Sudah lima hari Dhia menetap
dirumah mewah ini, selama
lima hari itu jugalah Dhia terasa bosan dan sunyi. Dhia merasakan dia hidup di
alam penjara. Dikurung tanpa melakukan sebarang aktiviti yang mengembirakan. Puan
Khadijah asyik menyuruhnya berehat sahaja tanpa menolong pembantu rumah di
dapur.
Muhd Razree pula asyik sibuk
saja dengan urusan kerja yang tidak pernah habis. Apabila dia mahu mengajak
lelaki itu keluar, ada sahaja alasan yang diberikan. Sibuklah, tengah meeting
lah. Sampai naik muak dia mendengarnya. Tahulah big bos!
Raymi
Zikri pula? Huh, lelaki itu jangan cakaplah. Sejak Dhia berjumpa Raymi Zikri
diparkir kereta hari itu, dia langsung tidak melihat bayang-bayang lelaki itu
di rumah mewah ini lagi. Benci sangat dengan dia kan? Tak mengapalah. Raymi
Zikri ada ke tak ada ke, sama sahaja.
“Bosannya
duduk kat sini...nak buat apa pun tak boleh.” Dhia melepaskan keluhan berat
sambil memeluk bantal peluknya. Dia menopang dagu dengan kedua-dua tangannya. Kipas
siling yang berputar ligat dipandang kosong.
Ini
baru lima hari dia duduk kat sini. Belum sebulan lagi. Kalau sebulan entah
macam manalah keadaannya. Pasti rasa bosannya berada ditahap kronik. Ah, aku
tak boleh berehat terlalu lama. Nanti aku makin malas! Dhia duduk menegak
dengan meletak bantal peluk diatas pahanya.
“Aku
mesti kena kerja. Kalau tak kerja, hidup aku mesti lagi bosan.” Dhia menanam
tekad. Dia harus bekerja demi menghilangkan kebosannya tatkala berada di rumah
ini. Puan Khadijah perlu tahu tentang ini. Jika tidak seumur hidup dia duduk
disini tanpa sebarang kerja.
“Dhia…Dhia!”
Bunyi ketukan dari luar mengejutkannya. Puan Khadijah!
“Ya,
nek. Kejap,” laung Dhia. Bantal peluk diketepikan. Segera kakinya mencecah
lantai dan berlari anak membuka pintu bilik.
“Ada
apa, nek?”soalnya. Matanya ralit memandang penampilan Puan Khadijah yang tampak
anggun memakai baju kurung moden berwarna merah muda.
“Nenek
tahu kamu bosan duduk rumah ini.
Dah lama kamu tinggal dengan nenek tapi nenek langsung tak bawa kamu keluar.
Jom ikut nenek pergi suatu tempat nak?”
Dhia
teruja. Puan Khadijah ajak dia keluar? Wah, bestnya! “Nenek nak bawa Dhia pergi
mana?”
“Bila
kamu siap, baru nenek cakap kita nak pergi mana. Kamu siap aje dulu. Pakai
cantik-cantik tau.” Dhia mengerutkan dahi. Pakai cantik-cantik nak buat apa?
Pergi jalan aje pun. Lainlah kalau pergi majlis kenamaan. Barulah dia pakai
baju yang grand sikit.
“Nenek
bagi masa setengah jam aje untuk kamu bersiap. Nenek tahu kamu tak siap lagi
dalam waktu tu, nenek suruh Jamil masuk dalam bilik kamu.”ugut Puan Khadijah.
Sengaja menakut-nakutkan Dhia.
Uiks,
Puan Khadijah ini. Suka buat dia takut. Sudahlah dia seram dengan si Jamil
gagah perkasa itu! Mata dia pun Dhia tak sanggup nak pandang apatah lagi nak
suruh dia masuk dalam bilik ini. Mahu patah tulangnya dikerjakan lelaki itu
jika dia berdegil.
“Yalah,
yalah. Dhia siap sekejap aje. Bukannya lama pun.” Terserlah muka masamnya.
Bengang diugut sebegitu.
“Nenek
turun bawah dulu. Cepat tau!” kata Puan Khadijah sebelum dia turun ke bawah.
Dhia
mengangguk cepat-cepat. Terus dia menutup pintu bilik. Kelam-kabut dia mencari
baju yang sesuai untuk dipakai. Moga-moga Puan Khadijah akan sukakan
penampilannya.
Dua
puluh minit kemudian, Dhia turun ke bawah. Baju kurung peplum berwarna ungu
menjadi pilihannya kali ini. Rambut paras bahunya dibiarkan lepas. Puan
Khadijah yang sedang duduk menonton televisyen tersenyum kearahnya.
“Cantik
cucu nenek ni. Patutlah Raz terpikat.”puji Puan Khadijah. Sejuk hatinya melihat
Dhia berbaju kurung moden itu. Seperti budak belasan tahun.
Dhia
ketawa kecil. “Cantik? Tak adalah. Dhia biasa-biasa aje.” Dia melihat
penampilannya sendiri. Tak adalah cantik mana pun. Mekap pun dia tak sempat
pakai. Lipstik pun calit ala kadar aje.
Puan
Khadijah bangun dari tempat duduknya. Jamil yang berdiri di sebelahnya tadi
sudah meninggalkan mereka berdua.Membawa keretanya masuk ke dalam perkarangan
rumah. Tak payahlah mereka bersusah payah berjalan kaki ke tempat parkir kereta
yang dikhaskan untuk keretanya.
“Marilah
kita keluar. Jamil mesti dah tunggu kat luar tu.” ajak Puan Khadijah. Dia
memeluk mesra bahu Dhia. “Dhia tahu tak nenek nak bawa Dhia pergi mana ni?”
Dhia
mengelengkan kepala. Bibirnya mengukir senyuman. “Manalah Dhia tahu, nek. Masa
Dhia bersiap tadi Dhia asyik fikir aje nenek nak bawa Dhia pergi mana. Nenek
nak bawa Dhia pergi rumah kawan nenek ke?”
“Taklah.
Nenek sebenarnya nak bawa Dhia jumpa Abang Raz. Dhia mesti suka kan?”
Mulutnya
terlopong. Dia jadi teruja. Tidak sangka Puan Khadijah mengajaknya keluar hari
ini semata-mata untuk berjumpa Muhd Razree. Siapa yang tidak teruja kan dapat
berjumpa kekasih hati?
“Dhia
suka sangat, nek! Hurm… Dhia rindu kat dia.” Tingkahnya berubah manja. Luahan
rindu yang diperam di dalam hatinya selama beberapa hari ini terluah jua di depan
Puan Khadijah tanpa rasa malu dan segan.
“Kalau
rindu, jom kita pergi sekarang. Lambat nanti, tak dapatlah kamu jumpa Razree.
Dia tu sibuk memanjang.”
Kereta
Mercedesnya sudah berada diperkarangan rumah. Tanpa disuruh, Jamil membuka
pintu belakang dan mengarahkan mereka berdua masuk. Dhia teragak-agak untuk
duduk di tempat duduk belakang bersama Puan Khadijah. Jarang dia mendapat
layanan first class seperti yang diterima Puan Khadijah Mahu sahaja dia duduk
disebelah Jamil. Tetapi mengenangkan Puan Khadijah yang beria-ria mengajak dia
duduk ditepinya, terpaksalah Dhia akur.
Keterujaannya mahu bertemu
Muhd Razree
dirumah Puan Khadijah tadi hilang saat kakinya melangkah masuk ke dalam pejabat
lelaki itu. Raut wajahnya yang ceria berubah masam tatkala matanya singgah pada
lelaki yang sedang berbual dengan Muhd Razree di meja kecil bersebelahan dengan
pintu masuk pejabat itu.
Imran,
kenapa kau muncul lagi dalam hidup aku? rintihnya dalam hati.
“Abang…apa
dia buat kat sini?” terketar-ketar suaranya apabila Imran merenungnya tidak
berkelip.
Muhd
Razree bangun. Kemudian dia bersalam dengan Puan Khadijah sebelum dia merapati
Dhia yang nampak tidak tentu arah. Terkejut juga dia dengan kedatangan Puan
Khadijah dan Dhia ke pejabatnya tengah hari ini. Dia ingatkan Puan Khadijah
akan membawa Dhia datang ke pejabatnya pada waktu petang.
“Imran
antara supplier paper yang penting dalam syarikat nenek. Itu sebab dia
jumpa abang hari ini.”jelas Muhd Razree. Dia kenali Imran semasa hari
pernikahan Dhia dan lelaki itu dua tahun lepas. Ikutkan dia mahu mencari supplier
lain kerana lelaki ini menceraikan Dhia tetapi apabila difikirkan semula, ini
syarikat milik neneknya. Dia hanya membantu apa yang patut sahaja.
Mendengar
namanya dipanggil, Imran terus mengangkat punggung dan menundukkan sedikit
wajahnya dihadapan Puan Khadijah dan Dhia.
“Assalamualaikum
Puan….Assalamualaikum Err…Dhia.” Mulutnya sedikit mengeletar tatkala nama Dhia
disebut.
Puan
Khadijah tersenyum simpul. Salam lelaki itu dijawab dengan nada tenang. Lain
pula dengan Dhia, gadis itu menjawab dengan suara acuh tak acuh. Imran akur.
Dhia memang tidak senang dengan kehadirannya disini. Apa boleh buat, Dhia tidak
sukakannya.
Mood Dhia merundum. Habis terbang kerinduan yang tinggi melangit terhadap Muhd
Razree. Dia datang ke sini semata-mata untuk berjumpa Muhd Razree. Bukannya
Imran!
“Dhia nak balik.” Hambar sahaja nadanya. Menunjukkan moodnya
benar-benar telah hilang. Dia memandang Puan Khadijah sejenak sebelum dia
berpaling mengadap pintu utama bilik Muhd Razree dan keluar dari situ.
Muhd Razree mengeluh panjang. Baru berapa minit mereka
bertemu, Dhia sudah tinggalkannya. Imran disebelah dipandang. Lelaki itu hanya
menunjukkan riak wajah bersahaja.
“Sorry Encik
Imran, Raz…Mood Dhia tak berapa tenang ketika ini. Saya balik dulu ya.” Ucap
Puan Khadijah dengan tenang.
“Nenek tak boleh balik lagi. Secretary Raz cakap nenek kena tandatangan cheque untuk pembelian mesin cutter
yang kita bincang minggu lepas. Pasal Dhia, biar Raz hantar dia balik,” jawab
Muhd Razree.
Wajah Imran dipandang sekali lagi. “Saya minta maaf Encik
Imran sebab tak dapat bincang secara lanjut tentang harga untuk paper yang
diminta pelanggan. Nanti saya call Encik semula.” Dengan langkah terburu-buru,
Muhd Razree keluar dari biliknya dan mengejar Dhia. Gadis itu sedang merajuk
dan dia perlu memujuknya.
“Tak
apalah. Nak buat macam mana.” Imran angkat bahu sebelum dia tersenyum nipis.
Nampaknya perbincangan penting ini tergendala lagi. Bukan senang mahu berjumpa
Muhd Razree dalam beberapa bulan ini. Lelaki itu seringkali berada diluar
daerah jadi masa untuk mereka bertemu agak terhad.
Dokumen
penting yang dibawa dimasukkan semula ke dalam beg bimbitnya. Selepas ini dia
mahu balik ke rumah. Rina sudah masak makanan tengah hari untuknya. Jadi dia
tidak boleh terlambat. Lambat sedikit, Rina merajuk dengannya.
“Cepatnya
awak nak balik ofis, Encik Imran. Tak nak duduk bersembang dengan saya dulu?”
kata Puan Khadijah. Tangannya disilangkan.
Tanpa
memandang Puan Khadijah yang sedang merenung tajam kearahnya, dia bersuara.
“Tiada apa yang penting untuk kita bincangkan, Puan Khadijah.” Beg bimbitnya
disangkutkan keatas bahu kanannya. “Saya nak balik dulu.”
“Kata-kata awak sangat berlagak, Encik Imran. Patutlah Dhia
tinggalkan awak.”
“Maaf, Puan. Kata-kata Puan tidak benar sama sekali. Saya
yang ceraikan dia. Tak ada istilah dia tinggalkan saya.” Angkuh sekali
kata-katanya.
Puan Khadijah mencebik. “Memang bagus kamu berdua bercerai.
Saya sangat suka. Lelaki yang angkuh dan berlagak macam awak ni memang tidak
layak untuk bersama Dhia. Dia lagi baik digandingkan dengan cucu saya.”
Imran tergelak sinis apabila Puan Khadijah berkata begitu.
Benarlah telahan hatinya yang Muhd Razree adalah cinta baru Dhia. “Tak salah
kata hati saya. Rupa-rupanya dia dan Encik Razree bercinta. By the way, Dhia mengalami masalah
dalaman. Entah dapat atau tidak Puan terima cicit kalau mereka berkahwin.”
Puan Khadijah membesarkan mata. Masalah dalaman? Dia berasa
sebak. Kesiannya Dhia ada masalah dalaman. Tak apa. Nanti dia bawa Dhia
berjumpa Dr. Munirah. Mana tahu masalah dalaman Dhia akan sembuh?
“Itu bukan masalah besar, Encik Imran. Mana tahu bila Dhia
kahwin dengan cucu saya, masalah dalaman Dhia akan selesai? Penyelesaian boleh
dicari. Kalau kita berusaha, pasti Allah akan memakbulkan doa kita. Dan saya
pasti Dhia selalu berdoa semoga dia berpeluang untuk melahirkan zuriatnya
sendiri.”
Imran terdiam. Dia lupa bahawa Allah merancang
segala-galanya. Keluhan panjang dilepaskan. “Apa-apa pun, tahniah sebab Encik
Razree bercinta dengan Dhia. Saya harapkan hubungan mereka berkekalan.”
Dihujung kata-katanya terselit nada sebak. Ada sedikit penyesalan di lubuk
hatinya. Bertuah Muhd Razree memiliki Dhia.
“Saya pun nak ucapkan tahniah juga kat Encik Imran.” Puan
Khadijah bangun dan mengadap Imran. Selepas ini dia perlu berjumpa setiausaha
Muhd Razree. Ada cheque yang perlu dia tandatangan.
“Tahniah? Sebab apa pulak?” Imran mengerutkan dahi.
“Tanpa lafaz cerai yang diucapkan Encik Imran, Dhia takkan
masuk dalam keluarga saya. Saya memang dah lama impikan Dhia menjadi ahli
keluarga saya. Sebelum awak dan Dhia kahwin lagi.”
Imran melongo. Sampai begitu sekali niat Puan Khadijah.
Patutlah wanita ini suka datang ke rumahnya semasa mereka masih bersama. Ada
agenda rupa-rupanya!
“Saya tak boleh berlama kat sini. Saya nak balik dulu.” Rasa
kecewa jelas terpancar diwajahnya. Puan Khadijah yang berdiri dihadapannya
dipandang sepi. Kakinya terus mengorak langkah keluar dari bilik Muhd Razree.
Berlama di bilik ini, makin bertambahlah rasa kecewanya.
Puan Khadijah tersenyum sinis. Pemergian Imran yang jelas
kecewa itu mengembirakan hatinya. Padan muka kau, Encik Imran. Lagi kau kecewa,
lagi aku suka. katanya dalam hati.
Tidak lama selepas itu, dia keluar dari bilik ini dan
bertemu setiausaha cucunya itu.
Muhd Razree mempamerkan wajah
ceria
disebelah Dhia walaupun dia sedikit penat akibat mengejar Dhia.
“Dhia cakap aje nak pergi
mana. Abang bawakan.”
Muhd Razree langsung menarik
Dhia masuk ke dalam keretanya dan terus keluar dari syarikat Puan Khadijah. Muka Dhia yang masam sejak keluar dari bilik kekasihnya itu
bertambah masam apabila Muhd Razree menariknya masuk ke dalam kereta Mitsubishi
Evo.
“Dhia tak nak pergi
mana-mana. Dhia nak balik!” Masih dengan nada hambarnya. Naik berang Muhd Razree
mendengarnya. Lantas dia menghidupkan enjin dan membawa keretanya laju seperti
perlumbaan kereta di litar sepang antarabangsa. Ini sahaja cara yang dia ada
supaya Dhia mengikut kata-katanya.
Dhia cemas. Gaya pemanduan
Muhd Razree menakutkannya.
“Abang, bawa pelan-pelan.
Dhia nak hidup lama lagi.” Tersekat-sekat dia berkata. Pemegang atas kepalanya
dipegang kuat.
Muhd Razree mencebik. “Tahu
pun nak cakap baik-baik dengan abang. Abang tanya Dhia tak nak jawab. Abang
buat ni bukan sengaja tau. Abang tak suka Dhia memberontak macam tu.” Gaya
pemanduannya bertukar perlahan. Mujur tidak banyak kereta yang ada di atas
jalan raya ini.
“Dhia minta maaf. Dhia bukan
sengaja nak memberontak. Dia cuma bengang Imran datang kat syarikat nenek. Dhia
kalau boleh dah tak nak tengok muka dia lagi. Dhia benci dia!” Tiba-tiba Dhia
menangis.
Muhd Razree tersentak.
Laa…menangis pulak? Perasaan bersalah muncul dalam dirinya. Janjinya untuk
tidak membuat Dhia menangis tidak ditepati. Janji dicapati betul lah kau ni
Raz!
“Okey, okey. Abang hantar
Dhia balik ya. Dah. Tak cantik muka bakal isteri abang ni bila nangis.”
Cemberut wajah Dhia
mendengarnya. “Dhia benci abang!”
“Dhia nak benci abang,
bencilah. Tapi abang tetap sayang dan cintakan Dhia.”
Menjeling maut Dhia ketika
mendengar ayat yang terluah dibibir Muhd Razree. “Tahu pun sayang. Lain kali
jangan cakap Dhia tak cantik ya. Dhia err…Dhia rindukan abang sebenarnya. Itu
sebab Dhia datang jumpa abang tadi.”
Alahai…sayunya hati Muhd
Razree bila Dhia cakap begitu. “Abang minta maaf sebab tak dapat jumpa Dhia
dalam masa beberapa hari ni. Abang pun rindukan juga. Tapi tulah. Abang sibuk
sangat-sangat. Abang janji, lepas habis aje kerja abang ni kita terus buat apa
yang patut untuk perkahwinan kita nanti.”
“Dhia tak suka janji abang.
Janji abang dicapati!!” Tergelak besar Muhd Razree saat itu. Dhia memang pandai
buat lawak.
Dhia…abang sayangkan
Dhia!bisiknya dalam hati.
Balik sahaja ke rumah Puan Khadijah, Dhia
tersenyum memandang dua pembantu rumah Puan Khadijah yang sedang ligat mengemas
meja besar di ruang tamu itu. Bagus pekerja nenek. Masa nenek tak ada pun,
mereka tetap buat kerja rumah. Inilah yang dikatakan pekerja yang berdedikasi.
“Cik
Dhia dah balik? Nak saya sediakan air?”tanya Amira ketika dia ternampak kelibat
gadis itu dibelakangnya. Kain lap ditangannya disorokkan ke belakang.
“Tak
perlu, Amira. Saya nak naik atas. Nak rehat kejap.” Dhia menjawab dengan
senyuman. Amira mengangguk sebelum dia kembali meneruskan kerjanya.
Dhia
meniti anak tangga satu persatu. Kain kurung peplumnya diangkat sedikit supaya
tidak terjatuh. Sudah sampai di hadapan biliknya, Dhia terpaku di hadapan
pintu. Dia mengerling ke bilik sebelah. Bilik Raymi Zikri. Dia mengeluh
seketika. Manalah lelaki itu berada sekarang ini? Tak ingat nak balik rumah
sendiri ke? fikirnya.
Dhia
tidak jadi masuk ke biliknya. Dia terus ke bilik Raymi Zikri yang tertutup
rapat. Tombol pintu bilik dipulas. Dia mengerutkan dahi. Kenapa bilik ini tak
dikunci? Tak takut ke pembantu rumah curi barang dalam senyap? Soalnya dalam
hati.
Dengan
penuh berhati-hati Dhia menyelinap masuk ke bilik Raymi Zikri.
Makin
berkerut dahi Dhia apabila melihat lampu dan air cond di bilik Raymi Zikri
terpasang. Aik, dia dah balik ke? Kalau dah balik, dia ada kat mana?
Dhia
menjengok kepalanya di luar bilik Raymi Zikri. Tak ada orang pun. Dia masuk
semula ke bilik. Tak ada jugak. Mungkin salah seorang pembantu rumah Puan
Khadijah kemas bilik ini agaknya. tekanya.
Tangan
Dhia merayap pada cadar yang terlipat elok diatas katil Raymi Zikri. Lembutnya
cadar ni! Tanpa teragak-agak, dia duduk di tilam ini lalu membaringkan
tubuhnya.
Wow,
empuknya! Dhia memejam mata erat.
“Bestnya tidur dekat sini. Hmm…” Dhia menarik bantal panjang
disebelahnya lalu dipeluk erat. Penyaman udara yang berada di dalam bilik ini
ternyata lebih sejuk berbanding biliknya.
“Nasib baik dia tak ada kat sini. Kalau tak mesti dia
mengamuk dengan aku.” katanya lagi.
“Siapa kata aku tak ada kat sini?”
Mata Dhia yang terpejam rapat dek kerana menikmati
keselesaan tidur di bilik ini terbuka luas apabila mendengar satu suara yang
agak tegas. Pantas dia bangun dari pembaringan dan duduk menegak di atas tilam
yang empuk ini.
Ray? Dhia mengigit bibir sambil menutup muka. Ya Allah,
kenapa dia berdiri di depan aku tak pakai baju dan bertuala sahaja? Dhia jadi
tidak tentu arah.
Ray…kenapa kau balik? Hati Dhia mengeluh kesah.
4 ulasan:
best 3x.
konfius dengan karakter Dhia ni....dia nak ke tak nak Ray balik ni?
Sygku Fara...
Dhia tu mmg seorang yg konfius..haha
Dia x terduga Ray dtg dlm bilik tu...n mmg d x suka Ray balik ke rumah tu..
Akak cepat2 sambung,, tk sabarlah apa yg terjadi lepas ni!!
Catat Ulasan