Muhd Razree berdiri di depan balkoni sendirian. Ditemani dengan
bintang-bintang berkerlipan serta awan yang berarak perlahan membuatkan dirinya
yang gundah-gulana terasa sedikit tenang dan nyaman. Sudah lama dia tidak
berdiri disini sejak dia menetap di Negeri Sembilan.
Setelah sepuluh minit berdiri di balkoni, dia
kembali ke tempat tidurnya. Badannya yang terasa lenguh di bahagian belakang
diurut-urut seketika sebelum tubuhnya berbaring mengiring. Bantal peluk yang
menjadi penemannya dipeluk erat.
“Hurm…”Mata dipejamkan. Menghayati enaknya
berehat di bilik berhawa dingin ini.
“Abang…” Satu suara berbisik kearahnya.
Menggoda sekali suara itu. Terbuai Muhd Razree dibuatnya.
“Abang…Dhia panggil ni kenapa tak nak jawab?
Dah tak sayang Dhia ya?”bisik suara itu lagi. Makin menggoda nalurinya.
Membuatkan Muhd Razree terbangun dengan sendirinya.
“Astagfirullahalazim…” Mukanya diraup
berkali-kali. Baru nak tidur dia sudah menndengar suara Dhia yang mendayu-dayu.
Sudah angaukah aku?
Muhd Razree tersenyum sendiri namun hanya
seketika cuma. Fikirannya melayang terkenangkan situasi yang berlaku diantara
mereka berdua tadi sehingga membuatkan kekasihnya itu terdiam membisu dengan
kenyataannya.
“Abang Raz,lagi beberapa hari aje perkahwinan
kita akan berlangsung dan Dhia yakin Abang Raz mesti tak sabar-sabar nak jadi
seorang suami pada Dhia kan?”
Muhd Razree tersenyum lebar. “Mestilah, sayang.
Sekarang pun Abang Raz tengah berkobar-kobar ni. Kenapa Dhia tanya? Dhia pun
tak sabar-sabar jugak ke?"usiknya.
“Eh, mana adalah!” Dhia pantas menepis. “Perasaan
Dhia biasa-biasa ajelah.” Selamba sahaja Dhia menjawab.
“Biasa-biasa?” Mata Muhd Razree membulat.
Wajahnya berubah serius. Hatinya tidak tenang bila Dhia berkata begitu. Lantas
dia berdiri tegak dan mengadap dinding bilik.
“Abang Raz ingatkan perasaan Dhia
berkobar-kobar sama seperti yang Abang Raz rasa. Huh, pasti ada seseorang yang
buatkan Dhia jadi tidak teruja dengan perkahwinan kita kan?"
Dhia turut bangun sama. Kali ini dia nekad.Dia perlu
berterus-terang pada Muhd Razree tentang perasaannya pada Raymi Zikri. Jika
terlalu lama dipendam, hatinya akan jadi tidak tenang.
“Kalau Dhia cakap seseorang itu adalah adik
Abang Raz sendiri, macam mana? Apa yang Abang Raz akan buat? Lagipun Dhia rasa
tak salah kan Dhia suka kan Ray, kita pun belum kahwin lagi.”cabarnya.
Muhd Razree berpaling ke belakang dan merenung
tajam wajah Dhia. “Abang Raz akan bawa Dhia pergi ke pejabat agama esok pagi.
Kita kahwin kat sana tanpa sebarang persalinan pengantin. No more Raymi Zikri and no more Muhd Imran after this, full stop!"
Dhia menelan kesat air liurnya. Kahwin esok?
Dhia, apa yang kau dah buat ni? Lain kali
fikirlah dulu sebelum bercakap. Kan dah kena!
Argh!! Dhia meramas-ramas rambutnya sehingga
jadi kusut-masai. Tidak dipedulikan langsung riak Muhd Razree yang termangu
dengan tingkahnya itu.
Muhd Razree baring semula ditempat yang dia
tidur tadi. Kedua tangannya teralih ke belakang. Kepalanya didongakkan ke atas
siling yang berwarna putih. Membayangkan wajah Dhia yang manis tersenyum semasa
majlis perkahwinan mereka nanti.
“Maafkan Abang Raz, Dhia. Abang Raz terpaksa
buat macam tu. Dhia tahu kan Abang Raz tak suka Dhia sebut nama Ray dekat depan
Abang Raz masa kita tengah berbual?”katanya sendirian. Meskipun Dhia mendiamkan
diri di saat dia mengatakan tentang pernikahan mereka esok di pejabat agama,
Muhd Razree tidak peduli itu semua.
Janji pernikahan mereka akan berlangsung esok.
Kini dia tersenyum gembira. Esok Dhia miliknya
dan selamanya milik dia!!
“Sorry
Ray, Dhia bukan untuk kau tapi untuk Abang Raz.”
Matanya dipejam erat tanpa sebarang kekusutan.
Tidak sabar menanti hari esok. Hari pernikahan mereka.
Dhia tidak boleh bersabar lagi. Pagi yang senyap sunyi ini memberinya peluang
untuk dia melarikan diri dari berkahwin dengan Muhd Razree. Dia yakin, jika dia
keluar dari sini, terselamatlah dia dari berkahwin dengan lelaki yang terdesak
itu.
Dhia percaya, apa yang berlaku
semalam boleh mengubah apa yang terjadi pada hari ini. Dia nekad. Pagi ini juga
dia akan berangkat ke rumah ibunya. Itu saja jalan terbaik yang dia ada agar
Muhd Razree tidak berkahwin dengannya.
Sempat lagi dia menaip sesuatu di atas kertas
putih untuk diberikan pada Muhd Razree sebelum dia beredar.
Siap menulis, pakaiannya disumbat ke
dalam beg sandangnya tanpa dilipat. Biarlah nampak berselerak, dia tidak kesah.
Janji hasratnya untuk melarikan diri ke rumah ibunya tertunai juga.
Sampai di rumah ibunya nanti, dia
akan terus menunaikan solat subuh dengan tenang hati.
Keluar sahaja dari bilik, Dhia
pandang ke kanan. Tak ada orang. Dia pandang ke kiri pula. Gayanya macam
perompak saja pandang ke kiri dan kanan.
Fuh, nasibnya memang baik. Semua tengah tidur
lena. Senanglah dia keluar dari rumah mewah ini tanpa sebarang gangguan.
Sebaik Dhia menjejakkan kaki ke ruang tamu,
sekali lagi di pandang ke kiri dan kanan. Mana tahu ada siapa-siapa yang jaga
ke. Orang dalam rumah ni memang susah untuk dijangka.
“Pandang siapa tu Dhia?”
Gulp! Dhia terkejut. Lambat-lambat dia
berpaling ke tepi.
Nenek? Dhia berdebar. Penampilan Puan Khadijah
dari atas ke bawah dipandang dengan rasa pelik. Dengan baju tidur labuh dan
ditempek dengan bedak sejuk, wanita berusia itu seperti hantu pontianak! Lain
benar wajah Puan Khadijah tanpa tudung yang labuh.
“Err…tak sangka nenek ada kat sini. Dhia nak
keluar kejap.” Tergagap-gagap Dhia bercakap.
“Keluar ke mana pagi-pagi buat ni? Dengan beg
sandang lagi. Macam nak lari pulak nenek tengok kamu ni.” Pandang Puan Khadijah
pelik.
Dhia panik dengan pertanyaan itu. Tidak tahu
hendak jawab apa.
“Dhia…nenek tanya ni.”perlahan suaranya namun
kedengaran tegas di telinga Dhia.
Dhia menunduk. Beg sandang yang tergantung di
bahu dilurutkan ke lantai. Serta-merta kaki kanan Puan Khadijah dipeluk. Air
mata yang cuba ditahan akhirnya keluar jua.
Puan Khadijah tergamam bercampur resah. “Dhia
apa kena dengan kamu ni? Cuba cakap dengan nenek.”
“Nenek…please bagi Dhia keluar dari rumah ini
untuk beberapa hari. Dhia takut dengan Abang Raz. Please nenek…bagi Dhia duduk
rumah ibu Dhia.” pohonnya sedaya upaya. Berharap kali ini Puan Khadijah akan
memberinya kebenaran untuk keluar dari sini.
“Kamu kan nak kahwin dengan dia, apa lagi yang
nak ditakutkan? Dia bukannya makan orang pun. Nenek tahu dia sensitif orangnya
tapi nenek rasa itu bukan sebab untuk Dhia merasa takut.”
“Dhia bukan takutkan itu, nek. Dhia takut dia
nak bawak Dhia pergi pejabat agama tengah hari nanti. Dhia tak bersedia nak
kahwin dengan Abang Raz lagi nek…” tangisan Dhia semakin kuat. Serba salah pula
Puan Khadijah mendengarnya. Pada masa yang sama dia berdebar dengan kata-kata
Dhia.
Jika Muhd Razree dan Dhia menikah nanti, habis
bagaimana pula dengan Raymi Zikri? Tidak, dia harus gagalkan rancangan cucu
sulungnya itu. Mujur dia bertemu Dhia pagi ini. Dapatlah dia tahu serba sedikit
apa yang dikatakan Muhd Razree.
“Nenek pergi kejutkan Jamil sekejap ya. Biar
dia hantar kamu ke rumah ibu kamu.”
Dhia terkedu. Nenek benarkan dia keluar dari
rumah ini? Ini sudah bagus! Hampir melompat dia kerana gembira Puan Khadijah
membenarkan dia pergi ke rumah ibu.
“Tak apalah, nek. Dhia pinjam salah satu kereta
nenek. Dhia kan pandai bawak kereta.” Dhia bangun dan mengelap air matanya.
“Okeylah kalau macam tu. Jangan bawak laju-laju
tau. Sekarang ni memang tak ramai kereta yang lalu jalan raya tapi Dhia kena
berhati-hati jugak.”pesan Puan Khadijah. Dhia sudah dianggap seperti cucunya
sendiri dan dia tidak mahu berlaku sesuatu pada gadis ini.
“Insyallah Dhia pandu pelan-pelan. Nenek jangan
risau. Kalau macam tu, Dhia nak berangkat dululah. Lambat nanti Abang Raz
sedar. Baik Dhia pergi sebelum Abang Raz terjaga. Hurm…nenek jaga diri ya. Dhia
harap nenek bagi alasan terbaik pada Abang Raz kalau dia tanya Dhia pergi mana.
Nenek kan bijak pandai…” puji Dhia melambung. Dia memeluk erat Puan Khadijah.
“Mestilah. Nenek bijak dalam memberi alasan.
Bijak membuat rancangan pun ada…” Semakin meleret senyuman Puan Khadijah
setelah dia membalas pelukan Dhia.
Dhia mengerutkan dahi. Bijak membuat rancangan?
Apa-apa ajelah nenek. Janji Dhia tak kahwin
dengan Abang Raz hari ini.
2 ulasan:
Waa ....komplot yg baik dhia n nenek...good
Nenek pun ada rancangan dia sdri yer...Gud2..syg nenek lbih..
Catat Ulasan