Selepas membersihkan
diri, Raymi Zikri duduk berteleku di atas katil. Telefon bimbit ditangannya
dipandang lama. Pesanan ringkas yang baru diterimanya itu menyentap jiwanya
yang sedang serabut memikirkan keputusan yang dipilih Dhia. Panjang mesej yang
diberikan gadis itu. Sedikit sebanyak hatinya tersentuh.
Mungkin ini
pengakhiran hubungan kita sebagai sahabat, Ray. Terima kasih sebab sudi menjadi
sahabat aku selama enam tahun ini. Apa yang aku lakukan bersama-sama dengan kau
sebelum ini, akan kekal terpahat dalam ingatan aku sampai ke jannah.
One of the most
beautiful qualities of two friendship is to be understand and to be understood
tetapi nampaknya kau tak tergolong dalam kualiti ini.
Restuilah hubungan
aku dan Abang Raz…
Rambutnya diraup
kasar sebelum dia mencampak jauh telefon bimbitnya ke pintu utama biliknya.
Bunyi yang pecah jangan cakaplah. Memang kuat sehingga pembantu rumah yang
sedang bertugas di dapur dapat dengar dari bawah.
“Kenapa kau piih dia
daripada aku, Dhia? Kenapa?!!” jeritnya sekuat hati. Bergema suaranya. Tidak
dipedulikan suara-suara dari luar biliknya yang ternyata risau dengan
keadaannya. Lantaklah! Janji dia puas dapat meluahkan apa yang dia tidak puas
hati.
“Aku benci kau
abang. Aku benci kau!!” Semakin galak jeritannya. Habis selimut dan bantal yang
terletak elok di atas katil berselerak dikerjakan olehnya.
Dari dulu lagi dia
tidak rapat dengan Muhd Razree. Abangnya seringkali bekerja diluar daerah dan
menjadi wakil kepada syarikat percetakan neneknya, Acta Print. Tambah pula,
abangnya sudah tidak duduk bersama dengan mereka sejak empat tahun lalu kerana
tidak suka dikongkong oleh nenek.
“Tuan? Tuan tak
apa-apa ke?” Tiba-tiba pintu biliknya terkuak lebar. Dua pembantu rumahnya
datang dengan riak wajah yang takut-takut.
Raymi Zikri
membulatkan mata. “Siapa benarkan awak berdua jejakkan kaki kat bilik saya ni?
Mana awak berdua dapat kunci bilik ni hah?” sergahnya sambil merampas kunci
biliknya yang berada ditangan salah seorang pembantu rumahnya. Dua pembantu
tersebut segera menundukkan wajah. Tidak berani memandang wajah menyinga
majikannya.
“Aku tanya,
jawablah!”tengkingnya. Hilang perkataan ‘saya’ yang seringkali muncul
dibibirnya tiap kali berdepan dengan pembantu rumahnya. Moodnya betul-betul tidak
begitu baik pada hari ini. Jika boleh semua orang yang ada disekelilingya mahu
dimarahnya.
Kerana keputusan
Dhia lah, dia jadi begini. Semuanya kerana Dhia!
“Puan Khadijah yang serahkan
kunci pintu bilik Tuan kepada kami. Kami sebagai pekerja, ikut sahaja.”
Takut-takut pembantu rumah yang bernama Amira itu menjawab.
Raymi Zikri
mengerutkan dahi. Nenek dah balik? Apasal dia tak tahu pun pasal ini?
“Puan Khadijah ada
kat mana sekarang?”suaranya kembali kendur.
“Dia kat ruang tamu.
Tengah berbual dengan tetamu.”jawab Amira.
Tetamu? Raymi Zikri
pelik. Siapa pula tetamu yang datang itu?
“Kamu berdua kemas
bilik saya sekarang. Saya nak turun jumpa Puan Khadijah.” Raymi Zikri menarik
nafas panjang sebelum dia mengorak langkah keluar dari pintu biliknya.
“Tuan, telefon
Tuan.” Amira mengunjur telefon bimbit majikannya yang sudah pecah berderai
namun lelaki itu pantas menolak.
“Buang aje kat tong
sampah. Tak ada gunanya nak pakai telefon bimbit tu lagi kalau dah pecah
berderai. Sim Card dalam tu bagi saya. Yang tu boleh pakai lagi.”
Cepat-cepat Amira
menarik sim
card yang terletak
elok di tempat yang memang sudah tersedia untuk benda itu dan diberikan kepada
Raymi Zikri sebelum lelaki itu turun ke bawah berjumpa Puan Khadijah.
Sim Card itu amat penting baginya.
Jika hilang, susahlah dia mahu menghubungi teman wanitanya, Salina.
Sebaik sahaja Raymi
Zikri menjejakkan kaki di anak tangga
terakhir, dia terdengar suara ketawa nenek dari arah ruang tamu. Raymi Zikri
mencebik. Amboi, nenek. Bukan main gelak ya bila dah balik dari IJN ni. Bagus
tetamu yang datang itu. Berjaya membuatkan nenek ketawa seperti dulu. Sekarang
ini bukan main susah nak nampak nenek ketawa.
Muhd Razree yang baru keluar dari
tandas belakang tersentak apabila melihat batang tubuh Raymi Zikri di tangga.
Raymi Zikri yang perasan membulatkan mata. Apa yang Abang Raz buat kat sini?
Takkan dia datang dengan Dhia kot?
“Kenapa abang datang sini?” Kecil
mata Raymi Zikri memandang abangnya. Ikutkan hati, mahu ditumbuk sahaja muka
abangnya itu sampai lebam.
“Abang rasa tak salah kot abang
datang sini. Ini rumah nenek, bermakna ini rumah abang juga.” Selamba sahaja
Muhd Razree berkata begitu.
Raymi Zikri mencebik. “Ray rasa tak
ada sebab kot untuk abang datang sini kalau abang dah ada rumah kat Damansara
tu. Abang kan tak suka dikongkong nenek.” Sinis sahaja jawapan yang terluah di
mulutnya. Biar abangnya sakit hati dan terluka dengan kata-katanya.
Muhd Razree tersenyum sinis. “Abang
datang sini bersebab, Ray.” Dia membetulkan kolar kemejanya supaya lebih kemas.
Mujur bajunya masih ada di rumah ini. Tidak payahlah dia bersusah payah mahu
balik ke rumah dan menukar baju. “Abang datang sini untuk bawa Dhia tinggal
dengan nenek. Dia ada kat depan tu. Tengah bersembang dengan nenek.”
Dhia ada memberitahunya tentang
syarat yang diutarakan nenek berkenaan dengan hubungan mereka di rumah Puan
Suria tadi. Pada mulanya dia marah kerana Dhia tidak berbincang dengannya
ketika dia berada dihospital semalam. Namun selepas dipujuk gadis itu di dalam
kereta tadi, hatinya kembali sejuk. Tidak sangka Dhia benar-benar sayangkan
dirinya.
Walaupun dia gembira nenek merestui hubungan
mereka berdua namun jiwanya tidak tenang apabila memikirkan syarat nenek yang
mahu Dhia tinggal di rumah besar ini. Dia sebenarnya tidak suka Dhia tinggal
disini. Paling dia takut, Dhia akan merubah hati. Yalah, adiknya itu sayangkan
Dhia. Jika setiap hari mereka bertemu dan bertembung, dia takut rasa cinta itu
akan wujud dalam diri Dhia.
Dhia ada kat sini? Raymi Zikri
menelan airliur. Tiba-tiba dia rasa ingin melihat seraut wajah itu yang sedang
bergelak ketawa dengan nenek. Pasti comel.
“Dhia akan err…tinggal kat sini?
Sekarang?”
“Yup! Itu syarat nenek yang perlu
Dhia ikut supaya hubungan kami direstui. Abang bagi amaran pada Ray. Jangan
sesekali buat dia menangis. Abang tahu Dhia menangis disebabkan Ray, abang tak
teragak-agak untuk tumbuk muka Ray. Ingat tu!”
Suara Muhd Razree sudah berubah
tegas. Apa jua yang berkaitan dengan diri Dhia, dia memang serius. Dia sudah
berjanji pada dirinya untuk tidak membuat Dhia menangis. Dan dia berharap juga
adiknya akan turut sama mengikut janjinya.
Raymi Zikri terdiam. Begitu sayang
sekali Abang Raz pada Dhia. Dia pula? Dia juga sayangkan Dhia tetapi gadis itu
seringkali menangis apabila berada bersamanya.
“Ray tak boleh janji pada abang
sebab itu diluar kawalan Ray. Kita tak boleh agak apa yang berlaku pada masa
akan datang. Okeylah, Ray nak jumpa nenek dulu.” Dengan hati yang terluka, dia
melangkahkan kaki ke ruang tamu. Tidak mahu berborak dengan abangnya.
Muhd Razree mengerutkan dahi. Pelik
dengan sikap adiknya yang nampak tidak bermaya. Raut wajah itu pun tidak
menampakkan yang dia teruja Dhia datang ke sini.
Apa sebabnya ya?
Baru sahaja dia hendak melangkah ke
ruang tamu, Jamil menghentikan langkahnya. Aik, dia ni lagi? Rasanya sudah kali
kedua pembantu nenek ini menghalang dia pergi. Apa lelaki ini inginkan
sebenarnya dari dia?
“Boleh saya tolong angkat beg Dhia
dalam kereta Tuan?”
Riak wajah Muhd Razree berubah serta-merta.
Dia rasa ada sesuatu yang tidak kena pada lelaki ini. Bukan banyak mana pun
barang Dhia dibawa ke sini. Hanya dua beg sahaja.
“Tak apalah, Jamil. Barang Dhia tak
banyak dalam kereta saya. Saya boleh angkat sendiri.”
“Tak apalah, Tuan. Apa salahnya saya
tolong Tuan. Mari, kita ambil beg Dhia sekarang.” Tanpa rasa takut, Jamil
menarik tangan Muhd Razree dan membawanya keluar dari pintu belakang.
Muhd Razree berusaha melepaskan diri
dari lelaki itu namun tenaganya tidaklah sekuat mana. Jamil lebih gagah
berbanding dirinya. Ketinggian Jamil melebihi ketinggiannya yang hanya 170cm
sahaja.
“Ikut ajelah. Orang nak tolong pun
dah cukup baik,” kata Jamil dengan nada kasar. Terpaksalah Muhd Razree
menurutnya kerana tidak mahu dipukul oleh pembantu peribadi nenek itu.
“Nenek…”
Suasana yang hingar-bingar tadi menjadi sunyi
apabila Raymi Zikri menyapa Puan Khadijah. Tidak berkelip mata Dhia apabila
melihat susuk tubuh Raymi Zikri di atas sofa yang tidak jauh dari tempatnya.
Raymi Zikri langsung tidak memandang kearahnya. Dia sedikit kecewa. Adakah
disebabkan mesejnya tadi membuatkan lelaki itu bertekad untuk tidak
memandangnya lagi? Tertanya-tanya dia di dalam hati. Kalau benarlah itu semua,
ini bermakna dia yakin Raymi Zikri sudah membuangnya jauh-jauh dari hidup
lelaki itu.
Puan Khadijah yang duduk bersama
Dhia perasan gadis itu hanya mendiamkan diri sebaik sahaja Raymi Zikri mencelah
perbualan mereka. Tidak seperti selalu yang suka bergurau dan menyakat apabila
masing-masing bertemu.
“Kenapa kamu berdua ni? Tak pernah
nenek tengok kamu berdua senyap macam ni. Kamu bergaduh ke?” Serius sahaja nada
Puan Khadijah.
Masing-masing terdiam. Tidak tahu
mahu jawab apa.
“Tak ada apalah, nek. Dhia dan Ray
okey aje.” Okey? Huh, tak ada maknanya nak okey kalau Raymi Zikri ada kat depan
matanya. Lelaki itu pun macam tak suka aje dia ada kat sini.
Puan Khadijah mengangkat kening. Tak
ada apa-apa Dhia cakap? Mata tuanya boleh nampak apa yang tidak kena pada
mereka berdua. Inikan pula Dhia? Pasti ada sesuatu yang tidak kena pada mereka
berdua ini. Aku mesti siasat kenapa mereka jadi begini. Tekadnya dalam hati.
Dia tidak boleh membiarkan mereka berdua begini. Diam dan tidak mesra seperti
dulu.
“Nenek rasa kamu berdua macam tak
okey aje…” Puan Khadijah memandang Dhia yang sudah jadi tidak tentu arah.
“Dhia nak cari Abang Raz sekejap ya,
nek. Nenek berbuallah dengan Ray dulu. Nanti Dhia datang balik.” Dhia bangun
dalam keadaan tergesa-gesa. Tidak selesa jika Muhd Razree tidak ada disisinya.
Raymi Zikri kecewa. Baru hendak
menatap wajah comel Dhia, gadis itu sudah melarikan diri. Ternyata cinta lebih
penting dalam hidup Dhia. Dia bangun dengan muka masam. Puan Khadijah
terkebil-kebil merenungnya.
“Ray nak pergi mana ni? Nenek nak
cakap sesuatu pada Ray.”
“Ray tahu apa yang nenek nak
cakapkan. Lepas ni Dhia akan tinggal disini kan? Abang Raz dah beritahu Ray tadi. Terima kasih
sebab buat Ray terluka, nek. Terima kasih banyak-banyak.” Dengan wajah masam
mencuka, Raymi Zikri naik ke biliknya yang sudah kembali kemas. Dia mengambil
kunci keretanya yang tergantung elok di tepi suis aircondnya sebelum dia turun
semula ke bawah. Dia tidak betah duduk di rumah ini jika Dhia sudah menetap
disini. Ada baiknya dia tinggal dirumah Zack buat sementara waktu. Menghilangkan rasa kecewanya pada Dhia.
Sebaik sahaja dia turun kebawah, dia melihat
Dhia sudah berada di sisi Muhd Razree di tempat yang dia duduk tadi. Rapat
sehingga menimbulkan rasa cemburu dalam hatinya.
Tak payah cemburu, Ray. Dia bukan
sesiapa lagi dalam hidup kau. Dia dah buang kau kan? Jadi tak payah nak cemburu
dia dengan sesiapapun. Salina lebih cantik dan lebih baik daripada Dhia.
Lupakan dia. Itu yang terbaik. Bisik satu suara yang menerjah ke telinganya.
Ada benarnya kata itu. Dhia sudah
membuangnya jauh-jauh. Apalagi yang perlu dia sedihkan? Tidak guna dia bersedih
pasal Dhia lagi. Dia sudah ada Salina dan dia yakin gadis itu mampu membuatkan
dia lebih bahagia berbanding dia bersama Dhia.
“Ray, kamu nak keluar pergi mana ni?
Tak nak minum petang sama-sama dengan Dhia dan Abang Raz?”soal Puan Khadijah
lembut. Kata-kata Raymi Zikri kepadanya sebentar tadi tidak dipedulikan. Dia
tahu Raymi Zikri tidak suka Dhia tinggal disini.
Raymi Zikri merengus. “Ray dah tak
sanggup nak duduk kat rumah ni kalau janda tu menetap kat sini. Apa yang best
sangat pun Ray tak tahulah.”
Bibir Dhia mengeletar apabila Raymi
Zikri tidak menyebut namanya. Sampai hati lelaki itu memanggilnya janda. Mujur
dia boleh bertahan kali ini. Jika hatinya tidak kuat, mahu ditampar sahaja mulut
celupar itu! Muhd Razree yang berada disebelahnya sudah mengepal penumbuk. Dia
tahu Muhd Razree tengah bengang dengan Raymi Zikri.
“Ray, tak baik cakap macam tu. Dhia
kan sahabat kamu. Terimalah dia sebagai ahli keluarga baru dalam rumah ini.”
ujar Puan Khadijah.
Raymi Zikri mencebik. Meluat hatinya
mendengar kata-kata Puan Khadijah.
“Dia sahabat Ray? Untuk pengetahuan
nenek, Dhia bukan sahabat Ray lagi. Apa yang berkaitan dengan dia Ray takkan
ambil tahu lagi. Cukuplah setakat ini persahabatan kami.” angkuh kata-kata
Raymi Zikri.
Puan Khadijah terperanjat. Bukan
sahabat lagi? Patutlah diam aje mereka bila bertemu tadi.
Dhia terpana. Nampaknya Puan
Khadijah sudah tahu hal ini. Tidak perlulah dia bersusah payah untuk
menerangkan perkara ini lagi.
“Ray nak keluar dulu. Mungkin dalam
masa beberapa hari ini Ray tak akan balik. Nenek jaga diri baik-baik.
Assalamualaikum…” Itu sahaja yang dia mampu katakan saat ini. Wajah muram Dhia
dijeling tajam. Biarkan Dhia kecewa dengan kata-katanya. Dia peduli apa!
Tidak mahu terus berdiri di depan
nenek, Dhia dan Abang Raz, Raymi Zikri mengorak langkah menuju keluar tanpa
sedikit pun memandang mereka bertiga.
Puan Khadijah melepaskan keluhan
setelah menjawab salam daripada Raymi Zikri. Dia faham cucu bongsunya itu pasti
sedang terluka dengan Dhia kerana hubungan yang selama enam tahun ini putus
begitu sahaja.
“Nenek, Abang Raz…Dhia nak jumpa Ray
sekejap!” Dhia bangun dan tergesa-gesa keluar dari rumah itu. Dia perlu
berjumpa Raymi Zikri.
Kedua-duanya terpinga-pinga melihat
keadaan Dhia. Muhd Razree sudah bangun untuk mengejar Dhia tetapi pantas
ditahan Puan Khadijah.
“Biarkan mereka, Raz…”
Muhd Razree mengeluh. Dia risaukan
Raymi Zikri akan membuatkan Dhia menangis lagi. Itu yang membimbangkannya. Jika
tiada nenek disini, sudah pasti dia akan turut bersama-sama Dhia berjumpa
adiknya.
Diluar rumah, Dhia tercari-cari
kelibat Raymi Zikri. Harap-harap lelaki itu tidak masuk dalam kereta lagi.
“Ray!”
Raymi Zikri tersentak. Dia baru
hendak menutup kereta, namanya dipanggil. Itu pasti Dhia. tekanya. Dia pulas
kunci kereta dan terus menghidupkan enjin. Dia tidak boleh membiarkan gadis itu
mendekatinya.
“Ray, please open the door!”
Dhia mengetuk pintu kereta Raymi Zikri berulang kali. Berharap lelaki itu tidak
bergerak keluar dari rumah ini.
Raymi Zikri merengus kasar. Tidak
suka apabila cermin keretanya diketuk sebegitu. Dia menjeling tajam kearah Dhia
sebelum dia menurunkan cermin keretanya. Cermin mata Ray Ban berwarna hitam
dipakai agar dia menunjukkan perasaan sedihnya kepada Dhia.
“Do I know you, miss widow?”
Raymi Zikri berkata angkuh.
Dhia menjengilkan mata. “Kau panggil
aku miss widow? Aku baru nak tarik balik kata-kata dalam mesej yang aku
bagi pada kau tengah hari tadi, kau panggil aku macam tu? Tak boleh ke kau
panggil aku dengan cara baik, Ray?”
Raymi Zikri tidak peduli. Apa yang
dikatakan Dhia sedikit pun tidak menghalang niatnya untuk terus menyakitkan
hati gadis itu.
“Like I care. Daa…” Raymi
Zikri tersenyum sinis pada Dhia sebelum dia menutup cermin keretanya. Dia
berundur keretanya ke belakang dan terus meninggalkan rumah.
“I hate you, Ray. Really hate you!!”
jerit Dhia sekuat hati.
1 ulasan:
Nak lagi!! Tak sabar2 nk thu sambungan dia!!
Catat Ulasan