra berura-ura untuk duduk dibelakang bersama ibunya namun pantas ditahan Abdul Fatah. Kyra buat muka tidak puas hati.
“ Ibu dengan Atuk duduk belakang ya.” Saran Abdul Fatah sekaligus membukakan pintu untuk ibu mertua dan Atuk. Setelah itu, pintu sebelah pemandu dibuka khas untuk Kyra. Abdul Fatah perasan raut wajah isterinya memang nampak seperti tidak berpuas hati dengannya namun dia peduli apa?!
“ Masuk ya Kyra sayang…” Lembut suara Abdul Fatah meminta Kyra masuk ke dalam kereta. Dia berjanji pada dirinya bermula saat ini, dia mahu melembutkan suara pada isterinya.
Kyra pula apa lagi. Masuk ke dalam perut kereta dengan muka monyok. Abdul Fatah tersenyum ceria sebelum dia berlari anak masuk ke dalam kereta. Hatinya puas. Hari ini merupakan hari yang paling bermakna buat dirinya. Dia telah berkahwin dengan wanita pujaannya dan dia tidak sabar untuk berdua-duaan dengan Kyra di rumahnya selepas ini!
***
Jika ramai pengantin mengatakan hari perkahwinan mereka merupakan hari paling bahagia dalam hidup mereka, Kyra membantah sekeras-kerasnya kata-kata itu. Hari bahagia? Tak ada maknanya pun! Hari yang mengucar-kacirkan hidupnya adalah!
Mulai petang ini, katil yang selama ini menjadi miliknya seorang kini telah menjadi milik dia dan Abdul Fatah! Eeii… tak sukanya!!
Malang nasib Kyra, ibu dan Atuk telah berhasrat untuk tidur di rumahnya selama tiga hari! Tiga hari? Maknanya, tiga hari jugalah dia tidur sebilik bersama Abdul Fatah? Oh no! Dia tidak sanggup. Sudahlah dia benci lelaki itu. Fikirannya jadi buntu. Dia tidak tahu cara apa lagi yang terbaik agar lelaki itu tidak tidur bersamanya di bilik malam ini.
Kyra buka pintu rumah dengan rasa malas. Rasa macam tak nak buka aje pintu ni bila tengok Abdul Fatah ada sekali. Hurm... dia jadi menyesal sangat kerana berkahwin dengan mamat gemuk itu.
“ Disebabkan anak ibu kahwin hari ni, ibu akan masakkan lauk-pauk yang sedap untuk anak ibu ni. Kyra nak lauk apa? Ibu boleh masakkan.” Sebagai hadiah kerana Kyra sudah menjadi isteri buat kali kedua, dia sanggup masak apa sahaja untuk anaknya.
Kyra jadi teruja tiba-tiba. Ibu nak masak sebagai hadiah perkahwinannya? Ini sudah bagus! Sudah lama dia tidak merasa air tangan ibunya semenjak ibunya berpindah ke Perak untuk menjaga Atuk yang kini menghidap penyakit jantung.
“ Kyra nak sup tulang boleh ibu? Dah lama Kyra tak rasa sup tulang ibu yang mantap tu.” rengek Kyra sambil memaut bahu ibunya. Atuk tergelak kecil manakala Abdul Fatah seakan-akan terpukau di situ dengan suara Kyra yang kedengaran agak manja ditelinganya. Teringin juga dia mahu Kyra merengek sebegitu dengannya.
“ Haa… kalau nak rasa sup tulang buatan ibu, Kyra kena bawa sekali suami Kyra tu pergi pasar. Beli bahan-bahan untuk buat sup tu, boleh?”
Kyra memuncungkan bibir. Tidak suka dengan cadangan ibunya yang mahu Abdul Fatah membawanya ke pasar. Sudahlah dia berniat untuk menjauhkan diri dari lelaki ini, ibunya pula makin bertindak mahu merapatkan diri dia dan Abdul Fatah!
Abdul Fatah kelihatan teruja apabila ibu mertuanya menyeru dia untuk pergi bersama Kyra ke pasar. Agak lama juga dia tidak ke pasar. Rasa-rasanya sudah lebih berbelas-belas tahun dia tidak ke pasar. Kak Mah, orang gajinya yang sudah berbelas-belas tahun berkhidmat di rumahnya sahaja yang selama ini ke pasar untuk membeli bahan-bahan memasak.
Kali ini peluangnya menjejakkan kaki ke pasar bersama Kyra merupakan peluang yang dia takkan lepaskan! “ Jom, Kyra. Kita beli bahan-bahan untuk ibu masak.” Tangan Kyra ditarik untuk masuk ke dalam kereta. Badan Kyra terhuyung-hayang apabila tangannya dipegang suaminya itu.
“ Kamu tahu ke nak beli apa yang ibu nak Kyra, Fat? Ibu tak tulis bahan-bahan tu lagi. Bukan main semangat kamu nak pergi pasar tu Fat. Ya pun, tunggulah dulu.” Atuk di sebelah ibu sudah galak ketawa manakala Puan Azlina mengeleng-gelengkan kepala.
“ Ayah… moh kita masuk dulu. Ayah kena makan ubat lepas ni.” Atuk berhenti ketawa tatkala anaknya sudah memberi arahan untuk makan ubat. Dia menganggukkan kepala dan masuk ke dalam rumah Kyra diikuti anaknya.
“ Kamu berdua tukarlah pakaian dulu. Takkan nak pakai baju macam ni pergi pasar?” Puan Azlina sempat berkata sebelum dia masuk semula ke rumah. Abdul Fatah dan Kyra masing-masing melihat pakaian tradisional mereka. Abdul Fatah mula mengeluh. Dia tidak sedar yang dia memakai baju melayu tadi. Sudahlah dia tidak membawa pakaiannya ke sini. Nampak gayanya terpaksalah dia menyuruh Hanip atau Syawal membawa pakaiannya ke sini.
Kyra sudah bersorak gembira di dalam hati apabila melihat wajah Abdul Fatah yang tidak bermaya itu.  Pasti suaminya itu resah apabila pakaiannya tiada di sini. Haa… nampak gayanya dia pergi pasar seorang sajalah. Itu lebih baik!
“ Kau tak bawa baju kan? Biar aku aje yang pergi pasar. Kau duduk rumah.” Selamba sahaja Kyra berkata begitu. Dia tidak tahu yang Abdul Fatah memang tidak suka Kyra berkata begitu. Kyra adalah tanggungjawabnya.
“ Kita tak jadi pergi pasar. Abang nak bawa Kyra pergi rumah abang petang ini. Fat telefon Hanip kejap.” Abdul Fatah buat muka serius. Dia membelakangkan Kyra dan mula menelefon Hanip.
 Kyra mengerutkan dahi. Buat apa nak telefon pekerja dia pula? Takkan nak suruh ambil baju kat rumah dia? Alahai, aku dahlah malas nak pergi rumah dia. Wajah Abdul Fatah direnung dengan pandangan tidak puas hati. Aku tak nak pergilah! Bentaknya dalam hati.
Ibu sudah keluar dari rumah dan menghulurkan sekeping kertas yang mengandungi bahan-bahan untuk membuat sup tulang kepada Kyra. “ Ini bahan-bahannya. Jangan tinggal satu bahan pun. Nanti tak cukup bahan, tak sedap pula sup tulang tu. Kat rumah kamu ni bukannya ada banyak bahan pun.”
Abdul Fatah cepat-cepat mematikan talian sebelum dia memandang arah ibu mertuanya. “ Fat rasa Fat nak bawa Kyra pergi rumah Fat dululah, ibu. Mungkin malam nanti baru Fat dan Kyra balik kut. Bahan-bahan untuk buat sup tulang tu nanti pekerja Fat akan belikan dan bawa ke sini. Ibu masak dulu nanti kami berdua balik dan makan terus.” Baru sekejap tadi dia menelefon Hanip dan mengarahkan lelaki itu datang ke mari bagi membeli bahan-bahan memasak.
Petang ini dia mahu mengajak Kyra ke rumahnya. Dia mahu tunjukkan rumah sebenar dan kereta yang dimiliki olehnya. Bukan kereta kancil itu lagi.
Kyra mengetap bibir. Dia merenung Abdul Fatah dengan pandangan tidak puas hati. Geram dengan suaminya makin menjadi-jadi! Memandai saja lelaki itu buat keputusan di depan ibu. Aku tak nak pergilah! Bentaknya dalam hati.
Abdul Fatah dengan selamba mengambil semula kertas di tangan isterinya itu lalu dihulurkan semula kepada ibu mertuanya. Kyra mengetap bibir sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Dia benar-benar geram dengan Abdul Fatah.
“ Kami pergi dulu ya ibu.” Cepat-cepat Abdul Fatah menarik pinggang Kyra dan membawa isterinya masuk ke dalam perut kereta. Kyra sudah menjerit-jerit tidak suka.
Puan Azlina semakin pelik dengan mereka berdua. Paling dia pelik dengan sikap anaknya, Kyra. Kenapa anaknya seakan- akan tidak suka dengan Abdul Fatah sehingga anaknya selamba sahaja memanggil kau aku di depan suaminya? Rasanya menantunya itu boleh dikategorikan sebagai lelaki yang bertanggungjawab dan boleh menjaga anaknya dengan baik.
Nampaknya, dia kena menyiasat perhubungan mereka berdua secara senyap-senyap!
***
“ Puas hati kau? Puas hati kau dapat buat aku macam ni? Puas kan?!” Kyra tidak dapat membendung kemarahannya lagi. Terus dia melemparkan kemarahan yang terpendam di hatinya kepada Abdul Fatah.
“ Tenang Kyra sayang. Kita kat dalam kereta ni. Abang nak fokus pada pemanduan dulu. Nanti bila kita dah sampai rumah abang, Kyra nak marah abang puas-puas, marahlah. Asalkan Kyra senang hati.” Abdul Fatah cuba menenangkan isterinya yang tidak dapat mengawal kemarahan terhadapnya. Dia tahu dia bersalah kerana membawa Kyra ke rumahnya tanpa memberitahu isterinya terlebih dahulu. Tapi hatinya membuak-buak mahu Kyra melihat rumah asalnya.
Kyra cuba mengawal marahnya lalu berkata dengan bibir yang bergetar. Dia memeluk tubuh lalu memandang hadapan. Wajah suaminya langsung tidak di pandang.      “ Kau tahu apa yang aku rasa terhadap kau sekarang? Aku, benci kau! Aku tak suka apa yang kau berikan pada aku. Semua yang berkaitan dengan kau semua aku benci! Kau kena ingat tu!”
Abdul Fatah kemam bibir. Stereng kereta digenggam erat. Mahu sahaja dia menitiskan air mata jantannya di dalam kereta ini buat kali pertama di depan Kyra kerana isterinya telah melukakan hatinya dengan kata-kata yang tidak sedap didengar. Sudah berapa kali perkataan benci itu muncul di bibir mungil Kyra. Sebagai suami, dia tertekan.
“ Abang takkan berputus asa terhadap Kyra. Selagi abang bernafas, abang akan jaga Kyra baik-baik.” Ya, itu memang tekadnya selepas bergelar suami kepada Kyra. Menjaga Kyra dengan penuh kasih sayang. Dia mahu Kyra memperolehi kasih sayang seorang suami setelah bergelar janda beberapa bulan yang lalu.
“ Apa yang aku cakap pada kau semuanya tak berguna kan? Aku tak faham apa yang ada dalam kepala otak kau tu. Aku dah kata benci kau, kau tetap tak berputus asa untuk dapatkan cinta aku. Jujur aku cakap, hati aku masih kosong untuk terima cinta seorang lelaki macam kau. Kau dengan Khuzairi sama aje. Dua kali lima. Suka sakitkan hati aku.” Kyra mendengus.
“ Habis, Kyra sakitkan hati abang boleh pula?” Kyra terkedu. Wah, mamat ni dah pandai melawan kata dengan aku.  Ini tak boleh jadi ni. gumamnya.
“ Kau diamlah! Banyak bunyi pula. Cepat jalan!” Tegang suara Kyra. Dia berpeluk tubuh dan merenung ke luar tingkap kereta. Pandang pokok lagi bagus daripada mengadap muka Abdul Fatah!
Abdul Fatah memandang Kyra dengan rasa cinta yang membuak-buak. Tekadnya apabila tiba di rumahnya nanti, dia akan menggunakan kuasanya sebagai seorang suami.
‘ Abang tak sabar menanti saat kita berdua-duaan di rumah, Kyra sayang…’
            

6 ulasan:

Unknown berkata...

best.

Tanpa Nama berkata...

tqvm baby mio sbb sudi kte best!

Unknown berkata...

Hehe. .seterusnya. .besttttt. .

Tanpa Nama berkata...

tqvm Aisha sbb sudi kte best...insyallah tgh berusaha utk teruskannya

Unknown berkata...

Best...lgi?

Unknown berkata...

Best lgi...