Jumaat, 24 Januari 2014

BAB 2 TETAP SETIA...


Selepas solat maghrib, Marina bersama dua teman rapatnya, Lyna dan Salma singgah sebentar di Mines Shopping Complex bagi menenangkan fikirannya yang sedikit serabut. Mereka bertiga duduk bersantai di restoran KFC sambil menikmati hidangan yang menyelerakan.
“ Makanlah puas-puas ya. Aku belanja korang berdua hari ni.” pelawa Marina. Bibirnya mengukir senyuman nipis pada dua rakannya itu walaupun dirinya sedikit tertekan.
“ Tak pasal-pasal kau belanja kita orang makan malam ni, mesti ada sesuatu kau nak kongsikan pada aku dan Salma kan, Marina? Kalau tak, kau tak paksa kita berdua keluar malam ni.” kata Lyna. Agak pelik baginya kerana Marina memang jarang keluar rumah pada waktu malam selepas tamat pengajian dua bulan yang lepas.
Marina menghirup air pepsi yang di order sebentar tadi. Telinganya mendengar sahaja rakannya berbicara. Sepatah kata pun dia tidak membalas.
“ Aah lah Marina. Aku pun pelik juga bila kau tiba-tiba aje ajak kita berdua makan kat sini. Lagi pula aku tengok muka kau macam ada masalah aje. Kongsilah kat kita orang.” Dari raut wajah Marina yang tidak begitu ceria itu Salma sudah mengagak Marina pasti ada sesuatu yang dipendamkan.
Marina pandang sekeliling restoran KFC. Kata-kata Lyna dan Salma tidak dihiraukan. Waktu malam ini masih ramai yang datang ke restoran ini. Kebanyakan orang cina yang datang ke restoran ini.
“ Hoi! Kita orang cakap dengan kau ni Marina. Jawablah…” Lyna tepuk lembut tangan Marina. Salma pula tersengih-sengih dengan tingkah Marina. Salma pasti, Marina buat-buat diam itu pasti tersembunyi masalah. Selama Salma belajar universiti yang sama dengan Marina dan Lyna, pelbagai pengetahuan yang diperolehi berkaitan psikologi manusia.
Riak wajah Marina berubah keruh. Lyna dan Salma saling berpandangan sesama sendiri sebelum Lyna meneruskan bicaranya dengan wajah tegang. “ Kau ni baik tak payah bawa kita orang makan kat sini kalau malas nak berbual. Aku dengan Salma cakap baik-baik, kau diam aje. Kalau kau tak nak kongsi apa masalah kau, makanan yang kau belanja ni bungkus bawa balik rumah. Lagi selesa aku nak makan.” ucap Lyna. Salma di sebelahnya hanya mengangguk setuju.
“ Ala, ala. Korang ni aku diam pun nak marah.” Marina buat mulut muncung. “ Aku bukan sengaja berdiam diri.”
“ Dah kau tak nak cakap, aku marahlah.” Lyna bersandar dikerusi yang dia duduk.
“ Kau cakaplah apa yang kau nak cakap. Kita kan kawan sepanjang hayat.” Sampuk Salma. Mereka memang kawan sejak dari sekolah rendah lagi. Apa yang dibuat semuanya dilakukan bersama-sama.
Marina menunduk sedikit. Jari-jemarinya diramas perlahan sebelum dia mengangkat wajahnya semula. Kedua-dua wajah rakannya dipandang. “ Aku melamar Zaim kat taman perumahan dia tadi.”
Lyna dan Salma kembali berpandangan sesama sendiri kemudian kedua-duanya bersorak gembira. “ Laa.. itu ke yang kau bimbangkan? Aku ingatkan kau putus cinta dengan Zaim tadi.” Selamba sahaja kata-kata Lyna. Salma sudah ketawa. Ingatkan apa yang menganggu fikiran Marina tadi.
“ Okeylah tu. Nak tunggu Zaim bagi ‘sign’ dulu memang lambatlah. Baguslah tu kau melamar dia. Itu tandanya kau sungguh-sungguh tak nak lepaskan si Zaim tu.” sampuk Salma.
Lyna mengangguk. Setuju dengan kata-kata Salma.
Marina tersenyum senang. Mukanya berubah ceria. “ Korang setuju ke aku melamar dia? Aku ingat korang membantah tadi apa yang aku buat tu.” Marina berasa lega. Nampaknya Lyna dan Salma suka dia memulakan lamaran itu. Benar kata Salma, Zaim Irsyad memang susah untuk mengungkapkan kata cinta. Ayat ‘saya sayang awak’ seringkali meniti di bibir lelaki itu namun ayat ‘saya cintakan awak’ agak jarang didengarinya. Marina tidak tahu samada Zaim Irsyad sayang atau cintakan dia. Perkataan sayang dan cinta memang mempunyai maksud yang berlainan.
“ Setujulah. Betul tak Lyna?” tanya Salma pada Lyna. Bertambah ceria raut wajah Marina.
Lyna mencemik. “ Setujulah. Kalau tak setuju, dari tiga tahun lepas kita orang boikot korang bercinta tau.” Marina sudah tersengih-sengih. Salma mengangguk setuju.
 “ Okeylah tu kau ambil inspirasi daripada wanita ahli syurga, Khadijah radhia’allahuanhu. Jarang tau gadis macam kita ni melamar lelaki dulu jadi teman hidup. Kaulah orang pertama yang aku nampak betul-betul semangat buat macam apa yang Khadijah lakukan. Respect aku kat kau.” sambung Lyna lagi.
Marina bermain-main dengan straw di dalam cawan yang berisi air pepsi itu. “ Tapi tulah, Zaim macam tak sudi aje bila aku cakap dengan dia tadi. Bila aku terus-terang kat dia pasal nak jadikan dia suami aku, dia terus balik rumah. Ya pun balaslah kata-kata aku dulu. Ini tak, terus aje balik rumah. Sabar ajelah dapat kekasih macam Zaim Irsyad tu.” Marina sedikit mengeluh dihujung ayatnya.
Salma yang perasan keluhan itu cepat-cepat menyampuk. “ Kau ni, think postive okey! Dia tak layan lamaran kau tu mungkin bersebab. Tak pun dia terkejut masa kau cakap macam tu. Tu yang tak pasal-pasal dia terus balik.”
Marina pandang Salma. “ Aku tak boleh nak fikir positif Salma. Seriously, aku memang tertekan bila dia tak jawab lamaran aku tu. Dia tak cintakan aku ke selama ni?”
“ Kau gelojoh sangat kot. Itu yang dia tak dapat jawab lamaran kau tu.” sampuk Lyna. “ Dahlah, tak payah nak rungsingkan fikiran kau buat masa ni. Aku nak makan. Perut dah lapar tahap kronik ni. Biasanya waktu macam ni kat rumah aku ibu aku dah sediakan makan malam.” Lyna selamba sahaja mengunyah ayam spicy di dalam mulutnya.
Salma dan Marina geleng kepala melihat tingkah laku Lyna yang selamba. Bagi Marina, selama dia mengenali dua rakannya itu, dia dapati Lyna lebih selamba berkata-kata manakala Salma pula akan berfikir dulu sebelum berkata-kata. Kedua-duanya mempunyai perwatakan yang berbeza dan itu juga salah satu sebab mereka sehingga kini masih berkawan rapat.
“ Okey, okey. Korang makanlah dulu. Aku tak beli macam apa yang korang makan ni. Makan cepat-cepat ya. Lepas ni kita balik.” Marina mula mengalah. Betul kata Lyna, dia membawa rakan-rakannya itu untuk mengurangkan tekanannya terhadap Zaim Irsyad. Bukan menambahkan tekanan.
“ Buka mulut kau, aaa…” Salma menyuakan Marina seketul ayam spicy yang ada di dalam pinggannya. Marina sedikit mengelak dan terus menggelengkan kepala.
“ Kau nak suapkan aku seketul ni? Kau nak bagi aku bermalam kat hospital ke?” perli Marina. Lyna dan Salma sama-sama ketawa.
“ Mana adalah. Merepek aje kau ni. Ambillah. Kau belanja kita orang makan tapi kau tak makan. Makanlah.” Salma
Marina tersenyum. Ingatkan nak suapkan terus dalam mulutnya. Dengan senang hati Marina mengambil ayam itu ditangan Salma lalu diletak pada satu kotak kecil yang terbuka. Dia meratah perlahan-lahan dengan senyuman menawan. Baik sungguh hati Salma kerana memberikan dia makanan itu.
Makin bertambah sayang Marina pada rakan-rakannya.
‘Terima kasih Lyna dan Salma sebab berjaya ceriakan hati aku semula.’desis Marina dalam hati.
***
Malam yang hening, Zaim Irsyad duduk berteleku diatas sofa sambil menonton filem inggeris di Tv3. Matanya melekat saja di kaca televisyen itu. Ibunya menyuruh makan pun dia langsung tidak endahkan. Moodnya yang tidak begitu stabil sejak dari petang tadi membawa hingga ke malam ini.
Lamaran Marina sampai ke waktu ini Zaim Irsyad tidak henti-henti memikirkannya. Begitu berterus-terang sekali Marina mahu melamarnya. Sepatutnya dia sebagai lelaki yang melamar gadis itu terlebih dahulu. Ini sudah terbalik pula.
Bukan dia tidak mahu menerima lamaran daripada Marina. Dia tahu gadis itu sungguh-sungguh sayangkan dirinya dan dia juga turut begitu namun bila difikirkan semula, apa yang dia mampu berikan pada Marina selepas mereka berkahwin nanti? Dia bukannya bekerja lagi. Hanya duduk dirumah menghabiskan duit ibu dan ayahnya sahaja. Jika dia mempunyai harta yang melimpah-ruah seperti keluarga Marina, dia tidak kesah untuk menerima lamaran gadis itu.
Filem The Mask yang berunsur komedi itu langsung tidak menarik minatnya selepas lamaran Marina datang menjengah fikirannya semula. Ah, aku memang buntu sekarang ini!
“ Zaim, dari petang tadi kamu tak makan nasi. Ibu masakkan lauk yang sedap-sedap kamu Zaim langsung tak nak jamah apa yang ibu masak. Zaim ada masalah ke?” tanya Puan Hamidah disudut meja makan . Lauk-pauk yang dipanaskan tadi sudah terletak elok diatas meja makan. Sekarang ini dia hanya menantikan suaminya pulang dari masjid sahaja.
“ Zaim tak ada selera nak makan, ibu.” jawab Zaim Irsyad dengan nada acuh tak acuh. Fikirannya yang buntu memaksanya bersuara sebegitu.
Sebagai ibu, Puan Hamidah risaukan kesihatan anaknya. Anak tunggalnya ini dari petang tadi asyik mengelamun sahaja sampaikan dia mahu berbual dengan Zaim Irsyad, anaknya itu pantas masuk ke dalam bilik. Adakah Zim Irsyad berubah sikap disebabkan kata-kata suaminya yang tidak henti-henti membebel dan suka marah itu?
“ Makanlah sikit. Ke kamu nak makan dengan ayah kamu sekali bila dia balik nanti?” duga Puan Hamidah. Dia tahu Zaim Irsyad tidak gemar makan bersama dengan suaminya. Suaminya kalau makan, pasti akan selitkan kata-kata nasihat atau teguran. Mungkin itu sebab sampai sekarang Zaim Irsyad tidak makan sekali dengan suaminya.
“ Zaim memang tak ada seleralah ibu.” Zaim Irsyad mula bangun dari tempat duduknya. “ Zaim masuk bilik dululah.” Suaranya kekal mendatar seperti tadi. Dengan langkah longlai, Zaim Irsyad masuk ke biliknya.
Puan Hamidah mengeluh berat. Nampaknya mood Zaim Irsyad benar-benar tidak baik hari ini. Filem yang ditonton anaknya tadi tidak ditonton. Remote diatas meja kecil bersaiz empat segi diambil dan ditukar ke siaran lain. Sambil menanti kepulangan suaminya, dia menonton TV terlebih dahulu.
***
Marina bernasib baik kerana papa dan mamanya tidak memarahi dirinya kerana pulang lebih pukul sembilan malam. Walaupun dia sudah berumur dua puluh tiga tahun, papa dan mamanya tetap mengambil berat akan dirinya.
Usai membersihkan diri dan menukar pakaiannya ke baju tidur, Marina berehat diatas katil. Telefon bimbitnya yang tidak dihidupkan selepas dia bertemu Zaim Irsyad tadi segera dibuka semula. Mana tahu selepas lamarannya tadi, Zaim Irsyad ada telefonnya. Marina tersenyum seorang.
Namun dia hampa, Zaim Irsyad langsung tidak menghubunginya. Takkan Zaim Irsyad tak ada kredit langsung nak telefon dia kut? Marina mengeluh berat. Skrin telefon dipandang dingin. Nampaknya Zaim Irsyad tidak suka akan lamarannya itu. Moodnya yang ceria ketika bersama Lyna dan Salma merundum terus apabila melihat tiada satu panggilan atau pesanan ringkas yang muncul di skrin telefon bimbitnya.
Marina cepat-cepat mendail nombor Zaim Irsyad. Sebal dengan sikap Zaim Irsyad yang seperti endah tak endah dengan lamarannya.
Zaim Irsyad yang sedang bermain game angry birds di telefon bimbitnya diatas katil bujangnya terpana apabila ada panggilan masuk di skrin telefon bimbitnya. Marina! Zaim Irsyad mengeluh panjang. Pasti gadis itu mahu cakap pasal lamaran petang tadi.
“ Assalamualaikum awak… awak tengah buat apa tu?” suara Marina ceria sahaja. Dia mahu mengembalikan mood Zaim Irsyad kepada yang asal.
“ Waalaikumsalam… tak ada buat apa pun.” Acuh tak acuh sahaja jawapan Zaim Irsyad. Moodnya masih terbang melayang.
“ Awak ada mood tak malam ni?”
“ Tak…” Suara Zaim Irsyad mendatar sahaja. Mood yang hilang petang tadi dibawa ke malam. Mahu bercakap dengan Marina pun dia acuh tak acuh saja.
“ Boleh saya kembalikan mood awak tu?” suara Marina menggoda dihujung talian.
Zaim Irsyad berdebar-debar. “ Lain macam aje awak ni. Mood saya, saya boleh kawal sendiri. Awak pergi ajelah tidur. Dah pukul berapa ni.” Zaim Irsyad sudah berasa tidak selesa untuk terus berbual dengan Marina. Dia takut dia akan hanyut dengan suara yang menggoda itu.
“ Terima lamaran saya, Zaim. Lepas ni saya akan kembalikan mood awak seperti biasa.” Marina berterus-terang.
Zaim Irsyad terkedu dihujung talian. Dari suara Marina, Zaim Irsyad agak gadis itu nampaknya bersungguh-sungguh mahu menjadikan dirinya sebagai suami. Marahnya mula menggelegak.
“Awak tak fikir ke saya belum bekerja lagi. Awak tak fikir ke?!” suara Zaim Irsyad sedikit kuat.
“ Saya fikir…” perlahan suara Marina. Sebak rasanya apabila Zaim Irsyad memarahinya dalam talian. Salah ke dia buat perkara yang elok? Tak salah kan?
“ Dah tu, tak boleh tunggu lepas saya bekerja nanti ke?” Zaim Irsyad marah lagi.     “ Tunggulah dalam beberapa tahun lagi bila saya dah kumpul duit  baru saya melamar awak. Ini tidak, lepas dua bulan tamat pengajian awak pula yang melamar saya. Saya rasa baik awak tak payah cakap pasal lamaran tu lagi. Baik awak fikir tentang kerjaya awak aje.”
Marina seperti mahu mengalirkan air mata apabila Zaim Irsyad memberi kenyataan sebegitu. Dia sayangkan Zaim Irsyad. Dia kalau boleh tidak mahu kehilangan lelaki itu.
“ Saya sanggup tanggung kehidupan awak kalau awak terima lamaran saya. Saya sanggup! Asalkan awak sentiasa berada di sisi saya. Saya anak orang kaya, saya tak kesah awak tak ada duit pun. Saya sanggup tanggung. Please, Zaim sayang… marry me?” Bersungguh-sungguh kata-kata Marina.
Zaim Irsyad terkedu sekali lagi dengan ayat yang diucapkan Marina. Ya Allah, Marina memang menduga kesabaranku sebagai seorang lelaki sejati!



2 ulasan:

Unknown berkata...

Wow...best2 nk lgi...

Unknown berkata...

tqvm ina...hope boleh truskan membaca karya2 eya kt dlm blog ni...