Jumaat, 19 Disember 2014

BAB 19 (Tajuk? Biarlah Rahsia) - PART 1


Dhia nekad. Selepas ini dia perlu menjauhkan dirinya daripada Raymi Zikri. Jika boleh, dia tidak mahu lagi bersemuka dengan lelaki yang dicintainya itu. Biarlah mereka jarang bertemu lagi.
            Perkara pertama yang akan dilakukannya adalah menerima tawaran Puan Khadijah dengan bekerja di syarikat wanita itu bagi menggantikan Muhd Razree yang tidak boleh keluar dari rumah sehingga majlis perkahwinan mereka berlangsung. Walaupun dia tidak bersedia untuk bekerja dalam beberapa bulan ini tetapi oleh kerana Muhd Razree sakit, dia terpaksa terima juga tawaran kerja daripada wanita itu.
            Hari ini hari pertama Dhia bekerja jadi dia akan memastikan penampilannya bersesuaian dengan jawatan pengarah yang dipegangnya.
            Siap berpakaian, Dhia turun ke bawah sambil membimbit beg tangannya. Dia sudah bersiap sedia ke pejabat. Yang dia risaukan saat ini hanyalah pengangkutan yang akan membawanya ke syarikat Puan Khadijah. Siapa yang akan menghantarnya? Takkan Muhd Razree kot? Bakal suaminya itu sudahlah tidak sihat.
            Raymi Zikri? Gulp. Dhia telan air liur. Seboleh mungkin dia tidak mahu berjumpa lelaki itu hari ini.
            Tak mengapalah. Jamil boleh hantar aku pergi kerja. Katanya dalam hati.
            Sampai di meja makan utama, Dhia terus duduk di sebelah Puan Khadijah yang sudah bersiap sedia menunggunya. Nasib baik hanya Puan khadijah sahaja yang berada disini. Kalau Raymi Zikri ada didepannya, memang mati senyumannya.
Senyuman diberikan pada wanita itu sebelum dia mengambil karipap yang telah tersedia di hadapannya.
            Pap! Dhia terkedu apabila tangannya dipukul Puan Khadijah. Sekilas dia memandang wanita itu.
            “Kenapa nek?”
            “Janganlah makan dulu. Kita tunggu Ray basuh tangan dulu barulah kita boleh makan.”
Tangannya ditarik ke bawah meja. Mati terus selera Dhia untuk menikmati karipap hasil buatan pembantu rumah Puan Khadijah. Dhia mengangkat punggung. Ada baiknya dia beredar dulu. Dia takut jiwanya akan rapuh dan menangis di hadapan Puan Khadijah tanpa sedari.
“Dhia rasa Dhia dah lambat. Dhia pergi dulu ya, nek.”
“Aik, tadi bukan bersemangat nak makan karipap tu. Tiba-tiba tak jadi pulak.” Berkerut dahi Puan Khadijah dengan tingkah laku Dhia pagi ini.
“Bukan tak nak makan, nek. Tapi Dhia dah lambat.” Dia mengalas beg tangannya ke bahu. “Dhia pergi dulu, nek.”
“Kamu nak pergi pejabat ni, siapa nak hantar? Kalau kamu nak suruh Jamil, dia tak ada. Pergi buat kad tempahan untuk majlis nikah kamu dua minggu lagi. Ray bagi tahu nenek kamu dah sign borang kahwin. Tak sabar nenek nak bagi kad undangan tu kat sedara nenek.” Puan Khadijah menuangkan teh tarik pekat ke dalam cawannya.
Abang Ray bagi tahu Puan Khadijah pasal perkahwinan aku dengan Abang Raz? Dhia sentap. Kenapa mesti dia yang beritahu bukannya aku? Siapa yang nak  kahwin sekarang ni? Dia atau aku?
“Tak apalah, nek. Dhia naik teksi aje pergi sana…”acuh tak acuh sahaja suaranya menjawab.
Dengan hati yang mendongkol geram, dia pergi meninggalkan Puan Khadijah disitu keseorangan.
Puan Khadijah terpinga-pinga dengan kelakuan Dhia. Aik, takkan cakap pasal borang kahwin pun nak merajuk?
Mahu sahaja dia menarik Dhia duduk bersamanya semula tetapi gadis itu sudah pun jauh meninggalkannya.
Terfikir-fikir dia di dalam hati. Sebenarnya Dhia ikhlas atau tidak kahwin dengan Muhd Razree? Wajah gadis itu seperti sedang menyembunyikan sesuatu darinya. Tapi apa?
Lamunannya pantas ditepis tatkala Raymi Zikri muncul dihadapannya. Dia berlagak biasa seperti tiada apa yang berlaku.
“Ray, jemput makan.” pelawa Puan Khadijah. Dia menarik kerusi untuk Raymi Zikri di tempat Dhia duduk tadi.
“Ray dengar suara Dhia dari dapur tadi. Mana dia pergi, nek?”soal Raymi Zikri. Pelawaan Puan Khadijah langsung tidak diendahkan. Apa yang dicarinya sekarang hanyalah Dhia. Setelah Dhia membuat keputusan memutuskan hubungan mereka, gadis itu terus menjarakkan dirinya.
“Dhia dah pergi kerja…”Meleret sahaja suara Puan Khadijah. Teh tarik pekat yang dibuat pembantu rumahnya dihirup perlahan. “Duduklah, apa tunggu lagi?”
Dhia pergi kerja? Raymi Zikri terkejut.“Dhia pergi naik apa, nek?” Risaunya mula menular.
Puan Khadijah mengangkat bahu. Buat-buat tak tahu. Padahal Dhia sudah berkata padanya yang dia akan menaiki teksi ke pejabat. “Entah. Dhia tak cakap pun dia naik apa. Yang kamu risau sangat kenapa? Tahulah Dhia jalan sendiri pergi tempat kerja tu.”
“Mestilah Ray risau.” Luah Raymi Zikri dengan nada bimbang. “Sebab Ray sayangkan dia…” Ayat terakhir itu diungkap penuh perlahan tanpa sedikit pun didengari Puan Khadijah.
“Nenek makanlah dulu. Ray nak cari Dhia.” Raymi Zikri tidak boleh bersabar lagi. Dia perlu berjumpa Dhia. Terus dia keluar dari rumah mencari Dhia.
“Hurm…suka hati kamulah, Ray.” Puan Khadijah akhirnya akur. Pagi ini dia tidak mahu memberikan tekanan kepada Raymi Zikri. Kalau berjumpa Dhia akan mengurangkan tekanan pada cucunya, dia akur sahaja.

“Dhia…Dhia sayang…Dhia kat mana?!!”jerit Raymi Zikri sekuat hati selepas pintu pagar dibuka. Kereta Audi A6nya tidak dibawa sebaliknya dia berjalan kaki mencari Dhia. Melilau matanya mencari gadis kesayangannya itu tetapi hampa. Tiada disitu.
            Puas dia berlari mencari kelibat Dhia, tiba-tiba dia ternampak gadis itu sedang duduk melutut di lorong tepi rumah jiran Puan Khadijah. Matanya dikecilkan. Apa Dhia buat kat situ? Raymi Zikri melangkah perlahan mendekati Dhia. Dia cuba untuk tidak mengejutkan gadis itu.
            Tidak sampai sepuluh langkah dari tempat yang Dhia duduk, dia tergamam melihat air mata Dhia bercucuran keluar. Dhia menangis? Bibirnya bergetar.
            Apa yang membuatkan kau menangis sayang? Raymi Zikri tekun merenung gadis itu dari jauh.
            “Ray…kenapa aku masih ingatkan kau? Kenapa aku masih tak boleh lupakan kau? Kenapa? Kenapa?!!”jerit Dhia seorang diri dengan tangisan yang mendayu-dayu.
            Dhia menangis kerana aku? Raymi Zikri tergamam sekali lagi.
            Pantas dia meluru kearah Dhia dan membangunkan gadis itu. Tanpa mempedulikan jiran di kawasan rumahnya, Raymi Zikri terus memeluk erat gadis itu. Erat sehingga Dhia tidak boleh bernafas.
            “Abang Ray…lepaskan Dhia. Lepaskan!!” Berusaha keras Dhia melepaskan diri dari lelaki itu tetapi tidak berjaya.
            “Abang Ray sayangkan Dhia. Abang Ray takkan lepaskan sayang. Biarlah nenek nampak Abang Ray peluk Dhia. Biarkan semua nampak pun tak apa. Biar mereka tahu yang Abang Ray cintakan Dhia. Dhia segala-galanya bagi Abang Ray.”
Dia sudah gila! Gilakan Dhia!
            “Abang Ray!!” Dhia menolak keras tubuh Raymi Zikri kemudian pipi mulus lelaki itu dijadikan habuan.
            Raymi Zikri terkedu disitu.

BERSAMBUNG...

            

4 ulasan:

kak ida berkata...

kenapa dhia memperlakukan ray spt itu... kalau syg katalah syg.. kenapa mesti berdolak dalik.. tidak kah perkawenannya dulu mengajar dia sesuatu

Tanpa Nama berkata...

Dhia terpaksa kak Ida...Borang kahwin dia dah tandatangan, jadi apa yang perlu dia lakukan sekarang ini hanyalah melepaskan Ray pergi dari hidupnya.

~~ Daeya

Unknown berkata...

Kesiannya ray...dah lah dhia reject dia, pastu dpt habuan plk...
Dhia ni, klu dah suka ray tu...terus terang je lahhh...

Tanpa Nama berkata...

Dhia dah trus terang kat Ray yang dia suka pada lelaki itu...(ni msti akk x bce bab sebelum2 ni kan?) hehehe

~~Daeya