“Abang
pergilah mandi dulu. Tak puas lagi ke peluk badan Dhia ni?”rengek Dhia manja.
Rambut Raymi Zikri yang tidak terurus di bahagian tengah dilurutkan ke tepi
sebelum pipi suaminya disentuh sayang.
“Abang belum puas sayang. Abang dah lama
idam nak peluk Dhia. Sejak dari kita belum kahwin lagi.”bisik Raymi Zikri
romantis. Terbuai Dhia dengan nada suaminya.
Oh indahnya percintaan bersama Raymi
Zikri sehingga dirinya terbuai dengan kasih yang suci daripada suaminya itu.
“Abang…pergilah mandi dulu. Lepas kita
sembahyang maghrib berjemaah nanti abang nak peluk Dhia ketat-ketat sampai tak
bernafas pun tak apa.” guraunya.
“Hesy, ada pulak peluk ketat-ketat sampai
tak bernafas. Nanti sayang mati, abang nak peluk siapa lagi. Nakal sayang abang
ni.” Dicuit hidung Dhia penuh rasa sayang yang menggebu. Dhia hanya ketawa
manja.
Dengan berat hati, Raymi Zikri melepaskan
pelukan. Selepas ini azan maghrib akan berkumandang dan dia perlu membersihkan
diri menghadap Allah yang maha Esa. Tuala yang tersangkut di dalam almari
diambil lalu disandarkan ke bahu.
“Abang mandi dulu.”
“Okey, biar Dhia siapkan pakaian abang
untuk solat ya.” Dhia mula turun dari katil. Setelah menjadi isteri Raymi
Zikri, segala keperluan suaminya perlu disediakan. “Kain pelekat abang ada kat
mana?”
“Sayang, sebenarnya, abang tak pernah
pakai kain pelekat. Kalau sembahyang, abang pakai seluar biasa aje.”akuinya
jujur.
“Laa…abang tak pernah sekalipun pakai
kain pelekat?” Raymi hanya menjawab dengan gelengan.
Tersenyum Dhia. “Tak apalah. Dhia cari seluar
yang sesuai ya. Abang pergi mandi cepat. Lagi berapa minit aje lagi nak azan
maghrib.”suruh Dhia dengan nada tergesa-gesa. Raymi Zikri angguk dan tanpa menunggu
lagi, dia berjalan masuk ke dalam tandas.
Sementara menunggu suaminya mandi, Dhia
mencari pakaian yang sesuai untuk suaminya pakai pada malam ini.
Kompang dipalu pengantin
baru, duduk bersanding tersipu malu.
Dhia tersentak. Bunyi ringtone telefon
bimbitnya. Maknanya, ada orang call. Aduhai, mesti Muhd Razree yang call. Dhia
garu kepalanya yang tidak gatal. Beg bimbitnya yang terletak elok di tepi katil
dicapai lalu diambil telefon bimbitnya.
Huh, memang sah dia yang call. Tanpa
berfikir panjang, Dhia pantas mematikan panggilannya. Kalau jawab, memang
huru-hara hidupnya sekejap lagi.
Tet…tet…tet…
Bunyi pesanan ringkas masuk. Dhia
mengeluh kasar. Tadi call lepas tu mesej pulak. Mamat ni nak cakap apa
sebenarnya? rengusnya. Keypad ditekan lalu muncul mesej daripada Muhd Razree.
Nape
tak angkat? Abang nak cakap pasal perkahwinan kita. Abang beli banyak tau
hadiah untuk sayang. Tak sabar abang nak tunjukkan pada sayang. Lagi dua hari
abang balik Malaysia tau. Nanti kita jumpa ya. Muah!
Dup dap dup dap. Berdebar jantung Dhia
apabila membaca pesanan ringkas itu. Muhd Razree beli hadiah untuknya? Hadiah
sempena hantaran perkahwinan yang tak jadi tu ke?
“Sayang, dah sediakan baju untuk abang?”
Dhia terkejut mendengar suara suaminya.
Hampir-hampir terlepas telefon bimbitnya kerana tidak percaya suaminya sudah
keluar dari bilik air. Cepat jugak ya suaminya mandi. Tidak sangka suaminya
keluar dengan hanya bertuala sahaja. Merah padam wajahnya melihat tubuh
suaminya yang tidak berpakaian.
“Err…kejap ya, bang.” Tergesa-gesa Dhia
memasukkan telefon bimbitnya ke dalam beg semula dan mencari baju yang sesuai
untuk suaminya.
“Lamanya sayang cari baju. Cari baju ke
cari kekasih lama?” sinis nada Raymi Zikri. Tingkah laku isterinya seperti ada
yang tidak kena terutama telefon bimbit yang dipegang isterinya.
Dhia buat-buat tak dengar. Ayat terakhir
Raymi Zikri menakutkannya. Janganlah suaminya tahu yang dia menerima sms
daripada lelaki itu. Kalau tak aniaya!
“Abang pakai ya baju yang Dhia pilih ni.
Aaa…Dhia nak masuk bilik air…nak ambik wuduk.” Takut-takut Dhia berbicara. Dia
berjalan masuk ke dalam bilik air setelah pakaian suaminya diletakkan di hujung
katil. Tidak mahu suaminya tahu apa yang Muhd Razree katakan padanya melalui
pesanan ringkas, dia membawa sekali telefon bimbitnya ke bilik air.
Raymi Zikri mengangkat kening. Sekali
lagi tingkah laku isterinya nampak pelik. Takkan nak ambil wuduk pun kena bawa
telefon juga?
Ini mesti ada apa-apa ni. Raymi Zikri
mula berasa curiga terhadap Dhia.
Lama Dhia mencium tangan Raymi Zikri selepas selesai solat
maghrib. Sebagai seorang isteri, dia terharu apabila lelaki itu menjadi imam
untuknya di hari pertama pernikahan mereka.
Raymi Zikri pula mengambil ruang dengan
menyentuh kepala Dhia yang dilitup telekung dengan rasa sayang yang membara.
“Terima kasih Dhia sebab sudi jadi isteri abang. Hari ini hari yang gembira
dalam diri abang. Insyallah abang takkan sia-siakan Dhia. Ini kali pertama
abang jadi imam untuk seorang perempuan dan insyallah juga abang akan
mengimamkan untuk anak-anak kita nanti.”
Dhia mendongak. Sebak menguasai jiwanya
dengan kata-kata suaminya. Beruntung dia mempunyai suami seperti Raymi Zikri.
Lantas, dia mendakap tubuh lelaki itu.
“Abang, maafkan Dhia…” Air matanya mula
bergenang.
“Maafkan Dhia? Untuk apa?” Raymi Zikri
membalas pelukan Dhia.
“Abang sayang Dhia tak?”
“Mestilah sayang.”
“Abang cinta Dhia tak?”
“Sayang, kenapa ni?” Raymi Zikri mula
rasa ada sesuatu yang tidak kena pada isterinya.
“Dhia tanya sekali lagi, abang cinta Dhia
tak?”
“Semestinya sayang. Kalau tiada cinta di
hati, abang takkan melamar sayang dan berkahwin sayang seperti sekarang ini.”
Apa yang Dhia tanya, dia seboleh mungkin akan menjawab.
“Abang percaya Dhia?”
“Insyallah abang akan percaya Dhia dan
Dhia pun kena percaya abang jugak. Kita kena saling percaya mempercayai antara
satu sama lain.”
Air mata Dhia semakin laju berguguran.
“Dhia harap abang jangan sayang Dhia sangat, jangan cinta Dhia sangat dan
jangan percaya Dhia sangat.” Dhia merungkai pelukan. Dia bangun dan membuka
telekung tanpa sedikit pun memandang Raymi Zikri yang terpinga-pinga dengan
perilakunya.
“Abang rasa tak ada sebab untuk Dhia
berkata begitu. Bukankah abang kata tadi abang sayang, cinta dan percaya pada
Dhia.” Raymi Zikri melipat sejadahnya dan Dhia dan sangkut di ampaian kecil
yang disediakan khas untuk meletak telekung dan sejadah sahaja.
“Sebab perkataan sangat itu akan lah yang
akan menyakitkan hati abang suatu hari nanti. Err…Dhia nak turun bawah dulu nak
tolong Amira sediakan makan malam untuk kita. Sekejap lagi Dhia panggil abang
makan.”
Tanpa merenung wajah suami tercinta, Dhia
pantas keluar dari bilik. Air mata dikesat. Tidak mahu Amira dan pembantu rumah
yang lain tahu dia menangis.
Raymi Zikri terkaku dengan kenyataan
Dhia. Dia sebenarnya bingung mengapa perilaku Dhia tidak seperti kedatangan
mereka awal petang tadi. Seratus peratus karakter isterinya itu berubah. Dia
sudah jangkakan saat Dhia keluar dari bilik air mengambil wuduk, pasti sesuatu
yang telah berlaku.
Pintu bilik dikunci supaya Dhia tidak
dapat masuk ke bilik saat ini. Apa boleh buat, dia perlu mencari bukti mengapa
Dhia menjadi begitu. Beg isterinya yang terletak di tepi katil diselongkar.
Telefon bimbit Dhia diambil. Dia duduk di katil sambil berbaring.
Panggilan masuk dan keluar isterinya
untuk hari ini diperhatikan dengan penuh asyik. Ada panggilan dari Mak Lang
Rafika dan…
Matanya dikecilkan. Abang Raz?
Raymi Zikri mengetap bibir. Abang Raz
call Dhia? Patutlah dia tanya yang bukan-bukan tadi. Nasib baik Dhia tak call
dia, kalau tidak memang dah lama aku kerat tangan aku sendiri.desisnya dalam
hati.
Usai dia melihat panggilan masuk dan
keluar, dia melihat pula peti pesanan ringkas. Dia pasti abang kandungnya itu
ada memberi pesanan ringkas pada isterinya.
Abang
tak jadi balik dua hari lagi. Abang balik esok! Lov u!
Mata Raymi Zikri membulat. Abang Raz
cakap lov u kat isteri aku? Dia ni
dah betul-betul melampau! Hatinya mula tidak tenteram.
“Aku tak boleh biarkan Abang Raz dekat
dengan Dhia. Tak boleh, tak boleh.” Raymi Zikri duduk menegak. Dia perlu mencari
jalan untuk membuktikan pada Muhd Razree yang Dhia adalah miliknya, haknya!
Telefon bimbit Dhia disimpan semula ke
tempat asal. Selepas ini dia akan telefon Puan Khadijah. Hanya neneknya itu
sahaja yang boleh mematikan niat Muhd Razree untuk balik ke sini.
“Nenek, Ray ni. Nenek kat mana tu?”
Cakapnya dengan nada cemas setelah panggilannya dijawab Puan Khadijah.
“Assalamualaikum Ray. Kenapa cemas sangat
suara tu? Ada sesuatu yang berlaku ke?” Puan Khadijah menjawab dengan nada
cemas. Sekarang ini dia di bilik Muhd Razree. Cucunya sedang meronda-ronda di
dalam hotel yang mereka duduki. Yalah, dua hari lagi mereka akan pulang ke
Malaysia jadi peluang yang ada, cucunya itu pergi bersiar-siar melihat sekitar
hotel.
“Waalaikumsalam nek. Ya, memang Ray
tengah cemas sekarang ini. Abang Raz bagi mesej kat Dhia kata balik esok. Betul
ke nenek balik esok?”
Puan Khadijah mengerutkan dahi. Rasanya
dua hari lagi baru mereka balik. “Eh, tak adalah. Lagi dua hari lagi baru nenek
balik. Kenapa Ray? Abang Raz mesej Dhia apa?”
“Abang Raz kata dia balik esok. Ray tak
bolehlah kalau Abang Raz balik sini. Nenek tolonglah Ray. Cari peluang untuk
jauhkan Abang Raz dari Dhia. Ray tak boleh tengoklah kalau mereka bertemu. Ray
cemburu!”
Puan Khadijah turun dari katil Muhd
Razree dan berjalan ke muka pintu. Badannya disandarkan ke situ sambil berpeluk
tubuh. “Bertenang ya Ray. Nenek faham perasaan kamu. Kamu jangan bimbang,
tahulah nenek buat apa dengan Abang Raz kamu tu. So, macam mana pernikahan kamu
tadi? Semua berjalan lancar?” Puan Khadijah perlu menenangkan jiwa Raymi Zikri.
Dia tahu jiwa Raymi Zikri tidak begitu tenang ketika ini.
Raymi Zikri tersenyum nipis. Alhamdulilah
nek, semuanya berjalan lancar. Ray bersyukur sangat jadi suami Dhia. Bersyukur
sangat-sangat nenek.”
“Nenek pun bersyukur sangat kamu jadi
suami dia. Alhamdulilah, tertunai jugak hasrat nenek untuk jadikan korang berdua suami isteri. Nenek
bersyukur sangat.”
Telinga Muhd Razree dapat menangkap
perbualan yang berlangsung dari luar bilik, Luluh hatinya mendengar perbualan
itu. Sampai hati nenek buat dia begini! Patutlah nenek bawanya sampai ke Dubai
untuk membeli barang hantaran. Pandai betul nenek menipu.
Jaga kau, nek! Aku takkan biarkan hidup
kau senang selepas ini. tekadnya dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan