Dhia nekad. Selepas
ini dia perlu menjauhkan dirinya daripada Raymi Zikri. Jika boleh, dia tidak
mahu lagi bersemuka dengan lelaki yang dicintainya itu. Biarlah mereka jarang
bertemu lagi.
Perkara pertama yang akan
dilakukannya adalah menerima tawaran Puan Khadijah dengan bekerja di syarikat
wanita itu bagi menggantikan Muhd Razree yang tidak boleh keluar dari rumah
sehingga majlis perkahwinan mereka berlangsung. Walaupun dia tidak bersedia
untuk bekerja dalam beberapa bulan ini tetapi oleh kerana Muhd Razree sakit,
dia terpaksa terima juga tawaran kerja daripada wanita itu.
Hari ini hari pertama Dhia bekerja
jadi dia akan memastikan penampilannya bersesuaian dengan jawatan pengarah yang
dipegangnya.
Siap berpakaian, Dhia turun ke bawah
sambil membimbit beg tangannya. Dia sudah bersiap sedia ke pejabat. Yang dia
risaukan saat ini hanyalah pengangkutan yang akan membawanya ke syarikat Puan
Khadijah. Siapa yang akan menghantarnya? Takkan Muhd Razree kot? Bakal suaminya
itu sudahlah tidak sihat.
Raymi Zikri? Gulp. Dhia telan air
liur. Seboleh mungkin dia tidak mahu berjumpa lelaki itu hari ini.
Tak mengapalah. Jamil boleh hantar aku
pergi kerja. Katanya dalam hati.
Sampai di meja makan utama, Dhia
terus duduk di sebelah Puan Khadijah yang sudah bersiap sedia menunggunya.
Nasib baik hanya Puan khadijah sahaja yang berada disini. Kalau Raymi Zikri ada
didepannya, memang mati senyumannya.
Senyuman diberikan pada wanita itu sebelum dia
mengambil karipap yang telah tersedia di hadapannya.
Pap! Dhia terkedu apabila tangannya
dipukul Puan Khadijah. Sekilas dia memandang wanita itu.
“Kenapa nek?”
“Janganlah makan dulu. Kita tunggu
Ray basuh tangan dulu barulah kita boleh makan.”
Tangannya ditarik ke bawah meja. Mati terus
selera Dhia untuk menikmati karipap hasil buatan pembantu rumah Puan Khadijah.
Dhia mengangkat punggung. Ada baiknya dia beredar dulu. Dia takut jiwanya akan
rapuh dan menangis di hadapan Puan Khadijah tanpa sedari.
“Dhia rasa Dhia dah lambat. Dhia pergi dulu ya,
nek.”
“Aik, tadi bukan bersemangat nak makan karipap
tu. Tiba-tiba tak jadi pulak.” Berkerut dahi Puan Khadijah dengan tingkah laku
Dhia pagi ini.
“Bukan tak nak makan, nek. Tapi Dhia dah
lambat.” Dia mengalas beg tangannya ke bahu. “Dhia pergi dulu, nek.”
“Kamu nak pergi pejabat ni, siapa nak hantar?
Kalau kamu nak suruh Jamil, dia tak ada. Pergi buat kad tempahan untuk majlis
nikah kamu dua minggu lagi. Ray bagi tahu nenek kamu dah sign borang kahwin.
Tak sabar nenek nak bagi kad undangan tu kat sedara nenek.” Puan Khadijah menuangkan
teh tarik pekat ke dalam cawannya.
Abang Ray bagi tahu Puan Khadijah pasal
perkahwinan aku dengan Abang Raz? Dhia sentap. Kenapa mesti dia yang beritahu bukannya aku? Siapa yang nak kahwin sekarang ni? Dia atau aku?
“Tak apalah, nek. Dhia naik teksi aje pergi sana…”acuh tak acuh
sahaja suaranya menjawab.
Dengan hati yang mendongkol geram, dia pergi meninggalkan Puan
Khadijah disitu keseorangan.
Puan Khadijah terpinga-pinga dengan kelakuan Dhia. Aik, takkan
cakap pasal borang kahwin pun nak merajuk?
Mahu sahaja dia menarik Dhia duduk bersamanya semula tetapi gadis
itu sudah pun jauh meninggalkannya.
Terfikir-fikir dia di dalam hati. Sebenarnya Dhia ikhlas atau
tidak kahwin dengan Muhd Razree? Wajah gadis itu seperti sedang menyembunyikan
sesuatu darinya. Tapi apa?
Lamunannya pantas ditepis tatkala Raymi Zikri muncul dihadapannya.
Dia berlagak biasa seperti tiada apa yang berlaku.
“Ray, jemput makan.” pelawa Puan Khadijah. Dia menarik kerusi
untuk Raymi Zikri di tempat Dhia duduk tadi.
“Ray dengar suara Dhia dari dapur tadi. Mana dia pergi, nek?”soal
Raymi Zikri. Pelawaan Puan Khadijah langsung tidak diendahkan. Apa yang
dicarinya sekarang hanyalah Dhia. Setelah Dhia membuat keputusan memutuskan
hubungan mereka, gadis itu terus menjarakkan dirinya.
“Dhia dah pergi kerja…”Meleret sahaja suara Puan Khadijah. Teh tarik
pekat yang dibuat pembantu rumahnya dihirup perlahan. “Duduklah, apa tunggu
lagi?”
Dhia pergi kerja? Raymi Zikri terkejut.“Dhia pergi naik apa, nek?”
Risaunya mula menular.
Puan Khadijah mengangkat bahu. Buat-buat tak tahu. Padahal Dhia
sudah berkata padanya yang dia akan menaiki teksi ke pejabat. “Entah. Dhia tak
cakap pun dia naik apa. Yang kamu risau sangat kenapa? Tahulah Dhia jalan
sendiri pergi tempat kerja tu.”
“Mestilah Ray risau.” Luah Raymi Zikri dengan nada bimbang. “Sebab
Ray sayangkan dia…” Ayat terakhir itu diungkap penuh perlahan tanpa sedikit pun
didengari Puan Khadijah.
“Nenek makanlah dulu. Ray nak cari Dhia.” Raymi Zikri tidak boleh
bersabar lagi. Dia perlu berjumpa Dhia. Terus dia keluar dari rumah mencari
Dhia.
“Hurm…suka hati kamulah, Ray.” Puan Khadijah akhirnya akur. Pagi
ini dia tidak mahu memberikan tekanan kepada Raymi Zikri. Kalau berjumpa Dhia
akan mengurangkan tekanan pada cucunya, dia akur sahaja.
“Dhia…Dhia sayang…Dhia
kat mana?!!”jerit Raymi Zikri sekuat hati selepas pintu pagar dibuka. Kereta
Audi A6nya tidak dibawa sebaliknya dia berjalan kaki mencari Dhia. Melilau
matanya mencari gadis kesayangannya itu tetapi hampa. Tiada disitu.
Puas dia berlari mencari kelibat Dhia, tiba-tiba dia
ternampak gadis itu sedang duduk melutut di lorong tepi rumah jiran Puan
Khadijah. Matanya dikecilkan. Apa Dhia buat kat situ? Raymi Zikri melangkah
perlahan mendekati Dhia. Dia cuba untuk tidak mengejutkan gadis itu.
Tidak sampai sepuluh langkah dari tempat yang Dhia duduk,
dia tergamam melihat air mata Dhia bercucuran keluar. Dhia menangis? Bibirnya
bergetar.
Apa yang membuatkan kau menangis sayang? Raymi Zikri
tekun merenung gadis itu dari jauh.
“Ray…kenapa aku masih ingatkan kau? Kenapa aku masih tak
boleh lupakan kau? Kenapa? Kenapa?!!”jerit Dhia seorang diri dengan tangisan
yang mendayu-dayu.
Dhia menangis kerana aku? Raymi Zikri tergamam sekali
lagi.
Pantas dia meluru kearah Dhia dan membangunkan gadis itu.
Tanpa mempedulikan jiran di kawasan rumahnya, Raymi Zikri terus memeluk erat
gadis itu. Erat sehingga Dhia tidak boleh bernafas.
“Abang Ray…lepaskan Dhia. Lepaskan!!” Berusaha keras Dhia
melepaskan diri dari lelaki itu tetapi tidak berjaya.
“Abang Ray sayangkan Dhia. Abang Ray takkan lepaskan
sayang. Biarlah nenek nampak Abang Ray peluk Dhia. Biarkan semua nampak pun tak
apa. Biar mereka tahu yang Abang Ray cintakan Dhia. Dhia segala-galanya bagi
Abang Ray.”
Dia sudah gila! Gilakan Dhia!
“Abang Ray!!” Dhia menolak keras tubuh Raymi Zikri
kemudian pipi mulus lelaki itu dijadikan habuan.
Raymi Zikri terkedu disitu.
BERSAMBUNG...
BERSAMBUNG...
4 ulasan:
kenapa dhia memperlakukan ray spt itu... kalau syg katalah syg.. kenapa mesti berdolak dalik.. tidak kah perkawenannya dulu mengajar dia sesuatu
Dhia terpaksa kak Ida...Borang kahwin dia dah tandatangan, jadi apa yang perlu dia lakukan sekarang ini hanyalah melepaskan Ray pergi dari hidupnya.
~~ Daeya
Kesiannya ray...dah lah dhia reject dia, pastu dpt habuan plk...
Dhia ni, klu dah suka ray tu...terus terang je lahhh...
Dhia dah trus terang kat Ray yang dia suka pada lelaki itu...(ni msti akk x bce bab sebelum2 ni kan?) hehehe
~~Daeya
Catat Ulasan