Jumaat, 17 Oktober 2014

BAB 8 (Tajuk? Biarlah Rahsia)



“Abang tak kisah siapa Dhia?”tanya Dhia penuh emosi tanpa memandang sedikitpun wajah Muhd Razree yang sedang tekun memandu.
Muhd Razree tersenyum sambal merenung sekilas wajah kesayangannya. “Abang tak kisah. Dhia janda atau balu sekalipun, abang tetap akan terima Dhia. Cinta kan tak kenal siapa…” jawabnya ketika keretanya sudah memasuki kawasan perumahan Damai Jasa.
Airmata Dhia tiba-tiba menitis. Sayu hatinya apabila Muhd Razree berkata begitu. Ternyata Muhd Razree memang seorang lelaki yang baik.
Muhd Razree yang perasan Dhia menangis memberhentikan kereta di seberang jalan. “Dhia sayang, kenapa menangis ni?”
Dhia menahan airmatanya dari terus mengalir deras. “Hah? Tak ada apa-apalah. Mata Dhia ni masuk habuk.”
“Dhia tipu. Kereta abang manalah ada habuk. Abang tahu Dhia menangis sebab terharu abang cakap macam tu. Betul kan?” usik Muhd Razree dengan mata terjengil.
Dhia menekup mukanya. Malu untuk bertembung mata dengan lelaki yang sudah mendapat tempat dihatinya itu. “Mana adalah!Memandai aje abang ni.”
Muhd Razree tersenyum pahit. Dia tahu Dhia memangis kerana kata-katanya. “Bermulanya hubungan kita, abang janji abang takkan biarkan Dhia menangis lagi. Abang akan sentiasa berikan Dhia kebahagiaan dan kasih sayang lebih daripada bekas suami Dhia yang lepas.”
Dhia makin terharu. Insyallah perlahan-lahan dia akan belajar mencintai lelaki yang bernama Muhd Razree ini. Mudah-mudahan hubungan mereka akan berkekalan. Aminn…
Dhia kembali tenang. “Abang boleh buat sesuatu untuk Dhia?”
Muhd Razree mengerutkan dahi. “Buat apa?”
Dhia tersenyum lebar. Ada Muhd Razree disampingnya, dapatlah dia menyakitkan hati seseorang. Siapa lagi kalau bukan Raymi Zikri!

Renungan tajam Raymi Zikri terhadap Dhia memberikan pandangan kurang senang Muhd Razree ketika mereka tiba di rumah Puan Khadijah. Dia tidak suka Raymi Zikri memandang Dhia sebegitu. Timbul rasa cemburu di dalam hatinya. Adakah terdapat rahsia diantara mereka berdua?
            Ikutkan hati, mahu sahaja dia pergi berdua dengan Dhia tetapi atas arahan nenek yang mahu mereka pergi bersama Raymi Zikri, terpaksalah dia menyimpan niatnya itu.
            Dhia yang perasan pandangan kurang senang Raymi Zikri terhadapnya mula berbual mesra dengan Muhd Razree. Rapat kedudukan mereka berdua. Biar Raymi Zikri tahu yang dia ada hubungan dengan Muhd Razree.
            “Bila kita boleh melawat nenek, abang? Dhia tak sabar nak jenguk nenek.” Ujarnya dengan nada manja yang dibuat-buat. Duduk berdua-duaan diatas sofa bersama Muhd Razree membuatkan terfikir untuk menyakitkan hati Raymi Zikri.
Muhd Razree hanya mampu tersenyum. Suka sekali Dhia bersuara begitu apabila bercakap dengannya.
            “Lepas kita solat asar baru kita tengok nenek ya sayang. Dhia tak sabar-sabar nak jumpa nenek ni kenapa? Dah tak sabar nak kahwin dengan abang ya?” sakat Muhd Razree.
            Berombak dada Raymi Zikri mendengarnya. Makin sakit pula hati dia tengok pasangan itu. Serasa mahu dihumban sahaja ke dalam gaung!
            Dalam diam pandai betul  Dhia mengoda abang aku ya. Patutlah nak berhenti kerja bagai. Nak ikut abang aku pergi Negeri Sembilan rupanya. dasar janda gatal! Raymi Zikri mendengus.
            “Eh, mana ada! Abang ni fikir bukan-bukan pula. Dhia nak tengok keadaan nenek. Mana tahu bila nenek jumpa Dhia, nenek akan sihat sepenuhnya.”
            “Ingatkan nak jumpa nenek sebab nak kahwin dengan abang. Hmm…” Muhd Razree membuat muka cemberut, pada masa yang sama dia mendekatkan wajahnya ke muka Dhia. Mahu melihat wajah malu-malu Dhia ketika bertentang mata dengannya.
            Dhia tolak tubuh Muhd Razree selamba tanpa mempedulikan perasaan lelaki itu. Terus dia berlari ke bilik air belakang, tidak jauh dari dapur. Dia memang malu sangat-sangat! Tidak jadi dia mahu bermanja-manja dengan Muhd Razree dihadapan Raymi Zikri.
Raymi Zikri yang duduk diatas sofa sejak dari tadi bangun dan pergi mengejar Dhia. Marahnya sudah tidak dapat ditahan lagi. Selama ini Dhia jarang pegang tubuh lelaki sesuka hati. Memang dah berubah betul dia ni. Baru tiga bulan mereka tidak berjumpa, banyak perubahan yang berlaku dalam diri Dhia. Makin manja pula dia tengok gadis itu.
Muhd Razree yang baru hendak mengejar Dhia dihalang pembantu peribadi nenek. Raymi Zikri puas hati. Dapatlah dia dan Dhia berdua-duaan. “Jamil, bawa terus Abang Raz pergi hospital. Nanti saya bawa Dhia pergi ke sana.” Jamil hanya mengangguk. Terus dibawa Muhd Razree pergi dari situ walaupun dia membentak tidak mahu mengikut.
“Kalau Tuan tak nak masuk hospital hari ini baik Tuan diam dan ikut saja saya ke luar.” Sengaja Jamil menakut-nakutkan Muhd Razree dengan mencekak kolar kemeja lelaki itu.
“Err…awak bos ke saya yang bos ni? Sesuka hati aje nak ugut orang,”tempik Muhd Razree. Tidak terduga Jamil akan mengugutnya sebegini rupa.
Jamil mempamerkan riak wajah yang bersahaja.
“Bos saya hanya Puan Khadijah dan Encik Raymi Zikri. Dah, jangan banyak cakap. Ikut saja saya ke hospital.” Muhd Razree terus senyap. Kempunan hasratnya untuk memperkenalkan Dhia sebagai bakal isterinya dihadapan nenek. Adiknya memang kejam! Sanggup dia buat abangnya begini.
Abang takkan maafkan kau, Ray! katanya dalam hati.

Dhia keluar dari bilik air selepas rasa malunya  berkurangan. Selepas ini dia bertekad untuk tidak menunjukkan sikap yang terlalu manja kepada lelaki itu. Biarlah dia jadi dirinya yang sebenar. Tegas tetapi masih mengekalkan sikap gadis melayu.
            “Baru nak keluar? Kenapa tak keluar lagi setengah jam?”sindir Raymi Zikri di tepi pintu bilik air. Seketika dia memandang sekeliling ruang dapur yang luas itu. Mujur kesemua pembantu rumahnya tiada disitu. Dapatlah dia berdua dengan Dhia disini.
            Masyallah. Dia ni lagi! Dhia betul-betul terkejut. Mujur dia tidak cepat melatah. Mukanya berubah tegang. Dengan Raymi Zikri tidak perlu nak bermuka-muka.
            “Aku punya sukalah nak keluar ke tak? Yang kau ada kat sini buat apa? Aku rasa aku tak cakap sepatah perkataan pun dengan kau kan bila aku sampai sini.”Orang cakap kasar, dia balaslah balik dengan nada kasar!
            “Sebab kau tak cakap dengan akulah aku nak cakap dengan kau. Hei, Dhia. Sejak kau dah bergelar janda ni aku tengok kau makin gedik pula ya. Tambah-tambah pula dengan abang aku. Dah tak sedar ke kau tu dah bergelar janda. Sepatutnya kau mencari yang duda, bukan orang yang bujang macam abang aku tu.”balas Raymi Zikri angkuh.
            “Kurang ajar kau Ray. Berani kau kata aku gedik dengan abang kau? Kau memang sahabat tak guna!” Dhia mengangkat tangan mahu menampar Raymi Zikri namun pantas lelaki itu menepis kasar tangannya.
            “Sakitlah, bodoh!”
            Raymi Zikri mencebik. “Ohh…tahu pun sakit. Tapi tak sesakit mata aku tengok adengan mesra kau orang dekat ruang tamu tadi. Aku cemburu tau tak? Aku cemburu!”
            Mata Dhia menyinga. “Apa pasal pula kau perlu cemburu sedangkan kita tak ada ikatan istimewa pun?”
            “Ada! Kau sahabat aku! Aku tak suka orang lain rapat dengan kau.” suara Raymi Zikri yang nyaring tadi berubah menjadi kendur.  Dia terus melutut dihadapan Dhia. Termangu Dhia dibuatnya. “Maafkan aku, Dhia. Aku tak sedap hati kalau tak dapat kemaafan daripada kau. Dah tiga bulan aku cari kau kat merata tempat. Jujur aku cakap, aku bosan tanpa kau, Dhia. Semua orang yang ada kat sekeliling aku dan rapat dengan aku pun tak pernah memahami kehendak hati aku, Dhia. Hanya kau seorang sahaja yang faham aku.”
            “Tak payah nak layan emosi sangatlah, Ray. Dahlah, aku nak pergi hospital dengan Abang Raz. Tepilah, menyibuk aje!” Dhia menepis tubuh Raymi Zikri. Tidak diendahkan kata-kata Raymi Zikri yang boleh membuatkan dia mengalirkan air mata. Dari dia melayan lelaki yang kurang siuman ini ada  baiknya dia ajak Muhd Razree ke hospital sekarang. Cadangnya mahu sembahyang dirumah banglo Puan Khadijah ini tetapi ada pula yang ‘mengacau’.
            Raymi Zikri menyilangkan tangan ke dada. “Abang Raz dah pergi pun dengan Jamil tadi. Nampaknya kau kena pergi dengan akulah ya.” Dia tersenyum sengih.
            Terbeliak mata Dhia apabila mendengar kata-kata Raymi Zikri. Abang Raz dah pergi dengan Jamil? Dhia kecewa. Sampai hati Muhd Razree meninggalkannya tanpa menyampaikan sebarang pesanan kepadanya. Bukan lama sangat pun dia dalam bilik air.
            “Kau pergilah sorang diri. Aku tak nak ikut. Aku nak balik rumah ibu aku dulu. Esok baru aku jumpa nenek.”sayu sahaja suaranya. Mengambarkan rasa kecewa yang bersarang dihatinya dengan sikap Muhd Razree yang meninggalkannya.
            Elok dia pulang sahaja ke rumah ibu. Dia tahu ibu pasti tidak sabar mahu berjumpa dengannya. Sudah berapa minggu mereka hanya berbual melalui telefon sahaja.
            Raymi Zikri panas hati. Baru hendak rapat semula dengan Dhia, gadis itu hendak pulang ke rumah. Tak boleh! Dia takkan biarkan Dhia balik ke rumah Puan Suria. Gadis itu wajib menemankan dia pergi ke hospital. Wajib!
            “Aku tak kira. Kau ikut juga aku pergi. Kalau tidak aku dukung kau masuk bilik aku.” Ditekannya perkataan ‘dukung’ agar Dhia jadi takut dengannya. Dia tahu Dhia takut kena dukung dengannya. Pernah suatu ketika dia mendukung Dhia dihadapan khalayak ramai dan membuat pusingan berkali-kali sehingga gadis itu jatuh ke lantai. Malu tak payah cakaplah. Sampai berhari-hari mereka tidak bertegur sapa!
            “Kau jangan merepek boleh tak?!” Geram pula dia dengan Raymi Zikri. Orang tengah kecewa ini, dia sempat lagi mengugut. Dhia melangkah longlai ke ruang tamu diikuti Raymi Zikri dari belakang yang tidak putus-putus tersenyum.
            “Dah tu, tak payah nak buat drama tak berbayar kat sini. Ikut aje aku dan aku akan hantar kau balik rumah ibu kau. Macam mana?”
            “Aku ingat aku akan pergi dengan Abang Raz...” Suara Dhia berubah sayu. Hajat dihati mahu pergi bersama-sama dengan Muhd Razree. Memberitahu Puan Khadijah tentang hubungan diantara mereka berdua.
            Raymi Zikri merengus. Tidak suka betul apabila Dhia menyebut nama abang kandungnya. “Jangan sebut nama dia depan aku boleh tak? Aku benci dia!”
            “Janganlah benci dia. Dia tu abang kau merangkap bakal suami aku. Aku tak suka benci orang yang aku sayang.” Takut-takut Dhia berkata.
            “Apa?! Bakal suami kau?”Tegang gila wajah Raymi Zikri. Dhia rasa cuak.
            “Aah…aku ingat kalau dia ada tadi aku nak berterus-terang dengan nenek pasal hubungan kami. Tapi dia dah pergi hospital, terpaksalah aku pendam dulu. Tapi tak tahulah kalau-kalau Abang Raz dah maklumkan pada nenek pasal hubungan kita orang. Kau mesti tak sabar nak dapat kakak ipar macam aku kan?” Dhia mempamerkan wajah teruja.
            “Kau ingat aku suka kau jadi kakak ipar aku? Jangan beranglah, Dhia. Sampai bila-bila pun aku takkan terima kau jadi kakak ipar aku. Never!” marah Raymi Zikri. Serius sahaja wajahnya.
Terkedu Dhia dibuatnya. Apa kena dengan lelaki ni? Tiba-tiba aje nak marah?
            “Kau apa hal ni Ray? Tiba-tiba aje nak marah-marahkan aku. Apa yang aku cakap tu betullah. Lagipun kau orang pertama yang tahu pasal ni. Itu pun dah cukup bagus aku cakap pada kau tau!” Tidak suka betul dengan mimik muka yang ditunjukkan Raymi Zikri. Marah macam nak terkam orang!
            “Aku cakap tak suka, tak sukalah!” tempik Raymi Zikri. Terdiam Dhia disitu. “Jangan cakap pasal ni lagi. Kita gerak ke hospital sekarang.” Mendatar sahaja suaranya. Bagai malas mahu mengeluarkan suara. Terus dia bergerak ke luar menuju ke kereta Audi A8nya.
            Dhia makin pelik dengan Raymi Zikri. Tadi bukan main pujuk dia. Lepas itu bila cakap pasal Abang Raz bakal suami dia, terus mamat itu melenting tidak tentu pasal.
            Takkan Ray cemburu kot?


Dalam kereta, mereka tidak bercakap walau sepatah perkataan pun. Hanya radio yang menceriakan suasana. Dhia terasa bosan. Kalau Abang Raz ada kat samping aku kan best? Mesti banyak yang kita orang bualkan. Dia berangan sendiri. Dengan mamat sebelah ni? Jangan haraplah.
Ada baiknya dia telefon Muhd Razree. Duduk dalam kereta ini tanpa bercakap, dia rasa tidak selesa pula. Poket seluar jeannya diseluk. Pantas dia mengeluarkan telefon bimbit miliknya lalu mencari nombor Muhd Razree di Contacts. Tidak sampai lima belas saat, dia jumpa juga nombor lelaki itu. Terus dia melekapkan telefon bimbit ke telinganya.
Dhia tersenyum-senyum sendiri. Harap-harap Abang Raz akan angkat panggilannya.
Raymi Zikri yang sedang leka memandu sempat menjeling tajam kearah Dhia yang tersenyum-senyum itu. Telefon siapa pula tu? Abang Raz ke?
“Assalamualaikum, abang!” Teruja benar Dhia apabila Muhd Razree menjawab panggilannya.
“Waalaikumsalam Dhia sayang. Kat mana ni?” perlahan sahaja suara Muhd Razree. Dia kini berada dihadapan nenek yang sedang terbaring diatas katil hospital. Suaranya sengaja diperlahankan. Takut menganggu nenek yang sedang lena dibuai mimpi.
“Dhia dalam perjalanan ke hospital ni. Abang tunggu kedatangan Dhia tau? Dhia tak sabar nak jumpa abang.” Manja benar suaranya. Tidak malu langsung untuk menunjukkan perangai manjanya kepada Raymi Zikri. Biar sahabatnya ini tahu yang dia benar-benar sayangkan lelaki itu walaupun hakikat sebenarnya dia tidak berupaya mencintai lelaki itu buat masa sekarang.
 Raymi Zikri disebelah sudah panas hati. Memang nak kena Dhia ni dengan aku! Stereng kereta digenggam kuat. Mahu sahaja dirampas telefon itu dan dicampak ke luar!
“Abang akan tunggu Dhia. Berapa lama pun abang sanggup tunggu. Hurm… Dhia ada dengan Ray ke? Boleh tak suruh dia pandu cepat sikit? Waktu melawat nak dekat habis ni. Lambat nanti tak dapatlah abang nak berterus-terang dengan nenek pasal hubungan kita yang baru bermula ni.” Muhd Razree apa yang terbuku di hatinya. Sebenarnya dia tidak suka Dhia terlalu rapat dengan Raymi Zikri. Takut gadis itu akan terlanjur mencintai adiknya. Raymi Zikri pandai mengayat. Hampir semua gadis yang dijumpai tertawan dengan adiknya itu.
Dhia terkejut. “Abang tak bagi tahu nenek lagi pasal kita? Ingatkan abang dah bagi tahu tadi.” Mahu sahaja dia meraung dalam kereta ini. Bukan susah pun mahu berterus terang. Apa yang lelaki itu takutkan sangat?
“Abang tak kuat, Dhia. Kalau kita berdua baru abang rasa abang lebih bersemangat untuk bagi tahu hubungan kita pada nenek.”
“Tak apalah. Berdua lebih baik kan?” Dhia tergelak kecil. Muhd Razree dihujung talian hanya mampu senyum sahaja. Mujur Dhia tidak berkecil hati dengannya.
Raymi Zikri disebelah menahan nafas. Gelak Dhia menyakitkan hatinya. Tanpa menunggu Dhia menamatkan perbualan dengan abang kandungnya, dia terus menarik telefon bimbit milik gadis itu lalu dimasukkan ke dalam poket. Terjerit kecil Dhia dengan aksi Raymi Zikri yang tidak terduga itu.
Are you out of mind?!”
Just keep quiet and I give your phone’s back,” ucap Raymi Zikri selamba. Dia meneruskan pemanduan seperti biasa. Lagi berapa kilometer sahaja mereka akan sampai ke Institut Jantung Negara (IJN). Dapatlah dia bertemu nenek selepas ini.
“Argh!!” Dhia jerit sekuat hatinya. Geram dengan sikap Raymi Zikri. Sampai hati telefon bimbitnya dirampas sebegitu rupa.
Dia ni memang suka buat aku marah!


2 ulasan:

Mrs.Danial berkata...

#Dhiya awkk xtw kee si #Ray to cemburu sbb ad hati at awkk .. Tp kan , sejujur nya akk lg suka #Dhiya ngn #Ray brbnding #Raz .. im sorry tp to laa pngakuan brani mati akk , ceh ! hahahaha ..

Faraain12 berkata...

OMG Geram gila dengan Ray ni... kalau suka cakap jelah. Nak halang2 Raz dengan Dhia macam tu, buat sakit hati orang je... Dhia mana lah boleh baca hati awak tu Ray oiii...eh sori kak, emotional pulak hehehe