Khamis, 2 Oktober 2014

BAB 3 (Tajuk? Biarlah Rahsia)


Raymi Zikri tiba dirumahnya setelah meninggalkan Dhia keseorangan di bus stop. Pintu garaj dibuka secara automatik dan dilihat ada pengawal keselamatan yang bernama Pak Ali sedang berdiri tegak memberi hormat. Cermin tingkap dibuka seketika dan memberikan senyum kepada guard tersebut sebelum masuk ke perkarangan rumahnya.
Dua pembantu rumah yang sedang mengelap gelas di meja makan terkejut tatkala mendengar deruman kereta dari luar. Mereka saling berpandangan. Tuan Muda dah balik! Cepat-cepat mereka tinggalkan kerja mengelap dan berlari anak ke pintu utama. Sampai sahaja Raymi Zikri dihadapan mereka berdua, terus tundukan hormat diberikan kepada lelaki itu.
Raymi Zikri keluar dari kereta sambil menggelengkan kepala. Tidak suka dengan cara tundukan hormat itu. Buat biasa-biasa sudahlah. Yang nak menunduk sampai nak rukuk tu nak buat apa. Aku bukan orang atasan pun sampai nak buat macam tu sekali! Lainlah kalau nenek aku tu. Semuanya nak kena tunduk, tunduk dan tunduk. omelnya dalam diam.
Raymi Zikri memandang pembantu rumah lelaki yang berada tidak jauh darinya. Dalam empat pembantu rumah nenek, pembantu itulah yang paling rapat dengannya.
Korang berdua masuk dalam dulu. Saya nak cakap dengan Jamil sekejap.”
“Baik, Tuan!”akur dengan arahan itu, kedua-dua pembantu tersebut masuk ke dalam  semula menyambung semula kerja yang tergendala sebentar tadi.
 “Hmm… nenek mana?” soal Raymi Zikri. Jamil hanya mendiamkan diri. Aduhai. Lupa pulak. Pembantu rumah mana boleh panggil nenek. Nanti tak pasal-pasal kena pecat!
“Opss… lupa pulak. Mana Puan Hadijah?” Biasanya, nenek akan telefon sebelum dia pulang ke rumah tapi hari tak ada pulak. Pelik. desisnya.
“Puan Hadijah ada di bilik Tuan.” jawab Jamil setelah beberapa saat mendiamkan diri.
“Bilik saya?” Raymi Zikri mengetap bibir. Dia tidak suka nenek masuk ke biliknya. Nenek suka mencuri tengok barang peribadinya secara senyap-senyap.
 Janganlah nenek jumpa album yang dia simpan dalam laci yang ada di dalam almari pakaiannya. Dalam album itu banyak gambar perempuan yang di tangkap secara tidak sengaja.
“ Ya Tuan. Semenjak Tuan tak ada kat rumah, Puan Hadijah sering masuk ke bilik Tuan. Untuk apa, saya kurang pasti,” sambung Jamil.
Raymi Zikri mengeluh panjang. Dah agak dah! Ini mesti nak check apa yang aku simpan dalam bilik tu.. Kalau bukan check, mesti ambil barang aku. Ish, nenek ni… semua benda nak ambil tahu. dengusnya dalam hati.
Dari waktu kecil hinggalah sekarang, nenek suka mengongkong hidupnya sampai dia jadi bosan. Dia cemburu dengan abangnya, Muhd Razree yang diberi peluang menikmati hidup secara bebas diluar tanpa dikongkong oleh sesiapa pun. Dia? Dah besar-besar pun masih lagi dikongkong nenek.
 “Kalau macam tu, tak apalah. Saya masuk dulu. Nanti jangan lupa keluarkan bagasi saya dalam bonet.” Katanya dengan nada acuh tak acuh. Kunci keretanya diserahkan kepada pemuda itu. Hari ini moodnya memang tidak baik. Sudahlah Dhia menipunya, nenek pula masuk ke biliknya tanpa izin.
“ Baik, Tuan.” Jamil menganggukkan kepala. Tanpa berfikir panjang, Jamil pergi ke kereta Raymi Zikri lalu mengambil bagasi besar seperti yang diarahkan majikannya.
Tanpa membuka kasut, Raymi Zikri masuk ke dalam rumah. Biasalah, kalau rumah orang kaya, kenalah pakai selipar ataupun kasut. Nanti kaki kotor. Begitulah kata-kata nenek. Apa yang dikatakan dari mulut nenek, semua kena ikut. Tak boleh membantah sedikit pun!
‘ Nenek… nenek…’dia menggeleng-gelengkan kepala. Asyik nak ikut cakap dia saja!

Tombol pintu dikuak perlahan agar tidak memeranjatkan nenek yang berada didalam biliknya. Kepalanya dijengulkan sedikit, ingin memerhati apa yang nenek buat dalam biliknya.
Ternyata jangkaanya tepat. Memang nenek sedang melihat albumnya. Habislah dia malam ni! Nasib baik nenek tidak melihat kad-kad yang diberi kawan-kawan perempuannya. Kalau tidak, memang teruklah dia kena membebel dengan nenek.
Raymi Zikri menghembuskan nafas sebelum tangannya menguak pintu selebarnya.
Puan Hadijah yang sedang asyik membelek album kepunyaan Raymi Zikri di atas katil terkejut dengan kedatangan yang tidak terduga cucunya. Album yang sejak tadi dipegang ditutup dengan kelam-kabut. Dia jadi tidak tentu arah.
“Eh, cucu nenek. Bila sampai?”soal Puan Hadijah dengan suara yang dibuat-buat teruja. Walhal hatinya gelisah yang teramat sangat.
Raymi Zikri tersenyum sinis. Dia mendekati nenek lalu tangan wanita berusia itu dicapai dan dicium penuh hormat. Soalan nenek dibiarkan sepi. Dia mengambil tempat di sebelah nenek. “Apa nenek buat dalam bilik Ray malam-malam begini? Nak check apa?”soalnya dengan nada sinis. Sengaja dia bertanya begitu. Mahu tahu bagaimana reaksi nenek.
Puan Hadijah agak gelabah dengan soalan cucunya. Album yang diambil tadi dibuka semula bagi menghilangkan rasa gelabahnya. Dia tahu Raymi Zikri memang pantang tengok perempuan cantik. Ada saja gambar perempuan cantik yang mahu dijadikan koleksi. Lainlah cucunya yang sulung, Muhd Razree yang suka membuat muka serius ketika berhadapan dengan perempuan sekelilingnya.
“Saja nenek nak tengok. Cantik perempuan-perempuan dalam album ni. Pandai Ray tangkap gambar dia orang.”Sempat lagi dia menyindir cucunya yang mula nampak tidak senang dengan kata-katanya. Padahal dia membenci kesemua perempuan yang ada didalam album ini.
Selagi dia masih hidup dan masih lagi memegang gelaran nenek, dia tidak akan sekali-kali membiarkan kedua-dua cucunya memilih perempuan yang tidak elok dimatanya. Kedua-dua ibu bapa Raymi Zikri dan Muhd Razree telah meninggal dunia ketika mereka masih kecil jadi tidak salah rasanya dia memilih perempuan yang terbaik untuk mereka berdua.
“ Hmm… tak ada apa yang menarik untuk ditengok, nenek.” Raymi Zikri cuba untuk menyembunyikan apa yang dibuat selama ini. Sudah menjadi kebiasaannya sejak keluar dari universiti, untuk berkenalan dengan perempuan cantik. Asal ada perempuan cantik yang lalu-lalang di hadapannya, dia akan mulakan dengan kenyitan mata. Bila perempuan itu membalas, dia akan menuju ke arah perempuan itu dan memintanya nombor telefon. Itulah taktiknya. Mengenyit mata.
“Awal Ray balik? Nenek tak sangka pulak Ray balik lebih awal. Macam mana dengan seminar tu, okay?” soal nenek ingin tahu.
“ Bolehlah, cuma bosan sikit aje...” Luah Raymi Zikri sambil mengeluh. Di sana, dia kerap kali mengantuk apabila presenter seringkali berucap tanpa membuat sebarang pertanyaan.
“ Kalau bosan, asal nak sertai jugak? Kan senang sertai syarikat nenek. Boleh bantu abang kamu kat situ. Kesian abang kamu, pagi petang siang malam, asyik bertenggek aje kat ofis tu semata-mata nak naikkan profit syarikat. Tapi kamu degil, sengaja nak kerja kat tempat yang sama dengan Dhia tu…” Puan Hadijah meluahkan ketidakpuashatiannya.
Raymi Zikri mengeluh lagi. Perkara itu juga yang nenek bangkitkan. Asyik-asyik syarikat keluarga! Buat dia jadi rimas. Sudah berulang kali dia mendengar bebelan daripada nenek tentang pekerjaan yang dibuat sekarang.
“ Oh ya, abang tak jenguk nenek ke sejak Ray tak ada ni?” Sengaja dia menukar topik berkaitan abang kandungnya.
“Sekali aje dia datang sini jenguk nenek. Dia sekarang tengah sibuk uruskan syarikat. Nenek tak naklah paksa abang kamu datang sini. Biar dia settle kan kerja dia kat pejabat tu.”jelas Puan Hadijah.
Hubungan Raymi Zikri dan Muhd Razree tidak seperti adik-beradik lain. Sudah lama mereka tidak bertemu dan berbual bersama. Jika Raymi Zikri berada dirumah, Muhd Razree pasti tiada di rumah. Kalau bertemu pun, bercakap hal yang penting saja.
Puan Hadijah menutup album yang dipegangnya lalu dia merenung Raymi Zikri. “Nenek harap sangat Ray kerja kat syarikat kita. Nenek harap Ray janganlah hampakan permintaan nenek yang satu ni.” Mohon Puan Hadijah dengan muka simpati.
“Hmm… pasal kerja kat syarikat kita tu, Ray akan fikirkan kemudian. This time is not right to discuss about company or business.” Raymi Zikri mula bangun dari katil. Malas mahu berbual-bual dengan nenek. Lagi lama dia disamping nenek, lagi banyaklah bebelan dan leteran yang akan masuk ke telinganya. Ada baiknya dia membersihkan diri dulu. Dia tidak selesa berpakaian baju kemeja pada waktu malam. Dia lebih senang memakai t-shirt ringkas dan berseluar pendek paras lutut.
“ Nak pergi mana tu? Nenek tak habis cakap lagi ni.”geram Puan Hadijah dengan sikap Raymi Zikri. Ada saja yang alasan dan jawapan yang keluar dari mulut itu.
“Mandi.” Mendatar sahaja suara Raymi Zikri. Tuala yang tersangkut di dinding diambil. Butang kemejanya dibuka satu persatu. Puan Hadijah hanya memandang cucunya membuka baju kemeja. Pandangan itu sudah biasa dilihat apabila cucunya pulang dari kerja.
“Hmm… tak mengapalah. Nenek keluar dulu. Pergilah mandi. Nenek bawa album ni masuk bilik nenek. Nak tengok perempuan-perempuan cantik dalam album ni.” Puan Hadijah bangun dari sambil tangannya memegang album. Baru sahaja dia mahu melangkah keluar, Raymi Zikri menyekat laluanya di muka pintu. Tersentak dia disitu.
“ Biar ajelah album tu kat sini. Lagipun nenek nak buat apa dengan album ni? Tak ada apa yang menarik untuk di tengok pun.” Tergagap-gagap Raymi Zikri menjawab.Sebenarnya,dia tidak mahu neneknya membawa album itu ke luar. Dia takut nenek akan membuang album itu. Kata-kata nenek memang dia sukar percayai.
Puan Hadijah tersenyum sinis. Tak ada apa yang menarik dalam album ni? “Kalau tak ada apa yang menarik, kenapa mesti simpan album ni? Nak cari calon isteri ke?” Pedas soalannya. Raymi Zikri terdiam di situ.
Tanpa menjawab soalan neneknya, terus dia merampas album itu dan berlalu ke bilik air dengan rasa bengang. Album itu dibawanya ke bilik air. Biarlah nenek mahu memberontak atau memarahinya, dia tidak kisah. Sebab album itu kepunyaannya, bukan milik nenek!
“Tak boleh diharap langsung! Tengoklah nanti Ray. Nenek akan balas balik apa yang Ray buat kat nenek. Tunggu dan lihat sajalah.”Puan Hadijah cukup pantang apabila orang membalas setiap kata-katanya. Dia tak suka. Sebagai cucu, Raymi Zikri sepatutnya menghormati neneknya, bukannya kurang ajar!
Puan Hadijah keluar dengan perasaan marah.  Pintu bilik cucunya dihempas kasar.
Tunggulah, Ray! Tahulah nenek nak buat apa dengan kau nanti! katanya dalam hati.

Dhia berbaring diatas katil selepas membersihkan diri di dalam bilik air. Matanya terpejam rapat tanpa memikirkan masalah yang berlaku pada dirinya beberapa jam yang lepas. Walaupun hari ini merupakan hari malang buatnya namun dia bersyukur kerana ibu  masih memberikannya kegembiraan.
            Raymi Zikri? Apabila difikirkan pasal lelaki itu, hatinya sakit. Ray memang sahabat yang tak guna. Ada ke patut dia ditinggalkan seorang diri di bus stop tadi? Tengoklah masa kerja nanti, jangan harap dia akan tunduk kepada Raymi Zikri selepas ini. Dia pun ada ego jugak!
            Tubuhnya mengiring ke kanan. Bantal panjang yang tidak disentuh dari tadi dipeluk kemas. Dhia tanpa sedar membayangkan bantal itu sebagai Imran. Hmm…abang. Tiba-tiba airmatanya mengalir. Kenapalah Imran berkahwin dengan wanita lain hanya disebabkan dia tidak bersedia untuk memberikan zuriat kepada lelaki itu? Tidak bolehkah Imran bersabar dalam sedikit masa lagi? Bukannya dia tidak sukakan budak. Dia sukakan budak tetapi entah kenapa hatinya memberontak tidak mahukan anak buat masa ini.
Bunyi pesanan ringkas di atas laci kecil bersebelahan katilnya membuatkan Dhia segera berpaling. Serasa tidak percaya malam ini ada orang memberikannya mesej. Biasanya telefon bimbitnya akan senyap dan sunyi daripada panggilan dan mesej pada waktu sebegini.
Telefon bimbitnya diambil tanpa bangkit dari pembaringan kemudian dia mula membaca pesanan ringkas yang diterimanya. Terkejut bukan kepalang apabila mesej yang diterima itu datangnya daripada Imran.
Mulakan hidup baru dan jangan ingatkan abang lagi. Rina cinta baru abang.
Ya Allah! Senangnya Imran jatuh cinta. Dhia menekup mulutnya dengan tangisan yang tidak mampu ditahan lagi. Air matanya bertambah lebat. Tidak percaya Imran akan mencintai Rina tidak sampai satu minggu dia meninggalkan lelaki ini.
Dhia bangkit dari pembaringan. Bantal panjang yang dipeluk tadi dibaling tepat kearah pintu bilik sehingga bergegar pintu yang beratapkan kayu itu.
“Aku benci kau, Imran. Aku benci kau!!”jeritnya dengan kuat. Dia yakin ibu pasti dapat mendengar jeritannya ini. Bilik ibunya bersebelahan dengan biliknya. Biarkan, dia tidak peduli semua itu. Janji hatinya puas dapat meluahkan rasa bencinya terhadap Imran.
Puan Suria yang sedang membaca buku agama tergamam apabila terdengar bunyi disebelah biliknya. Dhia! Dia menutup buku tersebut lalu dia melangkah keluar mendapatkan anaknya. Mujur bilik Dhia tidak berkunci.
“Astagfirullahalazim…Dhia, kenapa ni?” marah Puan Suria. Bantal peluk yang berada didepan pintu diambilnya lalu diletakkan semula diatas katil. Dhia dipandang tajam. Apa yang tidak kena dengan anaknya malam ini? Rasanya sejak Dhia berbual dengannya sebentar tadi, emosi anaknya kelihatan stabil, tidak seperti sekarang ini. Dhia nampak kelihatan begitu tertekan.
Ini mesti pasal Imran. Puan Suria meneka sendiri.
“Dhia, apa yang tak kena lagi ni? Tadi cakap dengan ibu ceria aje.” Puan Suria perlu bersikap tenang. Hendak marah Dhia malam-malam ini pun tidak guna. Anaknya itu baru sahaja sampai ke sini. Dia tidak mahu memulakan perjumpaan ini dengan pergaduhan.
“Dhia benci Imran. Dhia benci dia, ibu! Dia dah lukakan hati Dhia.”Terjerit-jerit Dhia sambil menangis.
“Sabar, Dhia. Sabar.” Puan Suria menenangkan hati Dhia. Tidak pernah dia mendengar Dhia menjerit seperti ini. Dia faham anaknya mesti tidak dapat melupakan Imran. Bukan senang hendak melupakan orang yang kita sayang.
“Kalau Dhia benci Imran, lupakan dia. Jangan sebut nama dia lepas ini. Dhia cakap dengan ibu tadi Dhia redha dengan semua ini kan? Jadi ibu nak Dhia lupakan dia dan mulakan hidup baru. Ada hikmah di sebalik semua ini. Ibu yakin Dhia pasti akan dapat lelaki yang lebih baik daripada dia. Anak ibu kan cantik.”pujinya.
Dhia terpaku tanpa kata. Mulutnya tidak lagi terjerit-jerit seperti tadi. Betul jugak kata ibu. Dia sudah redha dengan semua ini dan dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Cukuplah sekali dia dikecewakan kerana cinta.
Aku takkan ingatkan kau lagi. Selamat tinggal, Imran.ucapnya dalam hati.


2 ulasan:

Unknown berkata...

Wah benci betul dgn imran. Skrg imran n rina stay d rumah dhia ke? Fight dhia jgn kalah. Jgn lemah n bangkitlah perjuangkan kebahagiaan mu. Jgn sesekali ingatkan imran lg.

Tanpa Nama berkata...

Rumah imran ke rumah dhia sebenarnya????