Dua
puluh tahun ke belakang…
Dengan muka tersipu-sipu malu, Puteri Dayang duduk di atas buaian
taman permainan sambil ditemani rakan-rakannya yang duduk di atas rumput. Hari
ini gilirannya mendendangkan lagu dihadapan rakan-rakannya itu. Meskipun dia
tahu suaranya tidaklah sesedap Siti Nurhaliza tetapi dia akan cuba buat yang
terbaik di hadapan teman-temannya.
“Jangan kritik suara aku tau. Aku tahu
siap korang!” pesan Puteri Dayang
dengan tegas. Dia memang benci mendengar kritikan.
“Ala, dari suara kau yang sengau tu aku
dah tahulah suara kau tak sedap.” jerit salah seorang rakannya yang bernama
Megat Danish. Hingar-bingar suasana disitu dengan jeritannya. Megat Danish
mencebik sinis. Gembira kerana ada juga yang menyokong dirinya. Sejujurnya, dia
memang tidak sukakan Puteri Dayang. Sudahlah tak cantik. Kulit hitam pulak tu!
Ada hati nak menyanyi depan kita orang yang putih melepak ni!
Puteri Dayang mengecilkan mata.
Mulutnya diketap rapat. Geram sungguh dia dengan Megat Danish yang sesuka hati
mengkritiknya di hadapan rakan-rakan mereka. Memang dah lama dia berdendam
dengan Megat Danish. Ikutkan hatinya, saat ini juga dia mahu belasah lelaki tak
sayang mulut itu di hadapan orang yang hadir di taman ini. Biarkan lelaki itu
tahu yang dia bukan gadis yang boleh direndahkan martabatnya sesuka hati!
Jaga kau, Megat. Lepas aku nyanyi aku
akan cubit mulut kau sepuas hati. Biar mulut kau sumbing!tekadnya.
“Dayang, cepatlah nyanyi! Aku tak
sukalah menunggu terlalu lama. Petang dah nak melabuhkan tirai ni. Dahlah kita
pakai baju sekolah agama. Bau badan pun ermm…eee…dah macam apa dah.” kata salah
seorang temannya, Nur Maria sambil menunjukkan jam tangannya. Sempat lagi dia
bau pakaian sekolahnya yang berwarna putih dan berkain merah. Petang hampir
melabuhkan tirai dan kalau boleh dia mahu balik ke rumah secepat yang boleh.
Rakan yang lain menyokong kata-kata Nur
Maria. Ada betulnya kata gadis itu. Budak darjah enam seperti mereka sepatutnya
balik ke rumah dan membersihkan diri setelah balik dari sekolah agama.
“Okey, okey. Aku nyanyi sekarang.”
Puteri Dayang tarik nafas dan tersenyum di hadapan rakan-rakannya. Lalu
bermulalah lagu yang menjadi kesukaannya sejak dari darjah satu lagi.
Laju-laju
buaiku laju…
Aku
nak kahwin dengan orang kaya…
Dia tarik suaranya di tahap tertinggi
sambil tangannya mengayunkan buaian. Baru hendak meneruskan ayat seterusnya,
ada bunyi-bunyi sumbang yang menghinanya. Siapa lagi kalau bukan Megat Danish!
Paling dia terkejut, bunyi petir dan kilat berkumandang. Puteri Dayang
memberanikan diri merenung ke atas. Awan sudah berarak mendung. Nampaknya
sebentar lagi akan hujan. Salahnya ke sebab menyanyi tak sedap?
“Woi Dayang apa kau dah buat ni? Baru
aje kau nyanyi bunyi petir, kilat semua keluar. Kau ni memang tak pandai
menyanyilah. Beb, jomlah kita gerak balik rumah. Menyesal aje datang sini
tengok dayang senandung ni menyanyi. Entah apa-apa.” Megat Danish mengajak
rakan-rakanya balik rumah. Daripada mendengar Puteri Dayang mengalunkan lagu
lebih baik mereka pulang.
Mereka semua bangun meninggalkan Puteri
Dayang keseorangan disitu.
“Wei, tunggu aku. Kita baliklah
sekali.” Puteri Dayang yang takut dengan perubahan cuaca di taman ini segera
turun dari buaian. Buat apa dia disini jika tiada siapa yang mahu mendengar
suaranya menyanyi. Beg sekolah sudah dibimbit di bahu. Mahu balik sekali dengan
kawan-kawannya.
“Korang
jangan pedulikan dia. Dah, jom kita balik.” Begitu sekali bencinya Megat Danish
terhadap Puteri Dayang.
Puteri Dayang geram. Beg bimbitnya
terlepas dari tangan. Makin meluap-luap rasa bencinya pada lelaki itu. Teringat
kembali kata-kata Megat Danish ketika mereka bertemu secara tidak sengaja di
tangga sekolah.
“Boleh aku tahu kenapa kau tak suka
bercakap dengan aku? Nak rapat apatah lagi.”
“Rasanya aku tak perlu kot jawab pertanyaan kau.” Megat
Danish mencemuh. Dia berkira-kira untuk naik ke atas namun dihalang Puteri
Dayang.
“Apa ni?” Ditepis kasar tangan Puteri
Dayang. Tidak suka disentuh tangan yang berkulit hitam itu.
“Cakap ajelah. Aku tak kesah pun. Cakap
depan-depan lagi baik daripada cakap belakang.”
“Betul kau nak tahu?”
“Betullah. Aku tak sabar nak tahu apa
yang kau katakan tentang aku. Aku janji aku tak marah dan aku janji jugak aku
akan ubah apa yang tak elok dalam diri aku.”
Megat Danish mencemik. Ini sudah bagus!
Ada peluang jugak aku cakap apa yang tersirat di hati aku tentang dia.
“Okey kalau kau nak tahu sangat. Aku
benci orang yang berkulit hitam legam macam kau ni. Pakai apa pun tetap tak
cantik.” Puteri Dayang tersentap disitu. Tahulah dia Megat Danish tidak
sukakannya kerana kulitnya yang gelap.
Apalah salah orang yang berkulit gelap
sepertinya? Dia akui memang dia berkulit gelap seperti orang Afrika tetapi
janganlah sampai begitu sekali hinaan yang dilemparkan padanya.
Megat Danish memang tak patut!
“Sampai hati kau cakap macam tu. Kita
kan kawan.”
“Kawan? Huh! Sebenarnya aku bukannya
nak berkawan sangat dengan kau pun. Aku kawan dengan kau pun sebab ramai member aku kawan dengan kau. Kalau tak,
tak ada maknanya aku bercakap dengan kau.” Riak sungguh kata-kata Megat Danish.
Dikala itu, perasaan bencinya kepada
lelaki yang bernama Megat Danish menular.
Jam ditilik. Sudah masuk 7.15 malam.
Lagi berapa minit saja lagi nak azan maghrib. Puteri Dayang melangkah lesu
meninggalkan taman permainan. Baru saja dia ingin membimbit beg sekolahnya,
telinganya ditarik kuat. Nyaring suaranya menjerit sakit.
Meruap-ruap kemarahan Puan Kamelia
ketika ini. “Kau ni memang degillah. Aku kata lepas balik sekolah jangan pergi
taman kau tetap nak pergi jugak. Kau ni memang suka buat aku marahlah.” Tanpa
belas kasihan, Puan Kamelia menolak tubuh Puteri Dayang dengan kasar hingga
jatuh tersembam ke atas tanah yang berair dan berlumpur.
“Ibu, sakit…” Puteri Dayang mengerang
sakit. Sampai hati ibunya menolak tubuhnya dengan kasar. Habis kotor baju
sekolahnya. Balik nanti mesti dia kena marah dengan ayahnya, Encik Malik.
“Padan muka kau. Memang itu yang
terbaik untuk kau. Puas hati aku baju kau kotor, huh!” Puan Kamelia berpaling
ke belakang dengan muka tanpa riak. Gembira kerana buat anaknya sakit. Terus
dia naik motor milik suaminya dan balik ke rumah. Dibiarkan Puteri Dayang
keseorangan di situ.
Di atas tanah yang berlumpur, Puteri
Dayang menangis semahu-mahunya.
Balik saja ke rumah, azan maghrib telah pun berkumandang.
Puteri Dayang menundukkan muka. Tidak berani memandang sekeliling. Takut apa
yang dipandangnya itu adalah ayahnya.
Bibirnya diketap kuat supaya tidak
terkeluar satu suara pun. Tetapi seribu kali sayang, ibu kandungnya muncul di
hadapannya dengan tidak semena-mena.
Puan Kamelia menunjukkan wajah
sinisnya. Nampaknya malam ini dapatlah dia melihat Puteri Dayang dirotan
suaminya. Tidak sabar dia mahu Puteri Senandung dimarahi suaminya. Dia berdiri
di tepi dinding dan memanggil suaminya dari tingkat atas.
“Abang oh abang. Tengok apa yang Dayang
dah buat ni! Habis kotor baju dia.”
Puteri Dayang mengangkat wajah. Riaknya
bertukar cemas. Apa yang ditakuti tadi telah pun berlaku. Kakinya jadi
mengeletar dengan tiba-tiba.
Ibu memang kejam! Katanya dalam hati.
“Lepas ni habislah kau, dayang
senandung!” cemik Puan Kamelia. Senang hatinya dapat mengelarkan anaknya
sebegitu. Dari lahir lagi dia gelarkan anaknya Dayang senandung. Sudahlah hitam
legam. Muka ada panau sana sini. Tetapi gelaran itu hanya terluah ketika dia
berada di depan Puteri Dayang sahaja. Kalau sebut gelaran itu di depan
suaminya, pasti suaminya mengamuk sakan. Dia tahu suaminya sayangkan Puteri
Dayang. Terlalu sayang sehingga dia dipinggirkan. Sebab itulah dia bencikan
anaknya.
“Abang, cepatlah turun. Apa yang abang
buat kat atas tu? Lamanya…”
“Yang awak terjerit-jerit macam orang
gila ni kenapa? Tak boleh cakap baik-baik ke?” celah Encik Malik setelah turun
dari tangga. Dia tidak suka orang menjerit. Itu kepantangannya.
Puan Kamelia terdiam. Malu kerana
dikritik di depan anak yang dibenci.
Puteri Dayang yang berdiri tidak jauh
dari mereka kembali menundukkan muka. Bibirnya diketap kuat tanda dia takut
dengan apa yang bakal berlaku selepas ini.
“Puteri ke mana tadi?” Encik Malik
menghampiri anaknya yang langsung tidak memandang wajahnya.
Encik Malik tidak suka memanggil
anaknya, Dayang. Dia lebih suka memanggil anaknya Puteri kerana itulah
satu-satunya puteri dalam hidupnya selepas isterinya.
“Puteri, ayah tanya ni…” Encik Malik
membuat suara tegas. Dia tahu anaknya mesti takut jika dia bersuara seperti
itu.
“Puteri…Puteri…” Kerana terlampau
takut, Puteri Dayang menitiskan airmata. Puan Kamelia di belakang Encik Malik
menunjukkan muka cebiknya. Suka melihat Puteri Dayang menangis.
“Puteri pergi taman lepas balik sekolah
agama tadi. Puteri mintak maaf sebab tak beritahu ayah Puteri pergi sana.”
“Ayah kan dah beritahu sebelum ni
jangan main taman lepas balik sekolah. Tengok, dah kotor baju anak ayah ni kena
lumpur. Nasib baik ayah beli banyak baju sekolah.”
“Puteri mintak maaf sekali lagi ayah.
Puteri janji lepas ni Puteri tak buat lagi.” bersungguh-sungguh dia memberitahu
agar ayah yakin pada kata-katanya.
Encik Malik menarik nafas. Bahu anaknya
disentuh lembut. “Dah, pergi naik atas mandi. Ayah tahu malam nanti Puteri mesti
mengaji dengan ayah lepas solat isyak. No
more objection. Understand?”
Puteri Dayang memberanikan diri
memandang Encik Malik. Sungguh, dia bersyukur sangat memiliki seorang ayah
seperti ini. Walaupun seorang yang tegas namun kasih sayang terhadap seorang
anak tidak berbelah bagi.
Tidak seperti ibunya yang suka
mengkritik dan menghina dirinya yang tidak seberapa ini. Dari dia lahir lagi
ibunya tidak suka terlalu rapat dengannya. Paling dia kecewa, ibunya dengan
cerita rakyat Dayang Senandung yang pernah popular suatu ketika dahulu.
Pantas Puteri Dayang mengangguk. “Terima
kasih, ayah. Malam nanti Puteri janji Puteri akan mengaji dengan ayah. Love you!” Kejap dia memegang tangan
ayahnya. Encik Malik hanya mempamerkan sebaris senyuman.
Puan Kamelia merengus. Tidak puas hati
dengan apa dilihatnya. Pada firasatnya, Puteri Dayang akan dimarahi dengan
teruk dengan suaminya. Tapi nampaknya tidak terjadi. Betul-betul buatkan dia
sakit hati!
Puteri Dayang naik ke atas selepas
perbualannya bersama ayah tercinta tamat disitu. Sempat dia berpaling ke arah
Puan Kamelia yang berwajah cemberut. Senyuman sinis dihadiahkan pada ibunya
tanda dia gembira ayah tidak memarahinya.
“Kamy, apa kamu tercegat kat situ lagi?
Mari ikut abang sembahyang maghrib.”
Terpinga-pinga Puan Kamelia dengan
arahan suaminya. Akhirnya dia akur. Suruhan suami perlu dituruti. Langkah
suaminya diikut dari belakang.