Selasa, 4 November 2014

BAB 12 (Tajuk? Biarlah Rahsia)



Sudah lima hari Dhia menetap dirumah mewah ini, selama lima hari itu jugalah Dhia terasa bosan dan sunyi. Dhia merasakan dia hidup di alam penjara. Dikurung tanpa melakukan sebarang aktiviti yang mengembirakan. Puan Khadijah asyik menyuruhnya berehat sahaja tanpa menolong pembantu rumah di dapur.
Muhd Razree pula asyik sibuk saja dengan urusan kerja yang tidak pernah habis. Apabila dia mahu mengajak lelaki itu keluar, ada sahaja alasan yang diberikan. Sibuklah, tengah meeting lah. Sampai naik muak dia mendengarnya. Tahulah big bos!
            Raymi Zikri pula? Huh, lelaki itu jangan cakaplah. Sejak Dhia berjumpa Raymi Zikri diparkir kereta hari itu, dia langsung tidak melihat bayang-bayang lelaki itu di rumah mewah ini lagi. Benci sangat dengan dia kan? Tak mengapalah. Raymi Zikri ada ke tak ada ke, sama sahaja.
            “Bosannya duduk kat sini...nak buat apa pun tak boleh.” Dhia melepaskan keluhan berat sambil memeluk bantal peluknya. Dia menopang dagu dengan kedua-dua tangannya. Kipas siling yang berputar ligat dipandang kosong.
            Ini baru lima hari dia duduk kat sini. Belum sebulan lagi. Kalau sebulan entah macam manalah keadaannya. Pasti rasa bosannya berada ditahap kronik. Ah, aku tak boleh berehat terlalu lama. Nanti aku makin malas! Dhia duduk menegak dengan meletak bantal peluk diatas pahanya.
            “Aku mesti kena kerja. Kalau tak kerja, hidup aku mesti lagi bosan.” Dhia menanam tekad. Dia harus bekerja demi menghilangkan kebosannya tatkala berada di rumah ini. Puan Khadijah perlu tahu tentang ini. Jika tidak seumur hidup dia duduk disini tanpa sebarang kerja.
            “Dhia…Dhia!” Bunyi ketukan dari luar mengejutkannya. Puan Khadijah!
            “Ya, nek. Kejap,” laung Dhia. Bantal peluk diketepikan. Segera kakinya mencecah lantai dan berlari anak membuka pintu bilik.
            “Ada apa, nek?”soalnya. Matanya ralit memandang penampilan Puan Khadijah yang tampak anggun memakai baju kurung moden berwarna merah muda.
            “Nenek tahu kamu bosan duduk  rumah ini. Dah lama kamu tinggal dengan nenek tapi nenek langsung tak bawa kamu keluar. Jom ikut nenek pergi suatu tempat nak?”
            Dhia teruja. Puan Khadijah ajak dia keluar? Wah, bestnya! “Nenek nak bawa Dhia pergi mana?”
            “Bila kamu siap, baru nenek cakap kita nak pergi mana. Kamu siap aje dulu. Pakai cantik-cantik tau.” Dhia mengerutkan dahi. Pakai cantik-cantik nak buat apa? Pergi jalan aje pun. Lainlah kalau pergi majlis kenamaan. Barulah dia pakai baju yang grand sikit.
            “Nenek bagi masa setengah jam aje untuk kamu bersiap. Nenek tahu kamu tak siap lagi dalam waktu tu, nenek suruh Jamil masuk dalam bilik kamu.”ugut Puan Khadijah. Sengaja menakut-nakutkan Dhia.
            Uiks, Puan Khadijah ini. Suka buat dia takut. Sudahlah dia seram dengan si Jamil gagah perkasa itu! Mata dia pun Dhia tak sanggup nak pandang apatah lagi nak suruh dia masuk dalam bilik ini. Mahu patah tulangnya dikerjakan lelaki itu jika dia berdegil.
            “Yalah, yalah. Dhia siap sekejap aje. Bukannya lama pun.” Terserlah muka masamnya. Bengang diugut sebegitu.
            “Nenek turun bawah dulu. Cepat tau!” kata Puan Khadijah sebelum dia turun ke bawah.
            Dhia mengangguk cepat-cepat. Terus dia menutup pintu bilik. Kelam-kabut dia mencari baju yang sesuai untuk dipakai. Moga-moga Puan Khadijah akan sukakan penampilannya.
            Dua puluh minit kemudian, Dhia turun ke bawah. Baju kurung peplum berwarna ungu menjadi pilihannya kali ini. Rambut paras bahunya dibiarkan lepas. Puan Khadijah yang sedang duduk menonton televisyen tersenyum kearahnya.
            “Cantik cucu nenek ni. Patutlah Raz terpikat.”puji Puan Khadijah. Sejuk hatinya melihat Dhia berbaju kurung moden itu. Seperti budak belasan tahun.
            Dhia ketawa kecil. “Cantik? Tak adalah. Dhia biasa-biasa aje.” Dia melihat penampilannya sendiri. Tak adalah cantik mana pun. Mekap pun dia tak sempat pakai. Lipstik pun calit ala kadar aje.
            Puan Khadijah bangun dari tempat duduknya. Jamil yang berdiri di sebelahnya tadi sudah meninggalkan mereka berdua.Membawa keretanya masuk ke dalam perkarangan rumah. Tak payahlah mereka bersusah payah berjalan kaki ke tempat parkir kereta yang dikhaskan untuk keretanya.
            “Marilah kita keluar. Jamil mesti dah tunggu kat luar tu.” ajak Puan Khadijah. Dia memeluk mesra bahu Dhia. “Dhia tahu tak nenek nak bawa Dhia pergi mana ni?”
            Dhia mengelengkan kepala. Bibirnya mengukir senyuman. “Manalah Dhia tahu, nek. Masa Dhia bersiap tadi Dhia asyik fikir aje nenek nak bawa Dhia pergi mana. Nenek nak bawa Dhia pergi rumah kawan nenek ke?”
            “Taklah. Nenek sebenarnya nak bawa Dhia jumpa Abang Raz. Dhia mesti suka kan?”
            Mulutnya terlopong. Dia jadi teruja. Tidak sangka Puan Khadijah mengajaknya keluar hari ini semata-mata untuk berjumpa Muhd Razree. Siapa yang tidak teruja kan dapat berjumpa kekasih hati?
            “Dhia suka sangat, nek! Hurm… Dhia rindu kat dia.” Tingkahnya berubah manja. Luahan rindu yang diperam di dalam hatinya selama beberapa hari ini terluah jua di depan Puan Khadijah tanpa rasa malu dan segan.
            “Kalau rindu, jom kita pergi sekarang. Lambat nanti, tak dapatlah kamu jumpa Razree. Dia tu sibuk memanjang.”
            Kereta Mercedesnya sudah berada diperkarangan rumah. Tanpa disuruh, Jamil membuka pintu belakang dan mengarahkan mereka berdua masuk. Dhia teragak-agak untuk duduk di tempat duduk belakang bersama Puan Khadijah. Jarang dia mendapat layanan first class seperti yang diterima Puan Khadijah Mahu sahaja dia duduk disebelah Jamil. Tetapi mengenangkan Puan Khadijah yang beria-ria mengajak dia duduk ditepinya, terpaksalah Dhia akur.

Keterujaannya mahu bertemu Muhd Razree dirumah Puan Khadijah tadi hilang saat kakinya melangkah masuk ke dalam pejabat lelaki itu. Raut wajahnya yang ceria berubah masam tatkala matanya singgah pada lelaki yang sedang berbual dengan Muhd Razree di meja kecil bersebelahan dengan pintu masuk pejabat itu.
            Imran, kenapa kau muncul lagi dalam hidup aku? rintihnya dalam hati.
            “Abang…apa dia buat kat sini?” terketar-ketar suaranya apabila Imran merenungnya tidak berkelip.
            Muhd Razree bangun. Kemudian dia bersalam dengan Puan Khadijah sebelum dia merapati Dhia yang nampak tidak tentu arah. Terkejut juga dia dengan kedatangan Puan Khadijah dan Dhia ke pejabatnya tengah hari ini. Dia ingatkan Puan Khadijah akan membawa Dhia datang ke pejabatnya pada waktu petang.
            “Imran antara supplier paper yang penting dalam syarikat nenek. Itu sebab dia jumpa abang hari ini.”jelas Muhd Razree. Dia kenali Imran semasa hari pernikahan Dhia dan lelaki itu dua tahun lepas. Ikutkan dia mahu mencari supplier lain kerana lelaki ini menceraikan Dhia tetapi apabila difikirkan semula, ini syarikat milik neneknya. Dia hanya membantu apa yang patut sahaja.
            Mendengar namanya dipanggil, Imran terus mengangkat punggung dan menundukkan sedikit wajahnya dihadapan Puan Khadijah dan Dhia.
            “Assalamualaikum Puan….Assalamualaikum Err…Dhia.” Mulutnya sedikit mengeletar tatkala nama Dhia disebut.
            Puan Khadijah tersenyum simpul. Salam lelaki itu dijawab dengan nada tenang. Lain pula dengan Dhia, gadis itu menjawab dengan suara acuh tak acuh. Imran akur. Dhia memang tidak senang dengan kehadirannya disini. Apa boleh buat, Dhia tidak sukakannya.

Mood Dhia merundum. Habis terbang kerinduan yang tinggi melangit terhadap Muhd Razree. Dia datang ke sini semata-mata untuk berjumpa Muhd Razree. Bukannya Imran!
“Dhia nak balik.” Hambar sahaja nadanya. Menunjukkan moodnya benar-benar telah hilang. Dia memandang Puan Khadijah sejenak sebelum dia berpaling mengadap pintu utama bilik Muhd Razree dan keluar dari situ.
Muhd Razree mengeluh panjang. Baru berapa minit mereka bertemu, Dhia sudah tinggalkannya. Imran disebelah dipandang. Lelaki itu hanya menunjukkan riak wajah bersahaja.
Sorry Encik Imran, Raz…Mood Dhia tak berapa tenang ketika ini. Saya balik dulu ya.” Ucap Puan Khadijah dengan tenang.
“Nenek tak boleh balik lagi. Secretary Raz cakap nenek kena tandatangan cheque untuk pembelian mesin cutter yang kita bincang minggu lepas. Pasal Dhia, biar Raz hantar dia balik,” jawab Muhd Razree.
Wajah Imran dipandang sekali lagi. “Saya minta maaf Encik Imran sebab tak dapat bincang secara lanjut tentang harga untuk paper yang diminta pelanggan. Nanti saya call Encik semula.” Dengan langkah terburu-buru, Muhd Razree keluar dari biliknya dan mengejar Dhia. Gadis itu sedang merajuk dan dia perlu memujuknya.
            “Tak apalah. Nak buat macam mana.” Imran angkat bahu sebelum dia tersenyum nipis. Nampaknya perbincangan penting ini tergendala lagi. Bukan senang mahu berjumpa Muhd Razree dalam beberapa bulan ini. Lelaki itu seringkali berada diluar daerah jadi masa untuk mereka bertemu agak terhad.
            Dokumen penting yang dibawa dimasukkan semula ke dalam beg bimbitnya. Selepas ini dia mahu balik ke rumah. Rina sudah masak makanan tengah hari untuknya. Jadi dia tidak boleh terlambat. Lambat sedikit, Rina merajuk dengannya.
            “Cepatnya awak nak balik ofis, Encik Imran. Tak nak duduk bersembang dengan saya dulu?” kata Puan Khadijah. Tangannya disilangkan.
            Tanpa memandang Puan Khadijah yang sedang merenung tajam kearahnya, dia bersuara. “Tiada apa yang penting untuk kita bincangkan, Puan Khadijah.” Beg bimbitnya disangkutkan keatas bahu kanannya. “Saya nak balik dulu.”
“Kata-kata awak sangat berlagak, Encik Imran. Patutlah Dhia tinggalkan awak.”
“Maaf, Puan. Kata-kata Puan tidak benar sama sekali. Saya yang ceraikan dia. Tak ada istilah dia tinggalkan saya.” Angkuh sekali kata-katanya.
Puan Khadijah mencebik. “Memang bagus kamu berdua bercerai. Saya sangat suka. Lelaki yang angkuh dan berlagak macam awak ni memang tidak layak untuk bersama Dhia. Dia lagi baik digandingkan dengan cucu saya.”
Imran tergelak sinis apabila Puan Khadijah berkata begitu. Benarlah telahan hatinya yang Muhd Razree adalah cinta baru Dhia. “Tak salah kata hati saya. Rupa-rupanya dia dan Encik Razree bercinta. By the way, Dhia mengalami masalah dalaman. Entah dapat atau tidak Puan terima cicit kalau mereka berkahwin.”
Puan Khadijah membesarkan mata. Masalah dalaman? Dia berasa sebak. Kesiannya Dhia ada masalah dalaman. Tak apa. Nanti dia bawa Dhia berjumpa Dr. Munirah. Mana tahu masalah dalaman Dhia akan sembuh?
“Itu bukan masalah besar, Encik Imran. Mana tahu bila Dhia kahwin dengan cucu saya, masalah dalaman Dhia akan selesai? Penyelesaian boleh dicari. Kalau kita berusaha, pasti Allah akan memakbulkan doa kita. Dan saya pasti Dhia selalu berdoa semoga dia berpeluang untuk melahirkan zuriatnya sendiri.”
Imran terdiam. Dia lupa bahawa Allah merancang segala-galanya. Keluhan panjang dilepaskan. “Apa-apa pun, tahniah sebab Encik Razree bercinta dengan Dhia. Saya harapkan hubungan mereka berkekalan.” Dihujung kata-katanya terselit nada sebak. Ada sedikit penyesalan di lubuk hatinya. Bertuah Muhd Razree memiliki Dhia.
“Saya pun nak ucapkan tahniah juga kat Encik Imran.” Puan Khadijah bangun dan mengadap Imran. Selepas ini dia perlu berjumpa setiausaha Muhd Razree. Ada cheque yang perlu dia tandatangan.
“Tahniah? Sebab apa pulak?” Imran mengerutkan dahi.
“Tanpa lafaz cerai yang diucapkan Encik Imran, Dhia takkan masuk dalam keluarga saya. Saya memang dah lama impikan Dhia menjadi ahli keluarga saya. Sebelum awak dan Dhia kahwin lagi.”

Imran melongo. Sampai begitu sekali niat Puan Khadijah. Patutlah wanita ini suka datang ke rumahnya semasa mereka masih bersama. Ada agenda rupa-rupanya!
“Saya tak boleh berlama kat sini. Saya nak balik dulu.” Rasa kecewa jelas terpancar diwajahnya. Puan Khadijah yang berdiri dihadapannya dipandang sepi. Kakinya terus mengorak langkah keluar dari bilik Muhd Razree.
Berlama di bilik ini, makin bertambahlah rasa kecewanya.
Puan Khadijah tersenyum sinis. Pemergian Imran yang jelas kecewa itu mengembirakan hatinya. Padan muka kau, Encik Imran. Lagi kau kecewa, lagi aku suka. katanya dalam hati.
Tidak lama selepas itu, dia keluar dari bilik ini dan bertemu setiausaha cucunya itu.

Muhd Razree mempamerkan wajah ceria disebelah Dhia walaupun dia sedikit penat akibat mengejar Dhia.
“Dhia cakap aje nak pergi mana. Abang bawakan.”
Muhd Razree langsung menarik Dhia masuk ke dalam keretanya dan terus keluar dari syarikat Puan Khadijah. Muka Dhia yang masam sejak keluar dari bilik kekasihnya itu bertambah masam apabila Muhd Razree menariknya masuk ke dalam kereta Mitsubishi Evo.
“Dhia tak nak pergi mana-mana. Dhia nak balik!” Masih dengan nada hambarnya. Naik berang Muhd Razree mendengarnya. Lantas dia menghidupkan enjin dan membawa keretanya laju seperti perlumbaan kereta di litar sepang antarabangsa. Ini sahaja cara yang dia ada supaya Dhia mengikut kata-katanya.
Dhia cemas. Gaya pemanduan Muhd Razree menakutkannya.
“Abang, bawa pelan-pelan. Dhia nak hidup lama lagi.” Tersekat-sekat dia berkata. Pemegang atas kepalanya dipegang kuat.
Muhd Razree mencebik. “Tahu pun nak cakap baik-baik dengan abang. Abang tanya Dhia tak nak jawab. Abang buat ni bukan sengaja tau. Abang tak suka Dhia memberontak macam tu.” Gaya pemanduannya bertukar perlahan. Mujur tidak banyak kereta yang ada di atas jalan raya ini.
“Dhia minta maaf. Dhia bukan sengaja nak memberontak. Dia cuma bengang Imran datang kat syarikat nenek. Dhia kalau boleh dah tak nak tengok muka dia lagi. Dhia benci dia!” Tiba-tiba Dhia menangis.
Muhd Razree tersentak. Laa…menangis pulak? Perasaan bersalah muncul dalam dirinya. Janjinya untuk tidak membuat Dhia menangis tidak ditepati. Janji dicapati betul lah kau ni Raz!
“Okey, okey. Abang hantar Dhia balik ya. Dah. Tak cantik muka bakal isteri abang ni bila nangis.”
Cemberut wajah Dhia mendengarnya. “Dhia benci abang!”
“Dhia nak benci abang, bencilah. Tapi abang tetap sayang dan cintakan Dhia.”
Menjeling maut Dhia ketika mendengar ayat yang terluah dibibir Muhd Razree. “Tahu pun sayang. Lain kali jangan cakap Dhia tak cantik ya. Dhia err…Dhia rindukan abang sebenarnya. Itu sebab Dhia datang jumpa abang tadi.”
Alahai…sayunya hati Muhd Razree bila Dhia cakap begitu. “Abang minta maaf sebab tak dapat jumpa Dhia dalam masa beberapa hari ni. Abang pun rindukan juga. Tapi tulah. Abang sibuk sangat-sangat. Abang janji, lepas habis aje kerja abang ni kita terus buat apa yang patut untuk perkahwinan kita nanti.”
“Dhia tak suka janji abang. Janji abang dicapati!!” Tergelak besar Muhd Razree saat itu. Dhia memang pandai buat lawak.
Dhia…abang sayangkan Dhia!bisiknya dalam hati.


Balik sahaja ke rumah Puan Khadijah, Dhia tersenyum memandang dua pembantu rumah Puan Khadijah yang sedang ligat mengemas meja besar di ruang tamu itu. Bagus pekerja nenek. Masa nenek tak ada pun, mereka tetap buat kerja rumah. Inilah yang dikatakan pekerja yang berdedikasi.
            “Cik Dhia dah balik? Nak saya sediakan air?”tanya Amira ketika dia ternampak kelibat gadis itu dibelakangnya. Kain lap ditangannya disorokkan ke belakang.
            “Tak perlu, Amira. Saya nak naik atas. Nak rehat kejap.” Dhia menjawab dengan senyuman. Amira mengangguk sebelum dia kembali meneruskan kerjanya.
            Dhia meniti anak tangga satu persatu. Kain kurung peplumnya diangkat sedikit supaya tidak terjatuh. Sudah sampai di hadapan biliknya, Dhia terpaku di hadapan pintu. Dia mengerling ke bilik sebelah. Bilik Raymi Zikri. Dia mengeluh seketika. Manalah lelaki itu berada sekarang ini? Tak ingat nak balik rumah sendiri ke? fikirnya.
            Dhia tidak jadi masuk ke biliknya. Dia terus ke bilik Raymi Zikri yang tertutup rapat. Tombol pintu bilik dipulas. Dia mengerutkan dahi. Kenapa bilik ini tak dikunci? Tak takut ke pembantu rumah curi barang dalam senyap? Soalnya dalam hati.
            Dengan penuh berhati-hati Dhia menyelinap masuk ke bilik Raymi Zikri.
            Makin berkerut dahi Dhia apabila melihat lampu dan air cond di bilik Raymi Zikri terpasang. Aik, dia dah balik ke? Kalau dah balik, dia ada kat mana?
            Dhia menjengok kepalanya di luar bilik Raymi Zikri. Tak ada orang pun. Dia masuk semula ke bilik. Tak ada jugak. Mungkin salah seorang pembantu rumah Puan Khadijah kemas bilik ini agaknya. tekanya.
            Tangan Dhia merayap pada cadar yang terlipat elok diatas katil Raymi Zikri. Lembutnya cadar ni! Tanpa teragak-agak, dia duduk di tilam ini lalu membaringkan tubuhnya.
            Wow, empuknya! Dhia memejam mata erat.
                  “Bestnya tidur dekat sini. Hmm…” Dhia menarik bantal panjang disebelahnya lalu dipeluk erat. Penyaman udara yang berada di dalam bilik ini ternyata lebih sejuk berbanding biliknya.
“Nasib baik dia tak ada kat sini. Kalau tak mesti dia mengamuk dengan aku.” katanya lagi.
“Siapa kata aku tak ada kat sini?”
Mata Dhia yang terpejam rapat dek kerana menikmati keselesaan tidur di bilik ini terbuka luas apabila mendengar satu suara yang agak tegas. Pantas dia bangun dari pembaringan dan duduk menegak di atas tilam yang empuk ini.
Ray? Dhia mengigit bibir sambil menutup muka. Ya Allah, kenapa dia berdiri di depan aku tak pakai baju dan bertuala sahaja? Dhia jadi tidak tentu arah.
Ray…kenapa kau balik? Hati Dhia mengeluh kesah.


4 ulasan:

Unknown berkata...

best 3x.

Faraain12 berkata...

konfius dengan karakter Dhia ni....dia nak ke tak nak Ray balik ni?

Tanpa Nama berkata...

Sygku Fara...
Dhia tu mmg seorang yg konfius..haha

Dia x terduga Ray dtg dlm bilik tu...n mmg d x suka Ray balik ke rumah tu..

Secret Blogger berkata...

Akak cepat2 sambung,, tk sabarlah apa yg terjadi lepas ni!!