Isnin, 29 September 2014

BAB 2 (TAJUK?BIARLAH RAHSIA)



Dhia terjaga dari tidur tatkala mendengar azan isyak berkumandang di radio kereta Raymi Zikri. Terpisat-pisat dia membuka mata agar pandangannya tampak jelas seperti biasa. Raymi Zikri yang berada disebelah langsung tidak memandangnya. Dia sedikit kecewa.
            “Kita kat mana ni, Ray?”
            “Kau diamlah! Tak payah nak bercakap dengan aku.” jerkah Raymi Zikri tanpa sedikit pun memandang Dhia.
            Dhia tersentak. Benarlah Raymi Zikri masih marahkan dirinya. Dia kecewa. “Aku tahu kau tak ikhlas nak bawa aku naik kereta kau. Kau turunkan aku kat mana-mana tempat yang kau suka. Aku boleh jalan sendiri.”
            Nafas Raymi Zikri turun naik. Wajahnya merah padam. “Nak jalan sendiri dengan perut kau yang sakit tu?” Dhia terdiam. Dia rasa tersindir. “Ikutkan hati, memang aku tak endahkan kau tadi tapi sebab kau sahabat aku, aku bawa kau naik kereta aku.”
            Tersayat hati Dhia mendengarnya. Kalau perutnya tidak sakit tadi, pasti Raymi Zikri tidak akan endahkan dirinya. Pasti lelaki ini akan biarkan dia seorang diri menyelesaikan masalah yang dia hadapi.
            “Aku ingatkan lepas kau jadi isteri Imran perangai kau akan bertambah baik berbanding dulu tetapi aku silap, perangai kau aku tengok bertambah teruk. Tak sangka kau ni seorang yang kuat menipu.”
            Dhia menjeling tajam kearah Raymi Zikri. Kata-kata lelaki ini menghiris hatinya. Kenapalah Raymi Zikri masih menyakitkan hatinya dikala dia sedang berduka tentang perceraiannya dengan Imran? Dia rasa Raymi Zikri tidak ada kaitan dengan hal rumahtangganya, jadi tidak salah kan dia membohongi lelaki ini bagi menutup aib dirinya?
            “Apa yang kau tak puas hati sangat dengan aku Ray? Aku akui, aku memang bersalah sebab rahsiakan hal tu dengan kau tapi aku rasa kau tak perlulah nak berterus-terusan memarahi aku.”
            “Aku tak suka orang menipu aku, faham tak?!” Sekali lagi dirinya dijerkah Raymi Zikri. Dia jadi meluat dengan lelaki ini.
            “Habis kau tipu nenek, tak apa pulak?” Raymi Zikri terkedu. Dia lupa yang Dhia tahu dia pernah menipu nenek sebelum ini. Wajahnya yang merah padam sebentar tadi berubah riak.
            Dia pernah memberitahu Dhia yang dia tidak pernah pergi ke ceramah agama yang dianjurkan syarikat  nenek pada setiap malam khamis dan jumaat. Setiap kali ceramah agama itu berlangsung, pasti dia akan keluar bertemu rakan sekolahnya, Zack untuk berkenalan dengan gadis-gadis yang masih muda remaja di Berjaya Times Square.
            “Itu antara aku dan nenek. Kau jangan masuk campur!” dengusnya. Egonya memuncak naik.
            “Kalau macam tu, kau jangan nak masuk campur antara aku dan Imran.” Sengaja dia menambahkan rasa sakit hati Raymi Zikri terhadapnya.
            Raymi Zikri terus menekan brek keretanya secara mengejut apabila tiba di salah satu bus stop di Damai Jasa. Dhia tergamam. “Kau dah gila ke Ray?”
            “ Kau turun sekarang, turun!!” jerit Raymi Zikri sekuat hati.
            “Fine, kalau itu yang kau mahukan.” Dhia bangkit keluar dari kereta. Dia mengambil dua bagasinya yang tertinggal di tempat duduk belakang. “Aku benci kau, Ray.” Sempat lagi dia menuturkan kata itu sebelum dia menutup pintu kereta dengan kasar sekali.
            Raymi Zikri terus meninggalkan Dhia sendirian disitu. Dhia hanya redha. Mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku sekarang ini.
Tanpa sedar, air matanya mengalir deras. Apalah perasaan ibu kalau tahu aku kini seorang janda?

Dhia berdiri tegak meneliti sekeliling rumah kayu dihadapannya setelah teksi berlalu pergi. Dia tersenyum sendirian. Sudah lama rumah ini tidak dikunjungi. Rumah ini banyak memberinya kehidupan dan keceriaan. Tidak sabar rasanya mahu bertemu ibu secara empat mata.
            Terkenangkan lafaz cerai yang diungkapkan Imran sebentar tadi, dia memohon dalam hati. Semoga ibu dapat terima anaknya ini seorang janda.
            “ Ya Allah, anak ibu!” Dhia tersentak tatkala namanya dipanggil dari belakang. Dia menoleh ke belakang lalu tersenyum lebar. Ibu!
            “Ibu…Maafkan Dhia sebab dah lama tak datang kat sini. Dhia rindu ibu.” Dhia terus memeluk ibunya, Puan Suria yang lengkap berpakaian telekung. Pasti ibu baru balik dari surau. tekanya dalam hati.
            “Ibu rindu sangat dengan anak ibu ni. Tak apa, Dhia dah datang ni sudah cukup gembirakan hati ibu.” Sudah berapa bulan dia tidak bertemu dengan Dhia. Hanya telefon yang menjadi penghubung mereka selama ini. “Mari kita masuk, Dhia. Mesti Dhia penat kan?” Dhia mengangguk. Memang dia penat. Tapi bukan penat tubuh badan. Penat melayan karenah Raymi Zikri yang ego tidak tentu pasal!
            “ Dhia datang sorang aje ke? Imran mana?” Puan Suria bertanya apabila dia melihat Imran tiada disisi anaknya itu. Dia rasa pelik. Biasanya jika balik ke sini pasti dua orang.
            Dhia ketap bibir. Tidak tahu hendak membalas pertanyaan ibunya. Rasanya patut atau tidak dia beritahu ibu tentang perceraiannya dengan Imran?
            “Dhia datang ni tanpa pengetahuan Imran, ibu.” Sayu sahaja suaranya.
            “Laa…kenapa pulak ni? Kamu gaduh dengan dia ke?” Puan Suria mengerutkan dahi. Dua bagasi sederhana yang dibawa anaknya memberikan gambaran jelas bahawa anaknya ini bergaduh dengan menantunya.
            Dhia mengelengkan kepala. “Bukan ibu. Tapi…tapi.” Aduh, kenapa bibirnya tiada daya untuk meluahkan semua ini?
            Puan Suria membuka telekung lalu meletakkan di tepi kerusi. “Dhia cakap ajelah. Ibu takkan marah.” Setelah Dhia berkahwin dengan Imran, dia tahu anaknya boleh selesaikan masalahnya sendiri.
            “Ibu janji takkan marah Dhia? Ibu janji?” Sekali lagi dia memeluk tubuh ibunya. Kali ini lebih erat.
            “Insyallah ibu takkan marah.” Puan Suria mengusap lembut badan Dhia.
            “Imran dah ceraikan Dhia, ibu…” Dhia akhirnya berterus-terang.
            Puan Suria melepaskan pelukan secara tiba-tiba. Dhia sudah agak. Ibu pasti akan terkejut dengan perkara ini.
            “Kamu jangan bergurau dengan ibu, Dhia. Bab perceraian ni bukan perkara yang boleh dibuat main.” Puan Suria ketawa sinis. Dia cukup pantang apabila mendengar perkataan cerai. Dulu dia diceraikan suaminya, Shamsul Abbas kerana penampilannya tidak begitu menarik dimata lelaki itu. Dan sampai ke saat ini, dia masih keseorangan. Hanya Dhia sahaja tempatnya bergantung harap.
            “Betul, ibu. Imran dah ceraikan Dhia. Baru sekejap tadi dia ceraikan Dhia.”
            Puan Suria tiba-tiba menangis. Malam yang dingin ini memberikan kesedihan buatnya. Dhia yang perasaan terus memenangkan ibunya. Dia tahu ibu kecewa dia diceraikan tapi ini semua takdir yang ditentukan Allah S.W.T. Dia tidak boleh menghalang takdir tersebut. Dia yakin perpisahan yang berlaku hari ini akan memberi sejuta hikmat padanya, insyallah…
            “Ibu tak sangka kamu akan lalui perceraian sama seperti ibu. Mungkin ini nasib kita dan ibu harap Dhia redha dengan semua ini. Ibu yakin Dhia akan dapat lelaki yang lebih baik daripada Imran.” Dia tidak marah, jauh sekali mahu menyalahkan anaknya. Dia tahu Allah akan berikan yang lebih baik daripada ini.
            Dhia mengangguk. Lega kerana ibu tidak memarahinya. “Dhia tahu ini semua perancangan daripada Allah. Allah tahu apa yang terbaik buat kita berdua dan Dhia rela apa yang berlaku hari ini adalah ketentuan daripadaNya. Ibu jangan sedih ya? Ibu sedih buat Dhia lagi bertambah sedih.”
            Puan Suria mengesat air matanya. Rambut anaknya dielus lembut. “Kesian anak ibu ni kena cerai. Hurm…tak apalah. Perkara dah berlaku, apa boleh buat. Lepas ni Dhia tinggal dengan ibu ya? Kita akan jalani kehidupan seperti dulu. Sama-sama bujang dan sama-sama janda!” ucap Puan Suria dengan nada ceria.
            Tergelak besar Dhia mendengar ayat terakhir ibu. Alhamdulilah, Kini tiada apa perlu dibimbangkan lagi. Apa yang penting, selepas ini kehidupannya akan kembali seperti zaman remaja dulu. Dia boleh buat apa yang dia suka.
            Terima kasih Allah kerana memulangkan keceriaan ini kepadaku. katanya dalam hati.

            

Jumaat, 26 September 2014

BAB 1 (TAJUK? BIARLAH RAHSIA)



“Assalamualaikum abang. Dhia dah balik ni. Bukalah pintu!”
            Suara teruja Dhia bergema tatkala mengetuk pintu rumah dua tingkat itu. Raymi Zikri yang berdiri diluar perkarangan rumah Dhia tersenyum melihat tingkah Dhia. Dia tahu Dhia tidak sabar mahu bertemu suaminya, Imran.
            Selama seminggu mereka bekerja di luar daerah, Raymi Zikri perasan Dhia sering melihat gambar-gambar Imran di dalam telefon. Begitu sayang sekali Dhia pada Imran. Jika satu hari nanti dia mempunyai isteri, dia mahukan isteri seperti Dhia. Isteri yang manja dan mencintainya sepenuh hati.
            “Ray, aku ketuk banyak kali tak bukak pun. Dia ada ke tak ni?” Muncung bibirnya apabila tiada sahutan daripada Imran. Dia betul-betul menyesal kerana tidak membawa kunci sebelum ke Melaka hari itu. Sudahnya, dia terpaksa mengetuk pintu rumah ini banyak kali.
Abang tengah tidur ke? Dhia mengaru kepala. Biasanya Imran tidak suka tidur sebelum waktu maghrib menjelang. Suaminya lebih suka membaca buku di bilik bacaan yang bersebelahan dengan bilik mereka. Tapi takkanlah tak dengar kot? Rumah mereka bukannya besar mana pun sampai tidak boleh dengar orang ketuk pintu dari luar.
            “ Itulah, semangat nak pergi Melaka sampai lupa bawa kunci rumah.” sindir Raymi Zikri diiringi dengan ketawa kecil. Dhia membuat muncung itiknya.  Dia tahu dia bersalah dalam hal ini.
“Kau tengok kereta dia ada kan? Cuba kau ketuk sekali lagi. Mana tahu kali ni dia bukak ke?” Raymi Zikri cuba menyedapkan hatinya walaupun dia sudah hampir putus asa mengetuk pintu rumahnya.
“Hurm…yalah, yalah.” Lemah saja suaranya. Dia kembali mengadap pintu rumah itu dengan satu semangat. Harap-harap suaminya akan bukak pintu ini. doanya dalam hati.
            “ Assalamualaikum!” Salam diberi sekali lagi setelah pintu diketuk sekali lagi. Kali ini suaranya bertukar lebih kuat berbanding tadi.
            “Waalaikumsalam!”laung Imran dari dalam.
Dhia kembali menunjukkan rasa terujanya. Ternyata salamnya kali ini didengar Imran dari dalam. Dia gembira bukan kepalang. Dia menunjukkan tanda bagus kepada Raymi Zikri. Sahabatnya itu hanya tersenyum memandangnya.
Pintu dibuka dari dalam. Abang! Dhia tersenyum lebar sampai ke telinga. Rasa gembiranya tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Sudah lama dia rindukan Imran. Sudah beberapa hari tidurnya terganggu kerana menyebut nama Imran di hotel tempat dia menginap.
“ Abang! How much I missed you!” Tanpa rasa malu, dia terus memeluk tubuh Imran sekuat hati. Raymi Zikri mengelengkan kepala melihat tingkah laku Dhia yang tidak berapa sopan itu. Tidak mahu melihat adegan itu, dia terus berpatah masuk ke dalam keretanya untuk mengambil bagasi Dhia di tempat duduk pemandu.
Imran pula hanya mendiamkan diri. Terkaku seketika apabila dipeluk isterinya yang sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah.
“ Abang rindukan Dhia tak, hurm?” Manja suaranya kedengaran sambil memeluk leher suaminya. Dia tahu Imran pasti tidak selesa dipeluk dihadapan Raymi Zikri.
“ Abang, tutup pintu tu. Dah maghrib ni!” jerit satu suara dari tingkat atas. Dhia terkedu. Suara perempuan mana pulak ni? Rasanya dia seorang perempuan yang menghuni rumah dua tingkat ini. Takkanlah Imran bawa balik perempuan lain kot dalam rumah ni? Hatinya mula bersangka yang tidak baik terhadap suaminya.
“ Sekejap Rina. Ada orang datang ni.” laung Imran.
Dhia membulatkan mata. Rina? Siapa pulak perempuan yang bernama Rina ini? Hatinya mendongkol geram. Jangan-jangan suaminya pasang lain tak?
“ Siapa Rina, bang? Apa hubungan abang dengan dia?” Dhia tidak boleh bersabar lagi. Wajah Imran direnung tajam. Suaminya itu nampak tidak selesa direnung begitu. Biarkan. Dia mahu Imran tahu yang dia sedang cemburu sekarang ini!
“ Err… itu, itu…” Tergagap-gagap Imran mahu menjawab soalan Dhia. Dia takut Dhia tidak dapat terima jawapannya.
“Dhia tanya abang. Siapa Rina tu?!!” Kali ini suaranya naik satu oktaf. Marahnya betul-betul tidak boleh disembunyikan lagi.
“Dhia apa kena ni?” Raymi Zikri tiba didepan pintu rumah Dhia setelah dia lihat ada sesuatu yang tidak kena dengan pasangan suami isteri ini. Rasa tidak percaya Dhia meninggikan suara terhadap Imran.
Imran berpaling kearah lain. Tidak berani untuk bertentang mata dengan Raymi Zikri. Dia malu kerana lelaki itu mendengar Dhia memarahinya.
Dhia tidak menjawab sebaliknya dia memandang Imran tanpa mengerdipkan mata. “Kalau abang tak nak cakap, Dhia akan jumpa dia sendiri.” Dhia berkira-kira untuk naik ke tingkat atas. Mahu bersemuka dengan Rina secara empat mata.
“Jangan!” Imran pantas memaut lengan Dhia selepas isterinya itu melangkah masuk ke dalam rumah. “ Jangan jumpa dia, Dhia. Abang takkan benarkan.” Suara Imran kali ini bertukar tegas.
“ Takkan benarkan? Abang dah gila ke? Ini rumah Dhia lah. Takkan Dhia tak boleh berjumpa dengan dia kot? Dhia tak kira, Dhia tetap nak jumpa dia jugak.”
Imran membawa Dhia keluar dan berdiri didepan pintu. “ Dia isteri baru abang…” Dhia tergamam disitu. Raymi Zikri disebelahnya terperanjat besar. Tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
“ Isteri abang?” Menggeletar tubuh Dhia mendengarnya. “ Maknanya dia madu Dhia?” Imran hanya mengangguk. Dia tahu Dhia pasti akan marahkannya tapi dia tidak boleh berbuat apa. Rina sudah pun menjadi isterinya.
“ Kenapa abang buat Dhia macam ni, kenapa?!” Dhia memukul dada Imran tanpa memikirkan Raymi Zikri yang berada di tengah-tengah mereka.
Imran mengambil kedua-kedua tangan Dhia lalu digenggam erat. Dhia tersentak. “ Dulu Dhia pernah katakan pada abang, kalau Dhia tak dapat mengandungkan anak abang, Dhia rela  abang kahwin lain. Dan minggu lepas, bila Dhia pergi kerja dengan Ray, abang ambil keputusan kahwin dengan Rina tanpa fikir panjang.”
“Dhia ingatkan abang tak ingat kata-kata tu…” Dhia tiba-tiba menangis.
“Abang akan ingat Dhia. Abang tak boleh bersabar lagi. Umur abang semakin hari semakin meningkat. Abang nak rasa jadi seorang ayah kepada anak-anak abang tapi Dhia asyik kata tunggu. Sampai bila abang boleh tunggu Dhia? Kalau Dhia tak dapat mengandungkan anak abang, Dhia bagi tahu aje terus. Kenapa mesti rahsiakan hal besar tu dari abang?” Makin mencurah-curah airmata Dhia mengalir dipipi apabila Imran berkata begitu.
Memang benar, doktor sahkan perutnya mengalami masalah. Pada asalnya dia mahu memberitahu Imran tetapi fikirannya berkali-kali berkata jangan.
“Sampai hati abang buat Dhia macam ni. Dhia bukan tak nak bagi anak pada abang, Dhia perlukan masa untuk semua ni.”
“Anak tidak memerlukan masa untuk membuatnya, Dhia,” pintas Imran.
Adakah aku terlalu pentingkan diri sehingga kepentingan suamiku tidak diambil peduli? Dhia menekup muka bersama tangisan yang tidak henti-henti.
“ Abang dah buat keputusan. Keputusan ini abang dah fikir banyak kali sebelum abang kahwin dengan Rina lagi.”
“Keputusan apa, bang?” Dhia dan Raymi Zikri saling berpandangan.
“ Abang ceraikan Dhia dengan talak satu. Mungkin ini yang terbaik untuk kita berdua.” Tanpa mempedulikan mereka berdua, Imran terus menutup pintu dan naik ke tingkat atas untuk menunaikan solat maghrib.
Dhia jatuh terjelepok di atas lantai tanpa berkata apa-apa.

Raymi Zikri meraup-raup rambutnya berkali kali sambil memegang streng kereta. Malam ini moodnya berubah seratus peratus. Dhia yang sedang memejamkan mata disebelahnya dipandang dengan rasa meluat. Jika tidak kerana Dhia, pasti dia sedang berehat di rumah dengan tenang tanpa memikirkan sebarang masalah.
            Teringat dia dengan kata-kata Dhia tadi sebelum dia membawa sahabatnya ini keluar dari kawasan perumahan Alam Damai. Kata-kata itulah yang membuatkan dia rasa benci untuk melihat Dhia secara dekat.
            “Tolong bawa aku keluar dari rumah ni, Ray. Imran dah ceraikan aku.” Teresak-esak Dhia menangis. Dia berharap sangat Raymi Zikri membantunya keluar dari sini. Hanya sahabatnya itu yang dapat membantunya saat ini.
            Raymi Zikri merengus. Wajah Dhia yang menangis sedikit pun tidak membuatkan dia rasa simpati terhadap wanita berusia dua puluh lima tahun ini.
            “Kau nak aku bawak kau keluar dari sini? Huh! Dah tipu aku masih ada hati nak mintak tolong dengan aku? Kau uruskan hal kau sendiri. Aku nak balik!” Raymi Zikri berpaling ke belakang.Kakinya mula melangkah keluar dari perkarangan rumah Imran. Dia perlu balik cepat, takut neneknya, Puan Khadijah akan memerahinya secara bertubi-tubi di rumah nanti.
            Sejak ibu bapanya meninggal dunia, nenek menjaga dia dan abangnya, Muhd Razree. Hanya wanita itu tempat dia mengadu dan meluahkan rasa walaupun neneknya seorang yang sangat cerewet.
            Ray nak balik? Habis aku macam mana? Dhia jadi gelisah. Dia tahu Raymi Zikri marahkannya. Hari itu dia akan katakan pada Raymi Zikri yang Imran tidak mahu dia mengandung buat masa ini. Tidak sangka hari ini sahabatnya terdengar dengan jelas perbualan mereka berdua. Pasti lelaki itu membencinya.
 Dhia cepat-cepat menarik bahu Raymi Zikri. Terkedu lelaki itu dibuatnya.
“Kau nak apalagi ni?” jerkah Raymi Zikri.
“Please, Ray. I really-really need your help. Aku janji aku takkan minta apa-apa daripada kau lepas ni.” Bersungguh-sungguh Dhia berkata.
“ Kau dah tipu aku lepas tu kau nak suruh aku tolong kau? Jangan harap Dhia, jangan harap!” rengus Raymi Zikri. Tanpa menghiraukan Dhia, dia terus masuk ke dalam kereta lalu meninggalkan Dhia.
Dhia terkedu. Terus dia berlari mengikut kereta Raymi Zikri dari belakang. Dia tidak peduli dengan mata-mata jiran yang memandangnya. Tapi tidak semena-mena, perutnya terasa sakit yang amat sangat. Ah, baru dia sedar hari ini hari pertamanya datang period.
“Ray, tunggu aku. Argh!” Dia terjelepok jatuh sekali lagi. Kali ini bukan diatas lantas tetapi diatas jalan tar yang mempunyai banyak kereta di tepi jalan. Orang yang lalu-lalang menghampiri dirinya.
Di dalam kereta, Raymi Zikri melihat cermin kanan keretanya dengan perasaan berbelah-bagi. Dhia sanggup berlari dari belakang keretanya kerana mahu mengikutnya bersama. Gaya pemanduannya yang laju bertukar perlahan. Sekali lagi dia melihat cermin tetapi tiada kelibat Dhia disitu. Hanya orang ramai yang kelihatan tidak jauh dari keretanya. Dia mula rasa tidak sedap hati.
Kereta Audi A6nya berhenti di tepi jalan. Kemudian dia keluar dan menjenguk kepalanya ke kiri dan kanan. “Mana perempuan tu pergi? Takkan ada orang kacau dia kot?” Dia bertanya pada diri sendiri. Memang diakui dia marahkan Dhia tetapi dia tetap sayangkan sahabatnya itu.
“ Ya Allah, sakitnya perut aku!” jerit Dhia dengan kuat. Perutnya diusap berkali-kali. Mahu disapu minyak angin, dia datang ke sini dengan tangan kosong sahaja. Semua beg yang berisi pakaian masih ada dirumah Imran.
Raymi Zikri yang mendengar terpana. Hah, itu pun Dhia! Tapi mengapa Dhia dikerumuni dengan ramai orang? Ada yang tidak kena dirinya ke? Dia mula risau.
Saat dia keluar, terbuntang matanya melihat keadaan Dhia yang lemah tidak berdaya. “Ya Allah, Dhia!” Tidak sangka Dhia terbaring di atas jalan tar ini. Orang ramai disitu mula memberikan laluan kepadanya apabila nama Dhia dipanggil dengan kuat. “Ya Allah, apa dah jadi dengan kau ni?” Raut wajah Raymi Zikri bertukar menjadi gelisah.
“Aku sakit perut, Ray. Tolong err…aku.” Terketar-ketar Dhia berkata.
Terkejut Raymi Zikri mendengarnya. Terus dia mendukung Dhia dan membawanya masuk ke dalam kereta. Berharap Dhia akan pulih setelah masuk ke dalam keretanya.